|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-07-15 - 10:14 a.m.
Maka tidak hairanlah jika pada mulanya, saya sedikit skeptikal dengan filem kedua terbitan Finas yang menggunakan dana khas yang telah disediakan oleh kerajaan ini. Lebih-lebih lagi apabila terdapat kontroversi yang tercetus apabila sutradara Adman Salleh dinafikan hak untuk masuk ke dalam studio untuk bergiat aktif dalam proses suntingan akhir di Bangkok. Menonton filem Paloh itu sendiri merupakan satu pengalaman tersendiri. Perlu saya nyatakan di sini bahawa saya cukup jelek dengan perangai segelintir khalayak penonton filem-filem Melayu. Saya rasa, zaman kita menonton di atas padang sudah lama berlalu, jadi tak payahlah rasanya penonton membuat bising, berceloteh tentang filem seolah mereka adalah manifestasi mendiang Siskel dan Ebert. Sebaik sahaja saya masuk ke dalam panggung menonton filem Paloh, saya telah memberitahu kepada diri saya supaya banyak bersabar. Tidak perlu marah-marah jika terdapat suara-suara sumbang yang bakal mengganggu konsentrasi saya menonton filem. Tetapi entah mengapa, saya rasa buat kali ini, saya perlu mendengar apa yang mereka rungut/gossip/bincangkan. Maka kedengaranlah suara sumbang dari sudut belakang panggung, seorang gadis bertudung yang sedang berkepit dengan kekasihnya berkata: "Eh tak faham lah cerita ni, bang! Kenapa ceritanya terlompat-lompat?" Kadangkala terlintas dalam fikiran saya bahawa terdapat beberapa judul filem yang memerlukan 'IQ Prerequisites'. Mungkin 'Paloh' salah satu darinya. Filem 'Paloh' ini saya rasa agak 'ambitious' - sebuah filem Melayu yang berjiwa besar. Teknik naratif visual yang agak luar biasa telah digunakan untuk filem ini. Filem ini sebuah filem 'non-linear'. Filem ini menggunakan teknik imbasan kembali yang bertindak seperti sebuah 'jigsaw puzzle' yang memerlukan penontonnya banyak berfikir untuk menyambungkan segala-gala adegan yang sengaja disepah-sepahkan. Teknik yang memenuhi kehendak gestalt seperti ini mungkin baru dalam dunia sinema Melayu. Tetapi di barat, sudah terdapat banyak contoh teknik ini digunakan dengan berjaya. Baru-baru ini, filem 'cult' 'Momento' menggunakan teknik ini. Sutradara filem ini, Christopher Nolan telah berjaya mengelirukan sebilangan penonton yang menonton filemnya ini, tetapi kepada penonton yang mahu berfikir dan bersabar, terus menerus akan mengangkat filem ini sebagai sebuah filem yang baik malah mengagumkan! Beberapa orang pengulas mengatakan bahawa suntingan filem ini agak kacau, mungkin terlalu kacau. Tetapi saya tidak dapat melihat sebarang permasalahan dari segi suntingan filem ini. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa suntingan filem ini jauh lebih baik dari filem Yusof Haslam/Aziz M. Osman. Dari segi teknikal, memang tidak dapat dinafikan bahawa akhirnya kita mampu membuat sebuah filem yang tinggi mutunya. Penataan cahaya cemerlang, juga kerja sinematografi oleh Teoh Gay Hin yang berjaya membawa kelainan kepada persembahan filem Melayu. Sudut visual yang digunakan oleh Gay Hian unik dan jarang sekali dapat dilihat digunakan dalam filem Melayu sebelum ini. Ada kalanya, sudut-sudut unik inilah yang dapat menimbulkan rasa kekeliruan dan pergolakan keadaan tatkala Jepun sudah hampir kalah dan tempoh masa kekuasaan Bintang Tiga di Malaya. Filem ini mungkin kelihatan sedikit kacau kerana Gay Hian dikatakan pada mulanya mahu menggunakan teknik 'bleach bypass' bagi membezakan dua ruang masa yang berlainan dalam filem Paloh, tetapi budget untuk filem ini tidak membenarkan. Kosnya ternyata terlalu mahal. Filem cinta musim perang adalah satu tema besar yang sering digunakan. Lihat sahaja filem 'The English Patient'. Tema cinta filem yang berlatarkan Perang Dunia Kedua ini telah digarap dengan baik. Jika difikirkan, teknik penceritaan imbas kembali juga telah digunakan dalam filem ini. Tetapi pada hemat saya, filem ini lebih berjaya kerana cara persembahannya lebih terkawal. Kepada sesiapa yang pernah membaca novel 'The English Patient' hasil tulisan Michael Ondaatje, pasti faham bahawa novelnya ini jauh lebih rumit dan mengelirukan dari filem yang diarahkan oleh Anthony Minghella. Hanya visi dari seorang sutradara yang bagus serta hasil lakonlayar yang baik sahaja yang mampu mengadaptasi sebuah naskhah yang rumit seperti ini. Paloh di mana lakonlayar asalnya dihasilkan oleh Ismail Ahmad yang berjudul 'Autonomi', mengambil pendekatan yang sama dengan 'The English Patient'... Saya kurang pasti sejauh mana kebenaran desas-desus yang menyatakan Adman Salleh langsung tidak dibenarkan terlibat dalam proses pasca-produksi. Tetapi jika ia benar, perkara ini langsung mengingatkan saya kepada filem komedi Woody Allen yang berjudul 'Hollywood Ending', yang mengisahkan tentang seorang pengarah yang tiba-tiba menjadi buta, tetapi terus mengarahkan filem tanpa diketahui oleh orang lain kecuali agen, penolong peribadinya dan bekas isterinya. Filem yang diarahnya bercelaru, kerana bagaimana agaknya untuk seorang pengarah dapat mengarahkan sesebuah filem dengan baik, jika dia sendiri tidak mampu melihat apa yang telah diarahnya? Mungkin perkara inilah yang telah berlaku kepada filem Paloh. Mungkin visi Adman Salleh hilang dalam proses suntingan akhir, maka tidak hairanlah jika filem ini sedikit bercelaru. Mungkin Adman mempunyai caranya yang tersendiri untuk menyambungkan butir-butir naratif visual agar ia senang dicernakan penonton, tetapi peluang ini tidak diberikan kepadanya. Filem Paloh kaya dengan karektor-karektor yang kacau. Karektor Ahmad (Nam Ron) seperti watak dalam novel Ghaham Greene; keliru, kacau dan kehilangan arah akibat perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya. Wataknya dibantu oleh Siew Lan (janet Khoo), Puteh (Hasnul Rahmat) dan Fatimah (Ellie Suriaty Omar). Osman (Gibran Agi) pula yang bertindak sebagai suara naratif filem ini (seperti mana watak Nick yang menjadi suara naratif yang 'detached' dalam 'The Great Gatsby', di mana beliau menjadi tukang cerita, walaupun beliau hanya watak sisipan dalam novel tersebut). Tatkala menonton Paloh, saya rasa agak gusar apabila melihat Siew Lan tidak ada 'chemistry' dengan Ahmad. Hubungan mereka pula jelas seksual. Tidak ada masalah dalam hal ini, tetapi ia harus ditangani dengan adegan cinta yang membuahkan kemahuan seksual yang memuncak seperti ini. Jika tidak ia mungkin nampak tergantung dan sedikit keras. Mungkin juga sub-plot adegan cinta Ahmad dan Siew Lan tidak perlu diketengahkan jika sememangnya tidak ada ura-ura untuk ia dikembangkan. Simbolik visual yang digunakan oleh Adman agak senang dilihat dan di baca tanpa terlalu banyak berfikir. Sebagai contoh, bunga ros yang cuba di tanam oleh Siew Lan melambangkan harapannya yang masih ada terhadap cinta dan kasih sayang walaupun dalam keadaan yang amat kacau. Jukstoposisi imej Lenin dan Marx di antaranya menambahkan penerapan 'detail' terhadap filem ini. Dan sememangnya filem ini sarat dengan penekanan terhadap 'detail' yang jarang-jarang sekali diambil berat oleh filem-filem Melayu sebelum ini. Sebagai contoh, mereka begitu teliti dengan pemilihan fabrik yang digunakan pada waktu itu. Pelakon-pelakon yang diambil berlakon pula dipastikan kurus dan kelihatan seperti tak cukup makan. Benda walau sekecil botol ink pun diletakkan di atas meja untuk membawa kita ke satu zaman yang sudah lama kita mahu lupakan. Maka, sebab itulah saya rasa, Adman dan Ismail tidak mahu kita lupa tentang latar belakang sejarah kita sendiri begitu sahaja. Selain penataan dari segi arahan seni yang cukup rapi, dilembarkan juga alkisah yang mungkin sukar untuk sesetengah dari kita terima. Watak Ariffin Nur (Samat Salleh) dan pengikut-pengikutnya yang warak akhirnya menjadi anggota komunis, walaupun ideologi komunisme jelas menentang agama. Perkara ini wujud akibat kecewa mereka kepada keadaan yang berlaku pada waktu itu. Saya cukup senang kerana dalam filem ini kurang stereotaipnya. Watak polis Jepun yang dianggotai oleh orang-orang Melayu sendiri tidak dimomokkan dengan watak jahat. Kalau boleh saya ingin berterima kasih secara peribadi kepada Adman dan kepada Ismail, kerana tidak mengambil jalan mudah menghidupkan watak-watak pipih penuh stereotaip. Arwah datuk saya pada satu ketika dahulu pernah bertugas sebagai seorang anggota polis Jepun seperti Ahmad dan Osman. Pernah satu ketika saya fikirkan beliau seorang tali barut Jepun, (kesan menonton filem-filem Melayu yang tidak dibuat dengan baik) sehinggalah saya membaca sendiri bagaimana keadaan pada waktu itu telah memaksa beberapa pemuda Melayu untuk bekerja dengan Jepun. Saya fikirkan, bibit-bibit sejarah seperti ini perlu diberitahu, agar nama anak-anak Melayu seperti arwah datuk saya dapat dibersihkan. Dan Paloh, sedikit sebanyak berjaya dalam hal ini... Filem Paloh ini saya rasa mungkin tidak terlalu menekankan kepada mana-mana watak, tetapi kepada keadaan yang berlaku pada waktu itu. Jika kita ambil kira perkara ini, filem ini pasti berjiwa lebih besar. Perhatikan filem 'Amarcord' arahan Federico Fellini, filem ini bukan sahaja mengisahkan kepada watak-watak zaman 'Belle Epoche' di Itali, tetapi lebih kepada karektor utama filem ini, bandar kecil di mana cerita ini berlaku. Fellini sebenar-benarnya ingin bercerita tentang satu zaman dan sudut geografi yang istimewa baginya (juga semak semula kampung Malgudi, seperti yang dicipta oleh R.K. Narayan). Mungkin inilah yang mahu dibentangkan Adman. Paloh mempunyai jiwanya yang tersendiri. Apa yang berlaku di Paloh (dan manusia yang mendiaminya) boleh berlaku di mana-mana, walaupun dicengkam zeitgeist sejarah yang berbeza. Filem ini tamat dengan mendadak. Seolah menantikan sikuel. Mungkin Adman mahu penonton memikirkan sendiri tentang kesudahan watak, yang pastinya akan terus hidup menjelajah masa dan keadaan. Paloh sebuah filem yang pasti akan mencabar minda penontonnya. Mungkin tidak terdapat ramai penonton yang akan memahaminya, seperti gadis bertudung yang tidak henti-henti membuat bising di belakang panggung, yang akhirnya berkata: 'Tak pahamlah cerita ni bang! Cerita Mami Jarum Junior lagi bagus, kan bang?" Mungkin filem Paloh ini dibikin bukan untuk penonton-penonton sepertinya... Rating: 3.75/5 Baca ulasan alternatif di Utusan, juga di Berita Harian. Oleh Nizam Zakaria
|