|
Zire 71 Photo of the day!
|
2004-08-03 - 2:13 p.m. Novel Bersiri Akademi Impiana: Bahagian 36
Kakak Besar: Lina akhirnya terkeluar... Abang Besar: What a surprise! Selama ini I fikirkan dia akan jadi juara! Kakak Besar: Well... At least we have an interesting season. Abang Besar: Interesting pun sebab you went all out untuk cucuk jarum jadikan Akademi Impiana ni penuh dengan drama. Kakak Besar: Eh, mestilah! Kalau I tak cetuskan kontroversi, you ingat orang nak undi ke? Abang Besar: Ye lah, macam-macam ada kan? Sebab tu lah votes keep on coming in... Kakak Besar: Okay... Sekarang kita kena buat kontroversi baru. Abang Besar: Kontroversi apa yang you nak buat? Kontroversi masalah disiplin Sia you dah buat, but it's a bit tiring after a while... Kontroversi pelajar lelaki pakai pakaian ala wanita pun you dah buat. Apa lagi you nak buat? Siapa pelajar yang akan cetuskan kontroversi ni? Kakak Besar: Azam... Abang Besar: You mean, Azam: “You're so vain you probably think this song is about you--” Kakak Besar: No... Please allow me to correct your Carly Simon rendition, dear: “You're so vain you probably think Akademi Impiana is about you...” Abang Besar: ... Kakak Besar: Well, seriously. You know how smart he is... And he'll stop at nothing to win despite his inability to sing like a professional singer... Abang Besar: What are you getting at? Kakak Besar: We should make him cry. Abang Besar: How? He's too busy with his hair lah! Kakak Besar: Dia akan nangis bila kita bagi dia lagu lama. You tahu lah dia kan nak sangat nyanyi lagu rap, walaupun bila dia nyanyi lagu rap hancur dan kena bawak lirik bila nyanyi atas stage. Rapper apa namanya tu? Abang Besar: Well... correction. Dia nak bawak lagu KRU dan KRU sahaja. Itu jer dia mampu. And another thing... He's not a rapper, he's just a KRU wanabe. Kakak Besar: Whatever lah kan... Yang penting, minggu ini kita bagi dia lagu yang dia sure tak suka. Abang Besar: Lagu apa you rasa kita harus bagi kepadanya? Kakak Besar: I'm thinking of lagu 'Bila Larut Malam'. How about that? Abang Besar: You know what... I think you are so evil! Kakak Besar: Alah, you suka dengan idea I, kan? Abang Besar: Hehehehe! Melalak lah budak tu nanti. Kakak Besar: Kalau dia tak nangis, kita cucuk jarum sampai dia nangis. Abang Besar: Biasalah, kan? Kakak Besar: Kita beritahu dia nanti, kalau dia nangis, kedudukan dia akan naik kepada tahap yang tertinggi. Itu sahaja modal yang dia ada untuk pastikan dia akan terus berada dalam AI sehingga ke pusingan final nanti. Abang Besar: Itu lah, lepas dia menangis, haruslah peratusan undi dia yang tertinggi! Kakak Besar: Eh, air mata bukan hanya senjata untuk wanita, tau! Abang Besar: ... Kakak Besar: Bukankah itu yang dia mahu? To be at the top of things! Budak macam dia mana nak kalah? So, we just give it to him lah. Banyak nanti SMS simpati yang dapat kita jual kepada peminatnya dan lebih-lebih lagi dari mereka yang meluat tengok dia menangis. Juga dari peminat-peminat Sia, Dara dan lain-lain tu yang tidak mahu melihat pelajar kesayangan mereka terkeluar... ** Jumairi kini berada di bawah jagaan doktor Tan di Pusat Perubatan Pantai. Doktor Tan telah melakukan beberapa pemeriksaan awal untuk memastikan tentang penyakit yang dialami oleh Jumairi. Dia ingin memastikan bahawa Jumairi sememangnya mengidap penyakit arteriovenous malformation sepertimana yang telah didiagnos oleh doktor Fernandez. Tetapi dari ujian awalnya, didapati sememangnya Jumairi mengidap penyakit tersebut. Doktor Tan cukup risau dengan penemuan ini, kerana jarang-jarang benar dia berjumpa dengan penghidap penyakit ini di Malaysia. Perkara ini baru baginya, malah di luar bidang serta kepakarannya. Banyak lagi kajian yang perlu menjalankannya sebelum dia dapat memutuskan tarikh pembedahan dapat dijalankan. Pada petang itu, doktor Tan telah mengadakan perjumpaan di antara Rahmat dan Salina di pejabatnya. Ada beberapa perkara penting yang perlu dibincangkan dengan mereka. Rahmat dan Salina telah ke pejabat doktor Tan tepat pada masa yang telah ditentukan. Doktor Tan telah mempersilakan agar Salina dan Rahmat duduk sebaik sahaja mereka masuk ke dalam pejabatnya. “Bagaimana dengan keadaan bapa saya, doktor?” tanya Rahmat sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi doktor Tan yang empuk itu. “Dia ada mengadu sakit-sakit kepala pagi tadi, tapi kami berjaya stabilkan dengan beberapa jenis ubat-ubatan yang saya berikan kepadanya.” Ujar doktor Tan dengan memandang ke arah Rahmat, kemudian ke arah Salina. “Jadi dia memang perlu di bedah, doktor?” tanya Salina ingin tahu. Tangannya terasa lembab akibat terlalu gelisah sejak tadi. Dia mengeluarkan sekeping kertas tisu dari dalam beg tangannya. “Jika pendarahan di dalam kepalanya kecil, dan dia dirawat dari awal lagi, rawatan radiasi sudah mencukupi. Tetapi dari ujian awal saya mendapati pendarahan terlalu banyak di dalam kepalanya... dia memang perlu dibedah.” “Selepas pembedahan dilakukan, dia akan pulih semula?” “Terus terang ingin saya nyatakan, apa-apa jenis pembedahan otak, risikonya memang tinggi. Peratus dia akan selamat walaupun pembedahan dilakukan hanya 10%. Saya harap awak paham tentang hal ini terlebih dahulu. Sebelas tahun yang lepas saya pernah mendapat seorang pesakit dengan penyakit yang sama, tetapi dia mengambil keputusan untuk tidak menjalani pembedahan...” “Apa yang berlaku kepadanya?” “Jangka hayatnya tidak lama. Dia meninggal dunia selepas sebulan dia keluar dari hospital. Tetapi itu adalah pilihannya.” Wajah doktor Tan berubah kesal. “Tapi kalau boleh, kita perlu berusaha sejauh mana yang kita mampu, walaupun peratus kejayaan pembedahan seperti ini agak rendah. Sekurang-kurangnya kita cuba...” Nadi Rahmat seolah-olah terhenti. Sukar untuk dia bernafas buat beberapa ketika. Dia memerhatikan wajah Salina yang nampak tenang menerima segala apa yang diberitahu oleh Doktor Tan kepadanya. Salina kemudian dengan perlahan menoleh ke arah Rahmat. Salina tidak meluahkan sebarang kata, tetapi Rahmat terus dapat memahami bahawa Salina telah memintanya banyak-banyak bersabar. “Harap-harap dia tak akan diserang dengan kekejangan selama kami mengadakan beberapa lagi ujian terhadap dirinya. Jika perkara ini berlaku, keadaannya mungkin boleh bertambah serius atau mungkin dia tidak boleh diselamatkan lagi...” Beritahu Doktor Tan. “Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk berehat.” “Bagaimana pula dengan rawatan serta pembedahannya?” Tanya Salina. Tangannya memuntal-muntal kertas tisu yang ada di dalam tangannya sehingga separuh hancur. “Kami akan cuba uruskan agar pembedahannya dapat dilakukan secepat mungkin. Ada banyak faktor yang perlu kami fikirkan sebelum pembedahan ini dapat dilakukan, seperti mencari doktor pakar yang sesuai yang dapat melakukannya. Pembedahan ini bukan sebarang pembedahan--” “Saya faham...” Salina berkata perlahan. “Jadi bila agaknya masa dia boleh dibedah?” “Kalau boleh, esok lusa. Tapi kita perlu realistik tentang hal ini. Banyak kerja-kerja persediaan yang perlu kami lakukan. Selain dari mendapatkan pakar yang dapat membantu saya nanti, beberapa peralatan pembedahan khas dari luar negeri terpaksa kami sediakan. Dan perkara ini semua mengambil masa.” “Doktor... Kosnya pula bagaimana?” celah Rahmat akhirnya. “Saya anggarkan, sebanyak RM80,000 ringgit dengan deposit sebanyak RM30,000 perlu dibayar terlebih dahulu kepada pihak hospital. Ini cuma anggaran awal sahaja. Jika pembedahan ini dilakukan di Singapura, saya pasti dua atau tiga kali ganda lebih mahal, walaupun mereka boleh melakukan pembedahan ini secepat mungkin dengan peralatan serta pakar yang mereka ada di sana.” Rahmat jelas kelihatan runsing. Tekaknya kering secara tiba-tiba. “Doktor Tan... Lakukan sahaja apa yang patut. Sekejap nanti saya akan uruskan soal wang pendahuluan yang diperlukan.” Kata Salina dengan penuh yakin. Doktor Tan mengangguk dan terus diam. Salina dapat membaca dari raut wajah doktor Tan bahawa tidak ada lagi perkara yang dapat diberitahu olehnyakepada mereka, lantas dia meminta diri untuk keluar dari pejabatnya. Rahmat dan Salina berdiri, lantas keluar dari pejabat doktor Tan. “Otak saya dah buntu...” Wajah Rahmat jelas murung ketika dia melangkah perlahan meninggalkan pejabat doktor Tan. Semangatnya untuk terus bercakap hilang begitu sahaja. “Rahmat... Kita masih boleh berusaha. Jangan terus pasrah. Saya akan sedia membantu.” Salina mengusap-usap bahu Rahmat. “Tapi mana saya nak cari wang sebanyak itu? Bantuan awak pun saya tak tahu bila boleh saya bayar.” “Saya dah beritahu awal-awal... Saya mahu bantu dengan ikhlas. Tentang itu semua awak jangan risau. Bapak saya pun dah hantar wang untuk membantu--” “Itulah yang saya katakan... Nak tolak bantuan awak dan keluarga awak pun tak boleh. Saya serba salah!” “Dah... Buangkan jauh-jauh perasaan awak yang bukan-bukan tu! Sekarang, yang penting, kita perlu fikir tentang wang RM50,000 ringgit lagi yang perlu kita cari.” Salina bersuara optimis. “Tapi saya yakin, duit boleh kita cari...” “Entahlah Salina... Awak sendiri dah tengok keadaan keluarga saya. Kami tak terdaya nak cari wang sebegitu banyak.” “Okay macam ni. Kita jangan fikir tentang itu semua buat masa ini.” Pinta Salina dengan nada memujuk. Rahmat hanya mampu mengangguk. Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukannya sekarang melainkan menyimpan secebis harapan agar bapanya dapat diselamatkan melalui pembedahan yang terpaksa dijalani oleh bapanya nanti... **
Lukisan oleh batu_api Oleh Nizam Zakaria
|