zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-07-09 - 9:42 a.m.

Salah satu perkara yang paling saya suka lakukan adalah menghabiskan masa-masa hujung minggu saya dengan membaca sebuah buku yang baik. Akan tetapi, jarang benar saya dapat mencari sebuah buku yang benar-benar saya suka. Novel 'Mrs. Dalloway' oleh Virginia Woolf, sebagai contoh, adalah sebuah buku yang betul-betul menyeksa perasaan saya. Buku ini sukar dibaca dan saya anggap membosankan, walaupun saya tahu bahawa buku ini telah diangkat sebagai sebuah karya sastera.

'The Hours', sebuah novel hasil tulisan Michael Cunningham adalah sebuah buku yang saya anggap baik. Acap kali tatkala membaca buku ini saya memberitahu kepada diri saya bahawa apa yang saya baca adalah sebuah karya yang mampu membuatkan saya teruja. Prosa-prosa yang digunakan oleh Cunningham, pendek tapi indah.

'The Hours' menceritakan tentang kehidupan tiga orang wanita yang hidup dalam tiga zaman yang berlainan dalam jangka masa sehari dalam lipatan kehidupan mereka. Virginia seorang wanita dalam proses menulis sebuah novel, Laura seorang wanita yang sedang sarat mengandung dengan seorang anak lelaki yang cerdik dan Clarissa pula seorang penyunting yang ingin melakukan yang terbaik untuk seorang rakannya yang sedang mengidap penyakit AIDS. Ketiga-tiga mereka serupa dalam banyak hal...

Kekuatan novel ini terletak pada struktur persembahan novel ini. Gerak penceritaan dari satu watak ke watak yang lain tidak mengelirukan, malah seolah-olah membantu kita melihat dengan jelas, apakah yang mahu diceritakan oleh Cunningham kepada pembacanya.

Satu lagi kekuatan novel ini terletak pada kebolehan Cunningham melukiskan watak-watak yang hidup. Watak Virginia Woolf yang hidup pada tahun 1920-an di London dipersembahkannya sehingga pembaca mampu menyelami perasaan gusar dan muram seorang penulis yang hebat. Kadangkala, apa yang dialami oleh Virginia, seolah dipersembahkan dalam bentuk 'stream-of-consciousness'. Satu teknik penulisan yang dipelopori olehnya dan juga oleh Joyce yang hidup sezaman dengannya.

Agak menarik juga apabila kita diberitahu bahawa watak Richard, juga cuma menulis sebuah buku dengan teknik yang sama tetapi karyanya tidak diterima. Cunningham jelas tidak mengambil ruang yang terlalu besar untuk menjelaskan satu perkara yang remeh (seperti tulisan Richard). Penjelasannya pendek, tetapi mampu mengetengahkan prosa yang mampu menusuk kalbu; segala memori, kemahuan, kekecewaan dan seksualiti watak diluahkannya tanpa ragu. Ada kalanya, sukar untuk saya mempercayai bahawa Cunningham adalah seorang lelaki, kerana watak-watak utamanya jelas wanita.

'The Hours' dalam banyak hal telah membuatkan saya melihat sastera dalam satu sudut yang lain. Penekanan Cunningham dalam hal pembentukan watak dalam satu ruang yang sempit mampu membuahkan watak-watak penuh emosi yang hidup. Tema, struktur dan karektor yang wujud dalam karya Woolf, 'Mrs. Dalloway' mampu disalurkan ke dalam karya 'The Hours', tetapi dengan caranya yang tersendiri. Perkara ini jelas 'original', tetapi saya yakin akan digunakan oleh penulis-penulis lain yang mahu bercerita dengan cara yang sama.

Cunningham bagi saya adalah seorang penulis yang hebat. Cukup hebat sehingga memampukan karya 'The Hours' untuk memenangi hadiah Pulitzer, juga Anugerah Pen/Faulkner pada tahun 1999. Jangan anggap semata-mata karya ini menang anugerah sastera, ia sebuah karya 'masterpiece' yang sukar dibaca dan difahami. Jauh dari itu. 'The Hours' adalah sebuah novel Inggeris kontemporari yang senang dibaca malah mampu membuatkan pembacanya mahu terus membaca sehingga habis. Buku ini tidak tebal, maka di pengakhiran cerita, kita seolah-olah akan merasakan kita mahu Cunningham bercerita lagi, kalau boleh sehari lagi dalam kehidupan Virginia, Clarissa dan Laura...

Rating: A+

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!