|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-04-16 - 2:17 p.m. Sukar rasanya untuk kita membayangkan kisah cinta dalam sebuah filem Iran. Tentunya, kita punya prejudis sendiri. Di Malaysia, kisah cinta mungkin tidak lengkap kalau tiada Erra dan Yusri. Skripnya pula mestilah baris-baris yang tidak mungkin dinyatakan oleh insan-insan normal. Ataupun, setidak-tidaknya sebuah filem ‘romantic comedy’ lakonan Julia Roberts atau Ralph Fiennes. Sebuah filem cinta dari Iran mungkin sesuatu yang agak asing bagi kita yang terbiasa dengan aksi tari menari dan nyanyian Shah Rukh Khan atau bintang-bintang Bollywood yang lain. Iran adalah sebuah negara Islam – sebuah negara Islam yang progresif, pada pendapat saya. Saya berpendapat sedemikian setelah menonton beberapa filem dari Iran. Filem Iran pertama yang saya tonton adalah pada awal tahun 90-an – filem bertajuk ‘Sara’ (oleh Dariush Mehrjui), yang diadaptasikan dari drama ‘A Doll’s House’ oleh Henrik Ibsen. Tatkala menonton filem itu, saya terkejut melihat kemajuan Tehran, juga emansipasi kaum wanitanya di sana. Setelah menonton beberapa lagi filem-filem Iran, akhirnya saya terpaksa membuang segala prejudis yang pernah saya ada tentang Iran. Menonton wayang banyak mendewasakan saya… 'BARAN' adalah sebuah kisah cinta. Cerita cintanya ringkas dan punya banyak kelainan. Kita perlu sedar, Iran adalah sebuah negara Islam – banyak persoalan peradaban, budaya setempat dan tuntutan agama yang perlu mereka ikuti. Walaupun terdapat pelbagai had/sekatan yang perlu dihadapi, mereka tetap mengolah filem-filem bermutu tinggi yang semuanya mengikut garis panduan yang ada. Berbekalkan kebijaksanaan bekarya dan dibendung oleh garis panduan yang ada, kita dapat melihat filem Iran bergerak maju dengan evolusi sinemanya yang tersendiri. Filem-filem mereka berjaya mengolah cerita-cerita tentang kemanusiaan dengan naratif visual yang begitu ‘poetic’. Baran adalah hasil dunia sinema Iran yang kini bergerak jauh ke hadapan dengan begitu konsisten dalam menyediakan filem-filem bermutu tinggi untuk ditonton dunia. Baran merupakan sebuah filem oleh Sutradara Majid Majidi. Beliau dikenali ramai melalui filem ‘Children of Heaven’ dan filem ‘The Color of Paradise’. Kedua-dua filem ini mengendung semangat ‘cinema magic’ yang menaikkan nama Majid Majidi sebagai salah seorang sutradara yang paling dihormati dari Iran. Sentuhan ‘magic’ Majid Majidi ternyata masih ada lagi seperti mana yang kita saksikan dalam filem Baran. Filem Baran ini dimulakan dengan kita diperkenalkan dengan watak Lateef (Hossein Abedini), seorang anak muda yang bekerja sebagai buruh di sebuah tapak binaan. Kerana usianya yang masih muda, beliau ditugaskan untuk membeli barang-barang keperluan dapur dan menyediakan makanan serta minuman untuk buruh-buruh yang bekerja. Lateef, bukanlah kacak orangnya dan berperangai nakal, ‘happy go lucky’ dan mempunyai otak tiga suku, dan sering menimbulkan masalah kecilan di tapak binaan. Pada satu hari, seorang buruh berbangsa Afganistan, Najaf, cedera dalam satu kemalangan di tapak binaan. Beberapa hari kemudian, tempatnya digantikan oleh anak lelakinya yang bernama Rahmat (Zahra Bahrami). Walaupun pada mulanya keberatan, pengurus tapak binaan, Memar (Mohammad Amir Naji) akhirnya mengambil Rahmat bekerja. Setelah diberikan peluang bekerja, Memar mendapati yang Rahmat tidak mampu melakukan kerja-kerja berat dengan baik. Pada masa yang sama, Lateef pula terlibat dalam satu pergaduhan. Untuk mengatasi masalah ini, Memar telah meminta Rahmat menggantikan tempat Lateef dan Lateef pula melakukan kerja Rahmat. Sudah tentunya Lateef naik berang. Dia marah kepada Rahmat. Semakin marah dia jadinya apabila dia mendapati Rahmat dapat melakukan pekerjaannya dengan baik. Buruh-buruh di tapak binaan tersebut lebih suka kepada minuman serta masakan yang disediakan oleh Rahmat. Pada masa inilah kita dapat melihat perangai buruk Lateef yang pendengki dan ke anak-anakkan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menyukarkan hidup Rahmat. Pada suatu hari, Lateef menghampiri pintu dapur di mana Rahmat menyediakan makanan. Tanpa pengetahuan Rahmat, Lateef dapat melihat bahawa Rahmat sebenarnya bukan seorang budak lelaki, tetapi seorang gadis yang cantik. Pada bahagian ini kita mula sedar bahawa watak Rahmat ini seakan watak Yentl lakonan Barbra Streisand. Rahmat, seperti Yentl hidup dalam dunia yang dikuasai lelaki untuk survivalnya sendiri. Raison D'etre Rahmat bekerja adalah untuk survival keluarganya. Setelah Lateef menyedari bahawa Rahmat itu sebenarnya seorang gadis yang cantik, terus Lateef jatuh cinta kepadanya. Sikap Lateef terhadap Rahmat terus berubah. Beliau mula berpakaian kemas (walaupun bekerja di tapak binaan) demi untuk memikat Rahmat dan kita dapat melihat bahawa Lateef mula jatuh hati kepada Rahmat. Keadaan menjadi kucar-kacir apabila pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di tapak binaan. Para pekerja Afganistan lari lintang pukang, termasuklah Rahmat yang nyaris-nyaris dapat ditangkap oleh seorang penguasa. Jika bukan kerana pertolongan Lateef, yang sanggup bergelut dengan pihak penguasa, mungkin Rahmat sudah pun dicekup dan dihukum. Selepas peristiwa ini, pekerja-pekerja Afganistan tidak dibenarkan lagi bekerja di tapak binaan. Lateef menjadi gusar kerana dia rindukan Rahmat. Dalam kerinduannya inilah dia pergi ke kawasan kampung penempatan pelarian Afganistan untuk mencari Rahmat. Dia akhirnya dapat berjumpa dengan Rahmat atau nama sebenarnya Baran. Dia dapat melihat bahawa Baran kini terpaksa bekerja mengangkut batu-batu yang berat di sebuah sungai. Lateef sedih melihatkan keadaan Baran, lantas beliau sanggup melakukan pelbagai pengorbanan untuk Baran. Memang perkara-perkara yang dilakukannya boleh kita anggap gila, (sebagai contoh, mengeluarkan kesemua wang simpanannya untuk disedekahkan kepada bapa Baran) tetapi bukankah kita sendiri akan melakukan perkara yang sama kepada orang yang kita cintai? Apa yang menarik tentang watak Rahmat, atau Baran ini adalah beliau tidak mengucapkan walau sepatah perkataan pun di sepanjang filem ini (mungkin kerana peradaban Afganistan tidak membenarkan kaum wanitanya bercakap dengan kaum lelaki yang bukan muhrimnya). Zahra Bahrami, yang memegang watak Baran dapat melakonkan wataknya dengan baik tanpa sebaris dialog pun. Raut wajahnya memainkan peranan yang penting tatkala berlakon. Segala emosinya dicurahkan melalui mimik mukanya. Dan kita dapat memahami apa yang tersirat di dalam jiwanya hanya dengan melihat perubahan di wajahnya yang mampu ‘bercerita’. Bagi saya, kelebihan Majid Majidi sebagai sutradara adalah kebolehannya mengarah filem yang indah. Filem ini saya anggap indah dari segi penceritaannya dan juga dari segi naratif visualnya. Majid berjaya menjadikan latar tapak binaan, lantas mengubahnya menjadi sebuah tempat di mana cinta boleh berputik. Dan tapak binaan itu juga sarat dengan karaktornya sendiri. Majid dapat membuktikan bahawa tidak perlu ada lokasi eksotik semata-mata mahu membuat filem cinta. Perhatikan pergerakan kamera, juga close-up kepada wajah pelakon. Majid pandai bermain dengan emosi penonton, tanpa perlu terlalu mengambil jalan melodramatik. Seperti yang saya katakan, filem Baran ini adalah sebuah filem cinta. Pendekatan yang diambil luar biasa, tetapi cukup segar bagi genre filem cinta. Lateef dan Baran sebagai dua anak remaja yang sedang bercinta punyai ‘chemistry’. Walaupun keduanya tidak pernah berbual sesama mereka, penonton ‘bebas’ untuk merasa atau menyelinap masuk ke dalam jiwa mereka untuk merasa apa yang mereka rasakan. Dalam filem Baran ini kita dapat melihat sekilas pandang kehidupan kaum pendatang dari Afganistan. Kedudukan sosio-ekonomi yang masih rendah dibandingkan dengan rakyat Iran. Sebagai kaum pendatang, kehidupan mereka tertindas dan daif. Mereka tidak punya kad pengenalan, jadi mereka memang tidak boleh mendapat pekerjaan tetap seperti rakyat Iran (kebanyakan mereka terpaksa bekerja secara haram). Perkara ini dapat kita lihat dalam filem Mohsen Makhmalbaf yang bertajuk ‘The Cyclist’, sebuah filem tentang seorang pelarian Afganistan yang terpaksa bekerja di sarkis untuk menampung kehidupan keluarganya. Filem Baran dalam semangat neorealismenya, juga mengambil tema yang sama untuk membincangkan tentang nasib pelarian Afganistan yang hidup melarat di negara mereka. Walaupun filem ini sebuah kisah cinta dua pasang kekasih, persoalan tentang pelarian Afganistan yang duduk merempat di Iran dapat diselitkan dengan begitu baik dan ‘seamless’ sekali. Perhatikan simbolik nama Baran yang membawa maksud hujan dalam bahasa Farsi. Di bahagian akhir filem ini kita akan melihat hujan turun dengan lebat, semasa perpisahan antara Lateef dan Baran (lantas membasahi tapak kasut yang ditinggalkan baran di dalam lumpur). Satu simbolisme yang begitu mendalam rasanya. Dalam pada itu, kita akan melihat bahawa musim bunga juga tiba, lantas membawa kepada kesudahan kedinginan musim salji. Mungkin ini ada kesamaan dengan harapan yang ada dalam hubungan di antara mereka berdua, walaupun Baran terpaksa meninggalkan bumi Iran, untuk ke Afganistan. Mungkin ada harapan lagi untuk mereka bersama… Perhatikan juga simbolik Baran memakai Burqa tatkala beliau mahu meninggalkan Iran untuk pulang ke Afganistan. Ketika di Iran, Baran hanya sekadar memakai tudung, tetapi di Afganistan, segala pelosok tubuhnya perlu dilitupi Burqa. Macam-macam rasanya boleh kita interpretasikan dari adegan ini sahaja. Filem ‘Children of Heaven’ berjiwa universal, sama seperti filem Baran. Itulah keistimewaannya. Baru-baru ini, pembikin filem dari Singapura telah membeli hak karya filem ‘Children of Heaven’, lantas mengadaptasikan filem tersebut. Dalam filem ‘Homerun’, Jack Neo (sutradara untuk filem ‘I Not Stupid’) meletakkan situasi Singapura dalam era 60-an dalam adaptasi filem ini. Cerita yang mereka bikin sama (adegan lumba lari untuk mendapatkan kasut semuanya ada) cuma situasi serta bahasa yang digunakan berlainan. Perkara yang sama saya rasa boleh dilakukan dengan mengadaptasikan filem Baran dalam situasi kita di Malaysia. Saya dapat membayangkan kita dapat membuat cerita mengenai cinta seorang buruh tempatan dengan seorang pekerja imigran dari Indonesia, lantas cinta mereka berputik dari sana (pastinya filem ini perlu dibuat mengikut wajah dan acuan sinema kita). Perkara ini lebih baik rasanya dari kita terus membuat filem cinta (dan sekarang filem seram pula, alahai!) yang menceceh-ceceh dan yang ‘bangang dan membangangkan’ (saya pinjam sekali lagi istilah Faisal Tehrani). Jadi persoalannya sekarang; Bila agaknya kita akan dapat melihat sebuah filem seperti Baran dibuat di negara ini? Rating 4.5/5 Oleh Nizam Zakaria
|