zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-07-03 - 8:30 a.m.

Saya sering mengikuti perbincangan etika bio dan sains. Perkara mengenai klon banyak diperbincangkan, kerana terdapat ketetapan dogma agama dalam hal ini. Perasaan saya gusar kerana persoalan mengenai AI (Artificial Intelligent) tidak pernah diambil endah, walaupun ramai penulis-penulis serta sutradara filem mengetengahkannya, seperti Arthur C. Clark, Isaac Asimov, Stanley Kubric, Steven Spielberg dan baru-baru ini Larry serta Andy Wachowski dalam siri 'The Matrix'. Perkara ini mungkin berlaku kerana kewujudan AI tidak pernah diperkatakan dalam mana-mana dogma agama arus perdana.

Banyak kali dystopia AI dibentangkan dalam bentuk cerita di mana AI akan menguasai umat manusia. Dengan mengikut teori 'survival of the fittest' seperti yang diperkatakan oleh Herbert Spencer, (dan bukan Charles Darwin) AI mampu menggantikan tempat manusia sebagai makhluk yang paling berkuasa di muka bumi ini. AI mampu 'membiak' dengan membina mesin yang canggih dan sistem perisian yang lebih baik. Dengan kemampuan berfikir, mereka akan cepat sedar bahawa kewujudan manusia hanya sebagai pesaing utama mereka dan yang bukan satu kewujudan simbiotik. Manusia perlu mereka musnahkan untuk memastikan survival mereka sendiri.

Persoalan-persoalan seperti ini telah dibentangkan baru-baru ini dalam siri The Matrix. Kini, kita dihidangkan pula dengan siri ketiga filem sci-fi Terminator; 'Terminator 3: Rise of the Machines'.

Filem T3 ini bagi saya berlainan sedikit dari siri-siri 'Terminator' sebelum ini, walaupun mengikut acuan yang sama. T3, (dengan terwujudnya tarikan intelektual siri 'The Matrix') mula menuju ke arah untuk menyalurkan persoalan falsafah, dan bukan hanya filem aksi ganas semata-mata ke dalam filem ini. Penulis layar perak John Brancato dan Michael Ferris ('The Game') bagi saya berjaya membuatkan T3 lebih menarik kepada mereka yang mahu masuk ke panggung untuk berfikir, dan bukan untuk mencari hiburan kosong semata-mata.

Filem T3 telah diarahkan oleh Jonathan Mostow, yang sebelum ini telah mengarahkan filem aksi thriller, 'U-571'. Saya rasa, keistimewaan arahan Mostow terletak dalam kebolehannya mencipta situasi tegang yang mampu mencengkam perasaan penonton. Dalam T3, beliau mampu melakukan perkara ini dengan cemerlang, mungkin jauh lebih baik dari sutradara-sutradara terdahulu dalam siri 'Terminator'.

T3 mengikut dinamik T2 dalam hal mewujudkan Terminator yang baik dan Terminator yang jahat. Apa yang membezakan T3 dari T2 adalah kini kita akan diperkenalkan dengan sebuah 'Terminatrix' (Kristanna Loken) yang dikenali dengan nama T-X-sebuah cyborg yang jauh lebih canggih dari Terminator versi T-101 (Arnold Schwarzenegger) mahupun T-2. Tugas TX sama, beliau perlu membunuh John Connor serta beberapa ahli lain yang menjadi pejuang menentang AI di masa akan datang.

T-X agak menarik sebagai sebuah mesin pembunuh. Ia cantik, mampu menjadi penggoda dan memang menakutkan jika dibandingkan dengan T-2. Yang lebih menarik, dalam dunia serba canggih sekarang ini, beliau dapat memanipulasi dunia siber untuk melakukan tugas jahatnya.

T3 dimulakan dengan adegan letupan nuklear 'Judgement Day' yang langsung akan menyebabkan 3 bilion manusia mati di muka bumi ini. Adegan ini langsung mengingatkan saya kepada cereka Animatrix: The Second Reinassance Part II, apabila kota AI yang bernama 01 dimusnahkan manusia. Kemudian, kita akan dapat melihat kelibat John Connor yang kini telah dewasa (yang dilakonkan oleh Nick Stahl, yang wajahnya seakan-akan Michael Biehn yang telah melakonkan watak Kyle Reese, bapa kepada John Connor).

Saya rasa, T3 walaupun terdapat banyak adegan aksi yang tegang, disalurkan juga beberapa adegan yang mencuit hati penonton. Sebagai contoh, apabila Terminator masuk mencari pakaian di dalam bar, beliau masuk pada hari 'ladies night' di mana diadakan acara menari bogel. Adegan ini kelakar, juga adegan Dr. Peter Silberman (Earl Boen) yang pernah muncul dalam 'The Terminator' yang nampaknya cukup-cukup terusik sebagai seorang ahli psikologi trauma.

Adegan aksi dalam T3 memang dahsyat. Perhatikan adegan kejar-mengejar di antara John Connor, Terminator dan T-X. Bayangkan sahaja T-X mengunakan lori crane mengejar Terminator yang menggunakan sebuah terak bomba. Adegan ini rasa-rasanya tidak menggunakan teknologi CGI, maka ia nampak lebih 'real' daripada adegan kejar-mengejar dalam filem 'Matrix Reloaded'. Kepada mereka yang menggemari adegan-adegan aksi, pasti akan rasa terhibur menonton filem ini. Lagipun, memang filem 'summer blockbuster' perlu ada acuan-acuan adegan ganas seperti ini, jika tidak lain pula rasanya!

Lakonan Stahl yang baik langsung membuatkan saya terlupa tentang kehadiran Edward Furlong dalam T2. Beliau mempunyai 'chemistry' dengan Kate Brewster (Claire Danes), walaupun bibit-bibit cinta di antara mereka tidak diterokai (tak perlu sebenarnya). Setelah tidak berlakon dalam jangka masa yang lama, kita dapat melihat bahawa Danes kini sudah dewasa dan mampu membawa watak seorang wanita yang terkesima akibat tunang serta bapanya mati dibunuh. Schwarzenegger yang dikatakan dibayar 30 juta dollar oleh mega produser Andrew Vajna dan Mario Kassar konsisten membawa watak cyborg yang kaku lengkap dengan slanga Inggeris/Austria.

Saya perlu mengatakan di sini bahawa saya cukup puas dengan T3. Kepuasan ini datang kerana filem ini tidak terjebak untuk mengikut acuan filem-filem Hollywood yang perlu ada 'happy ending'.

Dalam babak-babak akhir ada diperkatakan tentang penyebab 'Judgement Day' Bahawa yang menjadi fitrah kepada kemusnahan manusia bukanlah mesin AI semata-mata, tetapi ruang siber yang tidak mungkin dapat dimusnahkan. "Of course it is not only the Matrix but even today's common Internet that gives us the answer, and cuts the chuckle short. Even now, how is it practically possible to switch off the Internet? We're not talking theory here, we're talking practice. Okay, it is of course possible to unplug one computer, or even a small subsection intranet, but to bring down the whole Internet? Of course we can't." (Kevin Warwick. The Matrix: Our Future).

Maka, seperti yang dikatakan oleh Warwick, ruang siber adalah satu entiti yang tidak mungkin dapat dinyahkan begitu sahaja, Jadi memang tidak mungkin John Connor dapat melawan arus takdir 'Judgement Day', lebih-lebih lagi kali ini beliau terpaksa berhadapan dengan satu kuasa besar yang terlalu gah untuknya.

Pada dasarnya, filem T3 adalah sebuah filem sci-fi yang berjiwa dystopia. Maka, ia diakhiri dengan penangan dystopia juga. Perkara ini penting, agar menjadi teladan kepada kita satu hari nanti.

Tunggu T4, pasti sambungannya akan muncul nanti, kerana jalan John Connor masih panjang untuk menyelamatkan umat manusia dari terus dimusnahkan oleh mesin-mesin AI yang mahu menakluk bumi!

Rating: 3.75/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!