|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-04-10 - 9:21 a.m. Saya tertarik dengan album Potret (band Melly Goeslaw) kerana beberapa orang pembaca saya telah menyedarkan saya kepada kehadiran album ini. Mereka meminta saya mendengar album ini dan mengulasnya. Kebetulan, saya kemudian membaca pula ulasan album ini di majalah Sentiasa Manja (satu-satunya majalah hiburan dalam bahasa Melayu yang saya hormati). Saya dapati pengulasnya memberikan markah penuh (lima bintang) kepada album ini. Saya terkejut juga dengan pemberian markah yang tertinggi ini. Benarkah album ini sebaik yang diuwar-uwarkan? Seperti album-album hasil kerja Melly Goeslaw sebelum ini, lagu-lagunya perlu didengar beberapa kali sebelum kita betul-betul dapat memahami dan menyukainya. Saya rasa perkara ini boleh terjadi kerana apa yang dipersembahkannya lain dari apa yang telah terbiasa dengan kita. Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk mencernakan melodi yang dipersembahkannya, susunan musiknya, dan kemudian mendengar liriknya dengan teliti. Potret adalah sebuah band yang telah ditubuhkan pada tahun 1995. Jadi kalau kita congak-congak, band ini usianya sudah menjangkau 8 tahun. Satu usia yang cukup matang untuk sebuah band. Pada tahun ini, Potret menghasilkan sebuah album baru yang bertajuk Positive+POSITIVE, setelah dengan agak lama menyepikan diri. Trio Potret dianggotai oleh Melly Goeslaw sebagai vokal, Anto Hoed sebagai pemain bas dan Aksan Syuman sebagai pemain dram. Saya rasa album ini mempunyai ‘trademark’ lagu-lagu gubahan Melly—sesiapa yang sudah ada soundtrack ‘Ada Apa Pada Cinta’ pasti akan menyedari persamaan ini. Memang album ini tak lari langsung album ini dengan album-album Melly sebelum ini. Peminat-peminat Melly pasti tak akan kecewa. Kelainan pastinya ada, tapi saya rasa kelainan yang paling ketara adalah dari segi susunan musik. Melly sudah lama terkenal membuat lagu-lagu easy listening, tetapi kali ini, dalam album ini ada juga percubaan (eksperimen) Melly dengan irama-irama yang lebih keras dan rancak. Perhatikan sahaja ‘Drum & Vocal’, track ini (walaupun pendek) bunyinya seakan lagu Underworld yang bertajuk ‘Born Slippy’. Lagu ‘Kekasih Khayalan’ dan ‘Tak Adil’ pula pasti akan menjadi siulan kita ketika sedang bersantai. Yang lain-lainnya pula, macam lagu-lagu Massive Attack, tak pun macam irama melankoli Portishead. Dalam album ini, lagu yang paling saya suka adalah track pertama: ‘Ketika Cinta Itu Hilang’. Lagu ini memang rancak, saya sukakan susunan musik untuk lagu ini yang bagi saya, setaraf dengan banyak album-album yang diterbitkan di barat. Album yang mengandungi 12 buah lagu ini dipersembahkan dengan style yang jelas menampakkan kepelbagaian fusion dalam satu acuan yang sama. Satu percubaan oleh Melly yang saya yakin akan diterima dengan baik oleh peminat-peminatnya dan mereka yang mula mahu mengenali persembahan musiknya. Rating: 4/5 Oleh Nizam Zakaria
|