|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-04-25 - 8:27 a.m. Filem 'The Big Durian' merupakan filem ketiga dari sutradara Amir Muhammad. Sebelum ini beliau telah mengarahkan filem 'Lips to Lips' (2000) dan '6horts' (2002). Kedua-dua filem ini saya anggap menarik, menghiburkan dan paling penting, banyak membuat saya berfikir. Filem 'The Big Durian' tidak bergerak terlalu jauh dari acuan tema cereka pendeknya '6horts' (menurut Amir sendiri, filem ini merupakan kesinambungan dari '6horts'). The Big Durian juga telah dibuat dengan sedikit kelainan. Filem terbarunya ini saya lihat lebih kemas dan mempunyai 'production value' yang lebih tinggi. Tidak lagi nampak seperti sebuah karya 'student film'. 'The Big Durian' merupakan sebuah filem dengan pendekatan ala dokumentari. Pada dasarnya, filem ini menceritakan tentang kejadian amuk Prebet Adam di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tanggal 18 Oktober, 1987. Peristiwa yang telah berlaku pada tarikh keramat ini telah menyebabkan penduduk Kuala Lumpur berada dalam keadaan cemas dan berjaga-jaga, desas-desus tentang rusuhan kaum dan histeria 'Operasi Lalang'. Perkara-perkara ini semua telah diselitkan dalam filem ini; lantas disentuh, dicium baunya, dikupas dan diulas. Amir dikatakan telah mendapat inspirasi untuk membuat filem ini setelah membaca sinopsis filem dari Thailand yang berjudul 'Mysterious Object at Noon' untuk pendekatan mengaburkan fiksyen dengan dokumentari dan sebuah filem Iran yang berjudul 'Homework' yang menggunakan teknik mendapatkan para pelakon terus bercakap ke arah kamera. Kedua-dua pendekatan ini telah digunakan dengan baik oleh Amir, lantas menghasilkan sebuah filem 'mockumentary' yang meniti di atas landas naratif sejarah. Filem ini tidak mempunyai sebuah plot yang tetap. Ia bergerak seperti sebuah dokumentari. Anggaplah filem ini seperti filem dokumentari 'Bowling for Columbine' oleh Michael Moore yang telah dicampur-adukkan dengan elemen-elemen lucu untuk memperkatakan tentang isu yang berat. Dalam filem 'The Big Durian', isu ISA, kebebasan akhbar dan penggunaan bahasa vernakular di sekolah hangat dibincangkan, walaupun dalam keadaan selamba mengikut pengalaman dan pendapat para protagonis. Watak-watak di dalam filem ini, akan diajukan pelbagai soalan mengenai peristiwa amuk prebet Adam. Mereka disuruh mengingati kembali apa yang mampu mereka ingat tentang peristiwa tersebut. Ada yang boleh mengingati dengan jelas, dan ada pula, terlalu muda untuk mengetahui apa yang telah berlaku. Apa yang jelas, kebanyakan dari kita masih kabur tentang apa yang berlaku pada hari itu. Filem ini dibuka dengan watak seorang wanita dari Sabah bernama Muluk (dilakonkan dengan baik oleh Erna Mahyuni). Dengan slanga Sabah, beliau menceritakan kembali tentang pengalaman hidupnya di Kuala Lumpur dan bagaimana beliau boleh tiba ke sini. Kata-katanya yang banyak menimbulkan kesan kepada saya: "Aku fikir duduk di KL boleh hidup bebas, tapi KL ni macam sangkar." Kata-katanya ini seolah dapat menggambarkan segala tema tersirat yang ada dalam filem 'The Big Durian' dengan sekali lalu. Bagi saya, di antara kesemua watak yang ditampilkan dalam 'The Big Durian', yang paling saya kagumi adalah Salleh ben Joned, seorang tokoh sasterawan yang saya segani. Saya selesa melihatnya menjawab soalan yang telah diutarakan kepadanya. Jawapan yang diberikan, cukup bersahaja dan yang penting, dia ikhlas berbicara - berani pula. Bahagian pertama wawancaranya diselangi dengan musik latar oleh Hardesh Singh. Apa yang menariknya pada bahagian itu, kita dapat melihat bahawa dia seolah berpuisi ala Ginsberg tatkala berbicara. Perkara yang sama dapat saya perhatikan dalam filem 'Lips to Lips' apabila Kubhaer T. Jethwani mendeklamasi sajak 'Her Kiss'. Mungkin perkara ini telah dirancang. Seperkara yang dapat saya perhatikan dalam filem ini adalah penggunaan kepelbagaian bangsa untuk mewakili masyarakat yang ada di Malaysia. Perkara ini penting, kerana jarang sekali dalam filem-filem arus perdana (maksud saya filem-filem Melayu) yang menampakkan hal ini. Ada yang berpendapat, ini kerana ingin menunjukkan masyarakat Malaysia yang harmonis, tetapi, sebenarnya, Amir cuba mengupas pandangan yang pelbagai, diutarakan oleh mereka berkenaan dengan amuk si Prebet Adam. Saya sebenarnya cukup senang melihat watak-watak pelbagai bangsa yang bercerita dengan terbuka, apa yang mereka tahu/faham dan alami sebagai anak bangsa Malaysia. Mungkin apa yang mereka katakan agak pedas dan sukar untuk diterima, (terutamanya jika kita ini jenis cepat melatah) tetapi apa yang mereka katakan, walaupun salah, akan tetap diperkatakan akibat kurang faham dan tidak mahu memahami perihal bangsa lain. Sebagai contoh, watak yang dilakonkan Low Ngai Yuen bercerita tentang sebab-sebab yang telah diberikan oleh bapanya mengapa orang Melayu (baca: Islam) tidak boleh memakan babi. Sebab-sebab yang diberikan amat lucu bagi saya, tetapi mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah penonton. Seperkara lagi yang jelas adalah perasaan 'alienation' yang dapat dirasakan oleh watak-watak bukan Melayu atau yang bukan berasal dari tanah Semenanjung. Perkara ini memang benar-benar berlaku. Hegemoni Melayu/Islam di Malaysia sering lupa (atau sengaja mahu melupakan) tentang kewujudan bangsa-bangsa lain di Malaysia, lantas bangsa-bangsa bukan Melayu dan yang bukan beragama Islam sering diketepikan atau mahu diasimilasikan terus ke dalam budaya Melayu/Islam. Samada kita sedar atau tidak, perkara ini telah menimbulkan satu jurang yang wujud di antara hubungan kaum di negara ini, sebagaimana yang dapat diluahkan dengan baik oleh watak yang dilakonkan oleh Nigel Rajeratnam. Beliau merasa amat terganggu apabila beliau disisihkan dan dipanggil 'kafir' oleh rakan-rakannya yang berbangsa Melayu. Watak yang dilakonkan oleh Jo Kukathas pula mengatakan bahawa orang-orang India tidak harus campur tangan apabila orang Melayu dan Cina mahu berbunuhan sesama mereka. Persoalan mengenai Operasi Lalang dan juga neo-feudalisme kerajaan yang memerintah dibicarakan dengan secara thematic sambil cerita mengenai prebet Adam dikupas dengan lebih mendalam. Dr Farish A. Noor, sebagai contoh, dengan lantang/terang mengkritik sistem politik di Malaysia dalam wawancaranya: "Budaya politik kita ini langsung tidak bertamadun". Beberapa protagonis yang lain, seperti Anne James dan Elizabeth Wong memberikan pendapat serta pengalaman masing-masing yang ada kalanya terpaksa hidup dalam ketakutan kerana adanya ISA yang menjadi momok dalam hidup mereka (dan hidup kita semua). Dalam filem ini, wawancara yang benar-benar dilakukan telah diselit dengan wawancara yang dilakonkan oleh para pelakon. Kita dapat melihat bahawa wawancara yang dilakonkan nampak lebih stylistic, lucu dan seakan disengajakan. Walaupun begitu, saya yakin para penonton akan tertanya-tanya jika skrip telah disediakan dengan lebih awal ataupun Amir menggunakan teknik 'improv direction', lantas membiarkan watak-wataknya membicarakan apa yang hendak diperkatakan secara spontan. Apa yang menarik dalam filem ini adalah penggunaan beberapa bahasa (dan loghat) dalam filem ini, selain dari menggunakan bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Jadi sebagai penonton, kita kerap kali terpaksa membaca subtitle. Amir pula, sebagai seorang narator, bercerita dengan menggunakan Bahasa Malaysia. Perkara ini telah dilakukan Amir setelah menyedari bahawa cereka pendeknya (6horts) dan filemnya 'Lips to Lips' yang banyak menggunakan bahasa Inggeris sukar difahami oleh khalayak penonton yang terdiri daripada warga-warga kampus Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tempatan. Memang tidak boleh dinafikan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah adalah satu kemelut realiti yang terpaksa kita hadapi, maka satu-satunya jalan untuk mendapatkan perhatian kelompok penonton muda yang terpelajar (yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara kita) adalah dengan membuatkan mereka faham apa yang mereka tonton. Mungkin inilah yang disedari sejak awal pembikinan filem ini oleh Amir. Soundtrack dalam filem ini saya dapati tidak begitu menonjol. Suntingan pula agak 'raw', bertepatan dengan filem ini yang ingin menonjolkan semangat realisme. 'Still photography' oleh Azrul Kevin Abdullah yang telah diselitkan sebagai montage memang cantik. Gambar-gambarnya saya rasa berjaya menambahkan lagi unsur-unsur dramatik dalam filem ini. Buat sejenak, tatkala menyaksikan montage gambarnya, fikiran kita akan cepat membaca apa yang mungkin tersirat yang ingin disampaikan dari gambar-gambar yang dipersembahkan. Persoalan besar yang timbul dalam benak saya setelah menonton filem ini adalah; mengapa Amir tidak mencipta watak pro-kerajaan (baca: UMNO) yang mungkin dapat dilihat mempertahankan segala pendirian kerajaan yang ada seperti episod perhimpunan Pemuda Umno di Stadium TPCA pada tahun1987 dan Operasi Lalang? Dengan adanya watak ini, walau seserius mana pun penjelasannya, pasti akan menggeletek hati penonton. Watak-watak badut seperti ini sememangnya wujud di dunia nyata, dan mereka jelas kelakar, jadi kenapa tidak gunakan sahaja watak yang menggelikan hati seperti ini ke dalam filem 'The Big Durian'? Tanpa watak seorang pro-kerajaan, saya dapati filem ini seolah hanya mahu melihat pendapat satu pihak sahaja. Tetapi mungkin itulah yang dimahukan oleh Amir, kerana tujuan utama filem ini dibuat adalah untuk menyedarkan mereka yang masih belum sedar tentang segala kepincangan yang ada di negara kita ini. 'The Big Durian' sememangnya bagus jika ia dijadikan bahan kaji selidik mengenai budaya Malaysia itu sendiri yang sering dibayangi rasa takut dan sering ditakutkan. Kita takut untuk membincangkan tentang hak-hak asas kita sebagai rakyat Malaysia; hak bersuara dan menyuarakan sebarang pendapat, isu perkauman, isu bahasa dan ISA. Semangat feudalisme yang dipupuk di kalangan ahli politik yang memegang tampuk kuasa membuatkan kita takut kepada daulat 'raja-raja baru' yang memerintah kita (seperti yang diperkatakan dengan 'eloquent' oleh Dr. Farish A. Noor). Cara Amir mengetengahkan perkara ini agak lucu. Lihat sahaja apabila watak yang dibawa oleh Patrick Teoh sibuk menceritakan tentang kepincangan sultan-sultan kita. Beliau bercerita tentang pengalamannya bekerja dengan beberapa orang sultan. Ada yang baik dan ada pula yang berperangai buruk. Retorik 'anti-royalist' bukan satu perkara yang baru. Tetapi apa yang diketengahkan secara simboliknya mungkin bukan mengenai alkisah kehidupan para kerabat Diraja yang kita ada, tetapi lebih kepada sifat-sifat hipokrit 'raja-raja baru' yang telah saya sebutkan di atas. Pada bahagian akhir, watak Muluk diketengahkan sekali lagi. Kali ini, seperti dalam kartasis, Muluk memberitahu bahawa beliau mencemburui prebet Adam, kerana sekurang-kurangnya, prebet Adam dapat melepaskan segala-galanya yang terbuku di dalam jiwanya, walaupun dengan mengamuk. Muluk, seperti jua kebanyakan dari kita, tidak termampu untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati kita. Segala ketidakpuasan yang ada, terpaksa dipendamkan terus, mungkin kerana kita takut dan sering ditakut-takutkan… Seperti buah durian, filem 'The Big Durian' ini terkandung pelbagai persoalan dan isu-isu yang runcing dan meruncing ('thorny issues) yang mampu menusuk perasaan. Walaupun berkulit keras dan tajam, ia perlu kita kupas untuk kita ketahui apa yang terkandung dalam isinya. Bak kata Amir: "Filem ini mungkin nampak berat dan tajam tapi boleh dinikmati untuk segmen-segmennya yang lazat ... biarpun ada juga yang mungkin jadi loya." Rating: 4/5 Dua keping gambar yang telah diambil pada Tayangan Amal Perdana filem The Big Durian boleh dilihat di sini! * Suggest a column/blog topic Oleh Nizam Zakaria
|