zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-05-28 - 12:23 p.m.

Hassan Abd Mutalib - Ronggeng Rokiah

Saya rasa ramai di antara pembaca tidak mengenali siapa Hassan Abd Mutalib, walaupun saya pasti kita pasti pernah mengikuti hasil karyanya. Masih lagi ingat kepada filem cereka animasi Sang Kancil serta kisah Monyet dan Buaya dan iklan Sugus yang sering ditayangkan dahulu di kaca tivi? Pastinya masih ingat, bukan? Itulah dia hasil kerja saudara Hassan!

Untuk pengetahuan semua, Saudara Hassan juga bertanggungjawab menyelia 'Visual Effects' untuk SILAT LEGENDA, filem animasi pertama Malaysia.

Baru-baru ini saya mendapat tahu tentang penglibatan saudara Hassan dalam teater Ronggeng Rokiah. Pastinya saya terujah kerana akhirnya saya dapat melihat tokoh animasi Malaysia yang paling saya segani berlakon di atas pentas (sebagai sutradara filem Melayu, B. N. Rao). Selain dari berlakon, saudara Hassan juga ditugaskan sebagai Pereka Konsep Set teater Ronggeng Rokiah. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Ronggeng Rokiah, saya terus berutus e-mel bersamanya untuk berwawancara dengannya.

Setelah saya menerima kembali wawancara dari saudara Hassan, pengetahuan serta pemahaman saya tentang Ronggeng Rokiah semakin mendalam. Baru saya mengerti bahawa ada beberapa aspek dalam Ronggeng Rokiah adalah sebenarnya, satu 'parody' kepada dunia perfileman Melayu. Pemahaman ini telah meyakinkan saya bahawa Ronggeng Rokiah adalah sebuah karya besar yang patut difahami dengan sedalamnya.

Berikut adalah soalan-soalan yang telah saya tujukan kepada beliau serta jawapan-jawapan yang saya terima darinya:

NZ: Sebelum kita mulakan wawancara ini, boleh saudara Hassan terlebih dahulu memperkenalkan diri saudara kepada kita semua. Maksud saya, pekerjaan saudara, tempat asal serta latar belakang pendidikan saudara…

Hassan: Lahir 3 Nov 1945, Alor Setar, Kedah. Berpindah ke Jelutong, Pulau Pinang pada tahun 1950. Mendapat pendidikan di SEKOLAH MENENGAH GEORGETOWN sehingga Tingkatan 5. Gagal SPM 1963 (9F bagi 7 subjek, 7P dalam Senilukis, 1A dalam B Inggeris - baca buku 'adventure' sahaja bukan buku teks). Datang ke KL tahun 1964. Berkerja di Pasaraya Robinsons (Pasaraya pertama) di Jalan Tun Perak. Gaji RM100 sebulan, (tapi teh tarik 10 sen, roti canai 10 sen masa itu!) membantu kawan sedarjah saya untuk melukis dan menghias showcase. Itulah pengenalan terawal kepada sesuatu yang berkaitan dengan set. Setiap perayaan, saya kena dekorasikan setor 4 tingkat dan membuat lukisan-lukisan bersaiz besar (antaranya 95 kaki x 5 kaki). Pada 1965, saya membeli sebuah kamera dan mempelajari senifoto. Inilah yang mula memperkenalkan saya kepada bidang komunikasi melalui media manipulated images. Pada tahun 1967, saya belajar sendiri dan menduduki peperiksaan SPM sekali lagi. Terperanjat bila lulus! (Tapi Gred 3 sahaja). Kebetulan ada iklan Filem Negara semasa itu. Saya mohon dan daripada 10 orang yang memohon, saya dipilih. Saya melukis tajuk filem dan terlibat dalam pembikinan set. Pada tahun 1972, saya diminta untuk menerbitkan treler animasi untuk HARI X'MAS. Tak tahu animasi, menulis atau mengarah. Tak dapat tunjuk ajar. Mulalah gila nak buat animasi selepas itu. Antara treler yang menjadi popular dengan penonton selepas itu: NYAMUK AEDES, JIMATKAN ELEKTRIK dan ANTI-DADAH.

Pada tahun 1975, saja-saja ambil STPM. Dapat sijil saja. Tapi pendedahan mendalam pada sastera membuka mata saya terhadap teks filem. Dikaitkan dengan pengetahuan fotografi, maka datang minat kepada filem. Ikut sesi DIALOG CERDIK yag dianjur ANA, Johan Jaafar dan lain-lain, pada tahun 1983. Sebelum itu pada tahun 1978 saya terlibat dalam animasi untuk iklan filem/TV. Apabila dah bercampur dengan orang-orang pandai, maka kita dapatlah sikit ilmu. Buat iklan sehingga 1994. Yang terakhir SUGUS untuk Indonesia, Malaysia, Thailand dan HK.

Menjadi Ketua Unit Senireka pada tahun 1981. Menteri Penerangan minta saya buat filem animasi SANG KANCIL dan MONYET/BUAYA pada tahun 1983 selepas menonton filem HIKAYAT SANG KANCIL (arahan A. XAVIER). Tak pernah menulis, buat animasi atau mengarah filem naratif pendek. Buat juga. Meletup! Dapat buat 5 filem pendek sebelum bersara atas pilihan sendiri pada tahun 1995. Dapat 2 Anugerah SRI ANGKASA untuk IDEA TERBAIK dan TRELER TERBAIK. ANUGERAH JURI untuk DOKU TERBAIK di Festival Filem Asia-Pasifik, Jakarta dan VISUAL EFFECTS TERBAIK untuk animasi bagi filem MAT GELAP. Pernah reka dua set untuk drama Tamil pada tahun 70-an.

Selepas bersara, menulis, mengarah, buat 'prod design' dan menyelia 'Visual Effects' untuk SILAT LEGENDA, filem animasi pertama Malaysia. Pernah menjadi ahli panel juri beberapa festival filem tempatan dan sekali di Korea Utara (1998). Bentangkan dua kertas kerja di Tokyo (1996 dan 2003). Menjalankan kursus/bengkel doku/animasi di India dan Sudan. Kini menjadi pensyarah sambilan di Universiti LimKokWing, One Academy, Go Academy dan Akademi Seni Kebangsaan.

NZ: Boleh saudara ceritakan secara panjang lebar tentang penglibatan saudara dalam Ronggeng Rokiah, kerana setahu saya, saudara seorang pembikin filem. Bagaimana agaknya saudara mula-mula boleh terlibat dalam musikal ini?

Hassan: Pada tahun 2001, ditubuhkan FORUM FILEM KUALA LUMPUR (FFKL), yang diterajui Dr Anuar Nor Arai (ANA). Antara objektif: Membuat kritikan secara ilmiah terhadap filem, drama, teater, sastera dan senilukis. Juga untuk menerbitkan filem, drama dan teater sendiri bersandarkan ilmu dalam bidang-bidang ini. Skrip RONGGENG ROKIAH dipilih Kem Kebudayaan untuk dipentaskan di DBKL pada tahun 2002. Tiba-tiba ditukar ke Istana Budaya. ANA minta saya mereka set berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya mengenai 'noir'. Kerana masa terlalu singkat, RONGGENG ROKIAH tidak menjadi musikal, hanya drama.

NZ: Boleh saudara ceritakan sedikit tentang sinopsis Ronggeng Rokiah ini?

Hassan: Hiburan kabaret di HAPPY WORLD CABARET, old Singapore, jadi tumpuan kepada JOHAN, AJIS, RAMAN BEDOK, USMAN PLAYERS, TENGKU HUSSIN, ZULFAKAR, SIDEK BOPENG dan JOHNNY kerana ROKIAH - yang beri gelar ROKIAH RONGGENG, primadona HAPPY WORLD CABARET. Zaman perpindahan sosial dan meleset tahun 1940-an ini membawa kisah suka-duka yang menyingkap dalam bentuk tari waltz, tango dan ronggeng yang mendedahkan akal-budi manusia sezamannya. Dengan latar politik penjajah Inggeris, semua yang terlibat dalam dunia HAPPY WORLD CABARET adalah Melayu yang tercari-cari, kehilangan identiti. ROKIAH RONGGENG jadi penyata yang hidup, membawa harapan siksa zahir-batin manusia Melayu, perkara kecil dan remeh temeh mungkin, tetapi luka dan rindu manusia kepada keamanan diri sendiri jadi muslihat yang terbuka. ROKIAH RONGGENG sudah benci pada hidupnya yang sudah masuk ke pinggir pelacuran, dan cuba mencari asal-usul dirinya, tetapi dapat tahu ia tidak 'milik' asal-usul itu. Seluruh ahli keluarganya lapuk nyawa. Manusia sekitar mengambil kesempatan dari usaha gigih dan 'kekayaan' ROKIAH RONGGENG sehingga JOHNNY, pengurus Melayu yang pertama di HAPPY WORLD CABARET dapat menyelamatkan ROKIAH RONGGENG daripada AJIS, JOHAN dan RAMAN BEDOK. ROKIAH 'dipaksa terlibat' dalam dunia perfileman di SHAW BROTHERS, yang cukup ia takut: kerana ROKIAH RONGGENG tak boleh baca dan menulis. Paksaan ini menyebabkannya jatuh sakit dan alami kejutan yang 'dirahsiakan.' Ketika bertango dengan JOHNNY, lempaiannya secara habis-habisan. ROKIAH RONGGENG terkulai dalam pelukan JOHNNY, menutup sebuah kisah derita seorang perempuan jelita dan berbakat keturunan Melayu di Singapura.

NZ: Boleh saudara ceritakan sedikit tentang latar belakang pengarah dan penulis Ronggeng Rokiah, Dr. Anuar Nor Arai? Dari mana beliau mendapat idea untuk menulis musikal ini, dan bagaimana pula 'style' arahannya untuk musikal ini?

Hassan: ANA memperolehi 'double major' dalam bidang drama dan filem untuk ijazaha PhDnya dari University of Southern California (1978 - 1983). Tesis beliau: 'The Journeying Souls - The Verbal dan Visual Quests of the Metaphysical Theatre and Film' membicarakan August Strindberg, Eugene O'Neill, Samuel Beckett, Eugene Ionesco dan Ingmar Bergman. Dalam bidang falsafah - untuk mengukukuhkan kefahaman teater - beliau mengkaji pemikiran Schopenhauer, Cioran, Hegel, Kierkegaard, Pascal, Descartes, Eliade dan Sartre, dan terkini usuluddin dan tasawuf Islam. Setakat ini beliau telah menulis 72 skrip filem, TV dan teater, antaranya TOK SELAMPIT, BENTENG 36, KOTAK RENUNG dan TENUNG, KUALA LUMPUR AKU PUNYA, LUNG-HOI TAI OPERA dan SAYEED AGOS. Drama TOK SELAMPIT memenangi Anugerah Sastera Nasional 1986, menyertai Malaysia-Fest 1986 dan mewakili Malaysia ke 1st ASEAN THEATRE FESTIVAL, 1988 di Manila. 11 dari skripnya telah dijadikan drama/telemovie TV, antaranya BISIKAN MALAYA (arahan ARIEF KARMAHANI), BUKIT LALANG (arahan MEOR HASHIM MANAP), DIN dan MIYOTO (U-Wei Hajisaari), ORANG TUA DI SG LEMBING, LALANG-LALANG DI HUJUNG KAKI dan TOK AJI (arahan ANA sendiri). Beliau menjadi pensyarah dalam Jabatan Kajian Media, UM sehingga bersara pada 1986. Kini beliau menjadi penulis dan pengarah bebas di samping menjadi pensayarah sambilan di Akademi Seni Kebangsaan.

ANA: 'Saya ingin melihat ke hadapan cara mana teater moden Malaysia boleh meneroka varian pada pemikiran dan emosi bangsa Melayu dengan sikap watak-watak yang saya cipta. Saya suka bersifat 'tentative' dan 'ambitious' kerana metode pada teater ialah mencuba dan menduga. Pendekatan 'noir' yang diterapkan kepada pementasan RONGGENG ROKIAH pada set dan lakon tentu shj akan melahirkan suasana gelap, muram, kelabu yang membawa penonton ke alam 'terbungkusnya mimpi orang Melayu.' RONGGENG ROKIAH adalah pentas mimpi yang kecil dari sebuah mimpi yang lebih besar sedang dihadapi oleh bangsa Melayu.'

NZ: Dari mana Dr. Anuar Nor Arai dapat idea untuk menulis RONGGENG ROKIAH dan bagaimana pula gaya arahan untuk musikal ini?

Hassan: FILEM 'NOIR': Satu jenis filem 'thriller' yang berasal dari 'genre filem 'gangster' di America. Filem 'noir' sebenarya satu gaya visual yang tersendiri. Latarnya - bandaraya besar yang penuh dengan bahaya dan rasuah. Keadaan jalannya gelap. Keadaan juga sama di dalam bangunan, kesemuanya menjadi petunjuk kepada kekaburan nilai moral dan intelektuil manusianya. Kebenaran amat sukar dikesan.

Watak-watak selalunya berada di dalam keadaan gelap. Akibatnya - perasaan 'claustrophobia', yang menimbulkan keadaan pesimis, muram dan tegang. Sebahagian muka watak utama seringkali berada dalam keadaan gelap, sebahagiannya lagi terang - lagi petanda tentang kekaburan nilai moralnya. Ia bukanlah manusia yang jahat, namun tidak pula terlalu baik. Ia seringkali berperasaan obsesif dan neurotik, bersedia untuk berlaku curang kepada wanita yang menjadi idamannya (femme fatale).

Filem 'noir' adalah tentang perebutan kuasa dan seks. Watak utama lelaki merelakan dirinya dikuasai oleh femme fatale akibat kelemahan dalam dirinya sendiri. Naratif dan perwatakan dalam filem 'noi'r amat 'stylized'. Watak-wataknya adalah stereotaip, terutama watak wanita. 'Femme fatale' selalunya seorang wanita yang bijak, dominan dan berkuasa ke atas seksualitinya. Wanita selalunya memegang peranan utama dalam filem 'noir' namun di akhir cerita, ia akan mati atau pun tunduk kepada mereka yang lebih berkuasa.

Rujukan ANA adalah filem-filem 'noir' Hollywood sekitar 40-an dan 50-an seperti THE 3RD MAN,CITIZEN KANE, A STREETCAR NAMED DESIRE, ON THE WATERFRONT dan kemudian pada itu WEST SIDE STORY dan THE COTTON CLUB. Banyak elemen yang terdapat dalam filem-filem ini dapat dilihat dalam JOHNNY BIKIN FILEM dan RONGGENG ROKIAH. RONGGENG ROKIAH sebenarnya satu 'offshoot' daripada JOHNNY BIKIN FILEM. Dua adegan daripada JOHNNY BIKIN FILEM akan ditayangkan semasa pementasan RONGGENG ROKIAH. ANA juga sangat berminat dengan pelakon-pelakon berwatak 'noir' seperti Marlon Brando, James Dean dan Alan Ladd. Kerapkali foto mereka akan terdapat dalam 'mise-en-scene' karyanya. Pengarah-pengarah yang diminatinya: KUROSAWA, ORSON WELLES dan COPPOLA.

NOTA PENULIS:

'Pada saat ini saya terfikir bahawa ragam Melayu itu macam sehelai kelambu tidur berwarna putih. Bercorak halus tidak berwarna, dan bersaiz ikut ukurannya - kadang-kadang terbesar dan terkecil - melempai sampai ke lantai, ada kalanya senteng seinci atau sekaki. Dipandang telus, dilihat tak nampak, ditinjau ternyata seluruhnya. Penjurunya bersih dan kemas. Jika diselak tinggi-tinggi barulah terasa seluruh Melayunya, nampak corak alas bantalnya, tali pencerut bantal peluknya, dan rapi cadarnya diselit pada empat penjuru tilam berisi kekabu. Saya tak tahu kenapa imej ini melintas di mata saya bila mengingatkan ROKIAH RONGGENG yang saya cipta. Saya melihatnya terbaring mengiring, separuh mukanya terselindung oleh penjuru bantal dan punggungnya ternaik sambil peha dan kakinya tertolak sedikit ke hadapan. Rasa sayang saya kepada seorang gadis Melayu seperti ROKIAH RONGGENG mengingatkan saya kepada kakak saya bernama Rahmah, sezaman dewasa dengan ROKIAH RONGGENG. Imej perempuan Melayu yang sedemikianlah yang membawa saya mencipta RONGGENG ROKIAH dalam bentuk drama muzikal.

Ketelusan Melayu dari golongan bawahan ini, yang tidak mempunyai cukup pelajaran dan pendidikan sempurna pada zamannya memang jadi halus dan penuh simpati bagi diri saya. Saya semacam meletakkan perasaannya ke dalam milieu yang demikian sebagai milieu yang hampa, tercicir, sebu, kerana itu barangkali muzik boleh melahirkan 'the ominous lyrical reality' untuk RONGGENG ROKIAH. Saya masih memikirkan corak 'speech rhythms' pengunjung-pengunjung Kabaret zaman HAPPY WORLD CABARET 1950-an S'pura. Zaman meleset ini belum lagi zaman 'sweaters, sneakers, blue jeans, T-shirts', suara-suara pemudanya sudah dewasa, kenal perempuan-perempuan sundal di lorong-lorong belakang, cepat dewasa ikut ukuran mereka ketika itu - 'so many shadings of veracity'. Ikut pertanyaan Melayunya: corak kebenarannya macam mama? Yang benar dalam RONGGENG ROKIAH ialah pada kata-kata Rokiah dan hidup Rokiah. Rokiah dapat disentuh, dipegang dan dirasa.

Manusia zaman itu berdiri dan bergerak dengan sistem nilai zamannya. Ruang tidak terarah dan waktu tidak tersusun. Keadaan ada dengan kehendak yang tidak terpegang dan terangkul oleh keupayaan dan tuntutan yang berubah. Melayu pada perasaan saya ketika itu masih pasif dengan perkembangan sekitarnya. Walaupun politik sudah jauh ke depan melihat kedudukan Melayu di bawah penjajahan Inggeris, tetapi ada golongan Melayu yang masih terpinga-pinga mencari sesuatu. Harapan.

Dalam RONGGENG ROKIAH, saya cuba menampilkan tanggapan mengenai mencari harapan ini. Melayu sesama Melayu tercari-cari. Banyak yang boleh dilakukan dan banyak juga halangan dan hambatan yang tidak bertulis. Manusia saya dalam zaman ini adalah manusia yang suka kerana banyak yang baru, mereka juga manusia duka kerana terikat dengan yang lama.

Sekiranya ROKIAH RONGGENG mati dalam pelukan JOHNNY setelah memberikan lempaian tangonya yang menakjubkan itu, boleh dikira sebagai hadiah kepada kaum bangsanya - Melayu Singapura ketika itu - maka ROKIAH RONGGENG memang patut menerima gelaran primadona dalam dunia kabaret Singapura. Bahawa alam Melayu yang begitu baru bangun dari Perang Dunia Pertama dan berdepan dengan pahitnya zaman jatuh ekonomi dunia, mengapai-ngapai mencari tembuk perlindungan sosial dan kerapuhan moral dan kebajikan sesama Melayu, ROKIAH RONGGENG memang satu tenaga kekuatan Melayu yang feminin, lembut, menyerah, bertimbang rasa, mudah menghiburkan dirinya, serta pantas murung dan masuk ke dalam diri, berair mata; tapi mata yang merasakan zaman itu tentulah ROKIAH RONGGENG seorang perempuan yang berjaya. Ia berjaya hidup, berdiri tegak, bersuara menguasai dunia lelaki. Lelaki dalam RONGGENG ROKIAH adalah lelaki yang hilang identiti, pelupa, tidak berduit dan berwajah buruk seperti SIDEK BOPENG, bekas Raja Waltz Singapura. Buruk SIDEK BOPENG buruk di luar, tapi buruk RAMAN BEDOK dan JOHAN buruk ke semua sudut. Luar dan dalam.

GAYA ARAHAN: Menggunakan pendekatan 'method acting:' Bersahaja, eksotik, menangkap, tapi berbeza dari yang sehari-hari. Cerita 'noir' semacam sebuah mimpi buruk dan gaya lakon 'noir' adalah berbau mimpi (somnambulistic). Muka seperti bertopeng. Raut wajah beku BUKAN di tengah-tengah lakon tetapi sebelum diekspresikan. Lakon terlalu emotif meruntuhkan gaya 'noir' yang ketat. Pelakon 'noir' membendung 'a type,' jelas dan 'sketchy.' Intensiti yang langsung secara sungguh-sungguh dan dinamik TIDAK digalakkan. Pelakon 'noir' lebih ketat dan kedekut emosi. TIDAK dikehendakki tukar-tukar 'pitch' dan temperamen. Muka sukar bergerak. Membimbangkan, menakuntukan (eeriness). Tegak lemah, menengelam, lumpuh, cepat lemah, mengalah, rasa runtuh (Sag, droop, limp, depress, sink). Lafaz dialognya mengantuk dan lalok (Somnolent delivery of dialogue). Kaedah tatacahaya 'noir' menyebabkan watak 'noir' kelihatan sakit dan jahat (ill-looking dan wicked). Menyendiri dan berbahaya (a dangerous loner). Enggan, segan, berat, anti-hero yang songsang (a reluctant, inverted anti-hero). Misteri melingkungi dirinya.

NZ: Mengapa beliau begitu berminat dengan genre 'Film Noir'? Kalau tidak salah saya, filem arahannya, 'Johnny Bikin Filem' dikatakan sebuah filem berbentuk Noir. Dan sekarang pula, Ronggeng Rokiah adalah sebuah teater 'noir di atas pentas'. Boleh saudara ceritakan sedikit tentang hal ini.

Hassan: JOHNNY BIKIN FILEM adalah bergenre 'gangster'. Gaya visualnya daripada aliran filem noir. Kesemua skripnya bertolak daripada gaya ini. Jika dilihat dari pendekatan genetik (sastera), ANA menulis dengan apa yang terlalu dekat dengan dirinya dan apa yang dilihat nanti ialah diri Anuar di pentas atau filem (di segi naratif dan perwatakan). Watak-watak beliau mengenai orang-orang yang terpinggir dan terasing, seperti dirinya sendiri. Beliau tidak mendapat tempat untuk terlibat secara terus dalam bidangnya, untuk menggunakan ilmu dan bahasa yang betul apabila berkarya yang membawa pemikiran. Baginya teater dan filem mebawa tamadun bangsa dan bukan hanya hiburan. Lihat perkara ini dalam subteks RONGGENG ROKIAH (tentang apa yang berlaku di industri perfileman di KL. Paling lucu, di akhir cerita, seorang konstabel polis dengan pakaian lengkap polis masuk TANGO DANCE CONTEST. Siapa agaknya ini?).

NZ: Jika dalam pembikinan filem Noir, penataan cahaya begitu penting untuk menghidupkan suasana Noir ini. Bagaimana pula dengan pementasan musikal ini? Bagaimana untuk menghidupkan suasana Noir di atas pentas?

Hassan: ALI ABD HAMID adalah pereka penataan cahaya untuk RONGGENG ROKIAH. Beliau berpengalaman dalam produksi iklan dan dokumentari dan sudah biasa dengan gaya ANA. ALI pernah terlibat dengan KEMBARA SENIMAN JALANAN, ROZANNA CINTA 87, MATINYA SEORANG PATRIOT, KEPALA ANGIN dan KAD CINTA. Juga teater A STREETCAR NAMED DESIRE, arahan JOE HASHAM. Efek 'noir' tidak susah baginya. Efek di pentas atau filem adalah kelam. Ironiknya, lebih banyak lampu digunakan daripada biasa kerana banyak menggunakan 'barndoor' untuk fokuskan lampu ke sesuatu sudut. Inilah pertama kali ISTANA BUDAYA menggunakan hampir kesemua lampunya. Ramai penata cahaya dan juru kamera telah memuji penataan cahaya RONGGENG ROKIAH.

NZ: Saudara menjadi pereka set kepada Ronggeng Rokiah. Konsep apakah yang saudara gunakan, dan dari mana saudara mendapat idea untuk mencipta set musikal ini?

Hassan: Cerita, watak dan teater RONGGENG ROKIAH mengingatkan saya kepada filem-filem 'noir' Hollywood: A STREETCAR NAMED DESIRE, ON THE WATERFRONT, TOUCH OF EVIL, WEST SIDE STORY, THE COTTON CLUB, filem Cina: IN THE MOOD FOR LOVE, lukisan-lukisan EDWARD HOPPER. Juga JOHNNY BIKIN FILEM, filem 'noir' tunggal Malaysia. Semua ini jadi rujukan untuk mereka lanskap 'noir,' satu lanskap yang menimbulkan keadaan seperti kita seakan-akan bermimpi. Ituulah efek yang penonton perlu rasai. Lanskap ini menggambarkan diri manusia Melayu Singapura tahun 50-an - kelam, kabur, resah, keliru, terpinggir. Mereka mencari diri, tempat pergantungan, harapan. Manusia 'noir' tiada harapan. Tiada cahaya di hujung jalan. Lorong gelap di North Bridge Road di kiri pentas ketinggalan zaman, hanya manusia 'noir' yang mengisinya (di jalan inilah dulu terletak UTUSAN MELAYU. ANA memberi komen terhadap akhbar ini dan suasana politik sezaman melalui grafiti di tembok serta penampalan poster-poster di situ). Terdapat gerai teh sarbat usang, dibelakangi pagar yang berkarat. Kerusi meja lapuk. Inilah tempat persinggahan samseng dan penghuni HAPPY WORLD CABARET. Latar menunjukkan isi dalam mereka. Skrip ANA sangat jelas dan spesifik. Setiap satu mempunyai makna, samada dialog, diskripsi pergerakan, penataan cahaya, warna atau props. Pili bomba merah menjadi simbol 'phallic' yang menzahirkan keinginan watak-watak (sexual repression). Awal-awal lagi, ANA telah menggambarkan tentang mood di set: 'Dark, bleak, gloomy, narcotinic.' Tekstur, rupa dan warna pada dinding, tembok dan prop: Lapuk, pudar, ketinggalan zaman. Penataan cahaya: 'Pessimistic, chiaroscuro, fragmented, claustrophobic.' Penggunaan '1-point perspective' pada tayangan foto di skrin belakang pentas mendatangkan petanda buruk. Begitu juga bentuk bar di kabaret yang berdiri tegak sebagai 'sentinel' yang kelam dan kabur. Rupa dan warna set adalah cerminan minda watak-watak dalam RONGGENG ROKIAH. Nilai-nila moral dan intelektuil kabur. Sukar untuk membezakan yang benar daripada yang buruk. konsep inilah yang saya harap dapat DIRASAI oleh penonton dan inilah yang dikatakan 'mise-en-scene' dan 'form' dalam karya seni. Di akhir cerita, trauma yang dialami oleh ROKIAH akan diperlihatkan di skrin melalui 'projection' satu montaj foto. RONGGENG ROKIAH merupakan satu 'cinematic experience' untuk penonton teater.

Pendekatan bukan realisme tetapi 'stylization.' Namun bersandar kepada realiti dan keadaan zaman itu. banyak props seperti papan iklan diguna daripada tahun 50-an, (original) kepunyaan SIDEK HUSSIN.

NZ: Saudara mengambil watak B. N. Rao, boleh saudara ceritakan sedikit tentang watak yang diambil oleh saudara ini? Apakah 'homework' yang telah saudara lakukan untuk mendalami watak ini?

Hassan: Tidak perlu 'homework' kerana watak ini mewakili pengarah-pengarah India sewaktu itu. ANA memberi komen lucu tentang mereka di samping wujudkan 'comedy relief' seperti yang terdapat dalam filem-filem India. ANA tidak memberi panduan untuk dialog. Saya merekanya bersama LETFEE AHMAD yang berlakon sebagai 'clapper boy.'

NZ: Adakah watak ini mencabar bagi saudara? Watak lain apakah yang saudara rasa paling mencabar dalam musikal ini?

Saya tidak minat berlakon dan hanya mengetahui yang saya akan berlakon seminggu sebelum pementasan (tak dapat bayaran pun!). Watak RAO tidak begitu penting dalam RONGGENG ROKIAH. Sekuen ini adalah 'setup' kepada sekuen trauma yang akan dihadapi ROKIAH selepas berlakon dalam filem. Tidak ada satu watak yang boleh dianggap paling mencabar dalam RONGGENG ROKIAH. Kesemuanya adalah seperti 'splinters'yang tidak sama ukuran dan saiznya, tapi mereka semua datang daripada satu sumber. Setiap satu watak penting dan menjadi 'support' atau pun bertentangan sesama mereka.

NZ: Mengapa pilih ronggeng? Adakah kerana ada 'trend' buat masa ini untuk membuat musikal tentang kehidupan penari dan penyanyi kabaret sejak musikal dan filem CHICAGO 'meletup' baru-baru ini?

Hassan: RONGGENG ROKIAH ditulis beberapa tahun dahulu sebelum ada apa-apa trend. ANA tidak mengikut 'trend.' RONGGENG perupakan tarian Melayu. Tango dan waltz juga ada kerana ini semua menjadi kesukaan orang Melayu semasa itu. RONGGENG ROKIAH adalah antara karya kecil ANA. Ada karya-karyanya yang lebih besar dan akan dapat dilihat dalam sedikit masa lagi jika segala perancangan mengikut jadual. 'Johnny Bikin Filem' sangat besar. Versi pawagam (2 1/2 jam sedang dalam susunan). Saya telah menontonnya sehingga 7 kali. Inilah yang boleh dianggap apa yang dikatakan filem dalam ertikata yang sebenarnya. Ia dibuat sebagai projek Universiti Malaya dengan gandingan penutut filem dan profesional untuk mempraktikkan ilmu filem yang sebenar (jika saudara berminat, pada lain masa kita boleh berbicara mengenai 'filem sebagai filem' yang setakat ini, pada pendapat saya, hanya dapat dilihat dalam hasil kerja ANA, SHUHAIMI BABA, HISHAMUDDIN RAIS, U-WEI dan SYED ALWI).

NZ: Saya begitu obses dengan suasana kehidupan orang-orang Melayu di Singapura sebelum merdeka. Karya-karya seperti 'Salina' oleh A. Samad Said, 'Rumah Kedai Di Jalan Seladang' oleh A. Samad Ismail dan memoir oleh Usman Awang telah saya baca kerana ingin mengetahui tentang kehidupan mereka pada waktu itu. Soalan saya adalah, sejauh mana minat orang-orang lain terhadap karya-karya yang menggunakan latarbelakang zaman tersebut?

Hasaan: Jika lihat karya filem/teater ANA, SYED ALWI dan MANSOR PUTEH, anda akan lihat bagaimana mereka melihat zaman 50-an dengan penuh nostalgia. Juga banyak perkara yang berlaku sekitar 50-an yang dapat melihatkan suasana kondisi orang Melayu yang tidak dapat pembelaan orang Melayu yang berpengaruh sewaktu itu. Orang Melayu 'suka kerana Arai banyak yang baru, juga duka kerana masih terikat dengan yang lama' - ANA. Situasi ini masih wujud sekarang. Orang Melayu berdepan dengan pelbagai perkara yang baru, tetapi mentaliti mereka masih lama maka mereka tidak melihat jauh ke hadapan dan berfikir bagaiman Nor Arai sesuatu itu dapat memberi manfaat kepada mereka. Perkara ini dinyatakan oleh ANA dan saya dalam kertas kerja yang disampaikan di Dewan Bahasa apabila bicarakan SEMAN, arahan MANSOR PUTEH. Sejarah berulang, tapi kita tidak mempelajari daripada kesilapan kita dan kita terus mengulanginya. RONGGENG ROKIAH bicarakan ini namun jika anda tidak dapat kaitkan subteksnya dengan apa yang berlaku sekarang kepada orang Melayu, maka akan sia-sialah karya seperti ANA. Kehilangan Singapura menjadi 'igauan yang tidak kesudahan' - ANA. Kita terima padah sehingga hari ini. Lorong gelap di North Bridge Road dalam RONGGENG ROKIAH jelas memperkatakan tentang perkara ini. Saya sendiri berminat pada zaman 50-an kerana mempunyai ingatan yang manis mengenainya. Sewaktu itu umur saya sekitar 7 - 8 tahun dan pernah bersekolah Inggeris. Banyak foto zaman ini dalam simpanan saya serta buku-buku.

NZ: Bagaimanakah sambutan penonton terhadap musikal Ronggeng Rokiah ini sehingga kini? Dan apakah reaksi mereka?

Hassan: Setiap malam hampir penuh. Penonton terdiri daripada pelbagai bangsa, termasuk Mat Salleh. Karyawan filem, sastera, teater, ahli korporat, penuntut dan orang biasa. Seorang Professor Antropoloji dari Australia, (yang kaji Orang Melayu Singapura tahun 50-an) kagum dengan mood set dan cahaya yang menimbulkan 'ambience' yang beliau akui betul. Seluruh Malaysia sekarang tahu perkataan 'noir.' Malangnya masih ada wartawan hiburan masih tidak memahami apa itu 'noir' dan hanya kaitkannya dengan kerusi dalam kabaret! Ada yang menonton beberapa kali. 'Word of mouth' dan promosi melalui media telah banyak membantu. Ramai tertarik dengan set dan penataan cahaya dan beberapa petikan dialog. Besar kemungkinan ANA akan berpeluang lagi berteater di Istana Budaya.

* Suggest a column/blog topic

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!