|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-04-04 - 6:02 p.m. Akhir-akhir ini, pasaran banyak menyajikan filem-filem dari Amerika Latin. Kitapun sama beruntung kerana meraih pengalaman filem yang berbeza. Filem-filem seperti Behind The Sun, Y Tu Mama Tambien dan Amores Perros jelas menunjukkan bahawa daerah ini mampu menghasilkan filem-filem yang bermutu tinggi. Baru-baru ini saya berpeluang menonton filem keluaran Brazil bertajuk ‘City of God’ (atau disebut ‘Cidade de Deus’ dalam bahasa Portugis). Sebenarnya saya tidak mempunyai apa-apa tanggapan yang istimewa sebelum menonton filem ini. Saya tidak tahu apa-apa mengenai filem ini sehinggalah adik saya (yang telah menonton filem ini terdahulu dari saya) memberitahu kepada saya bahawa filem ini sebuah filem yang bagus/menarik. Adik saya ini jenis penonton yang lebih menggemari filem aksi dan memang tidak suka menonton filem bertema berat. Jadi, memandangkan dia suka kepada filem ini, saya rasa terpanggil juga untuk mengetahui kebenaran tanggapannya. Filem ini memang agak mengejutkan. Pengalaman menonton filem ini seakan sama pengalaman menonton filem “Pulp Fiction” oleh Quentin Tarantino, filem “Trainspotting” oleh Danny Boyle , filem “Snatch” oleh Guy Ritchie dan juga beberapa filem Martin Scorsese. Sudah pasti, apa yang bermain di minda anda adalah; kandungan elemen ganas, atau mungkin, filem-filem ini mempunyai suntingan dan gerak kamera yang cepat dan padat. Kedua-dua perkara ini memang tepat. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa filem “City of God” ini seangkatan dengan filem-filem di atas. “City of God” diarahkan oleh Fernando Meirelles. Beliau banyak bergiat dalam dunia perfileman iklan sebelum ini. Seperti pengarah-pengarah iklan dan MTV yang bergiat membuat filem, (sebagai contoh: sutradara Tarsem Singh untuk filem “The Cell” dan Mark Romanek untuk filem “One Hour Photo”) beliau juga amat menekankan kepada aspek naratif visual. Dalam filem ini kita dapat melihat bagaimana Meirelles menggunakan sudut-sudut yang luarbiasa untuk menampakkan lagi suasana daif kawasan setinggan di Brazil. Banyak kali juga sinematografer, Cesar Charlo menggunakan teknik pergerakan kamera yang pantas untuk adegan aksi ganas. Adakalanya juga kita akan diperlihatkan kepada ‘mise-en-scene’ yang menyerupai siri CSI (Crime Scene Investigation). Sememangnya filem ini telah dibuat ala-MTV khas untuk penonton-penonton generasi MTV kini. Filem ini telah diadaptasikan dari novel Paulo Lins yang bertajuk “Cidade de Deus”. Ia berkisar tentang kehidupan seorang kanak-kanak bernama Rocket di kawasan setinggan “Cidade de Deus” sehingga usianya meningkat remaja (watak Rocket semasa remaja dilakonkan dengan bagus oleh Alexandre Rodrigues). Selain dari dirinya, filem ini juga menampilkan watak Li’l Zé, (Leandro Firmino da Hora) satu watak yang bertembung dengan Rocket. Dalam filem ini, Li’l Zé membawa watak jahat. Walaupun begitu, kita dapat melihat bahawa Rocket juga tidaklah membawa watak yang terlalu ‘baik’. Wataknya realistik, tidak pipih. Kisah yang dipaparkan dalam filem ini berlaku di sekitar tahun 60-an sehingga ke 80-an. Filem ini berlapis-lapis, justeru, ia perlu diteliti dengan dekat supaya ia dapat difahami dengan menyeluruh. Aspek yang paling saya kagumi adalah aspek penceritaannya. Meirelles pandai menggunakan visual yang menarik untuk bercerita. Pelbagai jenis teknik telah digunakan untuk menceritakan satu-satu sub-plot untuk membuatkan penonton lebih memahami satu-satu perkara (sub-plot) secara terperinci (novel yang ditulis Paulo Lins ini agak tebal, sukar untuk mengadaptasi novel-novel yang panjang seperti ini ke layar perak secara menyeluruh). Secara ringkas, saya dapati Meirelles berjaya merakam suasana sebenar kawasan ‘favela’ (setinggan) di Brazil dengan realistik. Ditambah pula dengan para pelakon yang mampu melakonkan watak-watak mereka dengan bersahaja. Inilah kombinasi mantap lantas menampakkan sentuhan ‘docu-drama’ filem ini. Filem ini pada dasarnya sebuah filem ‘gangster’, tetapi filem ini juga ada menyentuh mengenai kehidupan anak-anak muda tanpa batas, lantas jalan hidup mereka akhirnya membawa kepada kemusnahan diri sendiri. Berlainan dengan Rocket, yang telah memilih jalan untuk memperbaiki dirinya melalui hobi yang diminatinya—fotografi. Maka, minat inilah yang akhirnya membantu kita melihat dunianya melalui perspektif beliau. Hubungkait kamera dengan dirinya tidak dapat dilepaskan. Saya amat kagum dengan filem ini. Jarang benar rasanya sebuah filem yang diolah sebaik ini mengenai kehidupan anak-anak muda dan keganasan. Filem ini menyentuh situasi sebenar yang berlaku di sebuah tempat yang jauh dari kita; di Brazil. Dengan ujudnya naskhah filem seperti ini, kita dapat mendekatkan diri kita dengan dunia lain, jauh dari lingkungan dunia kita sendiri (out of the box)—maka dengan memahami intipati filem ini, membuat kita lebih memahami lagi apa justifikasi sebenar kita yang bertamu sebagai manusia… Rating: 4.5/5 Oleh Nizam Zakaria
|