|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-06-24 - 3:53 p.m. Rasa-rasanya, kita baru sahaja melihat terbitnya album kompulasi terbaik gigi; 'The Best of Gigi'. Kini, terbit pula album baru dari mereka yang bertajuk 'Salam Kedelapan'. Album ini merupakan album yang kelapan kumpulan Gigi, yang pada hemat saya jelas dapat menunjukkan kematangan mereka dalam menghasilkan sebuah album yang baik. Gigi dianggotai oleh Armand Maulana (vokal), Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan(bas) dan Budhy Haryono (dram). Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan lagu-lagu yang dibawa oleh Gigi, pasti kita sedar bahawa lagu-lagu yang dibawa oleh mereka mempunyai irama yang tersendiri. Sukar untuk menyamakan mereka dengan mana-mana kumpulan yang lain. Mereka jelas unik. Saya cukup berpuas hati dengan album 'Salam Kedelapan'. Hampir kesemua lagu yang dipersembahkan baik. Perlu saya memberitahu bahawa lirik yang ada dalam album ini kesemunya dihasilkan oleh Armand dan lagunya pula oleh Gigi. Lagu pertama, 'Terima Sahaja' agak rancak. Lirik lagu ini agak melankolik tetapi persembahannya penuh bertenaga. Selepas menikmati lagu ini, pasti kita tertanya-tanya, adakah Gigi akan konsisten mempersembahkan lagu-lagu yang baik selepas lagu Terima Saja ini. Jawapannya ya! Bagi saya, lagu 'Perihal Cinta' merupakan lagu yang berhantu dari album ini. Saya cukup-cukup senang dengan lagu ini. Lagu ini adalah lagu yang paling saya suka yang datangnya dari album kelapan Gigi ini. Liriknya puitis: "(reff) Terkutuk bila aku,/ melepaskan cintamu itu, hanyalah satu rasa, yang haruslah/ kuungkap, I love you so…" Keistimewaan 'Kucari Yang Kau Mau' adalah rentak lagu ini, yang cukup 'catchy' walaupun tidak serancak lagu-lagu sebelumnya. Lagu ini rentaknya dekat kepada lagu-lagu modern-rock tahun 90-an. Lagu 'Salam' agak perlahan, tetapi ia tidak sentimental dalam keterikatan iramanya. Lagu ini sebagai petanda lagu-lagu lain akan diperlahankan rentaknya selepas ini. Liriknya cukup kuat walaupun ringkas: ' Kesepian, yang kau beri,/ menusukku, dengan tajam." Keistimewaan lagu ini letaknya dalam reff-nya yang terkandung secebis irama yang menarik. Saya suka dengan susunan lagu dalam 'Jatuh Padamu'. Lagu ini walaupun perlahan, tidak membosankan kerana susunan musiknya yang sudah sedia menarik. Lagu 'Wanita' pula rancak. Lagu ini menceritakan tentang seorang wanita yang harus diagungkan dan dimanja seperti permaisuri, tetapi setelah mencubanya, harus lembali membuangnya. Satu kontradiksi menarik wujud dalam lagu ini. Lagu 'Untukmu Teman' pula satu ode untuk seorang teman. Satu tema dalam lagu yang jelas cuba lari dari lagu-lagu yang bertemakan cinta. 'Rahasiaku' merupakan satu lagu yang saya anggap unik. Liriknya bersifat 'kontroversi' yang saya yakin jika dibuat di Malaysia, pasti akan kena gam. "Mungkin hanya aku, bisa/ memuaskan, seluruh maumu, dan/ s'luruh nafsumu (Reff) Berilah aku, kesempatan tuk/ buktikan bahwa aku, lelaki sejati." 'Ketakpastian' dan 'Akhir Cinta' adalah dua lagu yang bertenaga. Jenis lagu-lagu yang jika dimainkan dalam konsert, pastinya akan membuat peminat separuh gila. Bagi saya, 'Salam Kegelapan' lebih 'radio-friendly' dari album-album mereka sebelum ini. Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini tidak sekeras album-album terdahulu, walaupun trademark lagu Gigi masih pekat. Armand tetap dengan vokalnya yang cukup sesuai membawakan lagu-lagu modern-rock. Album ini secara keseluruhan memang cemerlang. Sukar sebenarnya untuk saya mencari kelemahannya. Vokal, susunan musik dan liriknya baik. Pendek kata, mungkin inilah album terbaik Gigi sejak akhir-akhir ini. Rating: 4/5 Oleh Nizam Zakaria
|