|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-03-19 - 3:39 p.m. Saya mula mengenali Pedro Almodóvar melalui filem Kika. Filem ini agak aneh, kerana ia mengisarkan seorang juru dandan yang telah dipanggil ke sebuah rumah besar kepunyaan seorang penulis terkenal dari Amerika untuk mendandan mayat anak tirinya. Filem All About My Mother juga sebuah filem cukup surreal. Filem yang telah berjaya merangkul hadiah Best Foreign Film pada tahun 1999 ini mengisahkan seorang ibu yang kematian anaknya lantas melarikan dirinya ke Barcelona untuk mencari bapa kepada anaknya itu. Dalam pencariannya, dia diketemukan dengan beberapa watak-watak yang aneh tetapi merarik ketrampilannya. Pada tahun lepas, Almodóvar telah mengarahkan sebuah filem baru yang berjudul Talk to Her. Filem ini, walaupun telah berjaya menggondol hadiah Best Foreign Film dalam anugerah Golden Globe, hanya meraih hadiah Best Original Score dalam anugerah Goya di Sepanyol. Filem-filem Almodóvar sememangnya sering mendapat tempat di kalangan pengkritik filem (terutamanya di luar Sepanyol). Filem-filem beliau mungkin diminati mereka kerana caranya yang unik tatkala bercerita. Almodóvar sering membuka lembaran cerita dengan watak-watak absurd. Watak-watak yang tidak mungkin dapat dilanjutkan dengan baik di Hollywood. Tetapi watak-watak seperti ini sering wujud dalam sinema Eropah. Mungkin kerana mereka lebih dekat kepada filsuf eksistentialisme. Almodóvar merupakan seorang pengarah yang mempunyai pendekatan dan visi yang sememangnya lain dan kadang-kala berani. Sebagai seorang pengarah homoseksual, Almodóvar tidak membuat cerita yang tertumpu kepada watak-watak gay semata-mata. Sebagai seorang tukang cerita, Almodóvar lebih terkenal sebagai seorang pengarah yang mahu bercerita tentang kehidupan wanita (sama lagaknya seperti Darren Star, pencipta siri Sex and the City – juga seorang gay). Almodóvar, seperti Star, nampaknya begitu arif menghalusi perasaan wanita sehingga dapat mencipta watak-watak yang mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton-penontonnya. Filem Talk to Her ini dibuka dengan adegan persembahan tarian Café Mueller, oleh pereka tari Jerman, Pina Bausch. Tatkala itu, kita diperkenalkan oleh dua orang watak lelaki; Marco (Darío Grandinetti), seorang penulis yang akhirnya akan jatuh cinta dengan Lydia (Rosario Flores), seorang ahli matador, dan Benigno (Javier Cámara), yang obses dengan seorang penari ballet bernama Alicia (Leonor Watling). Adegan ini saya lihat ada persamaannya dengan filem Exotica oleh Atom Egoyan. Dalam filem Egoyan, kita juga akan menemui adegan yang hampir sama apabila seorang lelaki gay kesepian menonton sebuah persembahan opera. Kedua-dua filem ini juga sama dari segi persembahan filem genre ‘psychoerotic’. Kedua-dua filem ini tertumpu kepada 'voyeurism'. Estetika tubuh wanita juga telah dipersembahkan secara 'artistic' dan erotik. Persamaan ini mungkin secara kebetulan. Benigno merupakan seorang jururawat bertauliah yang ahkirnya diberikan tugas untuk menjaga Alicia, wanita yang menjadi obsesinya selama ini, yang berada dalam keadaan koma setelah terlibat dalam satu kemalangan. Beliau boleh melakukan apa sahaja kepada Alicia, termasuklah memandikannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang jururawat. Perkara ini dibiarkan sahaja oleh pihak hospital, termasuk bapa Alicia, (seorang pakar psikiatri, yang telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Benigno). Perkara ini boleh berlaku kerana Benigno telah mengakui bahawa beliau seorang homoseks, sedangkan tidak. Seharian Benigno akan bercakap kepada Alicia, seolah Alicia hidup. Sehinggakan beliau berfikir bahawa Alicia juga sama-sama menyintainya. Benigno jelas bertepuk sebelah tangan, tetapi perkara ini sukar diterimanya. Beliau terlalu obses sehingga sukar untuk beliau berpijak di bumi nyata. Dalam pada itu, kita akan melihat bagaimana Marco, yang cuba menemuramah Lydia, akhirnya jatuh cinta kepadanya. Mereka berdua akhirnya menjadi sepasang kekasih. Kehidupan mereka terganggu apabila Lydia berada dalam keadaan koma setelah menemui kemalangan tatkala menjalankan persembahannya sebagai seorang matador wanita. Di dalam hospital, Marco mula mengenali Benigno. Hubungan mereka menjadi rapat. Lebih-lebih lagi apabila Benigno mengajar Marco untuk berbicara dengan Lydia, walaupun beliau berada dalam keadaan koma. Bagi saya filem ini agak kompleks. Agak menguji minda juga, kerana kita akan bersimpati dengan Benigno, walaupun jelas, beberapa adegan kelihatan seperti filem Psycho (kita hanya mendengar suara ibu Benigno, tetapi tidak tahu apa yang berlaku kepadanya). Benigno sememangnya seorang yang mempunyai jiwa yang terganggu, tetapi kita tetap akan bersimpati kepadanya, kerana saya rasa, Almodóvar pandai bermain emosi penonton. Dalam filem ini, Benigno jelas telah melakukan kesalahan yang besar. Beliau telah merogol Alicia sewaktu beliau berada dalam keadaan koma. Jiwa kita sedikit terganggu melihatkan kesalahan yang telah dilakukannya, tetapi kita tetap bersimpati kepadanya. Kita seolah berada dalam keadaan dilemma sebagaimana dirasakan oleh Marco yang menjadi teman rapat Benigno. Mungkin dalam aspek ini kita akan faham mengapa Marco sanggup menolong Benigno setelah Alicia akhirnya sedar dari keadaan komanya. Dalam filem ini ada disertakan subplot surreal yang aneh. Benigno menceritakan kepada Alicia tentang filem yang baru ditontonnya yang bertajuk: ‘The Shrinking Lover’. Filem ini telah dibuat oleh Almodóvar sendiri. Ia agak kelakar tetapi dalam masa yang sama, bersifat Freudian. Bahagian ini harus ditonton kerana ia amat-amat meresahkan. Saya yakin filem dalam filem ini akan terus terpahat dalam kepala kita sampai bila-bila. Rata-ratanya, filem ini telah diarahkan dengan baik. Skor musiknya memang indah. Lakonan para pelakon cemerlang, ditambah lagi dengan cinematografi yang nampaknya lebih banyak menumpukan kepada para pelakon sehingga dapat mendekatkan hati kita kepada mereka. Setiap langkah dan perubahan emosi, dapat kita perlihatkan lantas sebati dengan jiwa kita sendiri. Jika filem Talk to Her memenangi Oscar untuk Best Achievement in Directing dan Best Original Screenplay tahun ini, nampaknya inilah penghormatan besar untuk Almodóvar. Walaupun beliau tidak menang, pencalonan ini sudah cukup bermakna baginya. Filem ini tidak dicalonkan untuk ketegori 'Best Foreign Film' kerana Sepanyol telah mencalonkan filem 'Mondays in the Sun'. Sepanyol telah mengetepikan Almodóvar kerana kononnya beliau bukan seorang pengarah arus perdana dan beliau berhaluan kiri. Walaupun begitu, karya-karya Almodóvar diminati oleh ramai pengritik-pengkritik filem. Filem Talk to Her sebuah filem yang berat dan mempunyai banyak persoalan, tetapi saya yakin penonton akan tetap menganggapnya sebuah filem komedi. Rating: 4/5 Oleh Nizam Zakaria
|