zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-03-31 - 9:17 a.m.

Suhaimi Sulaiman - bukanlah satu nama baru, malah ia cukup sinonim dengan dunia penyiaran tanahair. Namanya cukup terkenal sehingga ia menjadi satu 'household name' di negara kita. Mungkin ramai yang masih mengingati, beliau adalah antara nadi utama syarikat penyiaran swasta pertama negara – TV3, seawal stesen ini dibuka. Kita telah menatap wajahnya di kaca TV sejak awal tahun 90-an sehinggalah ke akhir-akhir ini, sebelum beliau mengucapkan selamat tinggal kepada TV3.

Berbekalkan pengalaman di bidang penyiaran semasa beliau menuntut di luar negara, beliau kembali ke tanahair dan menabur bakti di TV3 sebagai perantara berita. Siapa yang tidak kenal dengan Suhaimi dengan cara pembacaan berita yang amat bersahaja dan mampu menarik setiap mata yang melekat di depan TV – baik berita berbahasa Melayu ataupun Inggeris.

Menyedari akan bakat anak muda kelahiran Negeri Sembilan ini, TV3 terus memberi mandat untuk beliau mengendalikan beberapa rancangan. Terbaru sebelum beliau meninggalkan TV3, beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan ‘The Brand’; rancangan yang mengenengahkan pengetahuan di sebalik tabir iklan-iklan di kaca TV. Di samping itu juga, beliau pernah terlibat di dalam Malaysia Hari Ini (MHI) dan selaku penerbit kepada beberapa rancangan yang tidak kurang hebatnya di saluran bertemakan “Duniamu, TV3” itu.

Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menemuramah beliau melalui emel. Jelas, walaupun beliau bergelar seorang 'personaliti TV', Suhaimi yang mula saya kenali melalui beberapa perutusan emel peribadi ini adalah seorang yang 'down-to-earth' dan periang. Berikut adalah 20 soalan yang telah sempat saya tujukan kepada Suhaimi dan jawapan dari personaliti ini:

1. Sudah berapa lama rasanya saudara Suhaimi berkecimpung dalam dunia penyiaran? Bagaimana ianya bermula? Memang sudah menjadi cita-cita saudara sejak dari awal lagi untuk menjadi seorang penyiar?

Saya telah berkecimpung dalam dunia penyiaran selama 13 tahun. Ianya bermula setelah saya terbaca iklan TV3 dalam NST mencari wartawan dan penyelidik untuk Berita Ekonomi (pada masa itu, TV3 sedang pada peringkat permulaan untuk menerbitkan rancangan Money Matters). Saya menghantar permohonan, dan setelah menjalani ‘screen test’, pelbagai ujian, dan temuduga, saya diterima bekerja pada tahun 1990.

Saya tidak pernah bercita-cita menjadi seorang penyiar, tetapi saya berminat dalam bidang komunikasi – lebih kepada perhubungan awam/korporat.

2. Apakah pengalaman saudara yang paling manis tatkala bertugas sebagai seorang ‘anchor’?

Banyak pengalaman manis. Lebih-lebih lagi berpeluang menemubual ketua-ketua negara dan pakar dalam bidang-bidang tertentu.

3. Bagaimana pula dengan yang pahit?

Tidak ada yang pahit. Sekiranya ada peristiwa yang tidak berakhir dengan matlamat yang saya inginkan, ianya bukan pengalaman pahit, tetapi pengajaran untuk menjadi lebih berjaya pada masa akan datang.

4. Apakah perubahan yang telah berlaku dalam masyarakat kita yang dapat saudara perhatikan berlaku semasa saudara bertugas sebagai seorang penyiar?

Pelbagai perubahan telah saya lihat dan masyarakat kita. Pada masa yang sama kita harus menerima hakikat yang masyarakat kita bukan homogenous. Jadi, ada pelbagai perubahan dalam pelbagai kelompok masyarakat. Ada perubahan positif – kalau kita perhatikan kelompok Melayu, ramai yang telah berjaya. Tetapi pada masa yang sama ramai juga yang tidak mahu menimba ilmu baru dan suka berada pada tahap yang lama – mungkin takut akan ledakan ilmu atau mungkin juga complacent.

5. Adakah saudara benar-benar berpuas hati dengan kerjaya saudara, ataupun ada perkara-perkara yang ingin saudara lakukan tetapi masih lagi tidak dapat saudara lakukan sehingga kini?kini?

Ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kalau kita perhatikan program TV, Malaysia masih belum boleh berbangga dengan genre ‘live’ Talkshow yang ada. Belum ada lagi talkshow yang betul-betul mengajak masyarakat berfikir secara lateral.

Kita masih lagi belum boleh lari dari ‘mencari’ dan ‘menampal’ mass appeal dalam semua program – memang tidak salah, kerana TV adalah media yang perlukan sokongan mass. Tetapi mengapa ia harus berupa zero sum game. Yang paling ketara ialah – Untuk ‘mass’, program perlu kurang cerdik. Mengapa kita kena beranggapan penonton kita tidak cerdik? Oleh itu kita selalu sahaja melihat isi kandungan yang cliché. Sad but true.

6. Apa yang sedang saudara lakukan sekarang, kerana saya rasa saudara tidak lagi bertugas dengan TV3.

Kini saya sedang menjalankan perniagaan melalui dua syarikat iaitu Suhaimi Sulaiman Omnimedia Sdn Bhd dan Suhaimi Sulaiman Communications.

Perniagaan teras kami ialah Pengurusan Persepsi (Perception Management) – gabungan pelbagai disiplin komunikasi untuk memahami bagaimana organisasi dilihat oleh audien dan seterusnya kesan persepsi berkenaan terhadap pendapatan, harga saham dan pelbagai objektif boleh-ukur lain. Maklumat yang diperolehi memberi pilihan kepada organisasi menukar strategi semasa untuk mencapai matlamat-matlamat perniagaan dalam persekitaran perniagaan yang giat berubah. Kami menawarkan khidmat runding dalam bidang-bidang Pengurusan Persepsi berikut:-

a. Latihan Media – Pengkhususan dalam Khidmat-runding Media Elektronik

b. Pengurusan Strategik Jenama dan Khidmat-runding Strategik Editorial.

c. Pengurusan Editorial / Kandungan.

d. Siaran Berita Video.

e. Pengurusan Krisis.

Latihan komunikasi untuk pekerja barisan depan dan jurucakap syarikat dan organisasi.

7. Apa yang paling saudara rindu mengenai TV3, setelah kini saudara tidak lagi terikat dengan syarikat penyiaran tersebut?

Tentu sekali ‘late nights of extensive research’ dan ‘editorial meetings’.

8. Dahulu ketika masih bergelar kanak-kanak, apakah sebenarnya cita-cita saudara?

Saya berminat menjadi penyanyi profesional.

9. Apa yang saudara sering lakukan pada hujung-hujung minggu?

Saya banyak membaca online magazines dan majalah luar negara. Mungkin juga sesi teh tarik bersama rakan terdekat di Sri Hartamas.

10. Adakah sukar untuk menjadi seorang yang terkenal atau glamor? Apakah kelebihannya dan adakah saudara menghadapi apa-apa kesukaran melakukan sesuatu perkara kerana saudara adalah ‘Suhaimi Sulaiman’?

Saya ialah manusia ‘down to earth’ dan senang sekali berada di tengah-tengah masyarakat. Mungkin saya dikenali – itu bukan penghalang untuk menjalani kehidupan yang normal. It’s all up to us. Fame can do strange things to certain people. But not me.

11. Apakah gossip yang paling liar mengenai diri saudara yang pernah saudara dengar?

Saya tidak pernah hirau akan gossip kerana ia akan melemahkan kita. Oleh itu saya tidak pun mengambil tahu tentang gossip kerana saya percaya, kita tidak boleh menghentikan manusia daripada bercerita tentang orang lain – samada perkara elok atau sebaliknya. Oleh itu – let it be. Saya tak kisah langsung.

12. Pernah saudara ketika remaja dahulu terikut-ikut dengan ‘fashion fad’ yang menjadi kegilaan remaja pada waktu itu (yang mungkin sekarang dianggap ganjil)?

Tentu sekali – dulu saya kira saya adalah dalam golongan trend setter dikalangan rakan sebaya. Namakan saja – platform shoes, whatever – semuanya saya cuba.

13. Siapakah tokoh yang dihormati saudara, dan mengapa saudara menghormati tokoh ini?

Saya menghormati setiap insan yang percaya kepada diri sendiri dan mahu memajukan diri dalam apa juga bidang yang diterokai. He can be just a no-name-brand-man-on-the-street. Kadang-kadang kita boleh banyak belajar daripada insan-insan kecil daripada nama-nama besar yang mungkin kurang jujur.

14. Apakah buku kegemaran saudara. Apa yang sedang saudara baca sekarang?

Saya lebih gemar membaca majalah. Buku yang sedang saya baca sekarang ialah Independent Consulting oleh David Kintler. Ia membantu saya dalam menjalankan perniagaan konsultansi saya.

15. Apakah filem yang telah saudara tonton yang telah sedikit sebanyak mempengaruhi hidup saudara, atau cara saudara berfikir?

Saya bukan kaki wayang. Saya selalu menonton filem bila ia disiarkan di HBO atau Hallmark. Cerita terakhir yang saya tonton di panggung ialah Maid in Manhattan – teramat mudah ceritanya – no challenge to the mind but sure was entertaining.

Filem yang sedikit sebanyak mempengaruhi saya? Bukan filem – tetapi mini-series yang saya tonton semasa saya menuntut di Amerika – Woman of Substance -- cerita yang diadaptasi dari karya Barbara Taylor Bradford. Ia adalah berkenaan kekuatan mental seorang wanita untuk membina empayar bisnesnya. Dia berjaya menghadapi rintangan dengan kekuatan mental.

16. Apakah perkara yang saudara pernah lakukan yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran saudara untuk melakukannya?

Berhenti bekerja secara tetap dengan gaji lumayan di TV3 dan mengambil risiko untuk memulakan perniagaan.

17. Apakah perkara yang pernah saudara lakukan yang betul-betul saudara banggakan?

To speak my mind in many occasions.

18. Saudara mempunyai apa-apa impian dalam hidup yang belum lagi saudara kecapi?

Ada. Belum lagi menjadi jutawan.

19. Tatkala saudara sudah lama pergi nanti, saudara mahu diingati sebagai apa?

Saya tidak perlu diingati. Yang penting, kita tidak dicerca apabila tiada kelak.

20. Apakah kata-kata akhir yang ingin saudara katakan kepada pembaca kami?

Tiada. Saya baru sahaja memulakan kehidupan yang benar-benar menggembirakan, apalah yang saya tahu.

Terima kasih

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!