zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-08-12 - 11:16 a.m.

Atomic Jaya - PosterKetika 'Atomic Jaya' mula-mula dipersembahkan dahulu, saya tidak berkesempatan untuk menontonnya. Saya masih lagi menuntut di Amerika Syarikat (AS). Seorang rakan saya telah menontonnya di Singapura dan memberitahu bahawa ia adalah sebuah persembahan yang bagus, lucu dan mampu membuatnya ketawa berdekah-dekah.

Kini apabila 'Atomic Jaya' sekali lagi dipersembahkan, saya terus mengambil peluang ini untuk menonton persembahan teater yang pernah mendapat sambutan yang begitu hangat bukan sahaja di Malaysia, tetapi di Singapura.

Persembahan 'Atomic Jaya' kali ini dipersembahkan di The Actors Studio, Bangsar dalam siri 'The Eight Plays Revisited Season', di mana lapan persembahan teater yang pernah ditulis oleh Huzir Sulaiman akan dijayakan kembali ('Atomic Jaya', 'The Smell of Language', 'Hip-Hopera', 'Notes on Life & Love & Painting', 'Election Day', 'Those Four Sister Fernandez', 'Occupation' dan 'Whatever That Is').

'Atomic Jaya' dipersembahkan oleh Checkpoint Theatre dari Singapura dan diarahkan oleh Casey Lim. Ia menceritakan tentang seorang saintis bernama Dr. Mary Yuen yang telah diminta untuk melaksanakan projek senjata nuklear pertama Malaysia. Satu senario yang mungkin tidak masuk akal, tetapi dengan semangat 'Malaysia Boleh' yang menebal apa-apa pun boleh terjadi. Jadi inilah yang mahu dipersembahkan oleh Huzir dalam bentuk persembahan komedi yang absurd.

Claire Wong menjadi tunjang kepada persembahan ini dengan membawa wayak Dr. Mary Yuen selain dari enam watak yang lain. Huzir Sulaiman pula membawa watak General Zulkifli selain dari 7 watak yang lain. Fahmi Fadzil menjadi cameo dengan membawa watak Noraini dan penyanyi lagu patriotik.

Satu perkara yang membuat saya suka kepada persembahan 'Atomic Jaya' adalah lakonan Claire Wong dan Huzir Sulaiman yang cemerlang. Bukan senang rasanya membawa watak-watak yang mempunyai kepelbagaian perangai dengan slanga yang berbeza-beza, tetapi mereka dapat melakukannya dengan baik. Watak-watak yang berlainan yang telah diambil mereka dapat dilakonkan dengan baik tanpa rasa keliru. Kelebihan 'Atomic Jaya' letaknya bukan sahaja pada penulisan dialog yang baik (oleh Huzir sendiri) tetapi juga lakonan yang cukup berkesan dan arahan Lim yang cukup-cukup memahami selok-belok skrip yang telah ditulis Huzir.

Dialog yang telah ditulis oleh Huzir penuh dengan sindiran yang disulami dengan komedi. Sindiran-sindirannya pedas dan tidak berbau 'politically correct'. Kadangkala langsung tidak relevan, tapi inilah yang membuatkan komedi ini kelakar dan penonton tidak perlu terkial-kila mencari makna yang tersirat yang mungkin terdapat dalam persembahan ini.

Huzir + ClaireDari pemerhatian saya kepada gelagat penonton, mereka rata-ratanya mereka cukup terhibur dengan persembahan 'Atomic Jaya'. Ramai yang ketawa sehingga tidak kering gusi dibuatnya. Gelagat Dr Yuen dan General Zulkifli yang sedikit sebanyak menyerupai watak General Buck Turgidson dalam filem 'Dr. Strangelove'. 'Comedic timing' Claire dan Huzir agak tepat dan mereka dapat mengagak masa-masa terbaik untuk meneruskan dialog mereka dan berhenti pada tempat-tempat tertentu.

Tiada set yang digunakan di atas pentas. Penataan cahaya banyak digunakan untuk mengubah 'mood' lakonan ataupun mengubah adegan. Sebuah skrin besar juga ada digunakan untuk satu persembahan berbentuk 'multimedia'. Perhatikan penggunaan bunga raya yang diubah-ubah warnanya. Mungkin apa yang dipersembahkan di atas layar mempunyai maknanya yang tersendiri.

Dr Yuen, ada menjelaskan tentang 'Heisenberg Uncertainty Principle' yang mengatakan bahawa jika kita menjadi pemerhati kepada satu-satu detik peristiwa, dan kita ingin menceritakan tentang peristiwa tersebut, peristiwa itu sendiri akan berubah. Tiada apa yang pasti.

Setelah menonton 'Atomic Jaya', saya mula merasakan bahawa memang ada kebenaran di sebalik 'Heisenberg Uncertainty Principle'. Peristiwa-pertistiwa yang telah berlaku di sekitar tahun 1998 sehingga terbentuknya karya 'Atomic Jaya' kini hanya tinggal sejarah. Banyak perkara yang telah berubah... Walaupun begitu, Satira absurd seperti 'Atomic Jaya' yang dipersembahkan masih lagi bertepatan, walaupun kesannya mungkin tidak serelevan tatkala ia mula-mula dipersembahkan dahulu. Meninjau dari sudut relevan 'Atomic Jaya', mungkin di sekitar tahun 1998 perkataan 'jaya' menjadi 'satira kebangsaan' kerana naiknya projek-projek mega seperti Putrajaya, Cyberjaya dan lain-lain. Ini sedikit sebanyak mencungkil minat khalayak untuk menyoal kembali kerajaan memerintah tentang pembangunan-pembangun ini - salah satu daripada caranya adalah melalui persembahan seperti 'Atomic Jaya'. Mungkin dunia pasca 9/11 telah merubah segala-galanya. Setidak-tidaknya, dengan adanya akses Internet, dengan kemudahan untuk menyuarakan pendapat dengan lebih selesa dan terbuka, perkara ini sedikit sebanyak membuat kita melihat persembahan satira 'Atomic Jaya' sebagai sesuatu yang sudah 'passe'.

Atomic Jaya seharusnya dilihat sebagai sebuah karya yang dipersembahkan semula. Ia perlu diamati dari segi 'retrospektif'. Walaupun begitu, dialognya masih lucu walaupun nilai-nilai semasa telah banyak berubah.

Rating: B+

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!