zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-06-25 - 12:23 p.m.

Saya sebenarnya mula mendekati karya José Saramago tatkala menuntut di AS dahulu. Sewaktu itu, saya tercari-cari novel yang berbentuk Magic Realism seperti yang dipelopori oleh Gabriel Garcia Marquez dan Salman Rushdie. Seorang rakan menyarankan saya membaca karya José Saramago yang bertajuk 'The History of the Seige of Lisbon'. Kebetulan, setahun sebelumnya (1998) beliau telah memenangi hadiah Nobel untuk kesusasteraan.

Setelah tamat membaca novel 'The History of the Seige of Lisbon', saya rasa sedikit pasrah, kerana konsep penceritaan yang digunakan oleh Saramago tidak boleh saya gunakan lagi. Saya mempunyai ide yang hampir serupa untuk sebuah buku yang bakal saya tulis satu hari nanti. Tetapi apabila saya fikirkan sekali lagi, ada baiknya juga saya membaca karya Saramago ini, jika tidak, pasti akan ada kesamaan yang tidak boleh dapat saya nafikan.

Tatkala membaca novel '1515' karya Faisal Tehrani, walaupun tidak serupa, kedapatan banyak persamaan ketara di antara novel ini dengan novel tulisan Saramago. Saya tidak tahu jika perkara ini disengajakan ataupun secara kebetulan. Saya yakin perkara ini adalah kebetulan semata-mata, walaupun Faisal banyak melakukan kajian mendalam tentang sejarah Portugis. Mungkin juga, Faisal sendiri tidak kenal dengan pemenang hadiah Nobel dari Portugal ini mahupun membaca karyanya, jika tidak, sudah pasti persamaan yang akan saya jelaskan tadi dapat dijauhi.

Dalam novel 'The History of the Seige of Lisbon', terdapat watak yang bernama Raimundo Silva yang bekerja sebagai seorang 'proofreader' di sebuah syarikat penerbitan. Dalam '1515' pula, kita diperkenalkan dengan watak Dr. Adi Fimiyun Abdul Hadi, seorang sejarawan. Yang menariknya, kedua-dua mereka mahu menukar perjalanan sejarah; Raimundo mahu menukar sejarah penaklukan Lisbon pada tahun 1147, dan Adi pula, penaklukan Melaka pada tahun 1511.

Novel 'The History of the Seige of Lisbon' mempunyai tiga lapisan berlainan. Lapisan pertama adalah penceritaan mengenai kehidupan Raimundo yang mahu mengubah fakta sejarah. Lapisan kedua pula adalah mengenai peristiwa yang berlaku di Lisbon pada tahun 1147, seterusnya tentang seorang askar yang jatuh cinta kepada gundik seorang pahlawan . Dan yang ketiga adalah suara naratif si pencerita. Dalam 1515 pula, sama lagaknya. Dalam lapisan pertama, bercerita tentang Dr. Adi yang mahu merubah realiti sejarah. Lapisan kedua pula tentang peristiwa yang telah berlaku di Melaka pada tahun 1511, seterusnya tentang Nyemah Mulya, seorang pahlawan Melaka yang mempunyai kehandalan yang luar biasa. Dalam lapisan ketiga pula suara naratif tukang cerita dalam versi sejarah yang telah diubah.

Dalam sejarah Portugal, pada tahun 1147, Kerajaan Portugis bangkit setelah berjaya mengalahkan pemerintahan Islam Moor di Kota Lisbon. Tetapi dalam novel 'The History of the Seige of Lisbon', Raimundo mengubah sejarah, kononnya membuat bala tentera Perang Salib dalam perjalanan mereka ke Baitulmuqaddis, tidak membantu Dom Afonso Henriques, seorang raja Katolik untuk merampas kembali Kota Lisbon dari tangan orang-orang Moor.

Dalam novel '1515', Dr. Adi mengubah sejarah Melaka dengan mewujudkan seorang srikandi; Tun Nyemah Mulya yang akhirnya dapat mengalahkan bala tentera Portugis di Melaka. Dan bukan itu sahaja, Nyemah seterusnya mengetuai armada Nusantara dengan 100 bahtera perang berisi 60,000 bala tentera lantas menakluki Portugal:

"Lisbon pada tahun 1515 jatuh ke tangan Melaka. Orang Melayu memerintah di sana dengan bantuan Sepanyol sehingga tahun 1580 apabila kuasa Melayu mula merosot di Eropah."

Dunia Raimundo selari dengan kisah cinta dalam sejarah yang telah diubahnya. Dalam dunia '1515' pula, dalam kehidupan Adi terdapat dua versi Nyemah Mulya. Satu yang wujud dalam zaman kejatuhan Melaka dan satu lagi yang wujud pada waktu ini. Dalam kedua-dua novel ini, fakta sejarah diputarbelitkan sehingga pembaca sukar untuk meneka apa yang betul dan apa yang tidak.

Saya minta agar kesemua kesamaan yang ada ini dianggap sebagai satu kebetulan semata-mata. Tidak perlu rasanya kita membandingkan segala kesamaan yang pastinya tidak disengajakan ini. Pada hemat saya, 'The History of the Seige of Lisbon' adalah sebuah kisah cinta, manakala '1515' cuba lari dari tema cinta. Kedua-dua novel ini mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri, walaupun mempunyai kerangka yang sama.

Jelas sungguh bahawa Faisal telah melakukan kajian yang agak mendalam untuk menulis novel ini, lebih dari kebanyakan novel-novel Melayu yang pernah saya baca sebelum ini. Tetapi ada kalanya, apa yang dipersembahkannya terasa janggal seolah beliau telah mengalihbahasakan segala bahan yang telah dikumpulkannya dan telah dimasukkan ke dalam jalan cerita. Dalam banyak hal juga, kadangkala perbualan di antara Dr. Adi dengan Profesor Nyemah ataupun Maude terasa kekok untuk dibaca. Cara perbualan mereka agak kaku, perkara ini pastinya disengajakan agar menampakkan lagi unsur 'sastera' dalam novel '1515' ini.

Faisal nampaknya masih tidak dapat lari dari membuat sebuah novel yang penuh dengan adegan 'jet setter' ala novel Sydney Sheldon. Dalam novel '1515' sendiri, terdapat adegan-adegan di luar negeri lengkap dengan situasi kehidupan mewah para jutawan. Mungkin perkara ini disengajakan agar Faisal dapat menarik perhatian pembaca-pembaca wanitanya yang makan dan tidur dengan membaca novel-novel 'best-sellers' seperti ini.

Adalah mendukacitakan bahawa novel '1515' ini tidak boleh dianggap universal sifatnya. Mungkin pembaca Melayu/Islam dapat menerimanya tetapi setakat itu sahajalah. Untuk karya ini dialihbahasakan dan diterima oleh masyarakat luar (yang bukan Melayu/Islam) saya rasa agak sukar. Inilah kelemahan '1515' yang paling ketara. Faisal mahu ia diterima sebagai sebuah Sastera Islam, tetapi dari segi persembahannya, ia terlalu stereotaip - kesudahannya, novel ini kurang sifat tarikan universalnya. Adakah nilai keislamannya terletak pada Maude, isteri Dr. Adi yang masuk Islam kerana berkahwin dengan sejarawan Dr. Adi? Ataupun mungkin, apabila watak tentera Portugis dibuat agak pipih sehingga mereka nampak jahat sejahat-jahatnya? Pada hemat saya, gambaran Sastera Islam ini lebih tepat jika kita memerhatikan '1515' dari segi dakwah Tun Nyemah Mulya (Islam) dalam bentuk perjuangannya bersungguh-sungguh menentang penjajah Portugis (kafir). Akan tetapi, bahagian ini telah dipersembahkan dalam bentuk 'Magic Realism'. Tidak salah rasanya, tetapi terkeluar sedikit dari konvensi realisme penceritaan fiksyen sejarah yang selalunya bersandarkan kepada fakta. Untuk persembahan kreatif, saya tetap menganggap perkara ini sebagai luar biasa dan harus dipuji sama sekali.

Beberapa perkara serta ayat yang ditulis mungkin akan dianggap biasa oleh pembaca Melayu/Islam, tetapi saya yakin pembaca Kristian khususnya Katolik akan terasa janggal dan mungkin terhina. Seperkara yang mungkin hendak kita fikirkan adalah dinamik sejarah serta kesannya pada hari ini. Satu persoalan besar yang pernah diajukan kepada saya adalah apa yang akan terjadi jika Sepanyol menakluki Melaka ataupun Tanah Melayu dan bukan Portugis, Belanda mahupun Inggeris (mereka telah menjajah kita dalam jangka masa beratus-ratus tahun). Adakah penjajah Sepanyol dengan kesungguhannya dalam tujuan untuk menyebarkan agama Katolik akan membuatkan Malaysia kini sebuah negara dengan majoritinya Katolik seperti di Filipina? Tentu kita tidak dapat mengenepikan kesungguhan Sepanyol dalam aspek keagamaan. Kita tidak mungkin tidak boleh melupakan ‘The Spanish Inquisition’ yang bermula di semenanjung Iberia dan juga aspek penaklukan agama di mana-mana tempat yang telah mereka takluki. Perbandingan ini perlu ada jika kita membaca novel-novel yang mampu membuat kita berfikir jauh seperti ‘1515’. Bandingkan cara penaklukan Portugis dan Sepanyol. Apa berbezaannya? Adakah Portugis menakluki Melaka dengan motif utama keagamaan, ataupun ekonomi? Jawapan-jawapan ini boleh kita fikirkan secara mendalam setelah membaca ‘1515’.

Dalam wawancara e-mel saya dengan Faisal dahulu, pernah saya ajukan soalan mengapa beliau sering sangat mencipta watak heroin dalam novel-novelnya. Beliau mengakui bahawa perkara ini dilakukan agar dapat menarik perhatian pembaca wanita - satu taktik pemasaran yang baik sebenarnya, kerana memang benar bahawa tidak terdapat ramai pembaca-pembaca novel Melayu di kalangan lelaki. Dari pengetahuan inilah terwujudnya watak Tun Nyemah Mulya.

Kewujudan srikandi wanita sebenarnya bukanlah satu cerita dongeng. Mungkin juga watak seperti Tun Nyemah Mulya wujud, tetapi tidak diperkatakan. Selama ini, cerita sejarah seringkali ditulis oleh sejarawan lelaki yang bersifat misoginis. Lebih kusut lagi apabila sejarah awal kita telah dimonopoli oleh para penyelidik kolonial yang mungkin tidak mahu mendedahkan kewujudan srikandi yang ingin bangun menentang kuasa penjajah. Cerita-cerita seperti ini perlu dilupuskan, agar kita tidak mempunyai jatidiri yang kuat. Mungkin perkara-perkara inilah yang ingin diketengahkan oleh Faisal, maka watak srikandi Tun Nyemah Mulya diwujudkan dan seorang sejarawan lelaki, Dr. Adi yang beria-ia mahu menulis semula lipatan sejarah agar nama srikandi ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dunia Melayu Nusantara sebenarnya sudah lama melahirkan srikandi-srikandi yang namanya terus diingati kerana mempertahankan nusa dan bangsa. Dalam buku 'Wanita Utama Nusantara: Dalam Lintasan Sejarah' suntingan Ismail Sofyan, H. Hassan Basri dan T. Ibrahim Alfian, pengalaman srikandi-srikandi yang melawan pihak Belanda seperti Cut Nyak Dhien, Chuk Nyak Muetia, Pocut Baren dan Pocuk Muerah Intan ada diceritakan. Dalam buku yang sama, kita juga akan mempelajari bahawa watak seorang srikandi yang menyerupai Tun Nyemah Mulya memang wujud, tetapi wujud dalam bentuk Laksamana Keumalahayati, yang pernah menjadi Laksamana tentera laut Aceh satu ketika dahulu.

Novel '1515' tidak boleh dianggap sebagai novel sejarah. Pada dasarnya, kita perlu memahami perbezaan di antara genre non-fiksyen sejarah, (contoh: Schindler's Ark) fiksyen sejarah (Masters of Rome) dan cerita yang telah diselitkan ke dalam peristiwa bersejarah (contoh: Ben Hur dan Gone with the Wind'). Kalau mahu diikutkan, '1515' mungkin lebih dekat kepada genre 'magic realism' dari genre-genre yang telah saya senaraikan di atas. Novel 'Orlando' oleh Virginia Woolf adalah contoh terbaik genre 'Magic Realism' yang disampaikan dengan latar belakang kejadian sejarah. Dalam genre ini, penulis lebih bebas memutar belitkan fakta. Apa yang penting adalah penceritaan yang ingin disampaikan.

Kekuatan novel '1515' terletak dalam keselariannya sebagai kritikan kepada situasi politik di Malaysia pada waktu ini. Puteri Kiambang Piah, sebagai contoh adalah seorang Puteri puteri yang mempunyai kecenderungan kepada kaum sejenisnya (baca: lesbian):

"'Aduh terletak betul hidung, besar sekali tubuhnya! Suka pula kita. Cantik begini dengan kulit putih-putih merah tidak Mak Itam hendak kenalkan kepada kita?"

Mak Itam mendesis perlahan, dalam hati menggunjing sepuas rasa. Puteri haram jadah, negeri lagi perang, dia lagi minat dengan benda-benda begini."

Dalam satu adegan yang lain pula, kritikan terhadap ISA dipersembahkan secara halus. Perkara ini berlaku apabila Nyemah dikhianati seperti mana yang telah berlaku kepada Joan of Ark, lantas ditangkap dan dikurung:

"'Hukum Kanun Melaka adalah berasaskan Islam,' kata Tun Nyemah, meyakinkan semua yang kegelisahan.

Akan tetapi Tun Nyemah Mulya telah dipenjarakan hampir tiga minggu tanpa sebarang khabar berita. Tun Nyemah dihadapkan ke mahkamah dan muncul di khalayak ramai dengan rambut kerusut, baju compang-camping dan muka bengkak-bengkil. Tun Nyemah terpaksa dipapah untuk berdepan dengan hakim."

Pada hemat saya, adegan-adegan seperti inilah yang membuatkan pembacaan saya lebih bermakna. Malah, terus menyakinkan saya bahawa novel ini bukan calang-calang novel.

Faisal ternyata dapat melakarkan sebuah karya fiksyen yang menarik. Saya yakin novel ini bukan untuk remaja, walaupun ia telah dipilih sebagai pemenang kategori novel remaja Hadiah Sastera 2002 Kumpulan Utusan. Novel ini jelas sebuah novel untuk pembaca-pembaca dewasa yang terbiasa dengan karya-karya sastera non-konvensional. Khalayak pembaca dewasa yang cenderung kepada novel-novel 'pop' mungkin sukar untuk menerima novel ini.

Saya cukup puas membaca '1515'. Tidak boleh saya nafikan bahawa novel ini mempunyai kelainan. Dari segi penceritaan, buku ini bergerak dalam arus 'non-linear'. Prosa bahasa yang digunakan indah. Yang menarik, banyak peribahasa lama yang digunakan.

Saya suka kepada segala kemasan 'detail' yang ada dalam '1515'. Kelainan dalam olahan binaan struktur serta bentuk penceritaan yang tidak mengikut kronologi juga amat-amat 'refreshing'. Sekali baca sahaja tidak mencukupi untuk memahami novel ini.

Novel ini perlu dibaca, walaupun sukar untuk memahaminya dan ada kalanya janggal. Novel ini indah, jika kita akhirnya mampu memahami perutusan atau mesej yang ingin disampaikan oleh Faisal kepada pembaca-pembacanya...

Rating: B

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!