|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-06-06 - 12:43 p.m. Tajuk: Bumi Dipijak Penulis: Lee Ban Chen ISBN no. : 983-9048-59-7 Harga: RM20.00 Penerbit: Oriengroup Sdn Bhd "Di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung". Inilah salah satu pepatah Melayu yang dekat kepada saya. Saya berkata begitu kerana saya anak kelahiran Singapura yang baru sahaja menjadi rakyat Malaysia. Saya rasa pepatah ini amat bertepatan dengan saya, dalam konteksnya yang sebenar. Walaupun begitu, pernah juga saya menerima sekeping surat yang sumbang yang menyertakan sekali pepatah ini kerana saya dikatakan berhaluan kiri semata-mata kerana saya tidak menyokong ISA… Mungkin langit yang perlu saya junjung adalah langit pro-kerajaan (baca: UMNO). Pastinya saya mengenepikan hal ini sebagai satu hal jenaka. Jika mahu berjenaka lagi tentang hal ini, silalah berutus surat dengan saya… Bagi Ban Chen, Bumi Dipijak membawa makna yang lebih mendalam yang mengemukakan persoalan identitinya sebagai seorang anak Cina berbangsa Malaysia. Sebagai seorang yang menyintai negara ini, pendapat serta analisisnya tentang kontradiksi masyarakat Malaysia patut kita terima dengan hati yang terbuka. Hegemoni Melayu tidak bermakna segala antropormofisme pepatah Melayu hanya sesuai digunakan oleh bangsa Melayu semata-mata. Dalam era globalisasi, pepatah kita juga berjiwa universal, walaupun kita sering terlupa bahawa negara Malaysia ini sebuah negara berbilang bangsa. Lee Ban Chen telah dilahirkan pada tahun 1942, di Muar Johor. Pada tahun 1964-1966, beliau telah meneruskan pelajarannya di Universiti Nanyang di Singapura, tetapi beliau telah dibuang universiti malah diusir oleh Lee Kuan Yew. Pada tahun 1967-1974 beliau pernah ditahan di bawah ISA kerana terlibat dalam pemogokan Ladang Bukit Asahan dan Ladang Triang. Sejak tahun 2000, beliau menjadi penulis kolum Malaysiakini.com. Bumi Dipijak adalah kumpulan pojok tulisan-tulisannya di laman Malaysiakini. Saya sebenarnya kagum dengan kebolehan Ban Chen menulis dalam Bahasa Malaysia. Lebih mengkagumkan lagi adalah keberaniannya menulis isu-isu yang kontroversi yang tidak mungkin mahu disentuh oleh kebanyakkan penulis. Kebanyakkan dari tulisannya bercorak politik, maka ia bukan bahan bacaan kita tatkala bersantai. Ban Chen menulis tanpa mengira sudut estetika bahasa. Yang penting baginya adalah isu yang diperdebatkan. Dan inilah yang mampu membuat saya rasa kagum dan hormat dengannya. Ban Chen mempunyai daya ingatan yang kuat. Banyak kali kisah-kisah lama dalam lipatan sejarah negara ini akan diingatkan kembali agar kita tidak mudah lupa ('kita' dalam ertikata saya di sini bukan membawa maksud Melayu sahaja… saya tidak mahu menjadi seorang cauvanis Melayu). Ban Chen sempat mengingatkan kembali kata-kata Allahyarham Usman Awang yang telah diucapkan pada tahun 1980-an: "Musuh orang Cina bukan orang Melayu, dan musuh orang Cina juga bukan orang Cina. Musuh kita adalah kemiskinan, ketidak-setaraan dan penindasan'. Antara artikel Ban Chen yang paling saya minati adalah artikelnya yang bertajuk: "UMNO: Moral, agama dan Melayu". Dalam artikel ini, beliau mempersoalkan kesimpulan Mahathir yang tidak objektif. Menurut Mahathir: "…orang Melayu malas, suka yang mudah, tidak beretika kerja, dan sikap ini sangat mengecewakan! (Mingguan Malaysia, 22 Julai 2001). Pendapat seperti ini menurut Ban Chen adalah "cerita dongeng ciptaan penjajah sebelum negara kita mencapai merdeka lagi." Ban Chen kembali menyoal samada benar Melayu malas, pekerja Melayu malas, profesional Melayu malas? Kemudian, adakah benar mitos orang Cina rajin-rajin belaka. Siapa yang memulakan mitos ini selain dari penjajah kita, jadi kenapa kita mesti meneruskan mitos ini. Dari segi psikologi, mitos ini bak 'Self-Fulfilled Prophecies' yang bersifat negatif. Jika kita sering mengingatkan kepada diri kita bahawa orang Melayu ini satu bangsa pemalas, lambat laun perkara ini akan menjadi sifat yang akan terus ada dalam diri bangsa Melayu kita. Pihak penjajah berjaya memahatkan pendapat ini ke dalam jiwa kita, jadi tidak payahlah PM kita sendiri meneruskan dongeng ini… Saya cukup terharu membaca artikel Ban Chen mengenai Said Zahari 'Pak Said dan gelora lautan kiri'. Dalam tulisannya, Ban Chen nyata dekat kepada Said Zahari, malah menganggapnya seorang 'Nasionalis Melayu Tulen'. Seperti Said Zahari, Ban Chen juga pernah menjadi mangsa regim Lee Kuan Yew. Secara keseluruhannya, saya rasa apa yang dapat saya perolehi dari pembacaan saya melalui tulisan Ban Chen ini adalah dengan melihat persepsi politik mengikut pendapat seorang pemikir berketurunan Cina di Malaysia. Sebagai contoh, isu penggunaan Bahasa pengantar Cina di sekolah jenis Kebangsaan Cina serta isu identiti ras (race) dan politik perkauman. Perkara-perkara seperti ini harus diperbahaskan dengan rasional. Hak mempelajari bahasa ibunda, sebagai contoh harus dipertahankan. Pendek kata, hasrat-hasrat kaum minoriti juga harus diambil kira. Dengan adanya hegemoni Melayu, tidak bermakna kita yang berbangsa Melayu berhak 'meMelayukan' (malah 'mengIslamkan) mereka yang bukan Melayu. Perdebatan Ban Chen dengan wahana Bahasa Malaysia lebih releven apabila beliau "mempertengahkan isu-isu kaum minoriti dan yang tertindas dengan perspektif dominan". Oleh Nizam Zakaria
|