|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-05-09 - 2:35 p.m.
Saya rasa masih terdapat ramai di antara kita yang belum lagi mengenali Yasmin Ahmad secara dekat. Tetapi saya yakin, pasti ramai yang telah menyaksikan hasil kerjanya di kaca TV dan mungkin berbicara tentangnya sesama rakan taulan kita. Di antara hasil-hasil kerjanya yang sudah kita biasa tonton adalah siri iklan Petronas yang digunakan khas untuk hari-hari keramaian di Malaysia, seperti sambutan Hari Raya dan sambutan Hari Merdeka. Naratif penceritaan yang Yasmin gunakan dalam iklan-iklan yang diarahkannya telah menjadi 'trademark', sehingga kita di Malaysia sudah mampu membuat andaian bahawa persembahannya pasti akan terkandung unsur-unsur nostalgia dan 'retrospect'. Kebanyakkan dari kita tidak pernah muak untuk terus melihat nashkahnya. Hampir setiap kali datangnya hari keramaian, saya yakin kita akan tertunggu-tunggu iklan yang terbaru hasil pembikinannya (yang dibuat oleh agensi pengiklanan Leo Burnett). Iklan Petronas yang bertajuk 'forgiving' mampu menimbulkan rasa sebak dalam hati saya. Untuk iklan yang sama, Yasmin Ahmad (bersama Tan Yew Leong dari Leo Burnett) telah dianugerahkan hadiah 'Best Director; Gold Award Winner' dalam anugerah 4th Malaysian Video Awards (kalau tak salah saya telah diadakan pada tahun 1999). Baru-baru ini Yasmin telah melangkah setapak lagi dengan mengarahkan sebuah telemovie bertajuk Rabun. Pada awal minggu ini, ia telah ditayangkan kepada ahli-ahli Kelab Seni Filem Malaysia di HELP Institute yang terletak di Pusat Bandar Damansara. Saya telah berkesempatan untuk menemubual Yasmin tentang penglibatannya dalam pembikinan filem ini, dan berikut adalah hasil wawancara e-mail yang telah saya lakukan bersamanya: NZ: Bagaimana agaknya saudari mendapat idea untuk membuat filem Rabun? Yasmin: Filem Rabun berdasar kisah benar yang berlaku ke atas ibu bapa saya sendiri. NZ: Adakah 'Rabun' sebuah filem berdasarkan cerita yang pernah saudari alami sendiri? Boleh saudari cerita sedikit tentang filem ini, maksud saya mungkin saudari boleh bentangkan sinopsis ringkasnya kepada kita. Yasmin: Dalam bahasa Inggeris ok? Sebab memang sudah ditulis dulu untuk Singapore International Film Festival. "Pak Atan and Mak Inom, a retired couple in their 60's, were getting tired of the city. Having inherited her late father's house in the village, Mak Inom jumps at the chance for them to live in the country again. Things seemed rosy for a while for the eccentric and openly-affectionate couple - fresh air, lush greenery, kind country folks - but before long, events took an unexpected turn. Pak Atan and Mak Inom were now forced to re-assess their perceptions of both the country, and the city." NZ: Mengapa saudari memilih tajuk 'Rabun'? Yasmin: Sebab in many ways, kita semua Rabun. Hanya melihat apa yang mahu dilihat. NZ: Berapa lama proses dari mula ke akhir pembikinan filem ini? Yasmin: Shooting 7 hari. Post production 2 minggu. NZ: Siapakah yang telah terlibat untuk pembikinan filem ini? Yasmin: Financing, Grand Brilliance. Penerbit, Rosnah Kassim. Pengarah seni, Odeng dan Ujang. Pengarah fotografi, Keong Low. Penyunting, Affandi Jamaludin. Pelakon-pelakon utama - M.Rajoli, Kartina Aziz, Rosie Rashid. NZ: Adakah saudari Yasmin terpaksa menghadapi apa-apa kesukaran tatkala melaksanakan projek ini? Yasmin: Alhamdulillah, takde. NZ: Sebagai seorang pengarah, tema dan persoalan apakah yang mahu saudari salurkan dalam nashkah Rabun ini? Yasmin: Betapa mustahaknya bagi manusia untuk memberi kasih sayang dan kemaafan dalam kehidupan. NZ: Filem ini telah ditayangkan dalam seleksi Festival Fringe' di 16th Singapore International Film Festival (lantas ditayangkan di Goethe-Institut). Bagaimana agaknya penerimaan penonton-penonton di Singapura tatkala mereka selesai menonton filem ini. Yasmin: Alhamdulillah, ada yang bangun bertepuk! NZ: Bagaimana pula agaknya penerimaan penonton di Malaysia nanti. Sehingga kini, apa komen yang saudari terima? Yasmin: Komen yang paling saya suka - "Eh, bila aku tua nanti, aku nak macam tu dengan suami aku." NZ: Bila agaknya penonton-penonton seperti saya dapat menonton filem ini? Dan di mana? Yasmin: Alamak, lu terlepas. Baru lepas ditayangkan oleh Kelab Seni Filem, pada hari isnin yang lalu. Tapi takpe. Insyaallah TV3 akan menayangkannya sebelum akhir tahun. NZ: Siapakah pengarah filem yang hasil karyanya paling saudari kagumi? Yasmin: Satyajit Ray. NZ: Apakah filem yang paling saudari minati dan mengapa? Yasmin: "Apu Trilogy" oleh Satyajiy Ray. Sebab sungguh pun murah penerbitannya, filem-filem itu tersangat powerful. NZ: Adakah saudari rasa sebuah medium filem mampu merubah penontonnya agar lebih memahami tentang satu-satu isu yang dibentangkan? Yasmin: Allahuwa'alam. NZ: Adakah pada satu hari nanti saudari akan terus mahu terlibat dalam dunia perfileman? Jika ya, filem yang bagaimana yang mahu saudari bikin? Apakah tema atau persoalan yang mahu saudari terokai? Yasmin: Filem-filem yang murah dan mudah untuk diterbit, tapi powerful. NZ: Apakah perbezaan dan persamaan di antara mengarahkan sebuah filem dan sebuah iklan? Medium apakah yang saudari rasa lebih berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton? Yasmin: Antara filem dengan iklan sebenarnya tak ada beza bagi saya. Dua-duanya mampu untuk meninggalkan kesan. NZ: Saudari lebih puas mengarahkan sebuah filem ataupun sebuah iklan? Yasmin: Filem lah. Sebab dia totally personal. NZ: Bercakap tentang iklan, mengapakah iklan-iklan yang saudari kendalikan atau arahkan sebagai seorang 'Creative Director' seolah mempunyai satu 'feel' yang konsisten. Sebagai contoh, iklan-iklan Petronas yang saudari bikin jelas nampak nostalgik dan retro. Adakah ini visi saudari sendiri, ataupun permintaan pelanggan? Yasmin: Setiap produk mesti ada "personality" tersendiri. Iklan korporat Petronas memang selalu saya tulis skripnya untuk menimbulkan kesedaran tentang soal sosial dan keluarga. Saya harap melalui iklan korporat Petronas kami, orang ramai akan berpendapat yang syarikat Petronas tu adalah sebuah syarikat yang bertanggung jawab atas keabadian rakyat. NZ: Saya pernah membaca satu komen di Internet yang saya rasa agak 'racist' yang menegur penampilan kaum India di kebanyakkan iklan-iklan Petronas. Perkara ini saya rasa timbul setelah adanya beberapa siri iklan untuk menyambut hari Merdeka. Saya hairan, mengapa perkara remeh seperti ini boleh dipersoalkan, tetapi perkara ini jelas menampakkan sikap segelintir penduduk di negara ini, terutamanya kaum Melayu sendiri. Mengapa saudari telah mengambil keputusan untuk menggunakan latar penceritaan keluarga India, sedangkan industri pengiklanan kita, sad to say, jarang sangat menampilkan kaum India sebagai talent? Yasmin: Memang saya dah lama hairan kenapa orang dari kaum India jarang diguna dalam iklan. Jadi, perfect lah untuk Petronas yang mana iklan-iklannya menimbulkan kesedaran. NZ: Dalam banyak-banyak iklan yang telah saudari bikin, iklan yang mana satu yang telah menimbulkan banyak kesan terhadap diri saudari sendiri? Yasmin: Iklan tidak mengubah nasib sesiapa. NZ: Bagaimana tahap dunia pengiklanan di Malaysia, jika dibandingkan dengan apa yang ada di rantau ini? Adakah kita sudah mencapai tahap yang baik? Yasmin: Baik dengan cara yang tersendiri. Bagi saya, tu ok apa. NZ: Apakah majalah yang saudari baca? Yasmin: Economist. NZ: Apakah nama buku yang sedang saudari baca sekarang? Yasmin: "Stupid White Men" oleh Michael Moore. NZ: Apakah rancangan TV yang paling saudari gemari? Yasmin: Jejak Rasul. NZ: Apakah filem terakhir yang saudari tonton di panggung? Yasmin: Baran. NZ: Ketika saudari masih kecil dahulu, apakah cita-cita saudari tatkala dewasa nanti? Yasmin: Tak pernah ada cita-cita. NZ: Apakah impian yang saudari ada yang masih belum terlaksana? Yasmin: Ingin belikan ibu-bapa sebuah banglo di atas bukit atau di tepi laut. NZ: Setelah saudari tiada lagi nanti, saudari mahu diingati sebagai apa? Yasmin: Sebagai seorang anak yang solih, dan seorang isteri yang solih. --- (snip) Ulasan filem 'Rabun' oleh Zulhabri Supian Malam semalam telah berlangsung tayangan perdana filem Rabun yang juga filem pertama arahan pengarah iklan komersial terkenal, Yasmin Ahmad di HELP Institute untuk ahli Kelab Seni Filem Malaysia. Kehadiran penonton yang saya anggarkan lebih kurang 70 orang juga amat membanggakan dan saya perhatikan ramai dari mereka ini mendaftar untuk menjadi ahli kelab pada ketika itu juga, sekaligus secara tidak langsung, bertambah ramailah ahli kelab ini. Penulis bebas, Fathi Aris Omar dan rakan-rakannya serta pengacara 3R, Low Ngai Yuen antara yang hadir. Filem ini pada mulanya tersenarai di dalam filem/telefilem yang akan ditayangkan pada slot Odisi di NTV7. Walaubagaimanapun, oleh kerana siri ini tidak dapat menayangkan versi penuh filem ini, Yasmin telah menarik filem ini keluar dan memberinya kepada TV3 untuk ditayangkan sepenuhnya sedikit masa lagi. Rabun juga telah ditayangkan di hadapan 'packed audience' di Festival Filem Antarabangsa Singapura yang baru lepas. Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan pasangan suami isteri, Pak Atan (M. Rajoli) dan Mak Inom (Kartina Aziz) yang baru sahaja pencen dan hidup dengan penuh kasih sayang dan juga keanehan seperti suka bermain dan berlawak seperti kanak-kanak yang jarang terdapat pada orang lain. Suatu hari, Pak Atan dan Mak Inom yang tinggal di bandar bersama anak perempuannya mendapat peluang untuk berpindah ke rumah yang diwarisi daripada bapanya di kampungnya. Walaupun begitu, mereka tidak akan menetap di situ sebaliknya hanya akan berada di situ ketika di hujung minggu. Pak Atan dan Mak Inom ini mempunyai satu tabiat yang buruk iaitu suka untuk menilai orang pada luarannya dan antaranya adalah anggapannya bahawa orang di kampung itu baik-baik belaka dan yang hodoh serta buruk itu adalah milik orang bandar. Yem, anak lelaki Kak Nor yang juga jiran Mak Inom adalah seorang lelaki yang pendiam dan ini membuatkan Mak Inom menganggapnya seorang lelaki yang baik. Malangnya pada suatu hari, segala tembelang Yem pecah jua akhirnya apabila lelaki Cina yang diupah oleh Mak Inom untuk membuat lantai simen di hadapan rumahnya memberitahu Mak Inom kos yang sebenarnya ialah RM1000 bukannya RM2000 seperti yang diberitahu Yem. Selepas kejadian itu, Mak Inom telah tidak akan mempercayai seseorang itu sepenuhnya dan membuat penilaian secara semborono. Rabun ini, walaupun seperti yang dikatakan Yasmin, bukanlah filem yang ingin membicarakan tentang isu, sebaliknya hanya filem yang ingin memaparkan tentang kehidupan manusia, namun terlalu banyak isu yang sebenarnya timbul di permukaan dan juga boleh dikupas lebih jauh lagi. Di antara isu yang menarik untuk diperbahaskan adalah seperti sifat menunjuk-nunjuk, hasad dengki, permasalahan minda orang kampung dan juga pemuda kampung, pemikiran sempit dan stereotaip serta perpaduan. Namun sebagai filem pertama arahannya, saya sebagai audien biasa merasakan buah tangan sulungnya ini amat bernilai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat dan saya tidak sabar-sabar untuk membaca komen dan ulasan daripada pengkritik filem, wartawan hiburan terutamanya Gosip Kelip-Kelip dan Siti Jarum, orang-orang filem terutama sekali Yusof Haslam dan juga khalayak umum. Apa yang menarik sekali sebenarnya mengenai Rabun ini ialah ia berdasarkan kisah benar yang terjadi 15 tahun dahulu kepada ibu bapa Yasmin sendiri dan kehadiran ibu bapa Yasmin sendiri pada malam itu mendapat tepukan gemuruh daripada para audien yang kelihatannya begitu seronok dan terhibur dengan telatah Pak Atan dan Mak Inom sepanjang tayangan filem ini. Audien yang juga mewakili gambaran sebenar masyarakat Malaysia pada hari ini membuktikan bahawa filem/telefilem yang menggunakan medium berbahasa Melayu juga mampu untuk menarik perhatian asalkan kandungan dan tema filem itu mempunyai nilai seni dan penceritaan yang baik, apatah lagi jika ianya bermutu tinggi. Yasmin juga memberitahu bahawa filem ini mungkin akan diterbitkan di dalam bentuk vcd oleh penerbit di Singapura dan bukannya dari negara ini. Jika benarlah apa yang dikatakan dan apa yang saya dengar, amatlah malang sekali kerana jika karya sebegini tidak dihargai masyarakat kita sendiri, entahlah tak tahu apa nak dikata lagi. Mana perginya penerbit-penerbit di negara ini yang ketika ini berlumba-lumba menerbitkan 'home video' yang kebanyakan ceritanya berkisar kepada tema cinta dan komedi ringan. Kalaupun mungkin ada nanti, aku akan sangat gembira jika jualannya mampu mengalahkan angka jualan yang dicatat oleh cerita Aku Kaya. Oleh Nizam Zakaria
|