zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-03-26 - 10:58 a.m.

Kepada kita yang hidup sebagai anak-anak remaja pada tahun 90-an tentu tidak akan dapat melupakan kumpulan Exists yang anak-anak mudanya kebanyakkannya berasal dari Johor ini. Pada masa itu kumpulan ini vokalnya dinyanyikan Mamat. Lagu-lagu yang dibawa pula meleleh-leleh. Kumpulan Exists pada masa itu seakan menjadi acuan kepada boy-band Melayu yang ada pada masa ini. Tetapi exists yang ada dahulu lain dengan Exists yang ada sekarang. Kematangan inilah yang banyak menjamin kepada kejayaan Exists pada masa ini. Apabila banyak kumpulan-kumpulan pada era mereka telah lama dilupakan (masih ingat lagi kepada 4U2C, Nico, Feminin ataupun Freshies?) Exists terus hidup, malah mengundang peminat-peminat yang baru.

Saya cukup gembira apabila kumpulan Exists menampakkan kematangan mereka melalui album ‘Ada’. Album ini jelas membawa alunan-alunan yang dipengaruhi oleh lagu-lagu rock dari Indonesia. Perkara ini saya anggap baik, kerana mereka akhirnya sedar bahawa peminat-peminat musik Melayu susah lama bosan dengan irama-irama rock mendayu-dayu.

Kini Exists muncul pula dengan album baru mereka yang berjudul ‘Seperti Dulu’. Album ini juga nampaknya tidak membawa banyak pembaharuan yang ketara. Album ini tidak bergerak jauh dari konsep album ‘Ada’, tetapi saya rasa ianya berbeza sedikit dari bentuk susunan lagu dan kesan khas yang digunakan. Exists kali ini lebih berani bereksperimen dengan senikata lagu yang lebih matang (Tidak ada lagi lagu-lagu cinta mendayu-dayu seperti ‘Jesnita’, ‘Julia’ dan ‘Emily’). Susunan lagu dalam album ini juga lebih baik jika kita perhatikan betul-betul.

Perlu saya ulangi, lirik album Exists kali ini memang menampakkan kematangan kumpulan ini. Tidak ada lagi lirik-lirik cinta kosong yang tidak kesampaian. Lirik mereka kali ini lebih bervisi dan indah. Hayati sendiri lirik ‘Bukan Lelaki itu’ yang bagi saya memang puitis.

Vokal Ezad juga harus diberikan tumpuan. Suaranya mungkin tidak sehebat Ramli Sarip, Once Dewa ataupun Anda Bunga tetapi sudah cukup memadai untuk membawa lagu-lagu yang ada dalam album ini dengan sebaik mungkin. Suaranya konsisten dan yang baiknya, tidak perlu diteran untuk membawa beberapa buah lagu yang terdapat dalam album ini. Along juga ada membawa lagu, 'Yang Indah Telah Tiada', khas ditujukan buat Arwah adiknya. Satu percubaan yang baik, kerana beliau memang boleh menyanyi dengan baik, sebenarnya.

Saya suka dengan lagu ‘Seperti Dulu’, ‘Percayakan Siti’ dan ‘Cinta Bukan Materi’. Lagu-lagu ini mempunyai irama yang menarik. Lagu-lagu lain dalam album ini begitu juga. Saya ingin mengucapkan shabas kepada Exists kerana berjaya menerbitkan sebuah album yang konsisten dari segi kualiti lagu-lagu yang dipersembahkan. Memang album Exists kali ini baik. Mungkin 'Selagi Ada' adalah karya mereka yang terbaik yang pernah mereka usahakan selama ini!

Rating: 4/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!