|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-04-11 - 4:40 p.m. Saniboey, atau nama penuhnya, Saniboey Mohd. Ismail bukanlah nama baru dalam persada kewartawanan hiburan tanahair. Pada satu ketika dahulu, namanya sering muncul di dada Harian Metro, mengulas setiap album yang berada di pasaran. Kerapkali, namanya sering akan digunakan oleh syarikat rakaman untuk memasarkan album-album yang telah diulasnya. Ulasan-ulasannya dianggap penting, kerana ia menjadi kayu pengukur kepada kebagusan mutu/kualiti sesebuah album baru di pasaran. Saniboey juga saya kenali sebagai editor/penyunting majalah “Sentiasa Manja” terbitan Mediacorp Publishing. Pada hemat saya, majalah ini adalah naskhah hiburan yang terbaik yang pernah muncul di Malaysia. Dalam majalah ini tiada artis separa bogel di tepi kolam renang, ataupun gossip-gossip mengenai artis itu dan ini yang akan berkahwin dengan anak raja. Tiada berita murahan yang dijadikan umpan untuk memancing pembaca. Tiada semua itu. Apa yang jelas, majalah ini memaparkan artikel-artikel yang bernas yang diolah dengan sebegitu baik. Sementara itu, yang paling saya gemari adalah ulasan-ulasan album dan filem yang ada. Ulasan-ulasan digarap dengan teliti serta pintar, dan tidak pula berat sebelah. Tak ada unsur-unsur bodek ataupun ‘self-censorship’ untuk menjaga hati para penggiat seni tanahair, seperti mana yang dapat kita lihat dalam majalah-majalah hiburan yang lain. Jika ada sesuatu yang kekurangan dalam sesebuah nashkah seni yang diulas, akan ditegur agar kesilapan yang sama tidak akan dilakukan lagi (walaupun teguran yang dibuat terlalu pedas rasanya). Baru-baru ini, bagi mereka yang rapat dengan saudara Saniboey atau mereka yang dekat dengan dunia kewartawanan, dikejutkan dengan berita bahawa saudara Saniboey meletakkan jawatannya sebagai editor majalah yang selama ini ditatangnya bak minyak yang penuh. Tentunya saya agak tersentak, lantas ingin bertanyakan kepadanya mengenai perkara ini. Terlalu banyak yang saya ingin utarakan kepadanya. Akan tetapi, diturunkan di bawah ini, soalan-soalan yang saya ajukan di dalam temubual ‘emel’ baru-baru ini. Untuk pengunjung budiman, ikutilah wawancara ini: NZ: Ceritakan serba sedikit tentang diri saudara, sebagai contoh; tempat di mana saudara dilahirkan, umur dan di mana saudara telah dididik satu ketika dahulu.
JAWAPAN: Saya dilahirkan pada 13 Feb 1973, menjadikan usia saya sekarang ialah 30 tahun. Saya dilahirkan di Hospital Besar Batu Gajah, Perak, hospital yang sama di mana Sultan Perak dilahirkan (apa relevannya saya tak tahu....saje je nak bangga). Saya bersekolah rendah di Sek Ren Anglo Chinese School di Kampar, Perak dari Darjah Satu sehingga Darjah Enam dan kemudian di Sekolah Menengah Anglo Chinese School juga dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan 3. Sesudah puas belajar di sekolah Cina dan dah pandai menyanyi lagu Alan Tam, saya minta ditukarkan ke sekolah Melayu. Lalu untuk Tingkatan Empat sehingga Tingkatan Enam saya bersekolah di Sekolah Menengah Sri Kampar, Perak, yang terletak terlalu dekat dengan rumah saya. Jalan kaki lima minit boleh sampai dah. So, bila sekolah dah dekat rumah, tak boleh buat jahat lagi dah sebab mak and ayah ada banyak spy. Disebabkan malas belajar lagi, saya berhenti sebelum selesai Form 6 dan kini saya dalam tahun akhir untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di UiTM Shah Alam. Insya-Allah tahun depan bulan Mei nanti saya graduate lah. NZ: Sudah berapa lama agaknya saudara menjadi wartawan? Dan bagaimana saudara memulakan karier saudara sebagai seorang wartawan? JAWAPAN: Sebab malas belajar tadi, kalau tak silap saya pada March 1991 saya ada melihat iklan dalam akhbar Berita Harian yang menulis:" Ingin Jadi Wartawan". Iklan itu mengkehendaki saya menulis rencana tentang mengapa saya mahu jadi wartawan dalam 500 perkataan. Saya lalu tulis dengan pantas dan hantar dan kemudian dipanggil untuk interview. Lalu saya join The New Straits Times (M) Bhd Pre-Editorial Traning Scheme pada Julai 1991. Setelah selesai kursus itu pada Disember 1991, saya terus diserapkan sebagai wartawan jenayah di Berita Harian Kuala Lumpur. Pada 1993, saya ditukarkan ke Harian Metro KL dan kemudian Harian Metro JB selama tiga tahun. Saya kembali ke Harian Metro KL pada 1996 dan terus buat bahagian hiburan. Saya tinggalkan Harian Metro (keluarga Berita Harian juga) pada 2001 untuk menyertai MediaCorp Publishing (M) Sdn Bhd untuk menerbitkan majalah Sentiasa Manja. Pada March 2003 lalu, saya meletak jawatan di Sentiasa Manja kerana saya mahu kembali ke dunia berita. NZ: Adakah sejak dari mula lagi saudara ingin menjadi seorang penulis/wartawan? Memang saudara sejak dari mula lagi meminati dunia penulisan? JAWAPAN: Terus terang, saya bukannya bercadang untuk jadi wartawan. Sebaliknya saya amat minat menulis. Saya fikir wartawan boleh jadi batu loncatan untuk saya jadi penulis. Tapi malangnya dek kerana terlalu sibuk menjadi wartawan, saya telah abaikan cita2 saya untuk jadi penulis. Bagaimanapun, saya sudah siap dengan sebuah skrip teater pada 2 tahun lalu tetapi maish belum dipersembahkan sebab saya tak ada duit. Mungkin bila saya jumpa orang yang ada duit kelak, saya akan buat juga teater berkenaan. (kenal ke sesiapa yang ada barang dalam RM400,000?) Anyway, kini saya mahu start menulis semula dan saya sudah pun memulakan penulisan skrip drama saya yang akan saya jual kepada mana-mana produser kelak. NZ: Apakah yang telah menjadi pendorong utama saudara untuk menulis? JAWAPAN: Pendorong utama saya ialah diri sendiri sebab saya fikir menulis adalah cara terbaik untuk berekspresif. Saya bukan manusia yang pandai berkata-kata menerusi bibir, tetapi saya lebih gemar menyampaikan buah fikiran saya dengan penulisan. Muzik, filem dan alam juga adalah antara pendorong utama saya. NZ: Apakah pengalaman pahit dan manis yang pernah saudara lalui tatkala menjadi seorang wartawan? JAWAPAN: Pengalaman pahit saya barangkali ialah apabila saya gagal mendapatkan kepercayaan Editor untuk membuat sebarang liputan manakala pengalaman paling manis saya ialah ketika diberi peluang untuk menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1992. NZ: Saudara pernah ditangkap dan dipenjarakan tatkala saudara masih lagi berusia 22 tahun (semasa itu saudara bertugas sebagai wartawan di Harian Metro). Boleh saudara ceritakan apa yang telah berlaku dan komen saudara tentang peristiwa tersebut. JAWAPAN: Ditangkap bagi saya bukan pengalaman pahit, sebaliknya ia adalah pengalaman paling beharga dalam hidup saya sebagai wartawan. Kisah di sebalik penangkapan itu adalah amat rumit sebab ia membabitkan jenayah penculikan. Kisahnya, ada tiga penjenayah berbangsa Cina menculik seorang budak kecil tetapi nak dijadikan cerita, mereka sebenarnya tersalah culik budak. Lalu penjenayah berkenaan bergaduh sesama sendiri sehingga dua daripada mereka membunuh boss mereka sendiri bersama budak itu. Mayat mereka diletakkan di dalam sebuah kereta dan kemudian dibakar di Kluang, Johor. Saya dan sahabat, Yusaini Ali tahu kes ini sejak ia berlaku tetapi kerana menghormati siasatan polis, kami langsung tidak menulis mengenainya. Tetapi kami dijanji oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor ketika itu bahawa kami akan jadi orang pertama yang mendapat berita berkenaan apabila dia selesai disiasat. Namun tidak lama selepas itu kami dengar ada perkembangan mengenai kes berkenaan tetapi kami tidak diberitahu. Lalu kami pantas mendapatkan maklumat lanjut dan akhirnya kami dapat tahu bahawa budak yang diculik itu sudah dibunuh. Kami pantas mahu melaporkannya tetapi dihalang oleh polis. Kami ambil risiko dengan tetap membuat laporan mengenai kes itu yang keluar di muka depan Harian Metro dan kemudian kami ditangkap kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi. Laporan yang kami buat dikatakan terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi kerajaan. Bagaimanapun, polis gagal menemui bukti dari mana dan di mana kami perolehi maklumat berkenaan dan sehingga hari ini ia tetap menjadi rahsia saya dan Yusaini. NZ: Saya cukup kagum dengan kebolehan saudara mengulas album, dan sememangnya, ulasan saudara mampu mempengaruhi peminat-peminat seni muzik tanahair. Tukilan kata-kata saudara kadang-kala akan digunakan sebagai ‘selling point’ sesebuah album. Boleh saudara ceritakan proses saudara mengulas sesebuah album, dari awal sehingga ke akhir? JAWAPAN: Terus terang saya terlalu minat muzik. Saya didedahkan kepada muzik oleh abang dan bapa saya sejak saya berusia 6 tahun lalu. Bapa saya sampai pernah memaksa saya mendengar Beethoven, Morzart dan Strauss ketika saya kecil dan abang saya pulak sering paksa saya dengar The Eagles, D'lloyd dan Santana ketika saya kecil. Proses saya mengulas album memang memenatkan sebab setiap album saya akan dengar dari awal hingga habis. Saya akan baca lirik sambil mendengar muzik itu kerana itu cara saya benar-benar layan sesebuah album. Disebabkan saya sudah mendengar ribuan album, maka mudah untuk saya relate sesuatu album dengan album yang lain. Saya juga amat suka berdiskusi tentang sesuatu album. Misalnya kalau saya mendengar sesuatu yang baru dalam album, orang yang paling utama saya akan hubungi ialah Hillary Ang atau Hattan dan kemudian saya akan ke rumah mereka untuk discuss soal album berkenaan. Saya juga selalu berbincang dengan M Nasir (sebab studionya dekat rumah saya) dan Loloq, Along Exists dan Musa Exists. Bagi saya discussion amat penting untuk benar-benar melihat potensi sesebuah album. NZ: Apakah menurut pendapat saudara sebagai seorang pengkritik, akan membuatkan sebuah album itu dianggap baik? JAWAPAN: Album yang baik bagi saya adalah album yang ada usaha untuk keluar daripada norma-norma biasa pembikinan sesebuah album. Biarpun apa yang dihasilkan adalah mengarut, tetapi hakikat bahawa ia cuba keluar daripada kepompong kebiasaan, amat baik. Namun album jenis itu kalau disertakan dengan penulisan lirik yang bagus serta sound yang bukan kuno, maka ia adalah jadi lebih bagus. Saya ambil contoh album Potret Cafe (Indonesia) yang saya rasa amat bagus serta album Canggung Mendonan (M Nasir) yang juga begitu advance. NZ: Siapakah artis/band dari Malaysia yang terbaik menurut pendapat saudara? JAWAPAN: M Nasir tetap seorang maestro di Malaysia manakala band yang baik sudah tentu Exists sebab apa yang mereka hasilkan adalah dari usaha dan keinginan untuk maju. NZ: Di Indonesia pula, siapa yang terbaik? JAWAPAN: Saya amat minat dengan falsafah dan muzik Dewa. Bagi saya, penulisan lirik mereka serta muzik yang dihasilkan adalah dari pemikiran yang amat tinggi. NZ: Adakah saudara dapat merasakan kemunculan artis-artis dari Indonesia serba sedikit memberi kesan positif kepada hasil karya artis-artis tempatan? JAWAPAN: Sudah tentu sebab artis Malaysia tidak rasa tercabar dengan artis Barat, malah mereka juga adalah fans artis Barat. Misalnya semua artis Malaysia (agaknya lah) sukakan Alicia Keys. Bagi mereka, Barat tidak memberikan saingan sebab Barat terlalu besar. So mereka lebih selesa bersaing dengan Indonesia atau Singapura. Apabila naluri bersaing mereka tinggi, maka mereka akan banyakkan usaha untuk menghasilkan karya yang lebih baik. NZ: Saudara begitu memuji karya-karya Ahmad Dhani dari kumpulan Dewa. Boleh saudara jelaskan mengapa? JAWAPAN: Bak saya katakan tadi, karya Dhani datang daripada pemikiran yang tinggi. Sya pernah berdiskusi dengan Dhani selama berjam-jam tentang inspirasinya dan saya rasakan dia jalan di landasan yang betul. Dhani menghasilkan karyanya sebagai seorang Islam yang sejati kerana dia mengagungkan Tuhan. Penulis terkenal, Arwah Ismail al-Farufi di Jordan dulu pernah kata: "Karya seniman Islam harus bergerak di landasan Islam." Itulah yang dilakukan oleh Dhani dan M Nasir buat masa ini. Biarpun mereka bergerak dari subjek cinta semata-mata, ia tetap berlandaskan Allah. NZ: Apa yang saudara rasa patut dilakukan oleh artis-artis tempatan kita untuk memperhebatkan lagi mutu karya yang mereka hasilkan? JAWAPAN: Banyakkan membaca. Membaca itu adalah tiang ilmu. Misalnya iman adalah misi kita dan solat adalah tiang kita. Begitu juga dengan seni, kita harus banyak menimba ilmu dengan membaca untuk menghasilkan karya yang baik. NZ: Apa saudara rasa menjadi kelemahan dan kemelut artis-artis kita dari membuat karya-karya lagu yang hebat? JAWAPAN: Masalah mereka ialah kurang pengetahuan. Bagi mereka sesebuah lagu itu sedap atau seronok. Mereka tidak melihat di sebalik realiti yang diberikan kerana itu adalah realiti yang sebenar-benarnya. Penulisan lagu, lirik atau sebarang penulisan lain di dunia ini harus ada audiens dan kita harus menghasilkan tulisan kita dengan setajam-tajammnya untuk menikam naluri audiens. NZ: Saya cukup meminati majalah Sentiasa Manja terbitan Mediacorp. Bagaimana agaknya saudara mula diberikan mandat untuk menerajui majalah tersebut? JAWAPAN: Saya ada good relationship dengan Art Fazil (Rausyanfikir) dan dia telah merekemenkan saya kepada MediaCorp Publishing Pte Ltd di Singapura. Di Singapura, Manja juga wujud tetapi lebih ke arah gaya hidup manakala apabila diberikan mandat di Kuala Lumpur, saya tegaskan mahu jadikan Manja lebih ke arah hiburan yang ada nilai ilmu yang tinggi. NZ: Dalam banyak-banyak majalah yang ada, maksud saya, dalam kategori majalah hiburan, bagi saya hanya Sentiasa Manja yang mempunyai isi kandungan yang bermutu, ditambah dengan ulasan album dan filem yang telah ditulis dengan jujur dan ikhlas. Bahasa yang digunakan penuh dengan slanga dan senang difahami pembaca, terutamanya pembaca muda yang ‘hip’. Sejauh manakah diri saudara sebagai seorang Editor ‘mencerminkan’ majalah tersebut kepada Sentiasa Manja yang dapat kita lihat sekarang? JAWAPAN: Saya lihat diri sebagai audiens. Saya jadikan diri saya anda untuk jadi Editor Sentiasa Manja. Saya nasihatkan semua penulis saya supaya jadi diri sendiri, bukan jadi penulis. Kalau tak boleh nak jadi diri sendiri masakan anda boleh menulis. Satu lagi nasihat saya kepada penulis saya ialah: "Tulis apa yang dirasa ketika anda merasainya." Misalnya ketika mengulas sesebuah album, saya akan menulis apa yang saya rasai di ketika saya mengulas kerana selepas saya membaca semula, perasaan yang saya rasa sebentar tadi sudah pun hilang. Saya juga tidak menitik beratkan soal bahasa kerana bagi saya jika audiens mahukan perfection dalam penggunaan bahasa, mereka boleh beli novel A. Samad Said atau Abdullah Hussein. Saya tidak mahu penulisan superfisial, saya mahu penulisan yang boleh dekatkan diri saya kepada pembaca. NZ: Baru-baru ini saya mendapat tahu saudara telah mengundur diri dari menjadi Editor majalah Sentiasa Manja. Mengapa saudara telah mengambil keputusan ini secara tiba-tiba? JAWAPAN: Saya mahu menggembara lagi. Buat masa ini saya mahu kembali menulis di arus perdana. Saya mahu kembali ke penulisan politik, ekonomi dan am. Saya perlu berehat seketika dari dunia hiburan sebab saya ada misi lain dalam hidup. NZ: Baru-baru ini juga saudara telah berkecimpung sebagai seorang pemuzik untuk menghasilkan sebuah album kumpulan Exists. Boleh saudara ceritakan sedikit tentang pengalaman saudara di studio dan bagaimana saudara boleh terlibat sama untuk menghasilkan album ini bersama mereka? JAWAPAN: Sebenarnya saya terlibat dalam kebanyakan album Exists sebab mereka adalah sahabat saya. Saya hanya sekadar memberikan pendapat dari segi muzik, lirik dan sekali sekala menyumbangkan vokal untuk album mereka, itu saja. NZ: Jadi minat saudara sebenarnya di mana? Muzik atau penulisan? Bidang yang mana satukah agaknya yang ingin saudara berikan sepenuh jiwa dan raga saudara? JAWAPAN: Tanpa muzik, saya tidak boleh menulis. Saya kalau boleh nak menyatukan muzik dan penulisan sekaligus kerana dua-dua penting buat saya. NZ: Dalam masa 20 tahun, dalam fikiran saudara, apa agaknya yang akan saudara lakukan nanti? JAWAPAN: Plan saya simple. Saya akan selesai belajar di UiTM pada Mei tahun depan, Insya-Allah dan kemudian saya akan terus buat Master dan by 2005, saya akan jadi pensyarah sepenuh masa. Menjadi pendidik adalah kerja yang paling mulia di alam maya ini. Lagipun, it's in my blood. Bapa saya guru, kakak saya guru dan banyak suku sakat saya juga guru. * Suggest a column/blog topic Oleh Nizam Zakaria
|