zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-04-30 - 11:42 a.m.

Ada banyak sebab mengapa saya meminati X-men. Salah satu darinya, saya mampu meletakkan diri saya kepada nasib yang dialami oleh golongan 'Mutants'. Saya cukup bersimpati dan memahami nasib golongan mereka yang dipinggirkan, dibenci dan ditakuti semata-mata kerana mereka lain dari yang lain.

Saya mula mengenali X-Men sejak dari tingkatan satu lagi. Kebetulan pada waktu itu saya berkawan dengan seorang kaki komik. Rakan saya adalah seorang peminat nombor satu X-Men. Setiap kali komik X-Men dikeluarkan, setiap kali itu jugalah dia akan membelinya. Dan kerana saya sering berulang alik ke Singapura dari Johor Bahru, saya sering disuruhnya membeli komik X-Men yang terbaru.

Kartun X-Men pula muncul di kaca TV beberapa tahun selepas itu. Semakin ramai yang mula mengenali watak-watak dalam dunia X-Men yang telah dicipta oleh Stan Lee. Nama-nama seperti Jean Gray (Famke Janssen), Wolverine (Hugh Jackman), Professor Charles Xavier (Patrick Stewart) dan Magneto (Ian McKellen) terus terukir di kepala kita.

Filem X2: X-Men United, filem kedua dari siri X-Men ini dikatakan sebagai filem yang terbesar yang dibuka secara serentak di panggung-panggung di seluruh dunia pada hari yang sama. Filem ini, setelah saya tonton, sukar rasanya untuk saya meletakkannya ke tepi tanpa diulas. Filem adalah salah satu daripada beberapa filem-filem 'summer blockbuster' yang ditunggu-tunggu selain dari filem 'Matrix Unloaded'. Filem X2 ternyata tidak mengecewakan, malah, bagi saya filem ini lebih baik dari siri pertamanya.

Sukar untuk filem dari siri kedua menyaingi filem dari siri pertamanya. Tapi bukan untuk X-Men. Mungkin kerana X-Men mempunyai kepelbagaian watak sehingga kita tertunggu-tunggu untuk melihat watak kegemaran kita muncul di layar perak (yang sebelum ini tidak disertakan dalam siri pertamanya). Bagi saya sendiri, saya cukup puas melihat watak Nightcrawler (Alan Cumming) dan terutamanya Collussus (Daniel Cudmore)--antara watak-watak kesayangan saya muncul, walaupun sekejap.

Saya rasa, X2 lebih kompleks memandangkan terdapat lebih ramai karektor dalam filem ini. Kali ini juga, kita tidak lagi perlu diberatkan lagi dengan sub-plot untuk memperkenalkan watak-watak utama.

Bahagian pembukaan filem ini sahaja sudah cukup gah rasanya. Kita akan dibawa ke Rumah Putih. Di sana kita akan dapat melihat Nightcrawler dengan aksi lincahnya dan kebolehannya untuk hilang dan muncul sesuka hatinya (teleportation). Nightcrawler cuba membunuh President, tetapi percubaannya berjaya digagalkan…

Akibat tindakannya itu, golongan Mutant semakin tersisih. Kini terdapat pula ura-ura untuk menangkap golongan Mutant dan mengenalpasti siapa mereka sebenarnya. Perkara ini diketuai oleh General Williams Stryker (Brian Cox), yang nampaknya bersungguh-sungguh mahu memusnahkan golongan Mutant (saya tak akan beritahu mengapa dan kenapa, lagipun banyak juga 'suprises' dalam filem ini yang tidak akan saya beritahu). Dalam pada itu, President AS mahu meluluskan Akta Pendaftaran Anti-Mutant (The Anti-Mutant Registration Act) yang dikhuatiri akan menyukarkan lagi hidup golongan Mutant. Tak tahu pula apa logiknya jika akta ini diluluskan di AS, akan memberi kesan kepada kehidupan Mutant di seluruh dunia. Diharapkan, jika golongan ini benar-benar wujud, kita di Malaysia tidak akan cepat melatah dan melakukan perkara yang sama (but then again, we have ISA).

Filem X2 diarahkan oleh sutradara Bryan Singer. Karyanya sebelum ini, 'The Usual Suspect' memang sebuah filem yang menakjubkan. Kelebihan Singer untuk bermain dengan watak yang komplek digunakan dengan sebaiknya dalam filem ini. Dalam filem X2, unsur-unsur drama dan persoalan yang tersirat dapat telah disalurkan oleh Singer dengan baik ke dalam sebuah filem aksi seperti ini.

X2 mempersembahkan tiga konflik dengan tiga tunjang utama. Professor Charles Xavier yang mempercayai bahawa golongan Mutant boleh diasimilasikan dengan masyarakat manusia. Magneto yang mahu menghapuskan golongan manusia sama sekali dari muka bumi ini dan General Williams Stryker yang ingin menghapuskan golongan Mutant, tidak kira jika mereka dari paksi Professor Charles Xavier ataupun Magneto.

Dengan adanya 'villain' seperti Stryker, maka Professor Charles Xavier akhirnya terpaksa berganding bahu dengan Magneto untuk memastikan survival golongan Mutant. Perkara ini saya anggap menarik kerana sebelum ini mereka bermusuhan.

Saya cukup berpuas hati dengan X2 kerana filem ini lebih setia mengadaptasi versi komiknya, terutamanya dari segi perjalanan cerita dan watak yang ada. Sebagai contoh, watak Wolverine diberatkan lagi dan penonton yang tidak biasa dengan latar belakang watak Wolverine ini akan serba sedikit mempelajari dengan asal usul kejadiannya.

Aspek percintaan dan rasa cemburu juga cuba diterokai dalam filem ini. Dalam filem ini kita dapat melihat cinta tiga segi di antara Jean Gray dengan Cyclops dan Wolverine. Juga, di antara Rogue (Anna Paquin) dengan Iceman (Shawn Ashmore) dan Wolverine.

Ada beberapa adegan dalam filem ini yang saya dapati penuh dengan makna-makna yang tersirat. Salah satu darinya adalah adegan Iceman memberitahu kepada orang tuanya bahawa beliau adalah seorang Mutant. Walaubagaimanapun, kita boleh melihat bahawa keluarganya kurang mahu memahami. Malah ibunya telah bertanya dengan penuh harapan dan jelek: "Have you tried not being a mutant?"

Dalam satu adegan yang berasingan, Nightcrawler bertanyakan kepada Mystique (Rebecca Romijn-Stamos) mengapa beliau tidak mahu mengubah keadaannya terus kepada wajah dan tubuh manusia biasa, sedangkan beliau mampu melakukannya. Dengan bersahaja dan bangga Mystique memberitahu bahawa sebagai Mutant, dia tidak payah melakukan ini semua. Mystique bangga dengan kejadiannya, dan Nightcrawler pula puas dengan jawapan yang diterimanya, kerana akhirnya beliau dapat menemui satu golongan yang sealiran dan senasib dengannya.

Adegan-adegan seperti ini mungkin dapat difahami dengan lebih baik, terutamanya oleh golongan yang disisih dan tersisih oleh mereka yang menganggap diri mereka 'normal'.

Watak yang paling saya senangi dalam filem ini adalah watak Nightcrawler seperti yang telah dilakonkan dengan cemerlang oleh Alan Cumming. Dengan loghat Jerman yang pekat, wajahnya yang hitam serta berekor panjang dan sifatnya yang kuat beragama menampakan paradoks yang ada dalam watak yang kompleks ini. Dari awal-awal lagi tatkala mengenali watak ini melalui pembacaan komik, saya sudah bersimpati terhadap watak Nightcrawler. Apabila menonton X2, perkara yang sama dapat saya rasakan juga.

X2 lebih berjaya menonjolkan kuasa Professor Charles Xavier dari siri pertamanya. Kali ini kita dapat melihat bagaimana beliau dapat menguasai fikiran manusia, lantas melakukan apa sahaja yang dimahukannya. Jelas kini, bahawa Professor Charles Xavier adalah seorang Mutant yang mempunyai kuasa yang luar biasa, bukan sekadar membaca fikiran orang lain.

Magneto pula dapat kita lihat kekuatan kuasanya dan apa yang mampu dilakukannya hanya dengan berbekalkan logam besi. Perhatikan bagaimana besi akhirnya berjaya diseludup masuk ke dalam penjara plastik Magneto (lengkap dengan kerusi plastik Philippe Starck).

Bahagian klimaks filem X2 memang menarik, terutamanya aksi gaduh di antara Wolverine dengan Deathstike (Kelly Hu). Kita juga pasti akan terkejut dengan keputusan yang akan diambil oleh Jean Gray dan segala apa yang akan berlaku kepadanya selepas itu…

Pendek kata, saya cukup puas dengan filem X2. Filem ini memang tidak dinafikan 'tak masuk dek akal'. Tetapi ketepikan semua ini. Tumpukan kepada jalan cerita, aksi, kesan khas yang menakjubkan serta persoalan dari sub-plot yang ingin disampaikan.

Rating: 4/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!