zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-04-23 - 10:26 a.m.

Semalam TV3 menayangkan filem Wang Kar-Wai yang bertajuk ‘In The Mood for Love’, sebuah filem yang telah saya tonton lebih kurang dua tahun yang lepas. Filem ini saya tidak nafikan, sebuah filem yang sukar untuk ditonton, meresahkan, seperti filem-filem Wang Kar-Wai sebelumnya. Jika tumpuan tidak diberikan, banyak perkara-perkara yang tersirat dalam filem ini tidak dapat kita leraikan dan mungkin, perkara ini akan menimbulkan frustasi, lantas kita akan menganggap filem ini membosankan.

Dari apa yang saya ketahui, sutradara Wang Kar-Wai tidak menggunakan naskhah skip yang tetap untuk filem ini. Mereka akan datang ke set atau ke studio tanpa mengetahui pucuk pangkal filem ini, sehinggalah Wang mengarahkan kepada mereka apa yang perlu mereka perlu lakukan selanjutnya. Ada kalanya, ‘Improvisation’ perlu dilakukan dengan serta merta tanpa dialog tersedia dengan lebih awal. Genre ‘improv theatre’ memang telah lama wujud, tapi dalam dunia sinema, perkara ini jarang dilakukan.

Method ‘improv’ ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Pengarah yang memilih jalan untuk mengarahkan filemnya dengan cara ini perlu mempunyai visi yang tetap tentang filemnya dari awal sehingga ke akhir. Para pelakon pula dibebani dengan kerja yang perlu dilakukannya; iaitu membuahkan emosi watak dengan serta merta tanpa bantuan skrip yang tetap. Jalan cerita yang selalunya ditulis oleh penulis yang berpengalaman dalam bentuk dialog, kini perlu diisi dengan kata-kata yang mereka (para pelakon) reka sendiri secara spontan. Perkara ini saya rasa hanya dapat dilakukan oleh para pelakon yang benar-benar terlatih. Sutradara ‘improv’ yang terkenal seperti Mike Leigh, (‘Secrets & Lies’) terpaksa mengambil masa hampir setahun dengan para pelakonnya untuk membiasakan mereka dengan cerita yang ingin diarahkannya.

Dalam filem ‘In The Mood for Love’ kita dapat lihat bagaimana para pelakon dengan begitu baik menghidupkan lakonan mereka. Lakonan mereka nampak natural, dan inilah yang dipentingkan oleh Wang, selain dari sinematografi yang jelas nampak indah.

Filem ini tidak mempunyai plot yang jelas. Kita yang menontonnya filem ini seolah mencuri lihat kehidupan dua orang manusia yang hidup dalam situasi penuh dugaan. Mereka tidak banyak bercakap, (seperti watak-watak dalam filem-filem Tsai Ming Liang) tetapi ‘body language’ mereka mengutarakan segala-galanya. Dan inilah yang perlu kita perhatikan betul-betul. Perlu kita ingat bahawa bahasa manusia tidak sahaja terhad kepada apa yang dipertuturkan melalui mulut, kita juga mampu berbicara tanpa suara, hanya dengan menggunakan pergerakkan tubuh. Perkara inilah yang cuba diterokai oleh pengarah-pengarah seperti Tsai dan Wang. Jadi dalam filem ‘In The Mood for Love’ ini, kita perlu perhatikan gerak langkah watak dan raut wajah mereka yang memancarkan suara sayu dan kekecewaan dalam diri mereka. Perkara ini perlu kita teliti betul-betul.

‘In The Mood for Love’ adalah sebuah filem ‘period piece’ awal tahun 60-an (macam filem ‘Days of Being Wild’). Wang nampaknya suka menghasilkan filem-filem dari era ini yang penuh nostalgia. Arahan seni untuk filem ini memang nampak detail. Segala props yang digunakan jelas menampakkan era yang lama kita tinggalkan itu.

Filem ini mengisahkan tentang kehidupan Su Li-zhen, (Maggie Cheung) seorang isteri kepada seorang suami yang sentiasa sahaja sibuk dengan kerjanya dan sering ke luar negeri. Pada awal filem ini, kita akan melihat Su berpindah ke apartment Puan Suen (Rebecca Pan). Di hari yang sama, Chow Mo-wan, (Tony Leung) seorang wartawan berpindah ke apartment di sebelah. Mereka berdua berjiran. Kebetulan pula, Chow senasib dengan Su, mereka jarang dapat bersemuka dengan pasangan mereka. Isteri Chow bekerja di sebuah hotel dan bertugas pada shif yang berbeza dengannya, jadi mereka jarang dapat bertemu walaupun tinggal di dalam bilik saya sama.

Sebagai jiran, Su dan Chow sering bertemu walaupun mereka jarang berbual. Kita dapat melihat, mereka juga jarang bertentang mata walaupun sering berselisih tatkala hendak membeli makanan. Pada raut wajah mereka, kita dapat melihat bagaimana rasa kesepian jelas mencengkam jiwa mereka, tetapi ditelan tanpa perlu diluahkan. Peradaban semasa perlu dipikul mereka, walaupun membeban jiwa.

Jalan dalam hidup berubah apabila Su dan Chow mula sedar bahawa pasangan mereka bermain kayu tiga di belakang mereka. Kedua-dua mereka jelas kecewa. Mereka berdua akhirnya bertemu dan membincangkan perkara ini dengan formal. Dalam keadaan tertekan, mereka berdua akhirnya menjadi sahabat. Kita dapat melihat juga bahawa terbitnya bibit-bibit perasaan cinta di antara mereka berdua. Chow cuba mendekati Su, tetapi Su cuba sedaya mungkin untuk melupuskan perasaan cinta ini dari dirinya. Beliau merasakan bahawa mereka tidak sepatutnya menjadi seperti pasangan mereka. Persahabatan di antara mereka berdua akhirnya diputuskan begitu sahaja. Kita sebagai penonton akan dapat melihat berakhirnya episod cinta mereka yang tidak kesampaian ini, yang lantas memakan jiwa mereka sendiri…

Keistimewaan filem ini, seperti filem-filem Wang yang lain terletak dalam sinematografinya. Dalam filem ini, Wang menggunakan khidmat Mark Li Ping-bin dan Christopher Doyle. Penggunaan sudut kamera yang unik kadang-kala membuatkan kita dapat merasakan kesepian yang dirasakan oleh Su dan Chow. Teknik ‘slow motion’ digunakan dengan baik, bertepatan dengan adegan yang ada. Lorong-lorong sepi yang sentiasa sahaja basah dengan hujan, menampakkan kualiti ‘film noir’dalam filem ini.

Jika kita terbiasa dengan filem-filem Wang, pastinya kita akan sedar bahawa filem-filemnya sering terkandung pilihan-pilihan muzik yang menakjubkan. Dalam filem ini, lagu ‘Aquelios Ojos Verdes’ oleh Nat King Cole digunakan dengan begitu baik sekali. Lirik lagu ini yang terkandung perkataan: "Quizas, quizas, quizas," atau “mungkin, mungkin, mungkin,” membawa maksud yang mendalam kepada segala kemungkinan atau harapan percintaan yang terwujud di antara Chow dan Su. Perhatikan juga lagu ‘Begawan Solo’ yang dinyanyikan oleh Rebecca Pan yang langsung dapat menghidupkan suasana 60-an dengan baik. Manakala lagu ‘Yumeiji’s Theme’ oleh Shigeru Umebayashi yang digunakan dalam adegan ‘slow motion’ pula berjaya menyerlahkan lagi kejelitaan Maggie Cheung dengan pakaian cheongsam yang dipakainya. ‘Yumeiji’s Theme’ saya rasa berjaya menimbulkan ‘mood’ cinta, kekosongan dan kesepian yang ada dalam filem ini.

Saya betul-betul meminati lakonan Tony Leung, terutamanya dalam filem ini. Dengan baik, Leung dapat membawa watak Chow yang kesepian dan kemudiannya menagih kasih dari Su. Leung benar-benar dapat menjiwai wataknya. Wajahnya yang cukup sayu memang sara rasa sesuai membawa watak-watak seperti ini. Maggie Cheung, seperti biasa nampak elegant. Dalam filem ini, beliau dengan sendirinya mampu mempopularkan kembali pakaian cheongsam. Saya memang mengagumi lakonannya yang mantap selain dari kejelitaan dirinya. Rebecca Pan (yang berlakon sebagai ibu angkat kepada watak yang diambil oleh Leslie Cheung dalam filem ‘Days of being Wild’) saya lihat hampir-hampir ‘steal the scene’ dari pelakon-pelakon utama dalam filem ini. Karismanya sebagai seorang diva memang terserlah. Perhatikan cara perbualannya yang pekat dengan loghat Shanghai. Lakonannya penuh bersahaja dan sememangnya saya senang melihatnya berlakon setelah lama saya mengikuti lagu-lagu 60-an dan 70-an nyanyiannya.

Filem ‘In The Mood For Love’ mungkin akan menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan penonton, terutamanya dari segi plot yang sukar difahami dan cara filem ini ditamatkan. Mungkin apa yang dirasakan adalah rasa tidak puas hati yang mungkin timbul kerana kedua-dua watak utama tidak mengikut arus konvensional, lantas bercinta. Tetapi apakan daya, cinta mereka tidak bersemi dan tidak kesampaian. Inilah saya rasa titik keberkesanan dalam filem ini. Ia seolah akan meninggalkan satu gumpalan besar dalam anak tekak kita yang sukar untuk kita telan.

Rating: 4/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!