zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-03-12 - 12:42 p.m.

Mungkin masih ramai yang tidak dapat melupakan keratan lagu ini…

“Gosok… jangan tak gosok,

Gosok… lampu yang satu,

Gosok… sampai kau nampak wajahmu,

Gosok… jangan tak gosok,

Gosok… sampai berkilat,

Gosok… sampai tertanggal semua karat…”

Masih ingat? Itulah petikan dari lagu Aladin, dendangan Spider. Begitulah kuatnya pengaruh lagu itu kepada khalayak pendengar sedikit masa dulu.

Berbicara perihal album Spider ini, perkara pertama yang saya dapat perhatikan apabila meneliti ‘insert’ album ‘Aladin oleh Spider’ adalah logo Luncai Emas Sdn. Bhd. Sudah pasti, tiada yang lain bermain di fikiran saya melainkan ‘sifu’ musik Melayu tanahair; M. Nasir. “Oh, patutlah bagus!” getus hati saya. Spider bernaung di bawah syarikat milik insan seni serba boleh itu.

Untuk album kedua Spider ini (ya, mereka mempunyai album yang terdahulu, terbitan Ngam Ho sebelum Aladin! Mungkin kita tidak sedarpun kehadirannya) M. Nasir bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Jadi tidak mustahil album mereka ini akan meletup, lantas tahun lalu, kumpulan Spider muncul sebagai ‘Kumpulan Paling Popular’ dalam ‘Anugerah Bintang Popular-Berita Harian Malaysia’.

Album Aladin ini diterbitkan dengan konsep Modern Rock dan ‘Ska’. ‘Ska’ mungkin sebuah genre yang biasa kedengaran di Indonesia (wujud bagai cendawan selepas hujan selepas era reformasi di Indonesia), tetapi ia agak kurang kedengaran di Malaysia. Yang ada pun, jelas ‘underground’. Tak banyak yang dapat kita dengar dari mereka. Jadi baguslah Spider wujud untuk mewakili genre Ska di negara kita. Walaupun demikian, di dalam album ini, bukan semua lagunya berbentuk Ska.

Album Aladin ini jelas pantas dengan lagu-lagu seperti Aladin, Kasih Latifah, Kau Saja, Nak Lantak dan Lauk Ku Cukup Masin. Lagu yang rancak seperti Aladin, Kasih Latifah, Nak Lantak dan Lauk Tak Cukup Masin sememangnya popular dan mendapat tempat di kalangan ramai pendengar radio. Satu perkara yang kita perhatikan, strategi pemasaran lagu-lagu dari album ini agak profesional dan bijak di mana satu persatu lagunya meletup di corong-corong radio. Bermula dengan lagu Aladin menggegar suasana musik tempatan, diekori oleh Kasih Latifah dan terkini, Kekal, mendapat tempat di hati pendengar. Satu persatu lagu dinobatkan sebagai lagu popular di beberapa carta lagu tempatan.

Sementara itu, lagu-lagu lain digubah dalam bentuk perlahan dan boleh dikategorikan dalam genre balada. Sememangnya terdapat banyak lagu yang saya minati dalam album ini, (bagi saya, Aladin boleh diangkat sebagai album Rock terbaik tahun lepas) tetapi yang paling saya minati adalah lagu Inderaloka Kita. Sekali lagi saya membuat kesilapan tatkala kali pertama mendengar lagu ini di corong radio (kesilapan serupa saya lakukan terhadap lagu kumpulan Flop Poppy) — saya fikir, lagu ini adalah lagu dari Indonesia. Ternyata saya silap. Justeru, saya terfikir bahawa kita kini mempunyai sebuah band yang akhirnya dapat berdiri sama tinggi dengan ‘superbands’ dari Indonesia seperti Dewa, Padi dan Gigi.

Memang berbaloi jika kita miliki album ini dan terus menyantapinya. Hampir kesemua lagu-lagu yang ada dalam album ini baik dan tidak keterlaluan jika saya utarakan bahawa ia adalah sebuah album yang lain dari yang lain—kerana, dewasa ini, selera musik kita sering ‘dimualkan’ dengan lagu-lagu cinta merana yang amat mendayu-dayu dan menjelakkan. Buat album Aladin ini, kita ‘mudah tertawan’ dengan kekuatan lagu-lagunya yang lain seperti Kau Saja, Kau Mentari dan Kekal.

Lagu-lagu ini bak permata yang telah digosok dan digilap M. Nasir lantas berjaya dibawa oleh Spider dengan bagus sekali.

Rating 5/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!