zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-12-14 - 4:47 p.m.

Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 19

Image Hosted by ImageShack.us

Di gerai Nasi Lemak Antarabangsa bersama Irwan

Irwan suruh aku tunggu dia depan KLPAC. Dia kata dia nak keluar makan dengan aku. Jadi aku tunggu sehingga penggambarannya untuk malam ini selesai. Dia tersengih-sengih bila dia nampak aku di hadapan pejabat menjual tiket. Dia mintak maaf kerana aku terpaksa menunggunya. Aku memandang ke arah jam tangan aku. Pukul 9.50 malam.

"So... Kau dah makan ke belum ni?" tanya aku kepadanya.

"Belum lagi bang... Tak sempat-sempat sejak tadi. Scenenya pendek, tapi abang Zainal nak ambik beberapa take sebelum dia puas hati."

"Macam ni... Siri ni tahun depan baru siap."

"Abang marah ke?"

"Nak buat apa aku marah?" aku menghidupkan puntung rokok aku. Aku memandang ke arah bangunan KLPAC yang langsung nampak cantik dibasahi cahaya yang datangnya terang benderang dalam bangunan.

"Saya takut abang marahkan saya kalau saya rosakkan cerita abang ini."

"Kalau nak diikutkan, memang aku nak Zulhuzaimy ambil watak Zainol yang kau ambil tu. Dia lagi sesuai. Muka dia klasik. Muka kau macam model iklan TV... Aku rasa tak sesuai. Tapi dah Dilla suka sangat dengan kau. Aku tak boleh cakap apa dah." Kata ku dengan ikhlas.

"Saya faham bang... Sebab tu saya akan cuba bersungguh-sungguh untuk buktikan kepada abang saya mampu bawak watak yang mencabar ni."

"Kau lapar tak?"

"Lapar jugak."

"Kau nak makan apa?"

"Apa-apa saja boleh."

"Macam tu kita pergi makan kat gerai Kak Ara." Kata ku dengan selamba. Gerai Kak Ara terletak di antara restoran Pizza Hut di Bukit Bintang dan Blue Boy, sebuah kelab malam gay. Bila aku sebut gerai Kak Ara, wajahnya berubah.

"Gerai Kak Ara kat mana ni bang?"

"Buat-buat tak tahu pulak."

Anak tekaknya bergerak-gerak. Dia menelan air liurnya.

"Kita boleh pergi tempat lain? Kampung Baru ke?"

"Mana-manalah... Kau ikut kereta aku dari belakang."

Irwan mengangguk. Dia bergegas ke arah keretanya.

Setelah lebih kurang lima-belas minit memandu, kami pun sampai ke Kampung Baru. Irwan meletakkan keretanya berdekatan dengan kereta aku. Dia berjalan ke arah ku sambil mengesat kesan solekan yang masih menebal pada wajahnya dengan kertas tisu.

"Kau nak makan apa?" tanya ku.

"Nasi lemak."

"Kalau kau cakap siang-siang nak makan nasi lemak... Aku bawak kau pergi makan nasi lemak dekat dengan pasar Chow Kit. Lagi sedap."

"Nasi Lemak Antarabangsa kan ada..."

"Nasi Lemak Antarabangsa is so overrated... Tapi tak apalah, kalau kau dah suka."

"Tak apalah... Saya ikut abang. Saya tak kisah nak makan apa."

"Kau yang kebulur, bukan aku." Aku tersenyum. Aku masih tak sedar aku sedang berjalan dengan Irwan, seorang heart throb Melayu yang menjadi gilaian gadis-gadis seMalaya. Aku hanya sedar tentang hal ini apabila terdapat beberapa orang anak-anak gadis bertudung yang merenung ke arahnya apabila kami berjalan melepasi mereka.

"Abang Irwan ke ni?" tanya seorang gadis remaja yang mungkin masih lagi berusia belasan tahun sebaik sahaja kami duduk di gerai Nasi Lemak Antarabangsa.

"Ya, kenapa dik?"

"Betul ke abang Irwan ada hubungan intim dengan Maya Karin?"

"Kami berkawan saja. Tak lebih dari itu."

"Tapi abang nampak rapat jer dengan dia dalam gambar majalah URTV bulan lepas-"

"Alah biasa lah tu dik." Irwan tersipu-sipu malu. Dia memandang ke arah ku yang dari tadi hanya mampu tersenyum. "Dik, abang dengan kawan abang nak makan. Nanti kalau adik ada apa-apa soalan, adik datang jumpa abang lepas abang makan, ya?"

"Okay bang." Gadis itu berjalan kembali ke arah meja makannya. Dia dan rakan-rakannya yang lain masih merenung ke arah kami.

"Maaf bang... Memang selalu macam ni."

"Ye lah. Kau pelakon. Aku faham." Aku berdiri. "Kau nak nasi lemak ayam? Sotong?"

"Ayam."

"Biar aku ambilkan untuk kau. Kau order minum. Aku nak minum air teh tarik kurang manis."

Irwan mengangguk setuju. Aku ke arah gerai utama untuk mengambil pesanan nasi lemak dari Irwan. Aku ambil satu pinggan sahaja. Aku dah makan makanan katering awal malam tadi. Aku dah kenyang.

"Abang tak makan ke?" tanya Irwan bila aku hidangkan nasi lemak yang aku ambil untuknya. Aku cakap tak.

"Diet ke?"

"Ya."

"Tapi badan abang dah segak. Nampak macho. Nak buat apa diet lagi."

"Aku tak diet lah. Kau ni... Dua pinggan aku makan nasi campur Kiah Katering tadi."

"Memang sedap nasi campurnya."

"Kalau sedap, kenapa kau tak makan saja tadi kat lokasi?"

"Hari-hari saya makan makanan katering, bang. Dah naik muak rasanya."

Air yang kami pesan sampai ke meja makan. Aku menoleh ke kaca TV. Rancangan Samarinda TV3 yang bertajuk Prasasti Cinta Cape Town sedang ditayangkan di kaca TV. Nak dekat habis pun.

Irwan ada berlakon di dalam siri TV tersebut. Buat beberapa saat, wajahnya yang nampak terkejut beku di kaca TV dengan tulisan 'bersambung' tertulis pada sudut kanan paling bawah kaca TV.

"Berapa lama kau duduk kat Cape Town untuk shooting siri Samarinda ni?"

"Dua minggu setengah, bang."

"Seronok, tak?"

"Entahlah. Seronok tu seronok, tapi sebab kena kerja, kan? Jadi rasa seronok tu kurang sikit."

"Kau suka dengan apa yang kau lakukan ni? Jadi pelakon?"

"Suka."

"Kau suka glamor lah ni?"

"Kalau saya kata tak suka, saya bohong."

"Kau memang nak jadi pelakon sejak kecil?"

"Tak... Saya sebenarnya nak jadi penyanyi. Tapi saya sedar suara saya tak sedap."

"Tapi kau hensem... Tu dah cukup untuk kau jadi pelakon terkenal kat Malaysia ni."

"Tapi abang Zainol kata tak cukup. Dia kata saya berlakon macam kayu pacak kat tanah."

Aku ketawa sendiri. Minuman yang Irwan pesan tadi sampai ke meja. Si pelayan lelaki yang aku pasti berasal dari Kelantan itu sempat bertanyakan kepada Irwan apa yang akan berlaku kepada hubungan Zaki (watak yang dilakonkannya) dengan Liyana (lakonan Nur Fazura) apabila Liyana mengetahui bahawa bapa Zaki, Datuk Lokman (lakonan Shahruddin Thamby) adalah musuh kepada bapanya, Datuk Mansur (lakonan Jalaluddin Hassan).

"Datuk Mansur tak akan membenarkan Liyana berkawan dengan Zaki lagi." Jawab Irwan kepada pelayan tadi dengan nada yang sopan. Si pelayan mengangguk lalu tersenyum sebelum dia meninggalkan meja kami.

"Kau tak rimas ke hidup macam ni?"

"Maksud abang?"

"Ke mana-mana sahaja kau pergi, orang kenal. Bila kau duduk makan macam ni, orang akan perhatikan kau dari jauh. Ramai orang nak dekati kau macam tadi-"

"Rimas jugak. Tapi ini mata pencarian saya."

"Kau tak pernah terfikir nak buat kerja lain?"

Soalan aku itu membuat dia terdiam seketika. Dia menggeleng perlahan sebelum dia menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya.

"Saya nak jadi seorang pelakon yang baik, bang. Saya rasa lakonan saya sebenarnya tak sebaik mana."

"Kau baru sedar tentang hal ni ke?"

"Sebelum ni tak ada orang yang berani tegur saya macam saya kena tegur dengan abang Zainal-"

"Jadi kau kena ambil iktibar dari tegurannya tu."

"Sebab tu saya nak duduk berbincang dengan abang... Tentang watak Zainol saya pegang."

"Apa yang kau nak tahu tentang watak Zainol?"

"Mengapa watak Azmi yang perlu melakonkan watak Zainol benci dengan watak ini?"

"Kerana Azmi tidak pernah kenal erti cinta sebenar, lalu dia rasa dia tidak mungkin dapat membawa watak Zainol ini dengan berkesan."

"Oh..."

"Macam kau."

"Macam mana abang tahu saya tak pernah bercinta?"

"Kerana bila aku lihat wajah kau... Nampak sangat kau tak pernah dikecewakan."

Irwan meletakkan sudu dan garpunya ke tepi. Dia hanya mendiamkan dirinya. Aku tak pasti jika dia benar-benar faham apa yang aku katakan kepadanya tadi. Mungkin ya, mungkin tidak.

Pada malam itu, kami menghabiskan masa kami di situ. Kami duduk berbual dengan aku menceritakan kepadanya mengapa aku wujudkan watak Zainol dan Azmi. Semakin lama aku menghabiskan masa bersamanya, semakin banyak aku ketahui tentang dirinya; seperti Irwan pernah mewakili sekolahnya dalam acara balapan. Dia suka makan Burger King berbandingkan McDonald's. Dia duduk di KL ini bersama seorang kakaknya yang masih bujang dan satu hari nanti dia bercita-cita mahu membuka restorannya sendiri. pagi, kami pulang ke rumah masing-masing. Dia mengingatkan aku bahawa dia perlu sampai ke lokasi pada pukul 8.30 pagi, beberapa jam lagi dari sekarang.

"Kau perlu berehat macam tu." Katanya di sebelah kereta ku.

"Saya dah biasa kerja macam ni bang... Saya orang susah. Kalau saya tak bekerja bersungguh-sungguh, tak ada produser yang akan ambil saya berlakon." Itulah yang dijawabnya sebelum kami berpisah pada awal pagi itu.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!