zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-04-24 - 8:02 a.m.

'Hembusan Asmara' merupakan album Ketiga Dayang Nurfaizah, setelah beliau muncul dengan album pertama dan keduanya berjudul 'Dayang' dan ‘Seandainya ada Cinta’. Album ‘Hembusan Asmara’ ini telah lama berada di pasaran, cuma baru-baru ini yang saya tergerak untuk membelinya untuk tujuan mengulasnya.

Setelah menjuarai 'Golden Teens Search 1997', nama Dayang terus naik di persada seni suara. Konsep yang dibawanya lebih menjurus kepada pop dan R&B, bersesuaian dengan vokalnya yang saya dapati lain dari vokal kebanyakan artis-artis wanita yang ada sekarang ini – yang kebanyakannya mengikut acuan-acuan tertentu atau klon.

Menerusi album pertama Dayang, lagu 'Hakikat Cinta' dan 'Kembalilah Sayang' terus meletakkannya sebagai salah seorang penyanyi irama R&B di negara ini. Album pertamanya, tidak begitu mendapat tempat di kalangan peminat. Album keduanya pula, bertajuk 'Seandainya Masih Ada Cinta' menampakkan sedikit kematangan Dayang untuk membawa lagu-lagu berirama R&B. Dalam album ketiganya ini, Dayang lebih tertumpu untuk membawa lagu-lagu berbentuk pop komersil (kecuali mungkin lagu 'Hanyalah Kasihmu' dan 'Satu', itupun tidak begitu pekat irama R&Bnya).

Dalam Hembusan Asmara, Dayang mempersembahkan lagu-lagu sentimental seperti 'Hembusan Asmara', 'Hanyalah Tuhan' dan 'Penaku Menari'. Dalam ketiga-tiga lagu ini, saya rasa saya lebih menggemari 'Hanyalah Tuhan'. Iramanya agak menarik, ditambah dengan susunan musiknya 'eclectic'. Lagu-lagu yang lain, yang mungkin akan mendapat tempat di kalangan pendengar musik adalah 'Pintaku yang Terakhir' dan 'Jangan Datang Lagi'.

Lagu 'Bahaya' mempunyai kekuatan tersendiri. Lagu ini sungguh bertenaga dengan irama 'electronica' yang cuba dibawa Dayang (lagu 'Buat Kamu' juga tidak kurang hebatnya yang telah dibawa dengan unsur-unsur 'electronica' ini. Bahagian awal lagu ini kedengarannya macam lagu 'No Scrubs' oleh TLC). Mungkin Dayang perlu kekal membawakan lagu-lagu sebegini. Kita semua perlu ingat, bahawa nama Cher dan Kylie Minogue naik kembali di persada seni setelah sekian lama menjadi 'has beens' – hanya setelah mereka mula membawa lagu-lagu rancak seperti ini. Lagu-lagu Madonna terus memanjat carta kerana beliau tahu kehendak semasa. Lagu-lagunya yang rancak terus diterima peminat. Mana perginya Whitney Houston, Celine Dion dan Mariah Carey apabila kini, Madonna bakal meletup dengan single 'American Life'nya? Mungkin dalam album ketiganya nanti, Dayang akan cuba bereksperimen dengan membawakan lagu-lagu yang lebih rancak seperti album 'Fever' oleh Kylie Minogue. Rasa-rasanya, masih tidak ada lagi album artis wanita yang berkonsep seperti ini di negara kita. Justeru, tiada salahnya jika Dayang mempelopori genre musik yang masih kosong ini…

Memang tidak boleh dinafikan setelah mendengar lagu-lagu dari Dayang, kelompok peminat Dayang mungkin terdiri dari pendengar-pendengar yang lebih sofistikated (cuba sahaja bandingkan kelompok peminat Siti Nurhaliza dan Ziana Zain dengan kelompok peminat-peminat Nora dan Sheila Majid. Pastinya kita akan dapat melihat dua buah kelompok yang berbeza). Perlu diingatkan bahawa lagu 'Seandainya Masih Ada Cinta' yang dibawa oleh Dayang pernah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di Anugerah AIM pada tahun 2001. Kategori ini bukan sebarang kategori. Bagi seorang peminat musik, saya lebih dekat kepada Anugerah Industri Muzik. Bagi saya, anugerah-anugerah yang lain jelas mementingkan tahap kepopularan seseorang artis ataupun pertunjukkan pentas ala sarkis yang menjadi tali pengukur menang/kalah mereka (dan bukannya lagu yang mereka bawa). Dayang mungkin diketepikan dalam anugerah-anugerah lagu yang berlandaskan saham kepopularan ini, tetapi saya pasti jika diukur dari segi kualiti, Dayang sememangnya jelas lebih baik dari artis-artis yang seangkatan dengannya. Ye lah, katakanlah Macy Gray dan Erykah Badu dilahirkan Melayu, sudah pasti album mereka tidakkan laku dan tidakkan menang berdasarkan kepopularan. Pada hemat saya, perkara inilah yang dihadapi oleh Dayang sekarang.

Dayang sukar mendapat tempat di kalangan ramai peminat-peminat musik Melayu lebih mementingkan 'personaliti' yang menarik (saya mula mengesyaki bahawa dalam istilah Bahasa Malaysia versi wartawan-wartawan hiburan kita, perkataan 'personaliti' mungkin membawa maksud 'kecantikan'). Apabila Dayang menjadi jurucakap “Za Cosmetic”, ramai yang hairan mengapa beliau telah dipilih dan perkara inipun mereka mahu jadikan kontroversi yang berpanjangan. Bagi saya, Dayang seorang anak gadis yang berwajah menarik. Mungkin ini pendapat saya… Saya juga sedar, lain padang lain belalang. Saya masih ingat lagi peristiwa apabila bakal adik ipar saya (berasal dari Amerika) yang tidak faham mengapa Siti Nurhaliza dianggap cantik. Beliau bingung (lama juga dia merenung ke dalam poster Maybeline Cik Siti kita) dan menagih jawapan dari saya, tetapi sayangnya, saya langsung tidak dapat menjawab soalannya itu…

Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah, penerimaan kita kepada seseorang artis sering berdasarkan aspek-aspek luaran. Sudah sampai masanya kita meletakkan ini semua ketepi dan mendengar karya yang hendak dibawa mereka dengan lebih terbuka. Let's face it, ramai yang tidak meminati Dayang kerana wajahnya tidak memenuhi kriteria apa yang dianggap cantik oleh kebanyakan orang-orang Melayu (ramai orang Melayu menganggap Senario kelakar gila, tetapi ia cuma dipenuhi dengan lawak slapstik yang hambar). Kebanyakan peminat-peminat musik Melayu akan hanya menerima karya-karya penyanyi-penyanyi yang mereka anggap 'cantik' mengikut piawaian mereka (sebab itulah Siti Sarah Raisuddin sukar diterima kerana hidungnya menjadi kontroversi, sedangkan dia adalah seorang penyanyi bersuara bagus).

Sudah tiba masanya kita tidak lagi taksub dengan kehadiran artis yang berpakej 'sempurna’. Bukan ingin menyalahkan artis itu sendiri, akan tetapi masyarakat kita yang kurang intelek dalam menilai hasil seni. Kalau dikaji dengan teliti, kitalah yang pernah ‘memberi tempat’ kepada Syarifah Aini dan kita juga yang menempatkan Siti di mana dia berada hari ini. Patutlah adanya fenomena klon di sana sini, kerana, sebahagian besar masyarakat memang hendakkan pakej Siti sedangkan masyarakat sendiri menuntut kelainan. Kita, sebagai pelengkap masyarakat pendengar, yang ‘mengaku arif tentang seni’ harus juga bijak menilai hasil kerja sesuatu naskhah musik – termasuk pencipta lagu, penulis lirik dan lain-lain. Itulah bijak namanya.

Sebagai kesimpulannya, jika semua perkara berkait dengan ‘personaliti dan fizikal insan seni’ ini diketepikan, dan kita bijak menilai hasil seni itu sendiri, kita akan pasti dapat melihat bahawa apa yang dipersembahkan artis yang bernama Dayang Nurfaizah ini bukan sahaja bermutu, tetapi jauh lebih baik dari artis-artis lain yang ada sekarang ini dan mampu membawa hasil musik anak-anak Malaysia jauh ke pentas dunia.

Rating: 4/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!