zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-02-25 - 11:48 a.m.

‘The Quiet American’ diterbitkan tepat pada masanya.

Persoalan berkenaan dengan ‘foreign policy’ AS, tidaklah dikupas dengan teliti di dalam filem ini. Akan tetapi, kita mungkin dapat menyingkap perkara-perkara yang lebih halus, seperti penglibatan CIA sebagai ‘Agent Provocateur’. Inilah justifikasi kepada tindakan AS terhadap beberapa negara di dunia ini, demi mempertahankan apa jua kepentingan mereka, tidak kira di mana.

Filem ini adalah sebuah adaptasi novel Graham Greene. Penulis besar ini sudah menghasilkan 24 buah novel. Beliau membahagikan novel-novelnya kepada dua kelompok yang jelas. Novel yang bersifat serius (Catholic novels) seperti ’The End of the Affair’ dan novel-novel yang bersifat hiburan (entertainments) seperti novel ‘The Quiet American’ dan ‘Our Man in Havana’.

Mungkin Green telah menganggap ‘The Quiet American’ sebagai sebuah novel bersifat hiburan, tetapi jelas novel ini mempunyai tema yang agak berat. Buku ini sebenarnya pernah diadaptasikan ke filem pada tahun 1958 oleh Joseph L. Mankiewicz. Akan tetapi, versi lama ini dikatakan agak hambar, memandangkan sentimen anti-Amerika dalam buku Green jelas diketepikan. Green sendiri tidak senang bagaimana karyanya ini difilemkan oleh Mankiewicz.

Filem ‘The Quiet American’ diarahkan oleh sutradara dari Australia, Phillip Noyce. Sebelum ini, beliau pernah mengarahkan filem-filem genre ‘thriller’ seperti ‘Patriot Games’ dan ‘Clear and Present Danger’. Filem ini juga menampilkan Christopher Doyle (juga dari Australia), pakar sinematografi yang sering bekerja dengan pengarah-pengarah dari Asia Timur, terutamanya Wong Kar Wai (‘In the Mood for Love’).

Filem ini berkisar tentang kehidupan seorang wartawan dari The London Times, Thomas Fowler (Michael Caine) yang ditugaskan di Saigon, Indo-China pada tahun 1952. Tatkala ditugaskan di Saigon, Fowler telah mengadakan hubungan dengan seorang SPG* Vietnam yang bernama Phuong (Do Thi Hai Yen). Dek mabuk dilamun cinta, Fowler terus melupakan isterinya yang jauh ditinggalkan di England.

Kerana kekurangan bahan berita, The London Times mengambil keputusan untuk memanggil sahaja Fowler pulang. Justeru, Fowler yang diulit cinta bersama Phuong, melakukan apa sahaja untuk memastikan dia terus mendampingi SPG yang disayanginya itu.

Pada masa yang sama, muncul pula Alden Pyle (Branden Fraser) yang berasal dari Boston, AS yang berada di Saigon sebagai seorang pakar mata. Pyle yang banyak membaca artikel Fowler, menjadi rakan akrab kepada Fowler dalam masa yang singkat. Secara sedar atau tidak, beliau mula mendekati Phuong. Jiwa Pyle mula bergelocak terhadap SPG Vietnam itu tatkala kali pertama dia bertentang mata dengannya.

Filem ini bukan hanya sekadar filem cinta tiga segi. Bukan juga filem berbentuk ‘thriller’, kerana filem ini bergerak dengan begitu perlahan (mungkin ia sengaja diperlahankan). Ada unsur konspirasi dalam filem ini, yang akhirnya dileraikan oleh Fowler dalam siasatannya sendiri.

Kekuatan filem ini terletak pada arahannya, sinematografi dan juga lakonan bertenaga Michael Caine yang sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Untuk lakonannya dalam filem ini, Caine telah mendapat pencalonan Pelakon Terbaik dalam Anugerah Akademi 2003, satu pencalonan yang cocok dengan bakatnya.

Gandingan Noyce dan Doyle berjaya menghasilkan sebuah filem yang halus garapannya. Suasana Saigon tampak eksotik dan dalam keindahannya, tersirat sesuatu yang bakal meledak yang mampu memusnahkan negara itu. Perhatikan bagaimana Doyle kadang-kala akan menggunakan teknik ‘slow motion’ untuk merakam keindahan yang wujud di dalam ‘frame’ yang diambilnya, sebagaimana yang sering dilakukannya dalam filem-filem Wong Kar Wai.

Filem ini, seperti filem ‘A Good Man in Africa’, ‘Tailor of Panama’ dan ‘The Year of Living Dangerously’, mengambil suasana politik (yang selalunya kurang stabil) Negara Dunia Ketiga sebagai tema utamanya. Seperti biasa, penduduk tempatan akan ditonjolkan sebagai golongan lemah, perlu mendapat simpati, bantuan serta campur tangan pihak barat. Dalam filem ‘The Quiet American,’ cinta Phuong agak ‘murah’ - dapat diperdagangkan! Agensi CIA pula diperlihatkan sebagai sanggup membuat apa sahaja demi kepentingan Amerika dan barat dapat terus kekal di Vietnam.

Seperti yang saya utarakan sebentar tadi, filem ini agak perlahan/lembab. Dramanya agak berat. Maka, jangan mengharapkan sebarang kesan khas yang digunakan untuk adegan peperangan. Noyce lebih mementingkan aspek kemanusiaan. Tatkala berlakunya pertempuran, Noyce lebih mementingkan perbualan di antara Fowler dan Payne yang sedang bersembunyi dalam sebuah ‘bunker’ bawah tanah. Saat getir itu juga menyaksikan pertembungan dua jiwa yang cuba memenangi hati seorang wanita. Peperangan yang sedang berlaku, hanya digunakan sebagai metafora pergolakan perasaan mereka pada waktu itu.

Filem ini mungkin bersifat ‘noir’, maka ia memerlukan pengamatan teliti dari pihak penonton. Penonton yang terlalu muda untuk memahami aspek peperangan ideologi dan konspirasi politik mungkin akan menganggap filem ini amat membosankan.

*Sarong Party Girl

Rating: 3.5/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!