|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-08-04 - 5:04 p.m. 'Larung' merupakan kesinambungan kepada dwilogi 'Laila tak Mampir di New York', yang dimulakan dengan novel indah 'Saman'. Novel 'Larung' sekali lagi memampirkan watak Laila, Shakuntala, Saman dan Yasmin. Novel 'Larung' dimulakan dengan pembaca diperkenalkan kepada watak Larung, seorang manusia dengan sejarah hitam, yang cuba mengharungi hidupnya dengan segala-galanya yang membelenggu jiwanya. Kisah hidupnya penuh liku-liku, ditambah lagi dengan kehadiran neneknya, seorang "makhluk yang mulutnya yang tremor keluar kotoran dan kekejian." Bahagian awal 'Larung' seolah digubah mengikut acuan 'Magic Realism' Isabelle Allende. Larung mempunyai seorang nenek dengan kuasa mistik luar biasa. Beliau menganggap neneknyalah yang telah menyebabkan kematian ibunya. Kematian neneknya sendiri menjadi misteri. Ayu Utami membuka novel 'Larung' dengan kematian nenek Larung (yang dilakukan secara euthanasia oleh Larung sendiri) sebagaimana Albert Camus membuka novel L'Étranger dengan kematian ibu Meursault. Dari awal pembukaan novel ini sahaja sudah mampu membuat pembaca-pembaca sastera mengamati serta menghalusi tulisan Ayu dengan penuh minat. Prosa 'Larung' mungkin tidak seindah prosa dalam 'Saman' yang disamakan oleh sesetengah pengkritik sebagai tulisan Arundhati Roy versi Indonesia. 'Larung' saya anggap lebih konvensional, walaupun dalam 'Larung', Ayu lebih menitik beratkan kepada soal deskriptif yang lebih visual dan berani. Ada kalanya erotis. Pastinya novel 'Larung' ini lebih sesuai untuk pembaca-pembaca dewasa yang matang. Struktur 'Larung' tetap unik dan seperti 'Saman', Ayu mahu terus bereksperimen dengan tulisannya. Dalam 'Larung', teknik penceritaan 'first person account' digunakan pada bahagian awal novel ini. Kemudian berubah kepada 'third-person account' pada bahagian akhir novel ini. Suara narratif novel ini juga berubah dari Larung kepada watak-watak lain, dan dari mereka kita akan dapat melihat tema besar yang ingin dibawa oleh Ayu. Untuk novel 'Larung', Ayu banyak kali berbicara tentang politik melalui apa yang terpaksa dilalui oleh watak-wataknya. Ungkapan liku-liku sejarah Partai Komunis Indonesia, sehinggalah kepada penyerbuan pejabat Partai Demokrasi Indonesia yang dikuasai pendukung Megawati Soekarnoputri yang dikenal dengan Peristiwa 27 Julai 1996 ada disebutkan sekali. Sekali-sekala, ada juga disebut nama-nama pemikir kiri kontemporari seperti Gramsci dan Chomsky, selain haluan ideologi komunisme dan sosialisme. Saya cukup kagum dengan kebolehan Ayu meruntuhkan tembok yang membezakan di antara sastera 'Pop' dengan sastera 'serius'. Satu perkara yang mungkin tidak boleh dilakukan di Malaysia dalam penerbitan novel arus perdana dengan segala batasan-batasan 'real or imaginary' yang wujud, lantas membendung penulis-penulis kita berkarya seperti yang termampu oleh Ayu - yang berani melawan taboo. Adegan di atas ranjang yang terdapat dalam novel ini diselang-selikan dengan tema politik juga sosio-politik. Pendekatan Ayu terhadap watak-watak yang mendukung semangat feminisme progresif seperti Yasmin, Shakuntala, dan nenek Larung juga amat-amat menyegarkan. Saya senang membaca novel 'Larung' walaupun ia tidak sebaik novel 'Saman'. Walau bagaimanapun, ia harus dibaca untuk lebih memahami novel 'Saman'. Rating: B+ Oleh Nizam Zakaria
|