zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-05-27 - 2:00 p.m.

Ronggeng Rokiah persembahan teater arahan Dr. Anuar Nor Arai merupakan sebuah persembahan yang berjiwa besar. Bukan sahaja kerana inilah persembahan teater pertama yang dilabel 18SX yang dimainkan di Istana Budaya atau kerana ia berlarutan sehingga lebih tiga jam, tetapi kerana tema serta persoalan yang ditonjolkannya agak berat.

Ronggeng Rokiah adalah sebuah karya noir di atas pentas. Mungkin ramai masih tidak terbiasa dengan istilah 'noir' ini. Untuk mengenali sebuah karya 'noir di atas pentas', kita perlu terlebih dahulu mengetahui apa itu 'film noir'. Film noir adalah sejenis filem genre yang sinonim dengan filem-filem detektif, misteri dan thriller yang terkenal pada tahun 40-an dan 50-an dahulu. Filem-filem noir seperti 'The Maltese Falcon', 'The Third Man' dan 'D.O.A' adalah contoh-contoh terbaik genre filem noir ini. Filem-filem ini mempunyai persamaan dari segi protagonis yang mempunyai nilai moral yang kabur, kewujudan 'femme fatale', dialog yang kaku dan keras serta mise-en-scene di lorong-lorong gelap yang sering diambil pada waktu malam.

Filem-filem noir ini menggunakan penataan cahaya yang menampakkan bayang-bayang gelap dan muram dan sebahagian lain pula terang. Kebanyakan filem-filem noir yang diterbitkan di Amerika pada zaman itu menampakkan keadaan hipokrasi dan korupsi masyarakatnya selepas perang.

Penggunaan noir dalam Ronggeng Rokiah agak bertepatan, memandangkan ia adalah satu produk sezaman dengannya. Saya telah difahamkan bahawa buat pertama kali, 200 buah lampu di pentas Istana Budaya telah digunakan dengan sepenuhnya untuk menimbulkan kesan noir ini.

Ronggeng Rokiah menceritakan tentang kehidupan Usman Players (Sahronizam Noor) yang mengenali rapat Rokiah Ronggeng (Safura Yaacob) yang hidup sebagai seorang penari kabaret di Happy World Cabaret. Dalam pergaulannya kita akan dibawa untuk mengenali karektor-karektor seperti Johan, Bakar, Raman Bedok dan Ajis.

Dunia Rokiah Ronggeng adalah dunia gangsterisme di North Bridge Road, dewan tari Happy World Cabaret dan bilik kecil Rokiah di Hotel Robinson di Orchard Road.

Dari awal pementasan telah digunakan teknik 'chiaroscuro' atau menggunakan bayang-bayang untuk menampilkan perbuatan masyarakat Melayu dalam dunia Ronggeng Rokiah. Saya rasa, dari segi teknikal, memang sesuatu yang boleh dibanggakan oleh tenaga-kerja Ronggeng Rokiah. Sebagai contoh, penataan cahaya agak baik walaupun tidak banyak kesan khas yang digunakan.

Rekaan set bagi saya agak menarik. Ketelitian itu ada, walaupun saya kurang pasti jika memang benar nama jalan di Singapura pada waktu itu ditulis dalam tulisan Jawi (North Bridge Road). Saya juga kurang pasti mengapa ada gambar Dato' Onn Jaafar dalam bilik hotel Rokiah. Saya mungkin faham jika ada gambar Ratu Elizabeth di sana, tapi siapa pula yang meletakkan gambar Dato' Onn di sana? Pastinya bukan pihak hotel. Mungkin Rokiah sendiri…

Agak menarik juga pergerakan tarian 'interpretive dance' ala Martha Graham yang agak stailistik digunakan secara konsisten dalam Ronggeng Rokiah. Bagi penonton yang tidak biasa, mungkin akan berasa sedikit janggal. Mereka mungkin akan tertanya-tanya mengapa para pelakon bergerak dan bertelingkah macam watak-watak dalam 'The West Side Story', tetapi inilah yang membuat Ronggeng Rokiah istimewa dan lain dari yang lain.

Suasana retro juga berjaya dihidupkan melalu pilihan lagu yang sesuai. Lagu tango yang sama digunakan berkali-kali mengingatkan saya kepada penggunaan lagu Amerika Latin dalam filem-filem Wang Kar-wai. Efek ini ternyata berkesan.

Sebenarnya, saya rasa adegan joget tango terlalu banyak. Sekali tunjuk memang seronok kita tonton. Dua atau tiga kali, hilang sedikit semangat 'novelty'nya. Setelah ditunjukkan beberapa kali berulang-ulang, rasa resah pula yang timbul dan memenatkan. Ronggeng Rokiah sebenarnya lebih banyak menampilkan tarian tango dari joget ronggeng. Adegan joget ronggeng hanya sekali sahaja ditonjolkan, dan inilah adegan yang paling seronok saya tonton. Jika dipelbagaikan sedikit tarian yang ada di Happy World Cabaret, seperti waltz, calypso dan rhumba, mungkin menarik. Tetapi saya yakin, tango telah dipilih kerana tarian tango lebih simbolik. Tarian tango mempunyai simbolisme seksual yang jelas. Ramai yang meminati dan mahu mendekati tarian ini. Di Broadway sendiri, persembahan teater 'Forever Tango' oleh Luis Bravo hangat diperkatakan. Filem 'Tango' oleh Carlos Saura pula mendapat tempat di kalangan peminat filem.

Saya rasa kurang selesa dengan penampilan watak-watak bangsa Cina dalam Ronggeng Rokiah seperti watak Jimmy Lee (Patrick Lim Moey Cheng) dan Taukeh Wong (Brando Lee Cha Fung) yang bagi saya terlalu stereotaip lengkap dengan pakaian ala Fu Manchu. Bukankah masyarakat Cina pada waktu itu agak sofistikated, terutamanya mereka yang berada di Singapura? Mengapa hanya pengunjung-pengunjung Melayu sahaja yang kelihatan memakai pakaian berkot, sedangkan taukeh-taukeh Cina pula masih terus berpakaian tradisi? Jika kita perhatikan kehidupan golongan peniaga Cina di Singapura (kebanyakan golongan atasan di Singapura berbangsa Cina Peranakan) ada kalanya mereka bersifat lebih Inggeris dari orang-orang Inggeris sendiri (bagi mereka yang rapat dengan teater Inggeris tempatan, sila rujuk kembali kepada persembahan teater monolog 'Emily of Emerald Hill).

Satu lagi perkara yang menggusarkan saya adalah pengunjung Happy World Cabaret. Mereka yang hadir hampir kesemua, (jika bukan semua) berbangsa Melayu, sedangkan pada waktu itu mereka yang berkunjung ke dewan kabaret untuk berjoget ronggeng terdiri daripada pengunjung Melayu dan Peranakan Cina. Penonjolan 'All Malay Cast' sebagai pengunjung Happy World Cabaret sekadar menepati antropomorfisme polarisasi kaum di Malaysia pada waktu ini, dan bukan suasana sebenar di Singapura pada tahun 50-an.

Seboleh-bolehnya, di lain kali saya mahu melihat penglibatan pelbagai kaum dalam pementasan di Malaysia. Tidak banyak rasanya pementasan teater Melayu yang menampilkan kepelbagaian kaum di Malaysia. 'Scorpion Orchid' merupakan salah satu pementasan yang sezaman dengan Ronggeng Rokiah yang saya rasa berjaya dalam hal ini, maksud saya, menampilkan pelakon serta watak dari pelbagai kaum di Malaysia.

Ada beberapa adegan dalam pementasan Ronggeng Rokiah yang kurang saya fahami. Saya kurang faham kepada fungsi atau mungkin simbolisme yang mahu dibentangkan. Sebagai contoh, apa fungsi disebalik adegan tarian naga diadakan? Apa pula yang mahu diceritakan di sebalik ungkapan 'Hidup Melayu' setelah Raman Bedok (Yahaya Hamid) membunuh Taukeh Wong. Apa mesej yang mahu disampaikan oleh Dr. Anuar dalam adegan yang agak meresahkan ini? Bagi saya, membunuh bukan satu alasan yang baik untuk memperjuangkan nasib sesuatu kaum. Mungkin apa yang ingin ditunjukkan Dr Anuar adalah sikap buruk sesetengah orang Melayu yang ingin melacurkan perjuangan Melayu itu sendiri… Mungkin juga.

Dalam Ronggeng Rokiah ada beberapa adegan yang pendek-pendek. Ada adegan yang lebih pendek dari jangkamasa pertukaran props/pelakon. Ada yang saya rasa kurang releven. Terlalu banyak sub-plot sehingga persembahan Ronggeng Rokiah ini hilang tumpuannya. Sebagai contoh, adegan Usman menari di atas motorsikal Norton 500cc meyakinkan saya mengapa pementasan ini patut diletakkan dalam kategori 18SX, tetapi adegan ini boleh disunting keluar tanpa mencacatkan cerita. Banyak kali agaknya saya fikirkan persembahan Ronggeng Rokiah perlu ada penyunting skrip yang baik. Dengan adanya suntingan skrip yang baik, pementasan noir di atas pentas ini boleh dipendekkan dan dipadatkan lagi, malah jalan penceritaan tidak lagi terlalu kabur sehingga ia sukar dijangkau oleh sesetengah penonton. Sebagai contoh, saya tidak faham mengapa watak Ajis (MD Hussein Hashim) tiba-tiba menjadi seorang anggota polis. Perkara ini tidak dijelaskan langsung. Mungkin, anggota polis itu bukan Ajis, tetapi dilakonkan kembali oleh MD Hussein Hashim (kerana kekurangan pelakon?). Jika benar Ajis menjadi polis, perkara ini perlu dijelaskan, walaupun secara 'subtle', agar kita tahu bahawa anak Boyan kelahiran Singapura yang menjadi samseng seperti Ajis mampu berubah lantas memilih jalan yang baik. Maka, bukan semua manusia Melayu dalam dunia Ronggeng Rokiah dibayangi pasrah.

Lakonan para pelakon dalam Ronggeng Rokiah agak baik. Kudos kepada Dr Anuar kerana mampu mendapatkan yang terbaik dari para pelakonnya. Pelakon utama Sahronizam Noor dan Safura Yaacob nampaknya dapat melakonkan watak-watak mereka dengan berkesan, begitu juga pelakon-pelakon yang lain. Mungkin juga, Safura dapat menyatakan kepada masyarakat seni tempatan, yang beliau begitu serius dalam bidang lakonan. Malahan, teater ini, boleh dianggap sebagai pencarian Safura selama ini, setelah ditimpa pelbagai malang sejak kebelakangan ini.

Sebagai seorang anak Singapura, Ronggeng Rokiah semestinya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa saya. Ada banyak perkara yang ingin saya tahu tentang latar belakang masyarakat Melayu di Singapura, terutamanya kisah-kisah sebelum merdeka. 'Permasalahan' orang Melayu ada diperkatakan dalam novel yang telah ditulis oleh A. Samad Said bertajuk 'Salina' serta dalam karya A. Samad Ismail yang bertajuk 'Rumah Kedai di Jalan Seladang'. Novel-novel yang saya sebutkan ini ada menonjolkan serba sedikit tentang kehidupan masyarakat Melayu di Singapura pada waktu itu. Dan kini muncul pula Ronggeng Rokiah untuk memperkayakan lagi karya seni dunia Melayu.

Pada waktu itu, (dan mungkin lagi sekarang) masyarakat Melayu masih tercari-cari akan identiti mereka sendiri. Fikiran mereka mungkin kabur akibat terlalu lama dijajah. Zaman yang penuh dengan dongeng dan mitos kegemilangan Melayu moden sebenarnya penuh dengan kebobrokannya yang tersendiri…

Maka, hanya dengan cermin yang retak seperti yang ada dalam bilik kecil Rokiah yang dapat kita gunakan untuk memperbaiki lagi diri kita sekarang ini. Cermin itu mungkin retak, tapi itulah sahaja yang dapat kita gunakan untuk membandingkan keadaan kita dahulu dan sekarang, dan terus menggunakannya sebagai pedoman kita untuk terus maju ke hadapan.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!