zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-03-26 - 5:29 p.m.

Menonton filem ‘Y Tu Mama Tambien’ ("And Your Mother Too") banyak kali mengingatkan saya kepada filem Jules et Jim oleh François Truffaut. Dari segi naratif penceritaan sehinggalah kepada watak, memang ada persamaan. Tetapi ‘Y Tu Mama Tambien’ adalah sebuah filem ‘coming of age’ yang mampu berdiri dengan sendirinya. Yang jelas, filem ini agak lain dari yang lain. ‘Y Tu Mama Tambien’ pada satu hari nanti pasti akan dibandingkan dengan entah berapa filem-filem Hollywood yang akan cuba menciplaknya.

Filem Mexico ini adalah mengenai eksplorasi seksual (dan seksualiti) oleh dua orang anak remaja Julio dan Tenoch (Gael Garcia Bernal dan Diego Luna). Filem ini menarik, kerana ia tampak lebih jujur/ikhlas dari filem-filem Hollywood yang terlampau keanak-anakan tatkala membuat filem-filem seperti ini (lihat sahaja kepada American Pie, agak sudah memadai).

Filem ini diarahkan oleh sutradara Mexico, Alfonso Cuarón. Hasil kerjanya boleh kita saksikan melalui adaptasi karya Frances Hodgson Burnett, ‘A Little Princess’ dan adaptasi karya Charles Dickens, ‘The Great Expectation’. Kedua-dua filem ini diarahkan dengan cantik dari segi visual, walaupun jelas nampak muram (mungkin sebab itulah Cuarón telah dipilih untuk mengarahkan filem ‘Harry Potter and the Prisoner of Azkaban’, bagi saya, satu pilihan yang tepat). Dalam filem ‘Y Tu Mama Tambien’, pula saya dapati nampak ceria dan cantik. Tatkala menonton filem ini, kita akan dapati ia memang indah dari segi visual (seindah filem ‘Mediterraneo’ arahan Gabriele Salvatores). Filem Mediterraneo mengenengahkan keindahan sebuah pulau di Greece dan ‘Y Tu Mama Tambien’ pula mengutarakan keindahan di Mexico.

Secara menyeluruh, filem ini mempunyai cerita yang kompleks, walaupun ia telah dibentangkan dengan penuh bersahaja. Dari awal lagi kita sudah dapat melihat adegan seks remaja, (dan dua watak utama, Julio dan Tenoch pula dilihatkan sebagai dua remaja yang nakal, lengkap dengan adegan beronani ala ‘Melena’ dan ‘Cinema Paradiso’). Justeru, agak sukar selepas itu untuk segelintir dari kita melihat apa yang menyebabkan filem ini digemari ramai penonton dan pengkritik, lantas dianggap sebagai sebuah filem yang sarat dengan isu-isu yang berat.

Seperti filem ‘Dari Jemapoh ke Manchester’ filem ini juga adalah sebuah filem ‘Road Trip’ remaja. Seperti filem Jemapoh, unsur-unsur politik telah diselitkan dengan cara bersahaja. Filem ini sebenarnya lebih daripada sebuah filem yang berkisar tentang kehidupan remaja semata-mata. Jukstaposisi keindahan Mexico (samada di kota besarnya mahupun di desa) dengan suasana sosio-politik masyarakat di negara itu telah diolah dengan baik dan menarik. Seperti dalam filem Amélie, kita dapat melihat penggunaan ‘voiceover’ dalam naratif visual untuk membuatkan kita sedar tentang hala tuju sebenar filem ini. Komentar yang dilontarkan banyak menyentuh tentang hal politik-dalaman Mexico dan juga kritik sosial tentang komersialisme serta akibatnya kepada penduduk negara tersebut (terutamanya golongan kelas bawahan) yang kian terpinggir. Aspek ini perlu diperhatikan oleh penonton untuk membolehkan mereka memahami filem ini dengan lebih mendalam lagi.

Filem ‘Y Tu Mama Tambien’ mengisarkan tentang kehidupan dua anak remaja, Julio dan Tenoch yang berkenalan dengan seorang wanita Sepanyol, Luisa (Maribel Verdú), isteri kepada sepupu Tenoch. Julio dan Tenoch tertarik kepada Luisa. Mereka lalu mengajak Luisa pergi berkelah dengan mereka, tetapi Luisa menolak jemputan mereka dengan baik. Luisa mengubah keputusannya untuk pergi mengembara bersama mereka hanya selepas Luisa mendapat tahu bahawa suaminya telah berlaku curang.

Walaupun dalam keadaan kecewa dan tertekan, Luisa sedaya mungkin cuba menyembunyikan emosinya (serta satu rahsia tentang dirinya yang akhirnya akan kita ketahui dalam pengakhiran filem) dari Julio dan Tenoch.

Bahagian terakhir filem ini begitu penting, kerana ia merupakan sebuah kemuncak yang menarik yang akan membuat kita lebih memahami lagi tentang filem ini. Kucupan antara Julio dan Tenoch tatkala mereka sedang berasmara menampakkan hubungan mereka yang amat intim, satu perasaan kasih di antara mereka yang selama ini dipendam (tunggu filem ‘Gerry’ oleh Gus Van Sant, lakonan Matt Damon dan Casey Afflect yang terkandung tema yang hampir sama – cinta homoseksual yang terpendam). Pada bahagian akhir ini juga kita akan memahami dari mana datangnya tajuk filem ini dan mengapa akhirnya persahabatan dua anak remaja ini berakhir.

Persoalan paling menarik dan menonjol dalam filem ini adalah aspek dikotomi yang jelas dapat dilihat. Sebagai contoh, Tenoch adalah anak kelas atasan, manakala Julio pula seorang anak kelas pekerja. Keadaan hiruk pikuk kota Mexico City kemudian digantikan dengan keindahan desa yang permai. Mereka berdua jelas mempunyai sifat homophobia, tetapi mereka berdua akhirnya cuba meneroka seksualiti mereka sendiri. Aspek dikotomi ini perlu diperhatikan dengan teliti dan dianalisa dengan lebih terperinci lagi.

Lakonan para pelakon utama dalam filem ini memang menyerlah. Maribel Verdú yang membawa watak Luisa mempunyai wajah klasik jelita yang cukup meyakinkan sebagai seorang wanita yang mampu digilai oleh anak remaja 17 tahun seperti Julio dan Tenoch. Gael Garcia Bernal dan Diego Luna dapat melakonkan watak-watak mereka dengan bagus. Watak mereka saya yakin sukar dibawa, kerana banyak perkara-perkara yang sukar yang terpaksa dilakukan dalam filem ini (kita kena tonton sendiri untuk mengetahuinya).

Skrip filem ini telah ditulis dengan baik. Sinematografinya cantik dan agak jelas, filem ini hanya menggunakan ‘natural lighting’, lantas menampakkan lagi keindahan semulajadi Mexico dengan baik. Filem ini memang seronok ditonton, tetapi tentunya ia tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak dan para remaja. Memang filem ini tidak dibuat untuk mereka, tetapi untuk kita penonton dewasa yang cukup matang (tinggalkan sikap jumud ke tepi) untuk melihat keindahan sebenar filem ini di sebalik persembahan homoerotisme dan seksual yang sering diselitkan dalam filem ini.

Rating: 4.5/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!