zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-07-09 - 9:45 a.m.

Album Save My Soul oleh kumpulan Padi adalah di antara album kumpulan rock Indonesia yang paling ditunggu-tunggu pada tahun ini. Dalam masa seminggu album ini diedarkan di Indonesia, sebanyak 500,000 keping album berjaya di jual. Satu pencapaian yang agak menakjubkan.

Jadi apakah rasional sebenar di sebalik album 'Save My Soul' (SMS) ini? Menurut Padi, "album ini mengisahkan perjalanan spiritual mereka saat mengerjakan album ini. Sebenarnya mereka sempat bingung dalam menentukan tema untuk album mereka ini, namun saat kebingungan itulah mereka menciptakan lagu HITAM. Entah bagaimana soul lagu tersebut cocok dengan semua personaliti Padi, hingga akhirnya tema pain, suffering dan kematian... yang mendasari lagu tersebut diangkat menjadi tema album Save My Soul."

Lagu dari track pertama SMS berjudul 'Ketakjuban'. Track ini jelas keras dan cukup bertenaga. Vokal Fadly yang seakan Bono dari U2 digunakan dengan sebaik mungkin untuk membawakan lagu ini. Saya rasa di antara banyak-banyak lagu yang ada dalam album ini, lagu 'Ketakjuban' mungkin akan menjadi sebuah lagu yang bakal sering kedengaran di corong-corong radio.

Track kedua pula berjudul 'Hitam'. Susunan muzik untuk lagu ini amat-amat menarik, sekali lagi mengingatkan saya kepada album U2, terutamanya Zooropa. Lagu ini memang kuat, dari segi irama mahupun di segi bait-bait liriknya yang cukup puitis, walaupun kabur. Memang saya suka kepada 'Hitam'. Lagu ini begitu melankolik tetapi mampu membuat fikiran kita melayang memikirkan tentang keadaan jiwa kita yang teruntum. Lagu ini sememangnya lagu kegemaran saya.

Track ketiga yang berjudul 'Rapuh' agak perlahan. Lagu ini adalah lagu cinta penuh pasrah yang mampu membuatkan sesiapa yang baru putus cinta menitiskan air mata. Lagu ini menceritakan tentang sekuntum jiwa yang tidak mungkin mampu berpisah kasih dengan manusia yang pernah dicintai setengah mati, walaupun itulah keputusan yang perlu diambil.

'Di atas Bumi Kita Berpijak' kembali merancakkan keadaan, walaupun mengimbau suasana muram dalam iramanya. Lirik lagu ini pada hemat saya adalah di antara yang paling kuat yang ada di dalam album SMS:

Bersyukurlah

Bahwa kita masih saling mendengarkan dan berkata

Bersyukurlah bahwa kita masih memijakkan kaki diatas bumi

Menghirup nafas alamNya

Memandang ke atas langit .. takjubkan hati

Merendahkan jiwa ini .. dan terilhami

Seperti (teduh) sepasang mata malaikat yang turut menangisi isi bumi

Tak ubahnya desir angina yang menerpa(menerjang)

Kekosongan dan kesunyian hati

Bersyukurlah bahawa kita masih saling mendengarkan dan mendoakan

Perhatikan bahawa lirik Padi kali ini agak pendek tetapi cukup bernas dan indah. Nilai estetikanya tinggi.

Lagu 'Cahaya Mata' pula lembut. Bagi mereka yang menggemari lagu-lagu Norah Jones yang berjiwa vokal jazz, pasti akan terpikat dengan lagu ini. Lagu-lagu lain dalam 'SMS' seperti 'Menanti Keajaiban', 'Menjadi Bijak', 'Sesuatu Yang Tertunda', 'Patah' dan Repihan Hati' konsisten bagus. Dalam lagu 'Sesuatu Yang Tertunda', kita akan dapat mendengar penampilan Iwan Falls, seorang tokoh legenda dalam dunia seni suara Indonesia.

Untuk album baru persembahan Padi, saya mengharapkan single klasik seperti 'Sobat' ataupun 'Mahadewi'. Sememangnya saya tidak dikecewakan. Memang terdapat beberapa lagu yang mungkin akan jadi klasik dari 'SMS', contohnya 'Ketakjuban', 'Hitam' dan 'Di atas Bumi Kita Berpijak'. Secara keseluruhan, 'Save My Soul' merupakan sebuah album yang memuaskan. Maka berbaloilah Padi menghabiskan masa selama tujuh bulan dalam proses pembikinan album baru mereka ini. Album ini lebih berjiwa melankolik dan lebih keras irama rocknya dari album-album Padi sebelum ini. Kepada mereka yang tidak biasa dengan Padi mungkin terpaksa mendengar album ini berkali-kali sebelum boleh menghargainya, bagi peminat Padi pula, mereka mungkin mahu menganggap album ini sebagai album terbaik dari mereka, dari segi struktur, teknikal mahupun persembahan.

Rating: 4/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!