zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-06-24 - 3:54 p.m.

Ketika saya merai sambutan hari jadi saya yang kelima, ibu saya telah menghadiahkan kepada saya sebuah patung action figure 'The Hulk'. Saya cukup-cukup marah kerana saya tidak suka dengan hadiah tersebut, malah saya telah menyuruh ibu saya menukarnya cepat-cepat kepada patung 'Bubble Gum' yang boleh meniup belum dengan mulutnya. Saya tidak suka dengan 'The Hulk' kerana ia bukannya 'superhero' seperti Superman ataupun Spiderman yang saya gilai. 'The Hulk' bagi saya melambangkan sesuatu yang tidak ideal, hodoh dan langsung hilang sifat-sifat yang membuatnya manusia.

Saya rasa tatkala itu, ibu bapa saya lebih senang menerima 'The Hulk'(dari rancangan TV 'The Incredible Hulk' lakonan Lou Ferrigno Dan Bill Bixby yang agak popular pada waktu itu) dari saya. Mereka lebih dapat memahami 'The Hulk' mungkin kerana mereka melihat watak tersebut dari persepsi orang dewasa. Memang sukar untuk kita nafikan bahawa watak 'The Hulk' kurang dapat tempat di kalangan kanak-kanak berbanding dengan 'superheroes' yang lain. (Trivia menarik dari rancangan TV 'The Incredible Hulk': Nama Bruce Banner ditukar kepada David Banner kerana pihak penerbit memikirkan bahawa nama 'Bruce' terlalu gay)

Setelah dewasa, saya mula dapat memahami dinamik watak 'The Hulk''. Perlahan-lahan saya mula dapat menerimanya. Semakin saya matang, semakin saya dapat melihat apa yang menarik tentang 'The Hulk'.

Filem 'The Hulk' rasa-rasanya sukar dikategorikan sebagai sebuah filem 'superhero', kerana 'The Hulk' bukan seorang 'superhero'. Beliau tidak mempunyai modus operandi seperti seorang 'superhero'. 'The Hulk' merupakan anti-hero yang sukar mengawal dirinya. Beliau lebih membawa kepada kebinasaan, tetapi dalam pada itu, dalam sifat ganasnya, beliau dapat menyelamatkan keadaan.

Jadi bagaimana untuk memaparkan watak anti-hero 'The Hulk' ini ke layar perak lantas membuatkan penonton memahami serta menyelami perasaannya? Pasti perkara ini sukar dilakukan.

Kali pertama saya mengetahui apabila Ang Lee dipilih untuk projek 'The Hulk', hati saya terus terdetik memberitahu kepada diri saya bahawa pilihan ini memang bertepatan.

Apa yang pasti mengenai Ang Lee, apabila beliau mengarahkan 'The Hulk' beliau sedikit pun tidak memikirkan tentang penonton kanak-kanak (Di AS, filem ini mendapat rating 'PG-13' dan bukan 'G', sedangkan di Malaysia ratingnya 'U'. Kenapa ya?). Perlu diingatkan bahawa Ang Lee adalah seorang pengarah yang terkenal dengan filem-filem yang mempunyai tema dewasa. 'The Wedding Banquet' sebagai contoh adalah filem mengenai pasangan gay yang bahagia yang terpaksa berhadapan dengan masalah apabila salah seorang dari mereka telah dipaksa berkahwin. 'The Ice Storm' pula, menceritakan tentang penerokaan seksual pasangan suburbia pada tahun 70-an yang berakhir dengan tragedi.

Keistimewaan arahan Ang Lee bagi saya terletak kepada penelitiannya kepada aspek penerokaan watak yang dalam dan tidak pipih. Tidak pernah saya tonton sebuah filem mengenai seorang ‘superhero’ yang menjelajahi perasaan watak sehingga lebih dari sejam sebelum kita melihat perubahan yang berlaku kepadanya (kecuali mungkin filem 'Unbreakable'). Dalam aspek ini, Lee memang mengambil banyak masa agar kita sebagai penonton akan dapat lebih memahami pergelutan perasaan Bruce Banner (Lakonan pelakon Australia, Eric Bana. Suara beliau digunakan dalam filem ‘Finding Nemo’ sebagai ikan jerung yang mahu berkawan dengan Marlin). ‘The Hulk’ sememangnya bukan satu watak yang senang dapat kita terima, tetapi dengan memahami siapa yang berada di sebalik ‘The Hulk’ perasaan simpati akan timbul.

Saya rasa memang agak tepat Eric Bana diambil untuk watak 'The Hulk' ini. Lakonan Bana berkesan dan meyakinkan. Dari mimik wajahnya, kita dapat merasakan kekarutan yang bergolak di dalam kepalanya yang telah sekian lama cuba dilupakannya. Lakonan Bana dibantu oleh Jeniffer Conelly sebagai Betty Ross, wanita yang dicintai oleh Bruce Banner. Inilah kali kedua rasa-ranya Conelly berlakon sebagai wanita yang mencintai seorang 'dysfunctional genious'. Sebelum ini beliau bercinta dengan John Nash (Russell Crowe) dalam filem 'A Beautiful Mind'. Memang Conelly sudah terbiasa mengambil watak-watak sebegitu rupa sehinggakan lakonannya nampak berkesan.

Stan Lee, pencipta watak 'The Hulk' suka sangat membuat watak-watak yang bersangkut paut. Jika kita perhatikan watak Spiderman, beliau mempunyai seorang rakan baik bernama Harry Osborne yang mempunyai seorang bapa bernama Norman Osborne yang akhirnya menjadi seterunya (Goblin). Konflik yang sama dapat kita lihat dalam 'The Hulk' apabila Betty dan Bruce sebenarnya tinggal di kawasan yang sama ketika mereka kecil dan kebetulan pula, bapa Betty (Sam Elliott) dan Bruce (Nick Nolte) masing-masing saling membenci. Yang lebih menarik lagi, bekas kekasih Betty, Talbot (Josh Lucas) kini bekerja pula dalam sebuah syarikat 'Atheon Lab' yang akhirnya mengambil alih uji kaji Bruce dan Betty dalam teknologi nanomeds dan sinaran gamma di Berkeley Biological Technology Institute.

Apa yang menarik tentang filem 'The Hulk'ini adalah penggunaan teknologi CGI secara sepenuhnya untuk mencipta watak 'The Hulk' itu sendiri tanpa menggunakan pelakon manusia seperti siri TVnya satu ketika dahulu. Perkara ini telah dilakukan untuk mengikut karakter 'The Hulk' sebagaimana yang dipaparkan di dalam komik. Dalam komik, tubuh 'The Hulk' memang besar bagak, sebesar gergasi. Dengan adanya teknologi CGI ini juga, 'The Hulk' akhirnya dapat melakukan perkara-perkara seperti yang dipaparkan di dalam komik, seperti melompat jauh serta berlari dengan pantas. Tanpa teknologi CGI, tidak mungkin 'The Hulk' dapat digambarkan dengan tepat.

Animasi CGI yang digunakan juga nampak realistik. Tak nampak kaku, pada hemat saya lebih baik dari yang digunakan dalam filem Spiderman. Ketelitian mimik muka ‘The Hulk’, setaraf atau mungkin lebih baik dari watak Gollum dalam filem LOTR: The Two Towers, lantas menampakkan sifat-sifat kemanusiaan yang masih ada dalam dirinya, walaupun sudah bertukar menjadi gergasi hijau yang ganas. (Satu lagi trivia mengenai ‘The Hulk’: Pada mulanya ‘The Hulk’ berwarna kelabu seperti yang difikirkan oleh Stan Lee, tetapi bertukar hijau kerana tukang cetak tidak mempunyai warna kelabu, lantas warna hijau digunakan)

Satu lagi perkara yang unik mengenai filem ini adalah suntingannya. Perhatikan bagaimana filem ini mahu menyerupai komik. Kadangkala dua atau tiga montaj digunakan untuk bercerita. Perkara ini mengingatkan saya kepada filem 'The Pillow Book' oleh Peter Greenaway. Walau bagaimanapun, kadangkala teknik ini terasa agak 'overused'. Teknik yang sama telah digunakan oleh Marcia Griffin (bekas isteri George Lucas) untuk trilogi awal filem 'Star Wars' yang telah disuntingnya, tetapi suntingan kesinambungan babak dalam trilogi 'Star Wars' agak terkawal. Dalam filem 'The Hulk' pula sebaliknya. Jelas dalam aspek ini, Lee cuba bereksperimen dengan teknik naratif visual yang jarang digunakan.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, filem ini mengambil masa yang agak lama untuk bercerita. Sejam lebih akan berlalu sebelum kita dapat melihat transformasi Bruce Banner kepada 'The Hulk'. Masa yang lebih lama digunakan untuk kita mengetahui tentang hubungan Bruce Banner dengan bapanya David Banner, seorang saintis yang melakukan eksperimen genetik terhadap dirinya yang akhirnya diwarisi oleh anaknya Bruce. Filem ini memang terasa agak lama dan mungkin akan memenatkan minda sebilangan penonton, tetapi saya cukup-cukup menyenanginya. Sebuah filem yang diadaptasi dari komik tidak semestinya perlu ada aksi melulu. Aspek penceritaan itu penting, mungkin itulah jalan yang cuba diambil oleh Lee.

Aspek komik dalam filem ini jelas kelihatan apabila kita dapati tidak ada sesiapapun yang mati atau cedera parah apabila 'The Hulk' mengamuk. Macam menonton kartun di TV gamaknya, dan saya pasti perkara ini disengajakan (atau mungkin kerana ingin mendapatkan rating 'PG-13'). Apa-apa pun, jika kita tolak perkara ini ke tepi, 'The Hulk' merupakan sebuah filem yang menarik untuk ditonton.

Rating: 3.75/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!