zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-04-25 - 12:26 p.m.

Dewasa ini, kita dapat menyaksikan kepelbagaian dalam anjakan selera para pendengar musik di negara ini. Pelbagai rentak dan genre disajikan. Ini termasuklah lagu-lagu dakwah atau nasyid (seperti dibangkitkan), yang sering disampaikan oleh kumpulan-kumpulan nasyid itu sendiri.

Perkara ini diperhatikan sendiri oleh Dr. Farish Noor. Beliau ada menyentuh perkara ini dan dibincang lanjut dalam eseinya yang bertajuk: 'Sugar Baby Love'. Menurutnya, jika satu ketika dahulu, lagu-lagu Inggeris sering berkumandang di dalam kampus, tetapi buat masa ini, warga-warga kampus lebih cenderung mendengar lagu-lagu nasyid. Perkara ini tidak berapa disenanginya, kerana beliau dan mereka yang segenerasi dengannya (seperti saya sendiri) lebih senang mendengar lagu-lagu barat: "…the staple diet of Raihan and other nasyid bands that was on offer in campus was dicidedly off-putting."

Saya masih ingat lagi bahawa satu ketika dahulu, kumpulan-kumpulan nasyid dianggotai oleh kaum wanita. Lagu-lagu dari kumpulan seperti Al-Mizan dan Al-Jawaher sering berkumandang di corong radio pada era awal 80-an dahulu. Tatkala itu, kumpulan-kumpulan nasyid retro ini sinonim dengan wanita… Kemudian mereka senyap begitu sahaja dan kepopularan lagu-lagu nasyid juga jatuh dan tidak kedengaran lagi kecualilah di pertandingan kecil-kecilan di peringkat sekolah rendah dan sebagainya.

Pada pertengahan tahun 90-an kita dapat melihat kebangkitan genre nasyid ini melalui kehadiran kumpulan Raihan. Kumpulan ini mendapat sambutan yang hangat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura dan di Brunei. Kemunculan mereka juga disifatkan sebagai membawa ‘resipi baru’ dalam melonjakkan jualan album yang sudah lama ‘layu’. Selepas munculnya Raihan, bermacam jenis kumpulan nasyid muncul di negara kita bak cendawan tumbuh selepas hujan. Secara peribadi, kebanyakannya saya anggap adalah klon Raihan tanpa sebarang keistimewaan. Suara, konsep dan imej yang mereka bawa semuanya sama. Tak banyak yang berbeza.

Saya lebih meminati lagu-lagu dakwah yang bersifat universal. Perkara ini saya anggap penting, kerana lagu-lagu berbentuk dakwah dan keTuhanan yang lebih universal pendekatannya sepertimana yang dibawa oleh kumpulan Dewa, M. Nasir dan Ramli Sarip, lebih banyak meresap ke dalam jiwa saya dari lagu-lagu yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan nasyid seperti Rabbani, In-team dan Raihan. Di barat, pendekatan lagu-lagu 'gospel' dan 'Christian music' sudah lama di`warna warni`kan. Lagu-lagu yang dibawa oleh Creed, Jars of Clay dan Amy Grant boleh diterima ramai, walaupun pada dasarnya mereka diletakkan dalam kategori 'Christian music'.

Kesempatan ‘menemuramah’ Kumpulan Firdaus tidak saya persiakan untuk mendalami genre nasyid dan sedikit sebanyak ingin menyentuh perjuangannya. Pada pendapat saya, Firdaus terkeluar (bukan tergelincir) sedikit dari acuan kumpulan-kumpulan nasyid yang ada. Lagu-lagu yang mereka bawa lebih universal, ringkas dan senang saya dengar. Saya cukup selesa dengan penampilan mereka serta lagu-lagu yang mereka bawa. Saya sempat ‘menemubual’ melalui email, saudara Idzwan, anggota kumpulan Firdaus yang mewakili kumpulan tersebut.

Ikutilah jawapan-jawapan yang diberikannya terhadap soalan-soalan yang diajukan:

NZ: Boleh saudara Idzwan perkenalkan kumpulan Firdaus ini satu persatu. Nama mereka, umur dan tempat lahir.

Firdaus: Kumpulan Firdaus dianggotai oleh seramai 4 orang yang terdiri daripada Mohd. Idzwan Yacob, Mohammad Tarmidi Mahli, Mohammad Ismandi Wasli dan Mohd. Rasul Mohd. Noor. Saya (Idzwan) berumur 25 tahun dan dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang. Tarmidi pula berumur 26 tahun dan dilahirkan di Kuching, Sarawak. Ismandi berumur 24 tahun dan dilahirkan di Kuching, Sarawak manakala Rasul berumur 25 tahun dan dilahirkan di Melaka.

NZ: Siapa yang menjadi ketua kumpulan ini? Siapa pula mengesyorkan nama Firdaus?

Firdaus: Pada ketika ini, saya bertindak sebagai ketua kumpulan. Nama Firdaus sebenarnya diasaskan oleh salah seorang bekas anggota kami iaitu saudara Khairil Azrin Rafli. Nama Firdaus diambil kerana ianya suatu nama yang mudah, ringkas dan diketahui maknanya oleh ramai orang. Ianya juga melambangkan konsep 'best of the best' kerana sebagaimana yang kita ketahui, Firdaus merupakan nama syurga yang paling tinggi darjatnya.

NZ: Sejak bila kumpulan Firdaus ditubuhkan dan siapa pula yang memulakannya?

Firdaus: Kumpulan Firdaus pada peringkat awalnya ditubuhkan pada tahun 1995 di Universiti Utara Malaysia. Ketika itu kumpulan ini ditubuhkan di peringkat universiti dan mempunyai bilangan anggota yang ramai. Orang yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan tersebut ialah saudara Khairil Azrin Rafli. Fungsi kumpulan nasyid Firdaus pada ketika itu lebih kepada persembahan-persembahan di peringkat kampus dan sekitarnya. Kumpulan Firdaus kerap kali juga mewakili universiti ke pertandingan nasyid inter-varsiti dan telah memperolehi beberapa kejayaan. Pengambilan ahli kumpulan tersebut ketika itu adalah berdasarkan 'batch' kemasukan para pelajar setiap tahun.

Hasil daripada perkembangan nasyid era 1997, di mana Raihan telah memulakan langkah yang cukup cemerlang, menyebabkan beberapa org anggota kumpulan Firdaus (diketuai oleh saudara Khairil Azrin Rafli) memberanikan diri untuk mencuba mengetengahkan bakat mereka ke peringkat rakaman album secara komersial. Secara ringkasnya, setelah melalui proses penghantaran demo tape dan uji bakat secara live, akhirnya pada 1 Ogos 1998 secara rasminya kumpulan Firdaus tertubuh sebagai sebuah kumpulan nasyid komersial di bawah syarikat rakaman Suria Records (SRC).

NZ: Apa yang sedang dilakukan oleh anggota Firdaus sekarang, kerana setahu saya, kumpulan ini dianggotai oleh para pelajar universiti. Jadi, di mana agaknya anggota-anggota kumpulan Firdaus ini belajar dan dalam jurusan apa?

Firdaus: Ketika ini 3 orang dari anggota kumpulan Firdaus sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana (master). Tarmidi melanjutkan pelajaran di UKM dalam bidang Teknologi Maklumat. Ismandi pula melanjutkan pelajaran di UUM dalam jurusan Sains Pengurusan manakala saya sendiri sedang melanjutkan pelajaran juga di UUM dalam bidang Kepintaran Buatan. Seorang lagi anggota kami akan melanjutkan pelajaran di UTM dalam bidang Sistem Maklumat Sumber Manusia mulai bulan Jun ini.

NZ: Jika The Brothers muncul dengan konsep nasyid R&B, Rabbani pula dengan irama pop yang progresif. Firdaus pula lebih dikenali dengan konsep musik yang macam mana?

Firdaus: Untuk album ketiga ini kami mendefinasikan muzik kami sebagai pop nasyid progresif. Melodi dalam keseluruhan album ini secara dasarnya bergerak atas landasan pop, progresif ini datangnya dari susunan muzik dan penggunaan instrumen yang menyerupai konsep sebuah band manakala nasyid itu sendiri lahir atas dasar lirik dan imej yang kami bawa.

NZ: Saya dapati kumpulan Firdaus adalah di antara beberapa kumpulan kecil artis di Malaysia yang telah benar-benar menggunakan Internet untuk memperkenalkan karya mereka dan mendekati peminat-peminat mereka. Adakah Internet satu saluran yang baik untuk tujuan promosi?

Saya amat bersetuju bahawa internet memberi impak dan kesan yang besar dalam mempromosikan sesuatu produk. Menyedari hakikat tersebut, kami cuba mengeksploitasi sebaik mungkin medium ini. Hasilnya memang menarik kerana jelas bahawa internet telah berjaya mendekatkan kami kepada para pendengar dan peminat kami.

NZ: Adakah Internet digunakan kerana kebanyakkan dari peminat-peminat Firdaus terdiri dari golongan pelajar dan mempunyai akses Internet?

Firdaus: Ianya mungkin secara kebetulan sahaja kerana sewaktu kami mula membangunkan laman web kami, kami tidak membangunkannya atas dasar yang saudara sebutkan itu. Namun setelah meneliti latarbelakang pengunjung laman web kami ternyata sememangnya 90% dari mereka merupakan golongan pelajar dengan akses internet.

NZ: Saya sebenarnya rasa seronok setelah dapat memindah turun musik video kumpulan Firdaus yang bertajuk Cinta dan Harapan. Perkara ini jarang-jarang dilakukan oleh penggiat musik tanahair, walaupun biasa terdapat di laman-laman rasmi pemuzik luar negara. Mengapa keputusan ini diambil dan berjayakah ia mempopularkan lagi single 'Cinta dan Harapan' ini?

Firdaus: Saya rasa telah sampai masanya penggiat muzik di Malaysia lebih bersikap terbuka terhadap revolusi hiburan menerusi medium internet. Saya sebenarnya melihat dari sudut yang lebih positif. Kaedah ini bagi kami merupakan saluran terbaik untuk mempopularkan single pertama kami itu. Malahan sewaktu muzik video itu mula dibuka untuk dipindahturun oleh pelawat, rating laman web kami meningkat secara mendadak. Dan lebih menarik, mereka yang telah memindahturun muzik video tersebut mula memberi komen dan pendapat yang baik untuk dikongsi bersama. Dan saya cukup optimis bahawa ianya amat membantu bagi menaikkan populariti lagu 'Cinta dan Harapan'. Malahan saya kini bercadang untuk membenarkan muat turun untuk muzik video kami yang lain pula.

NZ: Apa perasaan saudara apabila lagu 'Cinta dan Harapan' ini berjaya menduduki tempat yang pertama di carta nasyid ikim.fm?

Firdaus: Kedudukan carta tersebut ditentukan menerusi undian dan pilihan pendengar. Oleh itu apabila Cinta dan Harapan menjadi juara bagi carta nasyid, kami amat terharu kerana lagu tersebut berjaya memenuhi citarasa pendengar dan jelas para peminat memberi sokongan terhadap lagu tersebut. Agak menarik juga kerana lagu tersebut telah menjulang juara selama 6 minggu dan perkara ini sudah tentu menaikkan lagi semangat kami untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

NZ: Apakah konsep utama album Firdaus ketiga dan yang terbaru 'Cinta dan Harapan' ini?

Firdaus: Kami menerima tanggungjawab besar apabila buat pertama kalinya, kami dibenarkan untuk menentukan hala tuju album ini. Ini termasuklah pemilihan lagu, pemilihan penerbit serta pemilihan konsep.

Album ini jika dilihat dari aspek nasyid mungkin agak ekstrem penghasilannya. Sesetengah pendengar konservatif nasyid mungkin agak sukar menerima konsep sebegini. Ini kerana keseluruhan melodi dalam album ini berteraskan pop manakala kami lebih bersifat terbuka dalam penggunaan instrumen. Lebih menarik album ini, lebih dari 70% menggunakan persembahan muzik secara live. Susunan muziknya pula agak 'advance' dan lebih berani jika dilihat dari komposisi lagu nasyid yangg biasa. Susunan vokalnya pula agak berbeza dari susunan vokal kumpulan nasyid yang biasa kita dengar dan dari segi lirik kami cuba bersifat lebih global, universal dan cuba mendekati sesuatu subjek itu secara realiti, tidak terlalu idealistik. Apa yang kami lakukan adalah untuk mencari kelainan di samping berevolusi dengan muzik kerana muzik tidak seharusnya statik bahkan perlu berkembang untuk mencapai sesuatu yang baru. Secara ringkasnya, konsep album ini cuba mendekati muzik semasa dan sasaran khusus nya adalah remaja.

NZ: Bagaimana pula sambutan album-album yang terdahulu. Boleh saudara jelaskan sedikit, mungkin dari segi penerimaan peminat dan juga penjualan album. Demografinya pula bagaimana, maksud saya, saya sekadar meneka kumpulan Firdaus diminati oleh golongan pelajar, terutamanya di kalangan warga kampus. Mungkin telahan saya ini salah. Boleh jelaskan sedikit tentang hal ini dengan lebih lanjut lagi?

Firdaus: Album pertama kami agak pelik sedikit corak penjualannya. Ini kerana album tersebut terjual pada kuantiti yang sedikit tapi melalui period yang lama. Ini diakui sendiri oleh pihak syarikat rakaman kami yang mengiktiraf album kami sebagai satu-satunya album yang mempunyai tempoh jangka hayat yang panjang. Jika kebanyakan album pop bertahan secara maksimum selama 6 bulan, perkara berbeza berlaku pada album pertama kami kerana album tersebut bertahan lama. Akibatnya kami masih menerima royalti album pertama sekalipun album tersebut sudah melebihi 2 tahun di pasaran. Secara jumlahnya, kami dimaklumkan penjualannya melebihi 10,000, suatu jumlah yang dianggap baik bagi sebuah kumpulan baru seperti kami.

Pertukaran konsep yang mendadak pada album kedua memberi kesan kepada penjualan album tersebut. Sasaran penjualannya tidak dapat memintas album yang pertama. Walaubagaimanapun, pihak syarikat masih mendapat untung dan tidak mengalami kerugian.

Secara demografinya, kami melihat pembeli album kami lebih tertumpu kepada para pelajar di IPT, juga para pelajar sekolah dan golongan awal dewasa yang bekerja.

NZ: Boleh saudara beritahu secara lanjut, siapakah yang terlibat untuk proses pembikinan album 'Cinta dan Harapan'? Mengapa mereka dipilih dan adakah saudara puas dengan album yang terbaru ini?

Firdaus: Album ini diterbitkan oleh 2 orang yang boleh dianggap sebagai 'sifu' dalam industri nasyid ini. Mereka ialah saudara Isman Nadim Isam dan Mujahid Abdul Wahab. Pemilihan penerbit ditentukan oleh kami sendiri atas beberapa faktor. Antaranya kami berpuas hati bahkan mengagumi hasil kerja mereka sebelum ini. Kami juga secara dasarnya telah kenal lama lantas asas hubungan ini memudahkan kami untuk lebih selesa bekerja di studio kerana kaedah ini menggalakkan idea kreatif diluahkan tanpa rasa takut dan sebagainya. Kedua2 penerbit juga lebih bersifat terbuka dan membenarkan kami menentukan hala tuju album kami.

Dari aspek komposer, kami bersyukur kerana dapat bekerjasama mereka yang telah terkenal menghasilkan lagu2 yang bermutu tinggi. Agak menarik juga kerana kami kumpulan nasyid pertama yang dapat mendendangkan lagu ciptaan Ajai. Kami juga menerima lagu dari komposer yang terkenal dalam industri pop seperti Alfa Booty dan Rosli Selaseh. Kami juga mengetengahkan bakat baru dalam penulisan lagu iaitu saudara Khairil Azrin Rafli yang juga merupakan bekas anggota kumpulan kami.

Para penyusun dan para pemain muzik dalam album ini pula terdiri dari orang-orang yang cukup kami kagumi bakat mereka. Mereka ialah Along dan Ujang dari kumpulan Exists, serta Trabye dari kumpulan Metalasia. Bekerja bersama mereka adalah satu pengalaman berharga buat kami. Mereka bekerja secara cukup profesional untuk menghasilkan yang terbaik dan mampu menerima idea dan konsep yg kami cadangkan.

Secara keseluruhannya, penerbit telah memberi hasil kerja yang cukup berkualiti dan impresif. Album ini bagaimanapun boleh menjadi lebih baik jika beberapa kekangan tertentu dapat dihindarkan. Walaubagaimanapun, ianya adalah perkara biasa dalam industri muzik. Kita tidak dapat menjadi sempurna. Atas apa yang terhasil, saya secara peribadi cukup berpuas hati.

NZ: Mengapa Tomok telah dipilih untuk ditampilkan dalam lagu 'Cermin Duniawi'? Adalah beliau dipilih untuk menarik pendengar-pendengar remaja yang meminatinya?

Firdaus: Sebenarnya lagu tersebut telahpun kami rakam secara solo. Walaubagaimanapun, setelah kami meneliti hasilnya kami mendapati susunan lagu tersebut menjadi lebih cantik jika ianya dinyanyikan secara duet. Kami telah berbincang di studio dan kami bersetuju untuk memilih Tomok atas dasar bahawa beliau mempunyai peminat yang ramai dari kalangan remaja. Ini lebih kepada 'marketing strategy'. Walaubagaimanapun, tujuannya adalah baik kerana melalui kaedah ini, peminat beliau mungkin berminat untuk mendengar dan menerima persepsi baru berkaitan lagu nasyid.

Secara peribadi, hasil untuk lagu tersebut agak menarik. Ini kerana vokal Tomok untuk lagu tersebut berbeza dari vokal biasa beliau mendendangkan lagu-lagu New Boyz. Agak menarik juga apabila seorg wartawan menerusi kolum beliau menulis bahawa itulah kali pertama beliau suka mendengar Tomok menyanyi.

Kami beranggapan duet ini merupakan satu pembaharuan bahkan satu bonus buat peminat. Kami tidak menumpang populariti Tomok secara membabi buta sebaliknya mengeksploitasi secara lebih bijak.

NZ: Jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan nashid yang lain, perlu saya akui di sini bahawa saya lebih meminati kumpulan Firdaus kerana liriknya 'simple', 'puitis' dan lebih bersifat universal, maksud saya, tidak terlalu 'preachy'. Malah dalam album baru Firdaus, ada diselitkan lagu 'Perjalanan' yang seakan dipengaruhi lagu-lagu kumpulan Dewa. Kumpulan dari Indonesia ini terkenal membawa lagu-lagu yang bersifat ketuhanan yang amat dalam liriknya. Adakah perkara ini disengajakan?

Firdaus: Saya secara peribadi memang meminati kumpulan Dewa bahkan kumpulan-kumpulan lain dari Indonesia. Memang dalam album ini terselit 'influence' dari mereka yang kami kagumi. Lirik2 Dewa misalnya bersifat ketuhanan dan mempunyai maksud yang cukup mendalam. Persoalan keagamaan selalunya terlalu dikaitkan dengan perkara-perkara ibadah sedangkan Islam itu luas dan bersifat universal. Maka kami cuba mendekati subjek-subjek yang mungkin tidak diberi penekanan oleh kumpulan nasyid lain.

Seperti yang saya katakan di atas tadi, kami cuba melihat sesuatu isu itu secara realiti dan tidak terlalu idealistik. Falsafah dan fahaman mungkin membawa pengaruh besar dalam aspek ini. Ia mungkin disengajakan tetapi sifatnya dicampur aduk kerana kami tidak mahu terlihat terarah ke satu sudut sahaja.

Dari segi melodi dan muzik, memang ada kecenderungan dalam beberapa buah lagu kami, ianya dipengaruhi oleh muzik yang dibawa oleh Dewa, Melly, Sheila On 7 ataupun Padi. Tetapi ianya amat minimum, kami masih jelas ada konsep dan attitude kami yang tersendiri.

* Suggest a column/blog topic

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!