zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-08-15 - 3:46 p.m.

MieSaya rasa agak beruntung kerana berpeluang untuk mewawancara pengasas Gengjurnal, sebuah direktori pengamal blog (yang kebanyakannya menulis dalam Bahasa Malaysia) dengan keahlian sehingga kini seramai 575 orang. Jika dicongak, sememangnya angka ini agak besar.

Dari pemerhatian saya, Gengjurnal memang telah lama aktif untuk memperkenalkan penulisan blog kepada khalayak pengguna Internet di Malaysia, terutamanya mereka yang menulis blog mereka dalam Bahasa Malaysia. Saya sendiri, telah memulakan penulisan Blog saya sendiri (Limau Nipis) setelah saya diperkenalkan kepada laman Gengjurnal oleh sultanmuzaffar.

Mungkin masih belum terlewat lagi bagi saya berterima kasih kepada saudara Mie dan mereka yang terlibat menjayakan Gengjurnal kerana tanpa mereka, mungkin inspirasi untuk memulakan projek blog saya ini tidak kesampaian.

Berikut adalah wawancara e-mel saya dengan saudara Mie. Diharapkan jawapan-jawapan yang diberikannya akan membuatkan kita berminat untuk menjadi ahli Gengjurnal:

NZ: Mie, Boleh saudara perkenalkan diri saudara kepada para pembaca?

Mie: Nama dalam kad pengenalan ialah Khairul Azmi bin Kamaludin. Kawan-kawan biasa panggil saya Mie. Anak kelahiran Pasir Mas Kelantan, dibesarkan di Kuala Lipis Pahang dan sekarang menetap bersama keluarga di Sg Buloh Selangor. Sekarang saya bekerja di sebuah syarikat yang merekabentuk CD Pendidikan di Subang Jaya.

NZ: Menurut pendapat saudara, apakah definisi sebuah Weblog?

Mie: Pandangan saya mengenai jurnal (weblog). Jurnal ada 2 jenis yang utama. Pertama ditulis dalam buku catatan harian dan biasanya cerita yang ditulis bersifat peribadi. Untuk dibaca oleh tuan punya sahaja. Kedua ialah ditulis secara atas talian iaitu dalam internet. Dapat dibaca oleh sesiapa sahaja. Cerita yang ditulis biasa berkisar tentang kehidupan peribadi. Tidak ditulis secara teliti.

Jurnal adalah satu tempat untuk meluahkan apa yang ada. Apa yang difikirkan boleh dikongsi bersama orang lain. Terpulang kepada penulis untuk menulis apa sahaja. Cuma ada juga saya beritahu beberapa orang. Supaya bila menulis jangan disentuh peribadi seseorang hingga boleh menjatuhkan air muka mereka. Dunia jurnal adalah dunia untuk kita lebih mengenali diri sendiri. Kita boleh lihat dari pandangan balas mereka yang membaca catatan kita.

NZ: Bolehkah saudara mencongak terdapat berapa ramai bloggers dari Malaysia yang aktif menulis. Adakah saudara menganggap rakyat Malaysia telah terdedah kepada fenomena blog yang telah melanda dunia sekarang ini?

Mie: Setakat hari ini (15 Ogos 2003), terdapat 575 orang yang mengisi profil mereka dalam direktori gengjurnal. Saya rasa jumlah ini hanya 30 peratus dari penulis jurnal yang ada di Malaysia. Anggaran saya mungkin terdapat sekitar 350 orang yang aktif dalam penulisan jurnal. Aktif dimaknakan sebagai mereka yang menulis dengan kadar kekerapan sekali kemaskini dalam masa 3 hari.

Rakyat Malaysia sekarang memang semakin terdedah kepada fenomena jurnal ini. Setiap hari pasti ada jurnal baru yang muncul. Semakin ramai golongan profesional dan cerdik pandai yang menjadikan jurnal sebagai satu medium untuk mereka memberitahu dunia pandangan dan luahan hati yang lebih jujur.

Mereka lebih gemar merahsiakan identiti untuk memberikan ruang yang lebih besar dalam penulisan. Siapa mereka tidak penting yang utama adalah pandangan mereka.

NZ: Adakah ada kelainan dengan cara orang-orang di seluruh dunia menulis blog mereka?

Mie: Perbezaan agak ketara jika dibandingkan dengan penulis luar negara. Ini bergantung pada polisi dalam penulisan bagi sesebuah negara dan cara hidup penulis. Catatan jurnal penulis luar negara lebih terbuka dan bebas. Mereka boleh menyuarakan rasa tidak puas hati secara terus. Malaysia tidak begitu. Ramai yang takut untuk berterus terang. Isu berkaitan pentadbiran tidak boleh dibincangkan secara terus. Takut nanti ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Harap-harap saya tidak ditahan kerana menjawab soalan sebegini rupa.

Jurnal di Malaysia banyak berkisar tentang kehidupan seharian. Kisah suka dan duka. Ada juga yang melankolik dengan bahasa yang mendayu dan penuh ratapan. Ada yang sekadar menulis sesuatu yang nampak ekslusif sekadar mahu menarik perhatian pembaca. Sedangkan tiada apa mesej yang disampaikan.

Namun begitu saya rasa penulis jurnal di Malaysia semakin bijak dalam penulisan mereka. Semakin lama menulis, mereka semakin tahu kehendak pembaca. Mutu dalam penulisan juga semakin baik.

NZ: Adakah ada kelainan di antara penulis Blog berbahasa Melayu dan penulis Blog berbahasa Inggeris di Malaysia?

Mie: Saya tak dapat untuk mengulas secara jelas tentang soalan ini. Saya selalunya gemar membaca jurnal berbahasa melayu kerana lebih difahami. Mungkin ini disebabkan penguasaan bahasa inggeris saya yang lemah. Secara dasarnya mesej dan corak penceritaan masih sama cuma ia ditulis dalam bahasa yang berbeza.

Dari segi hubungan diluar jurnal. Mungkin penulis jurnal yang menggunakan bahasa melayu lebih rapat. Itu sekadar pandangan saya yang mungkin berat sebelah. Saya belum berkesempatan beramah mesra dengan mereka yang menggunakan bahasa inggeris sebagai perantaraan jurnal mereka. Namun saya percaya mereka juga tergolong dalam mereka yang mesra dan peramah.

NZ: Adakah saudara berpendapat bahawa mereka yang menulis blog adalah mereka yang mencari khalayak pembaca, ataupun ini adalah cara untuk mereka meluahkan perasaan mereka?

Mie: Ya. Saya rasa ada antara penulis jurnal ada sasaran pembaca mereka. Tidak semua cerita akan ditulis kerana bimbang tidak sesuai dengan kehendak golongan yang dijangka membaca catatan mereka. Terlalu sedikit untuk mencari penulis jurnal yang menulis tanpa memikirkan kehendak pembaca. Ada yang suka menonjolkan diri dari mesej yang ingin disampaikan. Namun begitu terdapat juga mereka yang merahsiakan identiti dan mempunyai penulisan yang amat baik. Mungkin pada mereka identiti tidak perlu yang penting mesej adalah mampu memuaskan hati semua tanpa memilih sasaran pembaca.

NZ: Apakah definisi sebuah blog yang bagus? Boleh saudara Mie berikan contoh, dan mengapa saudara berkata demikian?

Mie: Definisi blog yang bagus. Ia mestilah catatan yang dibuat ringkas dan bahasa yang digunakan mudah. Dalam pembinaan jurnal ada 2 perkara yang utama iaitu reka bentuk jurnal dan corak penulisan.

Reka bentuk penting untuk menarik perhatian pembaca. Navigasi yang digunakan juga tidak terlalu banyak. Ini penting supaya pembaca dapat menumpukan pada catatan yang ditulis.

Paling utama adalah cara penyampaian. Kemas kini perlu dilakukan sekerap mungkin. Kadang-kadang kena tampilkan kelainan dalam jurnal. Kena pandai tarik minta pembaca.

Maaf sebab saya sepatutnya tidak memberikan contoh kerana takut akan berlaku bias. Tetapi ada 2 jurnal yang saya cukup suka untuk dibaca iaitu jurnal saharil dan encikkhairul. Cara penulisan mereka cukup menarik minat saya. Cukuplah saya katakan jika jurnal ada ciri diatas. Maka ia bolehlah dikatakan baik dan mampu menarik perhatian pembaca.

NZ: Adakah saudara bersetuju bahawa Weblog mampu menambah lagi jumlah bahan-bahan bacaan (content) yang terdapat di dalam Internet? Jika benar fenomena weblog berjaya menambahkan lagi bahan bacaan di dalam Internet, bagaimana agaknya kita membezakan bahan yang relevan dengan bahan-bahan yang tidak sepatutnya diterbitkan sama sekali?

Mie: Ya. Saya bersetuju bahawa jurnal mampu menambah bahan bacaan dalam internet. Cuma dari segi pengiktirafan bergantung pada pembaca. Penulisan jurnal terbentuk dalam banyak genre dan gaya.

Pada pandangan saya, majoriti pembaca jurnal mampu menilai mana baik mana buruk dalam setiap jurnal yang dibaca. Mungkin badan badan berkanun yang mengawasi penerbitan boleh mengawasi perkembangan jurnal. Memantau setiap kegiatan supaya jurnal yang ada di Malaysia tidak mengelirukan orang ramai. Tetapi harus diingat pemantauan ini bukanlah untuk menyekat kebebasan dalam penulisan jurnal.

NZ: Mengikut pendapat saudara, siapakah yang selalunya memulakan projek blog?

Mie: Orang menulis jurnal atas beberapa sebab.

Pertama untuk menceritakan kisah hidupnya untuk dikongsi bersama. Cerita itu mungkin cerita kesusahan hidup dan masalah yang dihadapi.

Kedua berkongsi pelbagai maklumat yang dirasakan sesuai. Lebih kepada ilmu pengetahuan dan fakta.

Ketiga jurnal yang berbentuk santai diselitkan unsur jenaka.

Ketiga sekadar suka-suka atau mengikut. Orang buka jurnal dia pun nak buka.

Biasanya mereka yang menulis jurnal ini ada cerita yang ingin disampaikan. Majoriti menjadikan ia sebagai tempat meluahkan perasaan secara terus atau berkias.

NZ: Apakah kelebihan berkomunikasi menggunakan blog?

Mie: Kelebihannya ialah kita dapat mengenali jiwa dan pandangan seseorang secara lebih terbuka. Walaupun tanpa bersua muka, kita boleh tahu sama ada mereka ini satu pandangan atau tidak. Ayat yang mungkin mudah digunakan. Kita boleh jumpa orang satu kepala maksudnya sependapat.

NZ: Boleh saudara ceritakan sedikit tentang penubuhan Geng Jurnal? Apa itu Geng Jurnal dan mengapa ia telah diasaskan?

Mie: Geng Jurnal ditubuhkan pada 10 Ogos 2001 dan sudah 2 tahun diwujudkan. Geng Jurnal adalah satu komuniti internet yang mengumpulkan penulis jurnal dan pembaca. Ia menjadi satu platform untuk para penulis jurnal. Tujuan diwujudkan adalah untuk membolehkan pelbagai aktiviti diadakan yang mampu merapatkan hubungan sesama ahli.

NZ: Apakah misi Geng Jurnal?

Mie: Misi utama gengjurnal adalah untuk menjadi sebuah komuniti yang mampu memberikan ahlinya manfaat dari pelbagai segi. Mengadakan aktiviti yang dapat melibatkan semua. Tidak terhad kepada penulisan sahaja.

Pada masa sekarang gengjurnal dalam usaha untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah. Ini untuk memudahkan perancangan masa hadapan dibuat. Semoga ia tercapai. InsyaAllah.

Pada saya misi gengjurnal baru bermula dan untuk mencapainya perlukan sokongan dan komitmen semua.

NZ: Siapakah yang menjadi ahli Geng Jurnal? Mengapa mereka menjadi ahli? Apa tujuan utama mereka?

Mie: Ahli gengjurnal ada 2 iaitu penulis jurnal dan pembaca jurnal. Majoriti mereka menyertai gengjurnal adalah untuk mencari kawan dan untuk lebih mengenali penulis jurnal yang ada.

NZ: Dalam sehari, berapa ramai pengunjung Geng Jurnal? Apa yang pengunjung Geng Jurnal cari dalam laman tersebut?

Mie: Dalam sehari. Terdapat sehingga 2000 pengunjung. Mereka mencari maklumat berkaitan gengjurnal dan majoriti memasuki forum gengjurnal yang menjadi tempat perbincangan sesama ahli.

Dalam gengjurnal terdapat 3 bahagian utama:

Direktori gengjurnal - profil penulis jurnal

Forum gengjurnal - tempat perbincangan

Laman Utama - maklumat umum tentang gengjurnal

NZ: Respons yang bagaimana yang sering saudara terima dari pembaca-pembaca Gengjurnal? Adakah mereka sering berinteraksi dengan saudara?

Mie: Respons yang diterima sangat baik dan mereka sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk meneruskan gengjurnal. Saya mengaku satu masa dulu saya juga sudah putus asa bila melihat gengjurnal hampir rebah tersungkur. Pada masa itu saya rasakan mereka tidak berminat meneruskan gengjurnal. Saya lupa tidak semua begitu. Saya teruskan juga. Banyakkan promosi dan aktiviti.

Saya suka menggambarkan gengjurnal seperti yang pernah ditulis oleh saudara syafizan. Bersama ini saya sertakan tulisan tersebut di bawah sekali.

Gengjurnal berbeza dengan komuniti yang lain. Ini kerana hampir 90 peratus mereka mempunyai laman web atau jurnal sendiri. Tumpuan dan komitmen terhadap gengjurnal tidak dapat diberikan sepenuhnya. Itu satu hakikat yang perlu diterima.

Ramai yang selalu berinteraksi dengan saya. Secara jujurnya kawan-kawan yang ada sekarang majoriti terdiri dari gengjurnal.

Gengjurnal satu aset paling bernilai dikurniakan Allah kepada saya.

NZ: Saya dapati beberapa ahli Gengjurnal yang sangat aktif dengan aktiviti-aktiviti 'gathering'. Apa yang selalu dilakukan oleh ahli-ahli Geng Jurnal ketika mereka bertemu. Apa yang sering mereka bincangkan?

Mie: Ya. Pertemuan kecil selalu diadakan. Biasanya melibatkan mereka yang selalu berjumpa. Tiada perbincangan yang khusus. Biasanya bertanya khabar dan bercerita isu semasa. Dalam keadaan yang tidak formal dan bersahaja.

Bila perjumpaan kecil selalu diadakan. Maka wujud satu isu. Iaitu isu rasa terpinggir. Ada yang kata perjumpaan biasanya melibatkan kawan2 rapat sahaja. Pada saya perkara ini cukup mudah.

Katakan perjumpaan rasmi diadakan contohnya bebaru ini aktiviti bowling diadakan. Ada yang diajak tidak mahu datang. Alasan malu dan tak kenal siapa. Pada saya perasaan itu tidak perlu ada kerana dalam gengjurnal ada sesuatu yang amat baik iaitu persahabatan. Mungkin mereka yang malu boleh bertanya pada mereka yang pernah menghadiri perjumpaan yang diadakan oleh gengjurnal.

NZ: Adakah Gengjurnal telah berjaya dibangunkan sebagaimana yang dikehendaki oleh saudara?

Mie: Gengjurnal masih belum berjaya dibangunkan. Sentiasa ada yang perlu dikemas kini. Ini juga bergantung pada masa yang saya ada. Jika ada masa terluang baru boleh tumpukan pada gengjurnal.

Sebenarnya masih banyak perancangan untuk gengjurnal cuma akan dilaksanakan berperingkat dan mengikut kesesuaian.

NZ: Apakah aspek yang paling mencabar dalam menguruskan Geng Jurnal?

Mie: Perkara paling mencabar adalah mendapatkan kerjasama dan komitmen ahli dalam setiap aktiviti yang diadakan. Pada masa sekarang biasanya sesuatu aktiviti dihadiri sekitar 40 hingga 50 orang. 75 peratus adalah orang yang sama.

InsyaAllah hujung tahun nanti akan diadakan gathering raya gengjurnal dan akan diadakan di sebuah hotel atau mana2 tempat yang menarik. Perkara ini masih dalam perancangan dan pertama kali diberitahu di sini.

Sasaran saya ialah untuk 100 orang yang akan hadir. Semoga terlaksana.

NZ: Saudara pernah mengalami pengalaman negatif kerana Geng Jurnal?

Mie: Setakat ini alhamdulillah tiada yang negatif. Kalau ada pun bukan disebabkan gengjurnal tapi disebakan kelemahan diri sendiri. Saya sentiasa menggambarkan gengjurnal sesuatu yang indah dan saya amat gembira mampu mewujudkannya dengan bantuan kawan-kawan secara langsung dan tidak langsung.

NZ: Apakah pengalaman paling manis yang pernah saudara hadapi sebagai pengasas Geng Jurnal?

Mie: Bila gathering yang diadakan dapat mengumpulkan gengjurnal. Paling menggembirakan pada perjumpaan bulan November 2002. Majalah I-remaja telah sudi menaja hadiah untuk anugerah gengjurnal. Saya rasa gengjurnal sudah mula dapat perhatian dan berupaya pergi lebih jauh.

NZ: Adakah blog hanya satu 'fad' yang menjadi ikutan dalam satu-satu musim tertentu sahaja?

Mie: Saya rasa jurnal mampu bertahan lama. Cuma yang tak bertahan lama adalah penulis jurnal itu. Berapa lama sesearang itu boleh menulis bergantung pada dirinya sendiri.

Jurnal tumbuh seperti cendawan. Tapi dalam banyak yang tumbuh tak semuanya hidup melata. Ada yang akan mati juga. Cuma yang tumbuh lagi banyak.

Cuma harapan dan impian saya ialah gengjurnal akan terus wujud selagi masih hidup. InsyaAllah.

NZ: Mampukah blog menggantikan tugas media?

Mie: Blog rasanya elok dibiarkan bebas begitu sahaja. Media lebih formal dan blog masih boleh menjadi media tidak formal kepada membaca.

Terima kasih kerana sudi bertanyakan saya. Harap saya mampu menjawab segala persoalan yang ada.

Tulisan syafizan berkaitan gengjurnal

tuan-tuan dan puan-puan,

komuniti geng jurnal berbeza dengan komuniti-komuniti yang lain di mana bagi komuniti-komuniti lain, seperti komuniti.net & bincang.net (sekadar menyebut beberapa contoh) FORUM merupakan CARA UTAMA ahli-ahli komuniti berinteraksi antara satu sama lain. segala cerita menarik, tentang kehidupan seharian seseorang ahli komuniti, yang ingin dikongsi bersama akan di pos ke dalam FORUM dan mendapat reply daripada ahli-ahli yang lain.

ini adalah kerana mereka tidak mempunyai tempat lain untuk mencurahkan cerita/pendapat/idea dan mendapat reply yang banyak dari masyarakat umum.

ini berbeza dengan komuniti geng jurnal, dimana hampir setiap ahli komuniti mempunyai jurnal online peribadi. segala cerita menarik & idea bernas yang ingin dikongsi akan dipos ke dalam jurnal masing-masing (dan bukannya ke FORUM). dan para pelawat jurnal akan membuat reply di GUESTBOOK mereka.

keperluan FORUM di kalangan ahli komuniti geng jurnal tidak semustahak keperluan FORUM di kalangan ahli komuniti lain. bagi ahli komuniti lain, FORUM adalah cara UTAMA mereka berkomunikasi. tetapi bagi ahli komuniti geng jurnal, FORUM adalah cara SAMPINGAN. cara UTAMA, seperti yang semua sedia maklum, adalah ONLINE JURNAL.

Analoginya begini: katakan FORUM ini TELEFON. katakan hubungan sesama ahli KOMUNITI LAIN seperti orang bercinta jarak jauh (si teruna di KL, si dara di JB); manakala hubungan sesama ahli GENG JURNAL seperti orang bercinta satu tempat kerja. pasangan KOMUNITI LAIN kerap menggunakan TELEFON kerana mereka jarang berjumpa. Pasangan GENG JURNAL pula jarang menggunakan TELEFON kerana mereka berjumpa setiap hari.

Tapi, takkan disebabkan mereka JARANG menggunakan TELEFON, maka talian TELEFON itu harus dipotong? kadang-kadang telefon perlu digunakan.

Samalah dengan FORUM GENG JURNAL, takkan hanya kerana ahli komunitinya jarang menggunakannya, maka forum ini harus ditutup? Mereka jarang guna sebab KURANG KEPERLUAN untuk menggunakannya. tapi, sekali-sekala nak jugak guna...

Jangan bandingkan FORUM ini dengan forum komuniti lain. Hanya kerana forum lain dapat 1,000 pos sehari dan kita dapat 10 pos, maka kita anggap forum ini tidak meriah. "meriah" adalah satu benda yang subjektif. ramai tak semestinya meriah, dan meriah tak semestinya ramai. kadang-kadang kita keluar dengan 7 orang kawan, makan2, tengok wayang, kita rasa lebih meriah daripada pergi rombongan penuh dua bas tengok perasmian sukan Komanwel di Stadium Bukit Jalil.

Tuan-tuan dan puan-puan,

FAKTOR KEDUA: bertambahnya bilangan jurnal jugak, telah mengurangkan jumlah reply di guestbook masing2. kerana orang sibuk membaca jurnal hingga masa untuk mengisi guestbook menjadi kurang. apatah lagi hendak mencuri masa mengepos dan meng-reply topik di forum.

Adakah kerana kita kurang menerima reply di guestbook jurnal kita, maka kita harus patah semangat dan menutup jurnal kita semua?

Tentu tidak. pertambahan jumlah jurnal adalah satu perkembangan yang sihat. tapi bak kata pepatah, "you gain some, you lose some". jumlah jurnal BERTAMBAH, jumlah reply di guestbook BERKURANG.

Makin banyak orang menulis di jurnal, makin kurang orang menulis di guestbook dan forum.

Mana kita nak?

a) orang RAJIN menulis di FORUM tapi MALAS menulis di JURNAL; atau

b) orang JARANG menulis di FORUM tapi KERAP menulis di JURNAL

Kalau aku, aku pilih (b). sebab kita GENG JURNAL. bukan GENG FORUM. jurnal lebih penting daripada forum. pun begitu, ini bukanlah alasan untuk menutup forum. 1 pos sehari di forum tetapi jurnal ber-update lebih baik daripada 1,000 pos di forum tetapi jurnal terbengkalai.

wallahualam.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!