|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-06-10 - 5:41 p.m.
Zahim Albakri dan Melissa Saila dalam 7 Ten (Malam Konsert) Menonton teater Inggeris 7 Ten merupakan satu pengalaman yang asing buat diri saya. Sebelum ini, saya tidak pernah menonton persembahan yang dibuat pendek-pendek selama 10 minit dan setiap satunya berlainan tema dan jalan cerita. Saya rasa pengalaman ini amat-amat menarik, kerana walaupun perkara seperti ini sering kita tonton di tivi, tapi dalam bentuk teater, jarang benar dilakukan. Di negara kita sendiri, skit jenaka di TV seperti 'Senario dan 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' dibuat dalam bentuk persembahan teater, dan bukan skit pendek-pendek seperti acuan komedi Barat 'Saturday Night Live', 'The Benny Hill Show' dan 'Goodness Gracious Me'. Kita tidak biasa dipersembahkan dengan cerita yang ringkas dan pendek. Pergerakkan teater pendek dan ringkas ini sebenarnya muncul di kalangan aktivis teater di Amerika Syarikat. Dengan adanya persembahan yang pendek, penulis-penulis boleh digalakkan untuk menulis karya untuk teater. Menulis persembahan yang panjang, bukan satu perkara yang mudah, banyak perkara yang perlu difikirkan. Dalam zaman MTV ini pula, penonton selalunya tidak suka dibebankan dengan cerita-cerita yang panjang tanpa dapat menukar saluran dengan menekan butang 'remote'. Zeitgeist yang muncul adalah persembahan teater yang pendek tetapi padat. 7 Ten adalah persembahan teater terbitan Five Arts Centre dan telah diarahkan oleh Krishen Jit. Dalam 7 persembahan yang setiap satunya dikatakan panjangnya 10 minit. Persembahan-persembahan ini telah ditulis oleh penulis-penulis seperti Charlene Rajendran, Huzir Sulaiman, Jit Murad, Jo Kukathas, Mark Teh dan Leow Puay Tin. 7 Ten dilakonkan oleh Anne James, Ghafir Akhbar, Lim How Ngean, Jerrica Lai. Lennard Gui, Melissa Saila, Sukania Venugopal, Sumitra Selvaraj dan Zahim Albakri. Nama-nama yang saya sebutkan hebat-hebat, ramai di antara mereka yang kita kenal sebagai pelakon drama tivi dan juga pemenang anugerah dalam penulisan dan juga teater. Pastinya, 7 Ten bukan sebarang persembahan… Krishen Jit sudah terbiasa dengan persembahan yang pendek-pendek seperti 7 Ten. Pada tahun lepas, beliau telah dijemput ke Singapura untuk mengarahkan siri persembahan 10 minit 'Squeeze and Squeezability' yang telah bermula sejak tahun 1993. 7 Ten yang diarahkannya, tidak semestinya tepat 10 minit panjangnya. Perkara ini sukar dilakukan memandangkan pihak penulis sukar untuk mengagak panjang atau pendek persembahan dramanya, manakala pengarah dan pelakon akan mengalami dilemma yang sama. Maka, tatkala menonton, kadang-kala kita akan terasa drama yang dipersembahkan lebih panjang dari yang sepatutnya. Tetapi tak apalah, saya bukan ahli matematik atau penjaga waktu, perkara ini tidak penting bagi saya, kerana apa yang penting adalah mutu persembahan. Perkara pertama yang saya teliti tatkala masuk ke dalam panggung Actor's Studio di Plaza Putra adalah set yang digunakan. Pentas di sana agak kecil, jadi jangan harapkan produksi yang sering kita lihat di Istana Budaya. Saya sebenarnya lebih suka kepada pentas-pentas kecil seperti ini. Walaupun banyak batasannya, pentas-pentas kecil rasa lebih 'intimate' kepada penonton. Set yang digunakan agak ringkas dan perabut-perabutnya mengingatkan saya kepada arca-arca seni oleh Jean Dubuffet. Perabot-perabot nampak seperti kekotak yang telah dilukis yang dengan sendirinya mampu menjadi karya seni. Perabot-perabot ini perlu direka oleh pereka set Gan Siong King agar ia dapat digunakan berkali-kali dalam setiap persembahan. Drama pertama yang dipersembahkan adalah drama tulisan Leow Puay Tin lakonan Anne James dan Lim How Ngean yang bertajuk 'Dinner for two in the best of restaurants'. Dalam masa 10 minit, drama mengenai konflik hubungan di antara sepasang suami isteri dibentangkan dalam suasana sebuah restaurant lima bintang. Dari permulaan pementasan, lagu Glen Miller 'Moonlight Serenade' dimainkan. Lagu ini memainkan peranan yang penting dalam drama ini apabila ia akan dihentikan dan dimulakan mengikut babak-babak pendek yang ada. Dalam drama ini, saya dapati pengunaan bahasa puisi pasca-modernisme digunakan secara konsisten walaupun sedikit skizofernik dalam babak-babak yang berbeza di atas meja makan. 'Not In' merupakan drama hasil nukilan Alfian bin Sa'at dari Singapura. Drama ini dibuka dengan pertelingkahan di antara seorang pelanggan di sebuah kedai T-shirt di Bishan dengan jurujualnya. Alfian membuka isu politik dalam karyanya. Isu yang ditimbulkan adalah mengenai sikap 'apathy' rakyat Singapura khususnya anak-anak mudanya. Polemik yang ditimbulkan agak menarik, kerana serba sedikit, isunya juga dekat kepada kita. Akibat manipulasi media dan segala sekatan-sekatan oleh pemerintah, kita seolah ditakutkan dari mahu melakukan perkara-perkara yang mungkin mahu kita lakukan untuk menegakkan kebenaran ('politics of fear'). Dalam drama ini, watak yang diambil oleh Melissa Saila bertekak dengan watak yang diambil oleh Jerrica Lai. Watak Melissa (junior watak Jerrica yang masih lagi idealistik dari NUS) memesan sehelai baju T dengan perkataan 'Not in my name' di atasnya. Watak Jerrica pula berkeras tidak mahu masuk campur dalam 'aktiviti subversif' Melissa. Walaupun drama ini padat, penerapan idea dapat dipersembahkan dengan baik dan berjaya. Perkara ini dapat dilakukan dengan penggunaan ayat-ayat yang ringkas serta bertepatan tanpa perlu berdolak-dalih. Saya rasa, genius Alfian terletak ke arah ini, di mana walaupun tulisannya padat, tetapi mesej yang mahu disampaikan terus tertusuk ke dalam jiwa. 'Polish' merupakan sebuah drama tulisan Charles Rajendran dengan dibantu oleh Anne James dan Sumitra Selvaraj sebagai pelakon. Sekali lagi kita dapat melihat lakonan Anne James yang agak cemerlang pada malam itu. Anne membawa watak Savithri, seorang wanita yang sedang menyediakan sebuah keramaian dengan anak buahnya, Rekha, seorang akauntan yang berusia di lingkungan umur 20-an. Drama ini menggunakan simbolik perkakas gangsa yang selalu ada dalam rumah orang-orang India yang perlu digosok kilat pada masa-masa keramaian diadakan. Drama ini pada dasarnya mengupas masalah yang ada pada keluarga Rekha. Satu permasalahan yang saya lihat agak stereotaip kepada bangsa India, iaitu permasalahan wanita yang sering dipukul terajang oleh suami masing-masing - tema sama muncul dalam drama 'Talaq' dari Singapura yang akhirnya telah digam oleh pemerintah negara itu. Mungkin persoalan yang ditimbulkan agak stereotaip, tapi bukan bermakna ia tidak patut dipertengahkan.
They Will Be Grateful Selepas 'Intermission', kami dipersembahkan pula kepada drama 'They will be grateful' hasil tulisan Huzir Sulaiman dan dilakonkan oleh quartet Ghafir Akhbar, Jerrica Lai, Lennard Gui dan Lim How Ngean. Drama ini dapat menarik perhatian saya kerana penggunaan permainan kata-kata yang begitu 'poetic'. Struktur drama ini sememangnya baik dan yang penting, menghiburkan, walaupun kadang-kala saya rasa ia terlalu panjang dari sepatutnya. Drama ini mengingatkan saya kepada kemengarutan mesyuarat korporat yang kadang-kala akan berlangsung berjela-jela tanpa henti. Parodi empat orang ahli perniagaan yang membincangkan tentang liberalisasi ekonomi China mengingatkan saya kepada ahli-ahli korporat dalam filem Hotsucker Proxy. Drama 'Malam konsert' telah dimulakan dengan lagu Judy Garland 'Somewhere over the Rainbow' sebagaimana yang dinyanyikannya dalam filem 'The Wizard of Oz'. Drama ini telah ditulis oleh Jit Murad dan telah dilakonkan dengan cemerlang oleh Melissa Saila dan Zahim Albakri. Saya rasa, dalam banyak-banyak drama pada malam itu, 'Malam konsert' merupakan pementasan yang paling konvensional. Hampir-hampir rasanya seperti menonton 'Drama Minggu Ini' di kaca tivi. 'Malam konsert' menceritakan tentang sepasang suami isteri yang telah bercerai tetapi masih meneruskan hubungan persahabatan mereka melalui anak mereka yang mereka jaga bersama secara bergilir-gilir. Daulat merupakan karya hasil nukilan Mark Teh yang telah dijayakan bersama Jerrica Lai dan Lim How Ngean. Sekali lagi kita dipersembahkan dengan pementasan yang memberatkan kepada persoalan politik. Yang menarik tentang persembahan ini adalah parodi propaganda patriotisme dengan penggunaan tarian barat yang diselang-selikan. Dalam drama ini, watak yang diambil oleh Jerrica dan Ngean membincangkan tentang identiti mereka sebagai rakrat Malaysia berbangsa Cina. Perkara yang mereka bincangkan dekat kepada jiwa saya kerana di Singapura, kesetiaan orang Melayu di sana sering dipersoalkan oleh pemerintah. Di Malaysia, perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan kepada bangsa-bangsa bukan Melayu (dan jangan lupa kepada kenyataan kurang bertanggungjawab Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir tentang kesetiaan bangsa Cina kepada Malaysia baru-baru ini). Walaupun persembahan Daulat agak keras, tetapi ia amat-amat bertepatan dengan situasi yang berlaku di negara kita sekarang ini. Drama terakhir pada malam itu adalah drama yang telah ditulis oleh Jo Kukathas yang bertajuk 'Operating theatre - a farce'. Drama ini, menurut Antares dalam Kakiseni.com seolah menyerupai lakonan-lakonan absurdis Monthy Phyton. Memang saya tidak dapat nafikan bahawa drama ini banyak menyerupai Monthy Phyton dari segi persembahannya, tetapi 'Operating theatre' lebih ke arah 'black comedy'. Jo menawarkan sebuah persembahan yang jelas mengkritik ISA. Persembahan ini walaupun jelas kucar-kacir, tetapi menampakkan kematangan dari segi penulisan serta arahan dari Krishen Jit. Dalam persembahan 7 Ten, saya rasa lakonan Jerrica Lai yang paling terserlah. Saya cukup seronok melihat beliau berlakon. Lakonannya di samping pelakon-pelakon yang telah lama bertapak di dunia teater langsung tidak menenggelamkan persembahannya. 7 Ten adalah sebuah pementasan yang menghiburkan tetapi penuh dengan persoalan-persoalan berat yang mampu membuatkan penontonnya berfikir. Saya harap, pementasan seperti ini diselalukan, agar ia dapat memberi jalan kepada penulis-penulis baru pula bereksperimen dengan pementasan teater… Ulasan alternatif tentang pementasan 7 Ten boleh di baca di Kakiseni.com dan di NST Oleh Nizam Zakaria
|