zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-03-14 - 8:18 a.m.

Semasa pandangan mata saya melekat pada kulit album ini, saya masih tercari-cari akan maksud judul album Ian ini, ‘Pringgadani’. Amat sukar rasanya. Terima kasih kepada Internet – akhirnya jawapan itu saya ketemui. ‘Pringgadani’, menurut Ian sendiri, "‘Pringgadani’ ialah nama cewek imajinatif. Tak ada hubungannya dengan kerajaan milik tokoh pewayangan – Gatut Kaca." Jadi terjawablah pencarian saya. Ian berjiwa romantis. Ini jelas kelihatan dari tajuk albumnya serta lagu-lagu yang dibawanya.

Mungkin ramai masih tidak mengenali siapa Ian, atau nama sebenarnya, Iyan Yuliansyach. Mungkin ramai lagi yang tidak mengetahui satu fakta bahawa Ian pernah menjadi vokalis sebuah band bergelar Protonema. Kemudian, setelah gagalnya band Protonema, Ian menganggotai pula band Trainspotting, lantas menjadi band pengiring kepada Ari Lasso.

Kini Ian berkarya sebagai seorang artis solo - satu eksperimen yang berjaya merangkul kejayaan baginya.

Untuk menjayakan album ini, Ian sendiri dikhabarkan telah menyelenggarakan banyak dari kerja-kerja rakaman, walaupun hampir kesemua lagu-lagu yang terdapat dalam album ini adalah hasil ciptaan Lusman dan Ricky FM. Maka dengan kehadiran mereka, terungkaplah hasil-cipta lagu-lagu yang cukup puitis dan indah, serta penuh dengan metafora.

Tidak dapat dinafikan, 10 lagu yang ditawarkan dalam ‘Pringgadani’ memang bagus sekali. Saya rasa, ini adalah antara hasil-kerja yang terbaik pernah saya dengar dari seorang artis solo lelaki. Maka dengan ‘Pringgadani’, saya rasa Ian layak berdiri sama tinggi dengan penyanyi-penyanyi solo lelaki yang telah lama menempah nama mereka seperti Iwan Fals, Chrisye, Ari Lasso dan Anda Bunga.

Sememangnya, kekuatan ‘Pringgadani’ terletak pada variasi lagu yang ada di dalamnya. Setiap lagu yang ada agak istimewa dan sedap untuk menjadi santapan telinga. Yang menjadi tarikan kepada saya adalah lagu dari track kedua yang bertajuk ‘Jatuh Cinta’. Lagu ini sering kedengaran di corong-corong radio. Lagu ini berjaya menarik perhatian saya kerana ia senafas dengan lagu-lagu Beatles (atau setidak-tidaknya Fool’s Garden), macam lagu ‘Strawberry Field Forever’, gamaknya.

Lagu-lagu lain pula iramanya agak rancak seperti rentak ‘Lightning Seeds’ (antara band Inggeris yang paling saya sukai). Amati sendiri lagu Bahagia, Selain Dia, Wangi Bunga, Amor dan Pringgadani. Sememangnya, lagu-lagu ini telah dinyanyikan dengan begitu bertenaga. Aspek susunan musik yang teliti juga ternyata satu faktor penting dalam mengukuhkan gubahan album ini.

Tidak dapat disangkal juga, kekuatan album ini terletak pada vokal Ian itu sendiri. Suaranya hebat. Kepelbagaian vokalnya bergantung kepada lagu yang dibawanya. Vokalnya cukup sesuai dalam membawakan lagu-lagu puitis bernada rancak - bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan, rasa saya.

Secara keseluruhan, album ini memang bagus. Rugi rasanya jika kita tidak mengenali Ian melalui bakatnya yang cemerlang ini, seperti yang diserlahkannya di dalam ‘Pringgadani’ ini.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!