|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-06-12 - 2:51 p.m. Anime bahagian pertama dari siri Animatrix ini mesti ditonton. Saya berkata begitu kerana anime ini boleh dijadikan sebagai pengenalan bagi dunia 'The Matrix'. Dengan menonton siri The Second Renaissance (Part 1 dan 2) pastinya kita akan mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana akhirnya mesin bangun melawan manusia, lantas memperhambakan manusia sejagat. The Second Renaissance, Part 1 dimulakan dengan kita dibawa melihat sebuah mandala buddhisme yang berlapis-lapis, sehinggalah munculnya seorang lembaga wanita yang mengingatkan saya kepada dewi Quan Yin. Wanita itu menjadi narator menceritakan tentang kisah sejarah kemusnahan manusia. Apa yang bakal kita tonton datangnya dari arkib sejarah Zion…. "Human cold civil society soon fell victim to vanity and corruption… Then man made machine to his own likeness… Thus man become the architech of their own demise…" Begitulah kata-kata dewi dari Zion. Pada waktu itu, di sekitar tahun 2199 manusia sememangnya telah mencapai kemajuan yang membolehkan mereka mencipta robot-robot yang mambu berfikir. Robot-robot ini dibina manusia dengan pelbagai bentuk dan fungsi. Ada juga di antara robot-robot ini menyerupai manusia. Para robot ini seolah menjadi hamba kepada manusia, melakukan pelbagai pekerjaan yang tidak mahu lagi dilakukan manusia. Robot-robot ini pada mulanya langsung tidak mempersoalkan kedudukan mereka dalam masyarakat manusia, sehinggalah kejadian robot B166-ER membunuh tuannya sendiri dengan kejam. B166-ER dalam kenyataannya di mahkamah, mengatakan bahawa beliau sekadar mempertahankan dirinya daripada dimatikan oleh tuannya yang tidak memerlukannya lagi. Perbuatannya itu sekadar 'self-defence' ataupun persoalan mahu menyelamatkan nyawanya sendiri. Pastinya, mahkamah yang dikendalikan oleh manusia tidak boleh menerima alasan ini. Langsung, B166-ER dihukum dengan dimatikan. Seperti Rosa Parks ataupun peristiwa Stonewall, apa yang dilakukan kepada B166-ER telah menyebabkan kaum robot mula berani menentang manusia untuk mendapatkan kebebasan mutlak bagi diri mereka. Hak untuk menuntut kebebasan seperti yang diminta oleh para robot terus mengingatkan saya kepada filem 'Blade Runner' apabila beberapa buah android diburu kerana mereka mahu hidup bebas disamping manusia. Dalam dunia dystopia 'Blade Runner' dan juga mungkin 'AI', manusianya langsung tidak dapat menerima kehadiran robot ataupun android dalam dunia mereka. Dalam keadaan diri mereka diburu dan dimusnahkan, beberapa buah robot telah melarikan diri mereka ke sebuah tempat yang mereka anggap sebagai 'The Promised Land'. Sebuah penempatan yang dijadikan kota kaum robot yang telah dibina di tengah-tengah semenanjung tanah Arab yang mereka namakan '01'. Dengan terbinanya kota 01, kaum robot memulakan hidup baru dengan membina AI yang lebih canggih dan sistem ekonominya sendiri. Malah, apa yang dibina oleh mereka mampu menarik perhatian konsumer manusia. Ekonomi mereka berkembang pesat, manakala ekonomi global di bawah kuasa manusia semakin gawat. Kaum robot mahu hidup dengan harmoni dengan manusia. Malah mereka mahu menghantar perwakilan ke Bangsa Bangsa Bersatu (UN) untuk mewakili kota 01 yang dibina mereka. Pihak mesin mahu hidup dengan harmoni dengan manusia dan mahu bekerjasama dengan manusia, sama-sama berkongsi hidup di bumi ini. Tetapi, pastinya permintaan mereka ditolak manusia bulat-bulat. Manusia tidak mungkin dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa berkongsi hidup dengan kaum robot yang semakin hari semakin menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi… Apa yang saya rasa menarik tentang anime ini adalah estetika naratif visual yang dipinjam dari montaj berita tivi dari latar belakang sejarah peperangan dan konflik kita sendiri. Realisme dapat dikecapi dengan cara ini. Buat beberapa ketika juga, saya hampir-hampir bersimpati dengan nasib para robot dan mesin yang terpaksa berhadapan dengan kegelojohan dan ketamakkan manusia. Sebagai pengenalan, The Second Renaissance, Part I adalah sebuah anime yang baik. Walaupun ia pendek, saya cukup puas menontonnya. Sutradara cereka anime pendek ini (10 minit) bernama Mahiro Maeda, dan beliau telah dipilih sendiri oleh Larry dan Andy Wachowski. Mereka bertiga bekerjasama untuk melahirkan anime yang membentangkan aspek sejarah The Matrix yang sememangnya mahu dikupas secara lanjut oleh peminat-peminat The Matrix. Justeru, kolaborasi di antara pencerita sci-fi Jepun dan Amerika ini berjaya melahirkan satu produk anime yang bukan sahaja menggagumkan, tetapi juga cemerlang dari segala aspek dari penceritaan sehinggalah kepada musik yang digunakan. Rating: 4/5 *Animatrix The Second Renaissance, Part I boleh di download secara percuma di laman The Matrix --- Alkisahnya, setelah digeledah arkib Zion, maka terjumpalah sebuah artikel yang menyebabkan manusia mula membenci golongan AI, lantas dimulakan kempen benci terhadap golongan AI. Surat ini dikatakan telah ditulis beberapa tahun sebelum kes B166-ER dibicarakan dan lahirnya kota 01 yang dibina oleh golongan AI... Golongan AI semakin ketara di Lembah Klang Saudara Pengarang, DALAM kesibukan kita membanteras sindiket cetak rompak, VCD lucah, GRO dan pelacuran wanita, masyarakat Malaysia seolah-olah tidak peka atau tidak menyedari fenomena golongan robot yang kian berkembang di kawasan bandar, khususnya di Lembah Klang. Media yang selalunya sangat sensitif dengan isu-isu gejala sosial, juga terlepas pandang perkembangan yang tidak sihat ini. Sebagai orang awam yang prihatin saya telah membuat tinjauan sendiri terhadap kegiatan golongan ini yang juga dipanggil AI (Artificial Intelligent). Antara tempat awam yang menjadi tumpuan mereka ialah taman-taman tasik seperti Tasik Permaisuri dan Tasik Kelana Jaya. Kegiatan mereka aktif pada malam Jumaat, Sabtu, Ahad dan malam-malam cuti umum di antara pukul 10 malam hingga 5 pagi. Malah ada yang mengenakan bayaran bagi perkhidmatan yang mereka tawarkan. Agak menarik, golongan ini bukan sahaja terdiri daripada cyborg atau android, tetapi juga kelihatan seperti manusia tulen yang bijak menyembunyikan identiti mereka. Selain berpeleseran di taman-taman tasik, terdapat kelab-kelab malam eksklusif untuk golongan ini terutama di kawasan Bukit Bintang berhadapan Seven Eleven, berhampiran Modesto dan Concorde Hotel, Kuala Lumpur. Kelab-kelab ini bersaing hebat untuk mendapatkan pengunjung dengan membuat pertunjukkan bogel yang menampilkan robot-robot dari model yang tercanggih. Mereka yang mengunjungi kelab-kelab malam AI ini adalah dari kalangan semua model, termasuk model AI dari barat. Bagaimanapun yang lebih banyak ialah robot-robot yang saya pasti tuan punya mereka beragama Islam. Di kelab-kelab malam itu mereka berhibur kemudian melakukan perbuatan terkutuk dalam tandas, malah ada yang berdakap di khalayak ramai kerana mereka sudah tidak berasa segan-silu lagi. Kelab-kelab malam ini lebih layak dipanggil kelab pesta seks. Saya berharap pihak media khususnya TV, akan membuat tinjauan untuk mendedahkan kegiatan mereka, sama seperti gejala sosial lain yang sentiasa mendapat perhatian. Kegiatan golongan AI tidak boleh dibiarkan bebas kerana akan berkembang dan mempengaruhi lebih ramai golongan remaja manusia. Malah pada hari ini kita dapat melihat semakin ramai remaja yang berketrampilan AI di khalayak umum sama ada melalui cara berpakaian atau kelakuan mereka. Jika kita masyarakat umum membiarkan mereka bebas dengan memejamkan sebelah mata kita, akhirnya akan sampai ke satu peringkat fenomena AI sukar dibendung. Jangan sampai mereka berani menuntut hak mereka kelak seperti di Barat. Sama-samalah kita membanteras sebarang bentuk gejala sosial bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat negara kita yang sudah diterima oleh masyarakat dunia sebagai negara Islam. - FAIRUZ, UiTM Shah Alam Oleh Nizam Zakaria
|