|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-03-03 - 3:46 p.m. ‘The Hours’ adalah sebuah filem mengenai tiga wanita dari tiga zaman berbeza, dengan polemik kemurungan dan seksualiti yang mereka hadapi. Saya menyukai filem ‘The Hours’. Kelemahan sukar dicari di dalam filem ini (tapi perlu dibincangkan juga). Paling menarik, banyak perkara yang diketengahkan dalam filem ini yang boleh kita bincangkan bersama. Dan, perkara inilah juga yang menjadi paksi kekuatan filem ini. Filem ini begitu menarik sehingga ia boleh kita kupas dan perkatakan sebagai antara naskhah seni yang agak penting. Tirai filem dibuka dengan adegan penulis Virginia Woolf dengan cubaannya untuk membunuh diri akibat kemurungan yang tidak dapat dibendungnya lagi. Justeru, dalam filem ini terkandung adegan dekonstruktif (kehidupan Woolf dalam proses beliau menulis novelnya bertajuk ‘Mrs. Dalloway’ pada tahun 1923) dan jukstoposisi dua lagi watak dari zaman yang berlainan, Laura Brown (Julianne Moore), seorang surirumah di Los Angeles pada tahun 1951 dan Clarissa Vaughan (Meryl Streep) seorang penyunting di New York pada tahun 2001. Mereka bertiga mempunyai kehidupan yang berlainan pada tiga zaman berbeza, tetapi mereka dihubungkan dengan satu pertalian yang berlaku pada satu hari dalam hidup mereka. Filem ini adalah sebuah adaptasi novel (dengan nama yang sama) oleh Michael Cunningham. ‘The Hours’ merupakan novel ke-empat Cunningham. Pada tahun 1998, novel ini berjaya mengungguli ‘Anugerah Pulitzer’ serta ‘Anugerah PEN/Faulkner’ untuk karya fiksyen, satu pencapaian yang cukup tinggi untuk sebuah novel dan si penulis. Cunningham merupakan penulis ‘gay’ pertama memenangi ‘Anugerah Pulitzer’ dalam penulisan fiksyen dalam masa 81 tahun sejarah anugerah tersebut. Novel yang ditulisnya ini sememangnya bagus dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang penting kini, adakah filem yang dibuat berdasarkan novel besar ini, dapat dihasilkan dengan baik dan berkesan? Adakah novel ini dapat berdiri dengan sendiri (seperti ‘The English Patient’ dan ‘Schindler’s List’) sebagai sebuah karya seni yang baik dan tidak dibayangi oleh sesebuah karya sastera agung? Filem ini mendapat sentuhan Stephen Daldry (Billy Elliot) dan lakon layarnya pula oleh David Hare, yang saya rasa, terpaksa melakukan kerja yang berat untuk mengadaptasikan sebuah karya besar mengenai kehidupan seorang penulis unggul seperti Woolf dan dua orang wanita yang kehidupan mereka sedikit sebanyak disentuh oleh novel Mrs. Dalloway, karya Woolf. Cunningham berjaya menggarap kehidupan tiga orang wanita dari kacamata wanita-wanita tersebut dengan begitu berkesan. Dapatkah perkara yang sama dilakukan oleh Daldry? Saya rasa, dalam beberapa aspek, Daldry berjaya memindahkan karya sastera seperti ‘The Hours’ dengan baik ke layar perak. Mungkin ya dan mungkin tidak. Kita akan bincangkannya dengan lebih mendalam sebentar lagi. Banyak perkara yang dapat dilakukan di layar perak, yang sukar dituliskan di dalam sesebuah karya penulisan. Di antaranya adalah; aspek mendekatkan watak kepada penonton dengan menggunakan pendekatan naratif visual. Dengan indah, penceritaan dapat dilakukan dengan lakonan yang baik. Mimik muka dan ‘body language’ pelakon dapat digunakan oleh pengarah untuk terus bercerita. Di dalam filem ‘The Hours’ ini, watak yang wujud dalam tiga zaman, lebih senang diceritakan dengan sidikit sahaja kekeliruan yang mungkin timbul (dengan menggunakan naratif visual). Aspek-aspek inilah telah digunakan oleh Daldry dengan baik. Filem berketerampilan kerana lakonan ketiga-tiga pelakon-pelakon wanita, begitu menyerlah sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka merupakan pelakon-pelakon wanita Hollywood yang paling saya kagumi. Akan tetapi, di antara mereka bertiga, saya lebih cenderung meminati Julianne Moore. Julianne Moore merupakan antara pelakon yang dapat membawa watak-watak yang terseksa dengan begitu berkesan. Lihat sahaja lakonannya dalam filem ‘Boogie Nights’, ‘Magnolia’ dan baru-baru ini, sebagai seorang suri rumah dengan suami homoseksual dalam filem ‘Far From Heaven’. Dalam filem ‘The Hours’, watak yang dibawanya juga hampir sama. Watak Laura cukup terseksa dengan kemurungan hidupnya walaupun beliau dikelilingi dengan seorang suami yang penyayang (John C. Reilly) dan seorang anak yang begitu comel (Jack Rovello). Berbalik kepada perihal kemurungan atau depression, saya rasa penyakit mental ini menjadi titik-tolak yang membentuk watak-watak yang dipersembahkan. Kemurungan yang dialami oleh Woolf perlahan-lahan meratah dirinya sehingga beliau mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya. Kemurungan juga ‘menghiasi’ watak Laura dan Clarissa. Clarissa (Streep) adalah seorang wanita yang huru-hara jiwanya. Seperti Laura, beliau sukar memahami kekacauan yang berlaku di dalam dirinya. Kemurungan adalah satu penyakit jiwa yang sering berlaku tetapi yang paling sukar difahami. Kemurungan yang kritikal boleh menyebabkan pengidapnya sanggup membunuh diri—seperti yang telah dilakukan oleh Woolf dan cuba dilakukan oleh Laura. Persoalan ‘sexual repression’ juga menjadi isu utama filem ini. ‘Sexual repression’ yang dialami oleh Woolf, juga dirasai oleh Laura. Dalam novel Mrs. Dalloway, Woolf menulis tentang kehidupan protagonis utamanya dalam masa sehari (Woolf terpengaruh dengan tulisan ala ‘stream of consciousness’ James Joyce dalam novelnya ‘Ullyses’). Dalam masa sehari itu, kita akan mengetahui bahawa hidup Mrs. Dalloway cukup terseksa dengan ‘sexual repression’ yang dialaminya. Perkara yang sama dirasakan oleh Laura, di mana seksualitinya terus terbuku dan ditelannya. Mrs. Dalloway, ingin mengadakan satu jamuan makan untuk bekas kekasihnya. Perkara yang sama ingin dilakukan oleh Clarissa untuk Richard (Ed Harris), seorang penyajak berbakat yang bergelut dengan AIDS. Kesinambungan ketiga-tiga watak, di antara satu sama lain, dipersembahkan secara ‘thematic’. Sebagai contoh, Woolf menjadi penulis Mrs. Dalloway, Laura membacanya dan Clarissa pula ‘menjiwai’ watak itu dalam kehidupannya. Richard, anak kepada Laura adalah bekas kekasih Clarissa. Di akhir cerita, Clarissa diketemukan dengan Laura. Kita akhirnya dapat mengetahui pilihan Laura dalam hidupnya. Beliau mahu keluar dari kehidupan yang menyeksa jiwanya, lalu menentukan arah tuju hidupnya. Beliau akhirnya bebas, walaupun kita akan mempersoalkan pilihannya itu. Laura sedar bahawa beliau tidak hidup untuk memuaskan dan membahagiakan orang lain, sedangkan dirinya sendiri terseksa. Mrs. Dalloway juga begitu apabila beliau mengadakan jamuan demi jamuan, sedangkan hidupnya sendiri tertekan. Persoalan ini merupakan satu tema penting dalam novel Mrs. Dalloway yang telah diolah dengan cukup berkesan dalam ‘The Hours’. Lakonan Nicole Kidman dalam filem ini memang cemerlang, walaupun saya rasa watak Woolf mungkin lebih baik dilakonkan oleh Miranda Richardson ataupun Emily Watson. Sebagai penonton kita seolah dapat merasakan keperitan yang dialaminya. Kita dapat merasakan apa yang terpaksa dilalui oleh seorang penulis dalam menghasilkan sesebuah karya. Watak melankolik Woolf memang mencabar dan Kidman berjaya menjiwainya. Streep juga patut menerima pujian yang sama seperti Kidman dan Moore. Lakonannya sebagai seorang wanita biseksual beranak satu (hasil tabung uji), tidak boleh ketepikan begitu sahaja. Wataknya begitu rumit dan meresahkan. Antara Clarissa, Woolf dan Moore, Clarissa paling beruntung kerana beliau bebas memilih jalan hidupnya sebagai seorang wanita biseksual. Namun, beliau tidak dapat lari dari kemurungan dan dihantui dengan kisah silam akibat cintanya yang tidak kesampaian dengan Richard (Richard seorang lelaki homoseksual dan tidak mampu mengembalikan cintanya). Satu lagi perkara yang paling menarik mengenai 'The Hours' adalah musik-latarnya. Sedari awal, saya dapat meneka bahawa soundtrack filem ini (dengan irama minimalismenya) telah diolah oleh Phillip Glass, komposer yang paling saya minati dari abad ke-21 selain Gerswin dan Bernstein. Sebelum ini beliau pernah mengolah soundtrack untuk filem-filem seperti ‘Candyman’ dan ‘Kundun’. Sememangnya komposisi ‘minimalis’ ini unik dan Glass sahajalah yang mampu mengolah musik minimalisme ini dengan baik. Musik minimalisme sukar difahami jika ia dinikmati dengan sendirinya (kerana iramanya diulang-ulang), tetapi jika ia disatukan dengan naratif visual, kesannya memang mengagumkan. Olahan irama minimalisme dalam filem ‘The Hours’ dianggap sebagai pelengkap impak naratif visual yang ada. Kalau diperhatikan, bunga mawar kuning sering digunakan dalam filem ini. Sememangnya mawar kuning membawa makna yang mendalam dalam ketiga-tiga kehidupan wanita ini. Mawar kuning sering dikaitkan dengan cinta yang mula pudar, keprihatinan dan persahabatan. Jadi apa sebenarnya mahu diperkatakan dengan mawar kuning ini? Jika diteliti, dari permulaan cerita, kita dapat melihat bunga-bunga ini (dalam tiga adegan berasingan) dibawa masuk ke dalam rumah, dipamerkan dan dibuang. Saya sendiri kurang pasti maksud-maksud yang ingin disampaikan. Mungkin, agak wajar untuk saya menonton filem ini sekali lagi supaya persoalan ini boleh dikupas dengan lebih mendalam lagi. Dalam keriuhan berbicara tentang kekuatan filem ini, terselit beberapa kekurangan. Kelemahan mungkin terletak pada arahan Daldry. Dalam filem ‘Billy Elliot’ saya kurang senang dengan pendekatan dan persoalan seksualiti diketengahkan. Dalam ‘The Hours’, perkara yang sama dapat diperhatikan. Seksualiti watak-watak yang ada telah dibentangkan secara sambil-lewa. Daldry terlalu menggunakan ‘body language’ untuk menampilkan perasaan tertekan watak-watak yang ada (perkara ini lebih senang difahami jika ia dilakukan dalam bentuk penulisan, tapi dalam bentuk filem, sukar difahami oleh beberapa kelompok penonton). Watak Richard semasa kecil agak kompleks. Dengan secara bersahaja, kita dapat melihat bahawa anak kecil yang comel ini (dia jarang berbicara dengan bapanya dan suka menolong ibunya memasak) akan menjadi seorang lelaki ‘gay’ dewasa kelak, dan akhirnya akan menjadi seorang penyajak yang disanjungi. Watak Richard semasa kecil saya rasa wajar dikembangkan. Tidak cukup dengan renungan mata dan tangisannya. Tetapi di akhir cerita, kita akan dijelaskan tentang Richard melalui ibunya serta novel yang telah ditulisnya (dalam bentuk ‘stream of consciousness’ yang sukar difahami oleh ramai pembacanya). Perkara ini saya rasa agak sukar difahami oleh penonton-penonton biasa. Tapi, mungkin inilah dia letaknya kekuatan filem ini. Daldry mungkin tidak mahu menyogokkan semua itu dengan mudah dan inginkan khalayak penonton yang berfikir. Saya agak terkejut filem ini menerima klasifikasi 'U' oleh badan penapisan Malaysia. Bagi saya, klasifikasi ini kurang sesuai, memandangkan filem ini terkandung bahagian-bahagian yang hanya sesuai di tonton oleh penonton-penonton yang matang mindanya. Agak menyakitkan hati juga apabila filem ini juga dicincang sehingga sukar untuk penonton memahami ‘nuance’ watak-watak dan interaksi mereka di layar perak. Sebagai contoh, saya pasti ada sesuatu yang penting yang ingin disampaikan oleh Clarissa apabila beliau mengucupi teman wanitanya (Allison Janney). Bahagian itu penting, kerana ia menjadi titik-tolak dalam usaha Clarissa menentukan halatuju hidupnya serta meluahkan apa yang terbuku di dalam jiwanya! Pendek kata, filem ini sepatutnya di beri klasifikasi ‘18SX’ dan jangan dicincang bahagian-bahagian penting sesedap rasa tanpa menghormati filem ini. “To look life in the face/ Always to look life in the face/ And to know it for what it is/ To see it for what it is/ To love it for what it is/ And then, to put it away…” Inilah kata-kata Woolf sepertimana yang dipetik pada pengakhiran filem ini, sebelum kita diperlihatkan dengan adegan beliau membunuh diri. Satu kata-kata yang penuh bermakna yang begitu menyentuh perasaan saya. Lantas, kata-kata inilah yang membuat saya lebih memahami filem ini dengan baik. Filem ini menerima 9 pencalonan untuk Anugerah Academy 2003. 'The Hours' berpotensi besar untuk meraih beberapa buah Oscar seperti untuk anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik’ buat Kidman, ‘Pelakon Pembantu Terbaik’ buat Moore dan juga anugerah segala anugerah: ‘Filem Terbaik’. Filem ini bukan calang-calang filem! Secara keseluruhan, ‘The Hours’ bukanlah sebuah filem yang ditonton untuk tujuan menghiburkan. Filem ini bersifat melankolik. Tetapi dalam masa yang sama, begitu ‘life affirming’. Ia cuba meresapi kehidupan seharian kita sendiri, yang sarat dengan persoalan-persoalan yang belum pasti ada jawapannya. Rating: 4/5 Oleh Nizam Zakaria
|