zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-05-19 - 11:33 a.m.

Danny Lim by Jerome Kugan

Gambar Danny Lim yang diambil dari laman Danlim Photosite

Danny Lim yang saya kenali adalah seorang penulis artikel yang mana tulisan-tulisannya sering keluar di beberapa buah majalah tempatan (juga di laman Kakiseni.com). Saya gemar membaca tulisan-tulisannya, (yang seringkali ditulis dalam Bahasa Inggeris) tetapi apa yang saya anggap lebih menarik tentang saudara Danny adalah karya-karya fotografinya.

Seperti saudara Danny, saya juga meminati bidang fotografi. Saya menganggap fotografi sebagai satu medium yang mampu bercerita. Fotografi merupakan cabang seni yang saya hormati dan yang paling dekat dengan jiwa saya. Sejak berusia belasan tahun, saya sering membawa kamera saya ke mana-mana sahaja saya pergi. Karya-karya fotografi dari Henri Cartier-Bresson, Bruce Weber, Herb Ritts, Helmut Newton dan Annie Leibovitz sering saya ikuti dan pelajari. Tetapi hanya sejak kebelakangan ini saya mula mengambil serius hobi saya ini. Saya cuba mempelajari cara-cara bercerita dengan menggunakan gambar. Kalau boleh, saya mahu melihat contoh-contoh penceritaan dari anak tempatan kita sendiri dan akhirnya saya diketemukan karya-karya fotografi saudara Danny.

Dengan mengadunkan teknik penceritaan 'photo essay' ke dalam karya-karya fotografinya, saudara Danny berjaya menghasilkan beberapa karya yang berjaya menyentuh perasaan saya. Seperti saudara Danny, istilah seni bagi saya adalah karya yang berjaya meransangkan sesuatu di dalam jiwa saya. Maka, jika satu-satu karya tidak berjaya meransangkan apa-apa perasaan dalam jiwa saya, tidak akan saya anggap karya itu mempunyai nilai seni (sekurang-kurangnya mengikut tafsiran saya sendiri).

Karya-karya fotografi saudara Danny saya anggap seni.

Saudara Danny adalah seorang penulis yang sibuk dan beliau ada kalanya akan dihantar ke luar negera untuk melakukan tugasan-tugasannya. Tetapi kita agak beruntung, memandangkan beliau telah meluangkan masanya untuk menjawab beberapa soalan yang melalui satu wawancara e-mail dengannya. Berikut adalah soalan-soalan yang telah saya tujukan kepadanya:

Nizam: Perkenalkan diri saudara kepada pembaca-pembaca kami. (nama, asal, pendidikan, pekerjaan dll)

Danny: Danny Lim, asal dari Melaka. Pendidikan? Tidak memadai, setakat A-levels. Makan gaji sebagai wartawan di sebuah surat akhbar mingguan. Umur 27. Yang lain, sepertimana yang tertera di laman web saya, "usah didefinisikan" (malu juga).

Nizam: Karya-karya fotografi saudara menjadi sumber inspirasi saya dalam bidang ini, lantas membuahkan hasil sebuah fotoblog. Jadi bagi pihak saudara sendiri, sejak bila saudara mula berkecimpung dalam dunia fotografi. Ada sesiapa dalam keluarga saudara yang meminati dunia fotografi seperti saudara?

Danny: [Amaran harus diberi bahawa saya digalakkan oleh saudara 'Nizam' untuk membebel panjang-panjang.]

Bermulanya dengan kekecewaan. April 2001, saya berkesempatan berkunjung ke luar negeri - first time dalam hidup saya (Singapura tak kira lah). Ke Adelaide di Australia dengan ikhsan Perbadanan Pelancongan Australia untuk sebuah 'junket' (kunjungan kerja?). Syok jugak dapat naik kapal terbang, tiba sana diselimuti hawa dingin walaupun cahaya matahari terang memancar; tengok kangaroo dan orang putih yang bukan pelancong ataupun wartawan. Timbulnya keinginan untuk merakamkan segalanya - mungkin untuk membuktikan kepada keluarga, mungkin juga kepada diri sendiri bahawa betul-betul saya mengecapi tanah orang asing (Singapura tak kira lah). Eh, dah jadi cerita panjang dongeng dah… pinjam kamera daripada kawan (yang berada di Adelaide), klik-klik-klik-klik-klik ("membabi-buta" mungkin tepat menggambarkan 'teknik' fotografi saya pada masa itu) sehingga memakan 13 gulungan filem dedahan 36. Tiga minggu kemudian setelah pulang ke tanahair, siap diproses di kedai foto, bayar beratus-ratus ringgit ("once a lifetime" saya meyakinkan diri) dan hasilnya: Beratus-ratus gambar yang langsung tidak bernilai novelti, tak payah menilaikan estetikanya. Saya tahu yang ada di antara kawan-kawan saya yang kreatif imaginasinya boleh menghayati nilai-nilai seni daripada koleksi foto itu; namun bagi saya, to call a spade a spade, setiap foto-foto itu teruk maut.

Kekecewaan itu (dan tidak melupakan beratusan ringgit yang dibelanjakan) seperti iktibar yang mendorong saya untuk lebih serius dalam bidang fotografi. Ia seakan seks tanpa mencapai orgasme. Picit, picit, picit, tapi tak pancut. (Ataupun, kalau nak analogi yang lebih tepat, hasil pancutannya kurang, errr..sedap).

Lepas itu saya meminjam kamera SLR manual daripada kawan saya, Alvin, selama enam bulan dimana saya asyik mengambil foto rakan-rakan berlepak di kedai mamak. Inspirasi juga datang dari seorang lagi sahabat karib saya, Pang, seorang jurugambar profesional yang telah memberikan khidmatnya untuk mengambil foto mengenai kedai buku ayah saya sebelum kedai itu dijual.

Fotografi adalah antara bidang seni yang paling accessible. Mudah untuk diceburi dan diminati sesiapun. Tapi tiada sesiapa dalam keluarga saya yang 'berkarya' dalam bidang fotografi.

Nizam: Saya betul-betul meminati cara saudara berkarya dalam genre foto-esei. Malah saya betul-betul tersentuh tatkala menelaah salah satu karya saudara; 'Bookstore: Remains of the Day'. Saudara bijak mengatur kata-kata dan menyulaminya ke dalam bentuk naratif fotografi. Jadi saya mahu tahu, dari manakah saudara mendapat ilham untuk berkarya. Dan mengapa saudara mahu berkarya?

Danny: Fooh. Dahsyat soalan-soalan ni.

Mengenai 'karya' Bookstore itu, secara spesifiknya, ternyata karya itu diilhamkan oleh hajat saya untuk menghasilkan sebuah eulogy. Ia merupakan sebuah penghormatan kepada suatu aspek hidup keluarga saya yang sungguh berpengaruh - kedai buku yang diketuruni datuk moyang saya. Banyak sekali memori pahit manis keluarga saya dikandungi di dalam kedai dua tingkat itu. Hajat saya juga untuk merakamkan imej tempat yang penuh bersejarah bagi ayah saya sebelum ia dikunci dan dijual dan mungkin diubahsuaikan (mengikut sukahati pemilik baru). Ia merupakan tempat di mana ayah saya dilahirkan, dididik; di mana dia telah hidup dan bekerja selama lebih daripada tujuh puluh tahun. Tiba-tiba dia telah hilang tempat yang mendefinisikannya. Sekarang dia duduk di rumah membaca buku dan menonton tv pagi-petang hingga malam, seumpama telah hilang fungsinya. Ya, memang tidak disangkalkan ia sebuah projek yang mengelamun di dalam nostalgia.

Keberkesanan projek ini bergantung kepada hasil fotografi Pang, yang telah berjaya menjelmakan emosi dan nostalgia yang terterap di halaman dan bilik-bilik kedai itu - sambil mengelakkan hasilnya daripada kelihatan licik atau cliché.

Ilham dari segi luasnya, mana tahu. Pasti saya tidak salah mengatakan bahawa kita semua penagih budaya dan seni. Pengaruh dari punca tak terbilang. Mungkin tidak salah juga untuk saya mengandaikan bahawa kita semua sedikit-sebanyak berkencederungan kepada budaya barat, apatalah lagi kita di Malaysia (dan Singapura) belajar dalam sistem pendidikan yang dituruni penjajah British dan didedahkan kepada media dikuasai Amerika. Kedai buku ayah saya itu banyak menjual buku-buku bahasa Inggeris, baik sastera highbrow (yang kurang laris jualannya), mahupun roman picisan lowbrow (yang lebih laris dijual tetapi ada juga pembaca kedekut yang berkemah di kedai siang-hingga-malam menghabiskan novel demi novel). Saya bacalah semua itu. Buku-buku BM, pakejnya kurang menggoda - ya, memang saya superficial menilaikan buku dari segi kulitnya. Jika adapun, ceritanya membosankan, selain ada adegan-adegan intim yang berkenaan dengan "penanggalan coli" dan sebagainya. Buku bahasa Cina tak dijual. Tak paham pun. Majalah pun, baca sampai muak, sampai Cosmopolitan dengan kuiz yang boleh menilaikan kehandalan bersenggama turut dibaca.

Nizam: Siapakah jurufoto yang menjadi idola saudara? Mengapa saudara mengagumi karyanya?

Saya tidak berapa tahu mengenai tokoh-tokoh dalam dunia fotografi. Biarpun tokoh ataupun amatur, sesiapapun saya kagumi, selagi fotonya berkualiti. Saya menyamakan diri kepada peminat bolasepak yang asyik ke padang taman untuk bermain bola, tanpa menghiraukan siapa Zidane atau Vieri, ataupun mengikuti perkembangan Liga Bolasepak Inggeris (dan sebagainya).

Nizam: Selain dari fotografi, ada cabang seni yang lain yang saudara ceburi atau minati?

Danny: Yang diminati memang banyak - filem, muzik, teater, sastera, etc. Mungkin saya kurang peka kepada seni tarian. Menceburi seni bukan senang. Mesti ada bakat.

Nizam: Saudara lebih suka berkarya dalam bentuk foto berwarna ataupun hitam putih?

Danny: No preference. Ada orang yang meromantiskan foto hitam putih tetapi saya rasa pilihan itu mesti kena kepada keadaan (subjek, tema, cahaya perseketiran, dll.)

Nizam: Yang mana rasanya menjadi kegemaran saudara; mengambil gambar tempat ataupun orang?

Danny: Pada asasnya, no preference juga. Namun demikian, bagi tahap kemahiran saya yang masih kira 'beginner', mengambil orang sebagai subjek lebih senang menjadikan sesebuah foto itu lebih menarik, biarpun teknik kurang cekap. Capturing genuine emotions at the right moment can allow a photograph to transcend the limitations of technique.

Nizam: Saya pasti saudara mempunyai karya atau subjek yang benar-benar menyentuh perasaan saudara. Boleh saudara ceritakan sedikit mengenainya?

Danny: Kalau karya saya sendiri, belum ada apa yang saya boleh ketengahkan. Subjek, memang luas, merangkumi isu-isu yang pasti anda dan ramai pembaca laman web ini juga berminat. Seks, sosio-politik, seni, biasa lah. Tetapi tidak ada mana-mana satu isu yang rapat dengan hati saya. Sedih, eh?

Nizam: Kalau boleh, saya mahu saudara sertakan bersama dua karya (fotografi) yang menjadi karya yang paling saudara sukai, dan jelaskan kepada kami (pembaca) mengapa karya ini menjadi karya kesayangan saudara, selain dari menjawab soalan-soalan di bawah:

Danny:

1. partyjun01_01.jpg

Foto pertama saya yang boleh dikira 'cantik' nilai estetikanya. Tetapi kira nasib lah, guna kamera automatik kawan saya, pakai tembak je. Alvin yang 'bersandar' di dinding tu juga pandai posing.

2. 0301_thai_train010.jpg

Foto ini diambil ketika saya melancung naik keretapi awal tahun ini, semasa perjalanan di dalam Keretapi Thai ke Bangkok. Komposisi dan warnanya baik, tapi itu bukan sebab-sebab utama foto ini paling diminati. Apa yang menarik adalah pada saat foto ini diambil perempuan itu belum sedar bahawa saya sedang menuju kamera saya ke arahnya. Renungannya suatu yang tulen, bukan 'posing',dan penuh tersirat dengan emosi terpendam. Sebelum itu kamera saya dituju ke luar jendela keretapi, mengambil gambar persekitaran jalan keretapi. Gambar ni tidak berada di laman web saya.

Berbanding dengan foto ini, yang juga saya minati, di mana Zedeck telahpun sedar saya akan mengambil fotonya. Walaupun dia cuba beraksi 'natural', renungannya pada pendapat saya sudah hilang 'ketulenannya' kerana ia sedikit-sebanyak dipengaruhi oleh kesedaran bahawa ia akan dirakamkan.

Nizam: Bagi saudara, apa itu seni?

Danny: Ish. Memang walau apa pun jawapan saya, dah tentu saya akan habis kena belasah. Sebab itu saya akan cuba. Seni bagi saya ialah apa jua karya yang merangsangkan sesuatu di dalam diri kita. Kualiti karya seni itu terpulang kepada betapa efektifnya reaksi yang dikehendaki (oleh pengkarya) terjelma di dalam target audience seni itu.

Nizam: Soalan yang terakhir buat saudara, apakah yang menjadi obsesi saudara buat masa ini. Adakah saudara mempunyai satu perjuangan yang perlu saudara lakukan?

Danny: Sejak kebelakangan ini obsesi-obsesi saya berkeliaran. Tetapi saya masih belum menemui/mencari perjuangan atau obsesi yang benar-benar terpahat dihati saya. Ya, seperti lagu U2 tu.

* Suggest a column/blog topic

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!