|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-07-01 - 10:19 a.m.
Rashomon pada asalnya adalah sebuah karya cerpen oleh Ryunosuke Akutagawa, seorang penulis Jepun yang lebih senang menyendiri maka dianggap eksentrik orang mereka yang sezaman dengannya. Dengan jiwanya yang sering terasing, memang bertepatanlah beliau dapat menjiwai watak-watak manusia yang kompleks. Dalam pembikinan drama Rashomon ini, watak 'The Gatekeeper' yang tidak pernah wujud dalam cerpen Akututagawa diwujudkan oleh Joe Hasham yang bertindak mengadaptasikan skrip Rashomon ini. Dalam proses mengadaptasikan Rashomon, Joe telah meneliti pergerakan dialog seperti yang dibentangkan oleh Kurosawa. Saya rasa memang agak sukar untuk mengetepikan Rashomon oleh Kurosawa begitu sahaja, kerana karya Kurosawa memang telah dianggap sebagai sebuah karya 'masterpiece'. Dalam 'program' Rashomon, ada disebutkan tentang penggunaan prosa untuk watak-watak yang berlakon, tetapi 'The Gatekeeper' pula (lakonan Gan Hui Yee) diberikan dialog 'rhyming couplet'. Perkara ini jika kita perhatikan betul-betul memang boleh kita sedari secara jelas, walaupun kadangkala dialog yang diucapkan oleh Gan agak pelat. Faridah Merican adalah pengarah persembahan teater Rashomon. Arahannya jelas menampakkan kematangannya sebagai seorang pengarah. Rashomon yang diarahnya nampak melankolik. Kadangkala penonton akan terasa mereka dibawa ke dunia yang lain. Ruang teater dipakai secara maksimum, walaupun set dalam bentuk perabot tidak digunakan sama sekali. Apa yang lebih menarik, Faridah mampu mendapatkan segala-galanya dari pelakon-pelakonnya. Mungkin perkara ini dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana Faridah pernah mengambil watak isteri samurai dalam pementasan Rashomon, arahan Abdullah Zainol. Masih ingat kepada telatah segelintir wartawan-wartawan hiburan Melayu yang melatah tidak sudah-sudah tatkala pementasan drama Tennessee Williams 'A Streetcar Named Desire' dahulu? Adegan kucupan di antara Ramona Rahman dengan Andrew Leci telah dibesar-besarkan mereka. Tatkala menonton Rashomon, berkali-kali saya berharap wartawan-wartawan seperti ini tidak akan mensensasikan pementasan ini, terutamanya apabila memang terdapat adegan ranjang dalam Rashomon (apabila isteri si samurai dirogol oleh Tajomaru). Keputusan yang telah diambil oleh Faridah memang bertepatan, adegan seperti ini perlu diadakan untuk membuatkan kita lebih memahami pergolakan perasaan yang terpaksa dihadapi oleh watak-watak yang ada. Kudos kepada para pelakon kerana berjaya membawa watak-watak mereka dengan baik. Saya cukup mengagumi lakonan Tajomaru oleh Ramli Hassan. Beliau benar-benar dapat bersuara dengan lantang dengan setiap perkataan yang disebutkannya dapat kita fahami dan selami dengan betul. Begitu juga 'The Woodcutter 1' lakonan Terence Swampillai. Suaranya juga lantang. Lakonannya berkesan dengan mimik muka yang bertepatan dengan dialog yang dibawanya. Marissa Teh yang membawa watak isteri si Samurai pula dapat membawa satu watak yang cukup kompleks yang memerlukan beliau membawa emosi seorang wanita yang berbeza-beza. Muzik latar yang dipersembahkan adalah di antara yang terbaik yang pernah saya dengari untuk sebuah persembahan teater di Malaysia sejak beberapa tahun yang lepas. Muzik latar untuk Rashomon telah diselenggarakan oleh Bernard Goh. Kesan cahaya telah diselenggarakan oleh Mac Chan yang nampaknya telah berjaya menggunakan sistem lampu dalam The Actors Studio untuk menghidupkan suasana pementasan Rashomon. Cahaya yang digunakan agak malap, tapi bersesuaian dengan keadaan melankolik dan jika kita perhatikan betul-betul di dalam beberapa adegan, penataan cahaya telah digunakan dengan baik untuk membawa kepada simbolik kekaburan moral watak-watak yang ada. Saya akui, dalam kejahilan saya, sukar sebenarnya untuk saya memahami Rashomon secara mendalam (lebih-lebih lagi apabila bahasa Jepun dan Mandarin diselitkan dalam beberapa adegan). Tatkala menonton, sukar saya mengikuti apa yang ingin disampaikan oleh para pelakon. Mungkin naskhah yang dipersembahkan terlalu berat, maka ia perlu ditelaah secara mendalam sebelum dan selepas saya menontonnya (yang tidak saya lakukan, kecuali menonton versi filemnya oleh Kurosawa lebih sepuluh tahun yang lampau). Tetapi dalam kejahilan saya, saya tetap akui bahawa Roshamon arahan Faridah Merican merupakan sebuah persembahan teater yang baik. Rating: B+ Baca, Diskusi Secangkir Latte Bersama Faridah di laman Kakiseni, juga ulasan Rashomon oleh Antares di laman yang sama. * Suggest a column/blog topic Oleh Nizam Zakaria
|