|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-06-12 - 2:50 p.m. El Crimen del Padre Amaro (The Crime of Father Amaro) merupakan satu lagi filem dari Mexico yang dapat saya tonton hasil daripada pembelian DVD cetak rompak. Jika tidak, jangan harap filem seperti ini dapat saya tonton di panggung wayang kita. Singapura terlalu jauh untuk saya jelajahi semata-mata untuk menonton filem-filem antarabangsa, jadi jalan lain untuk menonton adalah untuk mencari DVD cetak rompak… Filem ini telah diadaptasikan dari novel Portugis hasil tulisan José Maria Eça de Queirós, yang telah ditulis pada tahun 1875. Saya rasa tema dalam filem itu masih tetap segar maka ia terus digunakan untuk filem ini dengan mise-en-scene dunia kontemporari Mexico. Dengan segala kontroversi yang menyelubungi paderi-paderi Katolik baru-baru ini, filem ini sememangnya amat-amat bertepatan yang muncul tepat pada waktunya. Filem ini mengetengahkan tentang kesukaran paderi-paderi Katolik setia kepada janji untuk tidak berkahwin, (celebacy vows) serta hubungan di antara paderi muda serta yang tua. Filem ini mempunyai premis cerita yang agak ringkat tapi berat dengan persoalan-persoalan yang pastinya akan mengundang kontroversi, terutamanya di kalangan penonton beragama Katolik dan mereka di Mexico khususnya. Filem ini menekankan kepada korupsi, budaya wang dan hipokrasi yang wujud dan berselindung di sebalik nama agama. Kalau hendak difikirkan betul-betul, perkara ini bukan sahaja unik kepada agama Katolik, tetapi masalah ini agak universal. El Crimen del Padre Amaro mendapat sambutan yang hangat di Mexico dan berjaya mendapatkan kutipan hasil penjualan tiket yang terbesar di sana, walaupun beberapa orang pelakonnya menerima ugutan ‘excommunication’ dari pihak gereja Katolik. Filem ini dimulakan dengan munculnya paderi muda bernama Amaro (lakonan Gael García Bernal, seorang pelakon muda berbakat yang pernah berlakon dalam filem ‘Y Tu Mama Tembian’ dan ‘Amores Perros’) ke sebuah bandar bernama Los Reyes yang terletak di pendalaman Mexico. Di sana, beliau menemui paderi Benito (Sancho Gracia) yang menjadi ketua kepada sebuah gereja utama di Los Reyes. Tugas Amaro adalah untuk membantu Benito dan akhirnya menggantikan tempatnya setelah Benito bersara kelak. Setelah beberapa lama menetap di Los Reyes, Amaro mendapati bahawa Benito mempunyai hubungan sulit dengan Sanjuanera, (Angélica Aragón) seorang pengusaha restoran yang mempunyai seorang anak gadis jelita berusia 16 tahun bernama Amelia (Ana Claudia Talancón). Pada satu hari, sebuah akhbar membongkar cerita tentang aktiviti Benito yang menggunakan wang hasil penjualan dadah untuk membina sebuah klinik di Los Reyes. Kontroversi ini terus menjatuhkan kredibiliti Benito sebagai seorang paderi, walaupun beliau beranggapan wang yang diterimanya digunakan ke jalan yang baik. Amelia marah kepada teman lelakinya yang didapatinya menjadi penulis kepada akhbar yang telah menjatuhkan kedudukan Benito sebagai seorang paderi. Amelia memutuskan hubungannya dengan kekasihnya… Amelia kemudian jatuh hati kepada Amaro yang berwajah kacak. Mereka berdua akhirnya mengadakan hubungan sulit, sehinggalah Amelia mengandung. Benito mendapat tahu tentang hubungan Amaro dengan Amelia. Beliau tidak senang akan hubungan mereka berdua, walaupun beliau sendiri mengadakan hubungan sulit dengan Sanjuanera. Benito jelas hipokrit… Filem ini agak berat dan persoalan yang dibentangkan juga berat. Ia jelas bukan sebuah filem yang ceria. Tetapi filem ini jelas menunjukkan kepada struktur agama Katolik dan segala kontroversi yang berlaku akibat ‘celibacy vow’ dan beberapa dogma lain yang wujud. Walaupun begitu, setelah menonton filem ini, saya dapati ia seolah kurang menfokuskan kepada satu-satu plot atau tema yang utama. Mungkin sub-plot dan tema yang perbagai, dan watak-watak yang bermacam boleh diguna pakai dalam bentuk sastera, tapi filem, perkara ini sukar dilakukan jika tidak diatasi dengan betul. Kadang-kala, adegan yang dibentangkan juga terlalu meleret dan membebankan. Mungkin pengarahnya, Carlos Carrera terlalu idealistik mahu meletakkan segala-galanya yang terbaik dalam filem ini. Tapi saya rasa, untuk genre drama seperti ini, ‘less is more’. Walaubagaimanapun, Carrera perlu dipuji kerana beliau pandai bermain dengan metafora visual dalam filemnya ini. Penceritaannya menjadi semakin bermakna apabila beliau sering menggunakan simbolik-simbolik agama dalam naratif visualnya. Rating: 3.5/5 Oleh Nizam Zakaria
|