zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-01-19 - 4:05 p.m.

Awang Vampiro: Buku I. Bab 2

Aku membuka mataku dengan perlahan. Malam. Aku mendapati Cassius sedang berdiri di hadapanku. Aku menggosok-gosok mataku untuk memastikan aku tidak bermimpi. Aku merasa begitu segar sekali, seolah-olah dia baru sahaja tidur yang begitu lenyak gamaknya. Beberapa saat kemudian rasa khayalku hilang, lantas aku terus teringatkan kembali kepada leherku yang telah ditetak. Cepat-cepat aku memegang leherku.

Aku dapati di leherku sekadar terdapat kesan luka kecil. Aku tidak merasa sebarang kesakitan pada bahagian leherku, walaupun perisaiku nampak berkerak dipenuhi dengan darah yang telah beku. Bau hamis darahku dapat kucium, namun ia langsung tidak membuatnya rasa loya, tetapi rasa lapar pula yang kurasakan. Entah mengapa, aku terasa begitu lapar dan dahaga pada malam itu.

"Aku hanya boleh ke sini sebaik sahaja matahari terbenam." Cassius menghulurkan tangannya ke arahku. Aku tidak menyambut tangannya. Aku cuba berdiri dengan sendiri tanpa bantuan Cassius. "Aku tahu kau lapar... Kau perlu makan. Tetapi masanya belum sampai lagi untuk kau makan... Kita perlu tunggu sehingga malam esok apabila kau betul-betul lapar nanti." Katanya kemudian tanpa kupedulikan kata-katanya itu.

"Di mana Fernao?" mataku memandang ke arah sekelilingku. Aku dapati terdapat beberapa mayat yang masih bergelimpangan di sekitarku. Keadaan di atas pantai agak gelap, tetapi pandangan mataku begitu terang sekali. Aku dapat melihat suasana pantai dengan jelas pada malam itu. Malah pendengaranku juga semakin bertambah baik rasanya sehingga aku mampu mendengar suara anak-anak kapal Concepcion yang sedang berbual-bual di atas kapal yang sedang berlabuh jauh dari pantai.

"Dia tiada lagi di sini." Cassius berterus terang.

"Dia di atas kapal?"

"Dia sudah mati... Dibunuh pahlawan Lapu-lapu."

Aku tidak mahu mempercayai kata-kata Cassius. Duniaku tiba-tiba sahaja rebah di hadapanku. Aku dapat merasakan seolah-olah sebahagian dari diriku hilang begitu sahaja. Aku meluahkan kalimah-kalimah ini dengan suara sedih:

"Satu ketika dahulu, setiap hari aku mendoakan supaya dirinya mati. Tapi sekarang-"

"Mungkin satu hari nanti kau akan merasa kesedihan yang sama bila aku mati. Bukannya aku tidak tahu dengan perangai kau, Enrique... Kau akan setia kepada sesiapa sahaja yang sanggup memberi sedikit kasih sayangnya kepada kau-" Cassius cuba mengusik. Tetapi jenaka Cassius langsung membuatku marah, walaupun aku tahu kata-katanya itu ada kebenarannya.

Aku tidak pernah rasa begitu marah seperti sekarang. Selama ini, ketika kepalaku dipijak-pijak atau dihina oleh kelasi-kelasi kapal dengan kata-kata pedas semata-mata kerana aku bukan berdarah Eropah, aku masih boleh bersabar. Tetapi bukan untuk kali ini.

Aku tidak tahu dari mana datangnya tenaga amarahnya ini ketika aku menumbuk muka Cassius sehingga dia terpelanting jauh ke hadapan. Aku terkejut melihat kekuatan yang ada pada diriku.

Aku bergerak mendekati Cassius. Aku mendapati kepalanya terpusing ke belakang. Leher Cassius jelas patah.

"Belum lagi sampai masanya untuk kau bersuka ria... Aku belum mati lagi." Ujar Cassius dengan nada berjenaka ketika aku melihat tubuhnya terlantar begitu di atas pantai. Dengan sendirinya dia terapung lalu berdiri di hadapanku. Kepalanya perlahan-lahan dipusingkan ke hadapan sehingga terdengar bunyi tulang-tulangnya yang patah. Cassius membetulkan kedudukan kepalanya kepada keadaan sedia kala. Kemudian dia tersenyum kepadaku.

"Apa yang telah berlaku kepadaku?" aku memandang kepada telapak tanganku. Keliru. "Apa yang telah kau lakukan kepadaku?" tanyaku kemudian kepada Cassius.

"Aku tidak lakukan apa-apa kepada kau... Tapi sebahagian dari diriku ada dalam dirimu sekarang." Cassius menjelaskan. Aku kemudian teringatkan kepada upacara kasi-kasi yang disertainya beberapa hari yang lalu. Darah Cassius kini telah menjadi sebahagian dari darahku!

"Tak mungkin!"

"Kau perlu menerima hakikat bahawa pada hari inilah kau akan mengenali erti kehidupan yang sebenar..."

Aku meletakkan tangannya ke dadaku. Aku mendapati dia tidak dapat merasakan degupan jantungku sendiri. Aku merasa seram sejuk. Bulu romaku berdiri tegak.

"Sebenarnya, sejak kali pertama aku bertentang masa dengan kau dahulu, aku sudah dapat merasakan bahawa kau pasti akan menjadi sebahagian dari diri ku. Sukar untuk aku jelaskan, tapi aku sudah dapat merasakannya sejak dari mula lagi. Sebab itulah aku tidak membunuh kau, tetapi membawa kau ke atas kapal untuk dipersembahkan kepada Fernao. Aku tahu hanya melalui jagaan Fernao aku akan dapat memastikan kau sentiasa dekat denganku."

"Kau memang jahanam!" kali ini aku betul-betul marah. Aku mula mempersoalkan segala-galanya. Kewujudanku di dunia ini. Mengapa aku telah dilahirkan. Dan sekarang aku mati. Itu pun bukan betul-betul mati. Jadi mana keadilan bagi diriku?

"Nasib kita serupa... Apa kau ingat aku diminta untuk dijadikan begini?" dengus Cassius.

"Aku lebih rela mati dari-"

"Kau sudah mati, Enrique... Tak perlu kau minta sesuatu yang sudah pun berlaku kepada dirimu."

"Aku tak mahu jadi seperti kau!" Secepat kilat aku bergerak mengambil sebatang tombak buluh yang terpacak di sebelahnya. Aku hampir-hampir mahu menjunamkan tombak tersebut ke bahagian dada kiri Cassius, tetapi aku berhenti. Aku tidak mampu untuk membunuhnya.

"Aku tahu kau tidak akan mampu untuk melakukannya." Cassius tersengih lalu dia ketawa sendiri. "Kau perlukan aku... Masakan kau boleh membunuh aku selagi kau memerlukan aku."

Aku mendengus kuat. Memang aku akui, inilah kelemahanku. Aku taat kepada Fernao juga di atas alasan yang sama. Aku memerlukan Fernao agar diriku di lindungi supaya aku dapat terus hidup sambil berlayar melihat dunia. Kini tanpa kehadiran Fernao, aku hanya ada Cassius untuk dijadikan sebagai tempatku untuk bergantung.

"Kau kini seorang Vampiro, dan percayalah kau akan mahu terus hidup begini sebagai seorang vampiro setelah kau ketahui apa yang mampu kau lakukan nanti."

Nafasku turun naik. Aku masih tidak boleh menerima penjelasan Cassius mahupun kejadianku sekarang.

"Enrique, dengar apa yang hendak aku beritahu kepada kau sekarang..." Cassius bersuara memulakan lembaran bicara sewaktu suasana semakin tegang.

"Apa lagi!" aku berdiri bertentangan dengan Cassius. Mataku merah, jelas marah.

"Kau sekarang bukan lagi seorang manusia. Kau seorang vampiro. Kau mempunyai kuasa-kuasa luar biasa di luar jangkauan manusia. Kau juga mempunyai kelemahan-kelemahan kau sendiri. Apa yang penting, kau perlu sedar bahawa dunia kau sebagai seorang manusia akan perlahan-lahan kau tinggalkan." Cassius berpaling ke arah kanan. Dia sedang memerhatikan dua mayat tentera Sepanyol yang belum lagi diuruskan. aku menoleh sama.

Aku terkejut besar apabila melihat dua lembaga lelaki di hadapan mayat mayat tersebut. Seorang sedang berdiri dan seorang lagi sedang terduduk sambil meratapi mayatnya sendiri. Lembaga yang sedang berdiri mendongak lantas merenung tajam ke arahku.

Mataku terbeliak apabila aku mendapati lelaki yang kini sedang memandang tepat ke arahku adalah Fernao. Aku terkejut sehingga aku melangkah beberapa tapak ke belakang.

"Aku pasti Fernao akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan tempat kau sekarang ini..."

Aku terus tidak bersuara kerana terlalu gerun melihatkan apa yang dapatku lihat pada malam itu. Lidahku kelu.

"Duarte sepatutnya membantu ketika Fernao diserang, tetapi dia tidak melakukan apa-apa. Dia langsung tidak membenarkan meriam digunakan untuk menyerang pahlawan Lapu-lapu mahupun menghantar bantuan tambahan. Dia telah melakukan ini semua kerana dia mahu membalas dendam terhadap Fernao, kerana Fernao pernah menumpaskan percubaannya cuba memberontak dahulu..."

Wajahku jelas pasrah, walaupun aku cukup marah dengan Duarte. Perlahan-lahan aku cuba mencerna hakikat tentang kematianku. Kematian Fernao dan pengkhianatan Duarte.

Sejak dari saat pertama aku bertentang mata dengan Duarte aku telah membencinya. Duarte pernah mahu memberontak melawan Fernao, tetapi kesalahannya ini telah dimaafkan oleh Fernao yang tempang yang jarang-jarang memaafkan kesalahan sesiapapun yang menentangnya. Fernao tahu bahawa Duarte adalah seorang pelaut yang cekap, walaupun beliau sering bersikap kurang ajar kepada Fernao dan terutamanya kepadaku yang sering sahaja diherdik dan dihinanya - mungkin sebab itulah agaknya Fernao tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadapnya. Fernao memerlukan seberapa banyak pelaut yang berpengalaman di dalam pelayarannya ini. Lagipun, mana mungkin dia boleh menghukum Duarte, kerana Duarte adalah adik iparnya sendiri.

Di sepanjang pelayaran ini, aku terpaksa berhadapan dengan ramai anak-anak kapal yang mempunyai sikap perkauman yang menebal selain Duarte. Tetapi duarte lah yang kuanggap paling buruk di antara ramai yang ada. Sememangnya aku lebih senang melihat Duarte dihukum mati tatkala dia telah ditangkap cuba mengkhianati Fernao dahulu...

"Duarte sekarang mengetuai pelayaran ini menggantikan tempat Fernao." Cassius memberitakan hal ini kepadaku.

Aku menutup mataku seketika. Menahan rasa geram seperti ditusuk baran yang membakar jiwaku pada waktu itu. Tatkala itu, tanpa diundang, aku dapat melihat keadaan Duarte yang sedang bersuka-suka di dalam bilik Fernao, bersama seorang gadis Cebu yang sedang diperkosanya di dalam kepalaku. Apa yang aku lihat jelas, seolah-olah Duarte sedang berada betul-betul di hadapanku.

"Jadi kau boleh melihatnya sekarang, bukan?" tingkah Cassius. "Inilah di antara kebolehan yang kau ada sebagai seorang vampiro. Kau mempunyai kebolehan untuk 'melihat'."

Aku mengangkat muka. Aku membenci akan kebolehan Cassius yang dapat membaca fikiranku. Dalam masa yang sama, naluriku memberitahu bahawa sekarang aku mampu menyekat Cassius dari terus membaca isi hatiku.

"Aku mahu pulang ke kapal." Kataku sambil melangkah ke arah pantai. Tetapi tak ada sebarang sampan pun di atas gigi pantai. Kini kudapati Cassius tidak datang ke Mactan dengan bersampan.

Cassius mendekatiku. Dia merenung ke dalam mataku. Seperti dipukau, aku terus merenung ke dalam mata Cassius yang semakin lama semakin dekat kepadaku.

Tanpa di duga, tiba-tiba aku mendapati diriku sedang berada di atas kapal Trinidad. Aku memandang ke arah sekelilingku.

"Kau masih penat. Kau perlu berehat." Ujar Cassius. Aku sememangnya rasa terlalu lemah sekarang ini, seolah-olah terlalu banyak tenaga telah digunakan ku sejak sedar tadi.

Aku terkulai lesu, lantas pengsan di atas tubuh Cassius...

**

Aku membuka mataku. Aku mendapati aku sedang terbaring di dalam kabin sempit Francesco. Hari sudah siang. Keadaan yang agak terang ketika pintu Francesco membuatkan mataku silau.

"Enrique, Tuan Barbosa mahu berjumpa dengan kau sekarang!" ujar Francesco. Dia duduk di sebelahku ketika aku sedang terbaring di atas katilnya.

Aku menjeling ke arah pintu kabin. Aku merasa terlalu malas untuk keluar lalu berhadapan dengan Duerte.

"Aku belum bersedia." aku menjawab ringkas.

"Mungkin kau masih bersedih memikirkan tentang kematian Fernao..." Suara Francesco ketara sedih. Dia sendiri menghormati Fernao, malah menganggapnya sebagai seorang tokoh pelaut yang amat-amat dihormatinya.

"Ya." aku mengiakan sahaja, walaupun aku lebih memikirkan tentang nasibku kini apabila Duarte dilantik menjadi ketua dalam pelayaran ini.

"Tuan Barbosa mahu meneruskan perjanjian perdagangan dengan Raja Humabon-"

"Mengapa kau tidak buat sahaja?" tanyaku dengan nada sedikit sinis kedengarannya. "Bukankah aku sudah mengajar kau untuk memahami Bahasa Melayu?"

"Loghat yang kau ajar aku tidak sama dengan yang digunakan di daerah ini. Lagipun, aku tidak secerdik kau untuk memahami pelbagai bahasa dengan pantas."

"Semuanya alasan semata-mata!" aku menyelubungi diriku dengan lain selimut.

Francesco diam buat seketika sebelum dia menyambung:

"Aku fikirkan kau telah mati... Mungkin aku tersalah nampak. Walau apa-apa pun, aku tidak sepatutnya meninggalkan kau di Mactan."

Sukar bagi aku untuk menceritakan kepada Francesco hal sebenar yang telah berlaku ke atas diriku. Mungkin lebih baik jika Francesco tidak tahu. Lagipun dia tidak perlu tahu.

"Kau tidak bersalah. Kita memang sepatutnya berundur." Sambutku. Di dalam hatiku, aku menyumpah Duarte si pengkhianat itu. Dendam kesumatku kepada Duarte semakin meluap-luap. Jika bukan kerana Duarte, aku dan Fernao pasti masih hidup lagi sekarang!

"Duarte akan mengamuk jika kau tidak keluar menemuinya, Enrique." Kata Francesco dengan lembut.

Aku memberanikan dirinya untuk keluar dari kabin. Sebaik sahaja aku keluar dari perut kabin, aku terus merasa tidak selesa. Keadaan pada petang itu mendung, malah hujan gerimis, tetapi kulitku terasa seperti terbakar tatkala aku menjejakkan kakiku di luar. Aku terus menyelubungi diriku dengan kain selimut yang tebal.

"Apa si hitam itu buat di situ?" suara Duarte kuat mengherdik. Francesco memegang bahuku lantas membawaku menghadap Duarte yang garang itu.

"Aku mahu si hitam ini pergi berjumpa dengan Raja Humabon dan memberitahu kepadanya bahawa pihak Sepanyol mahukan hak-hak perdagangan istimewa di dalam kerajaan naungannya!" getus Duarte kepada Francesco, seolah dia tidak boleh memberitahu sendiri kepadaku, yang terlalu hina dalam pandangan matanya.

Aku membelakangi Duarte, seolah tidah mahu mendengar perintahnya. Aku mahu kembali ke bilik Francesco. "Tuan aku hanya satu, Tuan Fernao Magalhaes!"

Duarte naik darah. Dia tidak dapat menerima bagaimana seorang hamba yang hina sepertiku berani bersifat kurang ajar kepadanya.

"Anak haram jadah!" Jerit Duarte dengan lantang tatkala dia menendang tubuhku sehingga aku jatuh tersungkur lalu terus ditendangnya tubuhku yang lemah itu.

Francesco serba salah. Dia berjalan untuk mendapatkanku tetapi berhenti di tengah jalan. Dia tidak berani meminta agar Duarte berhenti dari terus menyiksaku.

Aku tidak merasa sebarang kesakitan. Mungkin kerana aku merasa terlalu lemah untuk melawan. Tubuhku tidak bermaya. Perutku terasa terlalu lapar dan dahaga.

"Walaupun tuanmu sudah mati, kau tetap seorang hamba!" Duarte terlanjur cakap. Aku meneliti isi hatinya lalu aku mendapat tahu Duarte sedar tentang wasiat Fernao untuk membebaskanku pada saat Fernao meninggal dunia. Aku terus mendalami hati Duarte lantas mengesahkan tentang rancangannya untuk sengaja tidak mahu menolong Fernao lalu membiarkan Fernao mati di Mactan. Dendam Duarte kepada Fernao memang terlalu mendalam. "Apabila kau aku bawa pulang ke Sepanyol nanti, aku akan pastikan kau akan terus menjadi hamba kepada Biatriz!"

Aku mahu membalas dendam bagi pihak Fernao. Aku mahu menerkam Duarte lantas membunuhnya di situ juga, tetapi terdengar suara halus di dalam kepala memintaku menunggu. Masaku untuk membunuh Duarte Barbosa bedebah adakan tiba juga nanti.

"Kau hanya perlu menunggu sedikit masa sahaja lagi. Kau masih lemah." Ujar Cassius. Suaranya yang hanya boleh didengar di dalam fikiranku.

Tatkala itu, Di dalam fikiranku, timbul pula satu rancangan yang dapat dilakukanku untuk membalas dendam terhadap Fernao dan konco-konconya.

"Baik tuan... Saya akan pergi menemui Raja Humabon... Sekarang juga!" kataku akhirnya kepada Duarte dengan suara yang rendah. Aku berdiri, lantas melangkah untuk menyiapkan diriku untuk ke Cebu.

Duarte puas mendengar kata-kataku yang difikirkannya berjaya ditundukkan, sebagai mana seorang vaqueros dapat menundukkan dan menjinakkan seekor kuda yang liar.

**

Aku pergi menghadap Raja Humabon dengan memakai jubah yang menutup hampir kesemua bahagian tubuhku yang telah kupinjam dari Paderi Valderamma.

"Utusan dari Sepanyol semakin lemah Tuanku. Tuanku harus mengambil peluang ini untuk merampas segala harta benda yang telah mereka kumpul selama ini." aku memberitahu tanpa merasa sebarang penyesalan kepada baginda yang sememangnya aku tahu gilakan harta dan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi lebih kaya dan berkuasa dari raja-raja yang memerintah di sekitar tanah jajahannya.

Suasana di balai menghadap menjadi riuh dengan tiba-tiba. Para pembesar berbincang sesama mereka. Raja Humabon jelas mencurigai kata-kataku.

"Adakah semua ini benar, Panglima awang? Ataupun ini hanya permainan kata-kata orang putih terhadap beta?" tanya baginda meminta kepastian.

"Ampun Tuanku... Tetapi adanya patik hanya mampu berkata yang benar. Lagipun... Tuan baru patik, tuan Barbosa akan mengambil segala barang-barangan yang telah mereka kumpul di gudang dan akan berlayar dari sini pada hari esok. Mungkin dengan beberapa orang penduduk tempatan yang akan mereka culik dan akan dijadikan hamba. Kerana itulah yang sering mereka lakukan. Ampun Tuanku."

Raja Humabon memikirkan kembali tentang kekalahan yang memalukan pihak Sepanyol kepada musuh ketatnya Lapu-lapu. Beliau menyesal kerana tidak mengendahkana amaran yang pernah diterimanya dari pedagang-pedagang Arab yang mengatakan tentang sikap pedagang orang putih yang kuat menipu dan merompak.

Raja Humabon ternyata tidak mahu kerajaannya menerima nasib seperti Melaka. Beliau merasakan beliau perlu melakukan sesuatu untuk memastikan agar pihak Sepanyol tidak dibenarkan dari memperkotak-katikkan kerajaan pimpinannya. Dia perlu melakukan sesuatu. Lalu titahnya kemudian:

"Jika begitu, malam ini beta akan mengambil kesempatan ini untuk mengadakan jamuan makan untuk pegawai-pegawai tertinggi rombongan Sepanyol."

Aku mengangguk puas. Aku faham akan maksud sebenar Raja Humabon. Lalu aku meminta diriku, lantas melangkah keluar dari istana...

Aku pulang ke kapal Trinidad. Cepat-cepat aku pergi menemui Duarte, lantas memberitahunya bahawa Raja Humabon mahu menjamunya pada malam ini dan mahu memberikan sejumlah emas, permata dan lebih penting, rempah ratus sebagai hadiah serta pampasan kepada pihak Sepanyol kerana telah membantu mereka melawan pihak Lapu-lapu walaupun kalah.

Duarte dengan sifatnya yang tamak haloba itu ketawa bangga. Tidak sabar lagi rasanya dia menunggu waktu malam untuk meraikan hari pertamanya menjadi nakhoda pelayaran yang penuh bersejarah ini.

Dan begitu juga aku. Aku juga tidak sabar nampaknya menunggu malam...

**

Dua puluh lapan pegawai-pegawai Sepanyol tersenyum-senyum apabila mereka melangkah berjalan di atas pantai Cebu. Dari jauh lagi mereka dapat melihat pesta jamuan makan malam yang telah diadakan khas untuk mereka.

"Francesco... baik kau pulang sahaja ke Trinidad. Bawa paderi Valderamma bersamamu." Ujarku kepada kawan baikku itu sewaktu mereka berada di atas gigi air.

"Tapi mengapa?"

"Kau tidak perlu banyak soal." Suaraku semakin tegas. Aku memandang ke arah Cassius. "Kau seharusnya tinggal di atas kapal untuk membantu Don Antonio merawat mereka yang tercedera parah."

"Mungkin kita seharusnya pergi!" ujar Valderamma yang sememangnya kurang senang dengan kehadiran Cassius sejak kali pertama dia mengenali akan kewujudannya.

Francesco hairan melihatkan perangaiku yang ganjil. Tetapi dia membiarkan sahaja, fikirnya aku masih bersifat ganjil kerana sedih dan kecewa di atas kematian Fernao. Bersama Valderamma, dia pulang menaiki sampan ke kapalnya.

Pegawai-pegawai Sepanyol tampak kacak lengkap dengan pakaian malam mereka pada malam itu. Mereka gembira melihat pelbagai jenis makanan dan arak yang telah dihidangkan untuk mereka. Ini belum termasuk gadis-gadis yang telah disediakan khas untuk mereka ratah.

Sewaktu pegawai-pegawai Sepanyol sedang bersuka-suka, aku dan Cassius pergi menghadap Raja Humabon. Cassius meminta Raja Humabon dan orang-orangnya berundur apabila dia bersedia kelak. Entah mengapa, Raja Humabon terus mendengar kata-katanya tanpa banyak bersoal, seolah dia telah dipukau.

"Aku tahu kau lapar Enrique." Ucap Cassius sambil berpura-pura bersuka ria menikmati juadah yang dihidangkan Raja Humabon. Sepertiku, dia langsung tidak menjamah makanan-makanan yang telah disediakan.

"Aku cuma rasa lemah." Sambutku, cuba berbohong. Pada kebenarannya, aku tidak pernah terasa begitu lapar dan dahaga di dalam hidupku. Walaupun perutku terasa kosong, seleraku langsung tidak terbuka untuk menjamah bermacam-macam jenis hidangan disediakan di hadapanku. Aku tidak lalu makan. Malah aku langsung tidak menyentuh makanan yang ada. "Bagaimana kau melakukannya?" Tanyaku Kemudian.

"Maksud kau, hidup di dalam dunia mereka dengan sebegitu lama tanpa mereka sedari kecuali sesetengah orang seperti kau dahulu?" tanya Cassius kembali.

"Ya. Bagaimana kau mampu lakukannya."

"Kerana manusia hanya mampu dan mahu melihat apa yang mahu mereka lihat." Maka itulah penjelasan ringkas yang diberikannya.

Aku akur akan kebenaran kata-katanya. Sejak aku dilahirkan semula sebagai makhluk terkutuk ini, bermacam-macam-macam keganjilan yang dapat aku perhatikan dengan mataku ini. Ketika aku memandang ke depan, kadang-kala aku akan dapat melihat lembaga aneh dari pelbagai jenis dan rupa merayau-rayau di waktu malam tanpa diketahui manusia. Mereka kelihatan seperti cahaya yang malap, ada pula kelihatan seperti bayang-bayang yang gelap. Aku dapat merasakan kebencian dan rasa dendam di dalam makhluk-makhluk yang gelap ini. Ada kalanya, makhluk-makhluk ini sedar aku sedang memerhatikan mereka. Apa yang pasti, mereka takut kepadaku dan terutamanya kepada Cassius. Ada sesuatu tentang diriku sebagai seorang vampiro yang begitu mereka takuti.

"Mereka tahu kau istimewa..." jelas Cassius. "Mungkin mereka juga tahu kau adalah sebahagian dari diriku dan aku pula sebahagian dari diri Tiresias anak kepada Everes dan Chariclo, bidadari kesayangan Athena. Tiresias orakel buta berbangsa Yunani yang kutemui di Jerash ini merupakan salah seorang dari 7 ahli pengasas Majlis Vampiro yang juga dikenali dengan nama Amesha Spentas yang boleh dijejak salasilah kejadian mereka di Babylon.

"Menurut satu mitos, Tiresias pernah terlihat Athena berbogel di hadapannya. Athena menutup matanya, lalu Tiresias menjadi buta. Ibu Tiresias, Chariclo telah meminta Athena mencelikkan kembali penglihatan anaknya itu tetapi Athena tidak dapat mengembalikan penglihatan Tiresias. Akan tetapi, Athena telah menghadiahkan Tiresias dengan kemampuan seorang orakel... Dengan kemampuan orakelnya, dia merupakan vampiro yang paling berkuasa di kalangan pengasas Majlis Vampiro.

"Apabila aku menjadi vampiro, aku telah mewarisi sedikit dari kebolehannya ini. Dan kini kau akan mewarisi kebolehan ini, tetapi sebagai salinanku, kebolehan menilik ini mungkin tidak sebaik yang aku ada. Tapi aku pasti kau akan memperoleh kebolehan-kebolehan yang lain semakin lama kau hidup di dalam dunia ini untuk mempelajari kemampuanmu sendiri..."

"Jadi kenapa hanya aku dan Fernao tahu akan kewujudanmu? Mengapa yang lain hanya boleh mengagak, tetapi tidak boleh memastikan?" aku menanyainya tatkala bersamanya di dalam suasana pesta pada malam itu yang langsung tidak ku endahkan.

"Semata-mata kerana aku telah membenarkan. Dan bila-bila sahaja ingatan tentang kewujudan aku boleh dihilangkan dari ingatan mereka... Satu hari nanti kau akan belajar tentang kebolehan ini, dan akan kau gunakan untuk mengawal mereka."

"Aku tak perlu itu semua." Kataku sambil termenung jauh memandang ke arah unggun api.

"Aku sendiri bersependapat dengan kau pada mulanya..." Ujar Cassius dengan tersenyum meleret. "Tapi aku terus mengetepikannya setelah aku memperoleh kuasa-kuasa luar biasa ini yang sememangnya mengesyikkan!" Cassius kemudian menggunakan tangan kanannya seolah memberitahu kepada Raja Humabon agar meninggalkan kawasan jamuan. Dan seperti dipukau, Raja Humabon dan pengikut-pengikutnya akur.

Pengawai-pegawai Sepanyol nampaknya terus bersuka ria walaupun penduduk-penduduk pulau sudah lama menghilang...

Cassius kini berjalan menghampiri Duarte sambil memimpinku. Dia memegang kepala Duarte dan Duarte mengikut sahaja tanpa membantah mahupun sedar dia diperlakukan begitu oleh Cassius.

"Aku pasti kau mahu membunuhnya sendiri," ujar Cassius sambil memandang tepat ke arah urat tebal di leher Duarte yang kulitnya kelihatan kemerahan akibat sekian lama dimamah matahari. Uratnya itu berdegup mengikut degupan nadinya. Aku sendiri dapat mendengar degupan tersebut yang semakin lama semakin kuat.

Wajah Cassius kini berubah. Dia kelihatan menakutkan dengan matanya yang berubah merah dan wajahnya menjadi semakin bengis selayaknya seperti seekor binatang yang buas. Mulutnya terbuka lebar lalu menampakkan gigi-giginya yang tajam. Aku memerhatikan wajah Cassius yang menakutkan yang pernah kulihat di Melaka dahulu - tatkala dia membunuh kesemua anggota keluargaku dengan kejam. Satu wajah yang amat-amat kutakuti dan benci.

Wajah Cassius kini berubah menjadi satu wajah yang ganas yang menggerunkan!

Cassius menjunamkan kepalanya ke dalam leher Duarte, dan Duarte langsung tidak dapat melawan walaupun dari anak matanya, aku dapat membaca bahawa Duarte cukup sedar dengan apa yang telah diperlakukan kepadanya, tetapi dia tidak dapat membuat apa-apa.

Aku dapat menghidu bau darah Duarte apabila darahnya itu mengalir keluar dari lehernya.

"Bukankah ini yang kau mahukan?" tanya Cassius, dia menyerahkan tubuh lemah Duarte kepadaku. Wajahnya kembali kepada bentuk manusia.

Aku memalingkan kepalaku ke tempat lain. Aku tidak mampu menerima hakikat tentang kejadianku, ataupun apa yang perlu kulakukan untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga yang ada di dalam diriku.

Tiba-tiba sahaja, Cassius muncul di hadapanku. Secepat kilat, Cassius mengucup bibirku. Darah Duarte yang memenuhi mulut Cassius kini dipindahkan ke dalam mulutku.

Aku menjilat sisa-sisa darah Duarte di bibir Cassius. Tidak pernah aku merasakan sesuatu yang begitu lazat, yang mampu membuatku bertenaga kembali. Serta-merta aku merasa tubuhku segar.

Pada saat itu, aku tidak lagi dapat menahan diriku lagi. Aku berhenti dari terus mengucup Cassius, lantas aku memandang ke arah leher Duarte. Dengan lahap, aku mengambil leher Duarte lantas terus kuhisap darahnya, sehingga tubuh Duarte kejang dan kaku.

Aku menjilat-jilat lehernya tatkala tiada lagi darah panas Duarte yang dapat kuhisap lagi. Tatkala itu aku dapat melihat Cassius sedang menggila membunuh setiap anggota perwakilan Sepanyol yang ada. Dia menggunakan pedangnya. Sebilah pedang dari jenis 'Gladius Hispaniensis' yang sentiasa disisip di pinggangnya dan dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi.

Dalam pada itu, seorang pegawai Sepanyol, Jaoa Serrao berlari ke arah pantai. Seperti orang gila lagaknya dia berlari ke arah sampan. Aku berlari ke arahnya.

Dalam pada itu, seorang pegawai Sepanyol, Jaoa Serrao membaling sebilah lembing ke arahku. Aku dapat melihat lembing itu terbang dengan begitu perlahan lantas dengan senang aku dapat mengelak diriku dari terkena lembing yang telah di arahkan supaya kena tepat kepadaku.

Jaoa terkejut melihat aku dapat bergerak sepantas kilat lalu mengelak dari terkena tusukan lembingnya. Dia ketakutan lantas berlari ke arah pantai. Seperti orang gila lagaknya dia berlari ke arah sampan. Aku berlari ke arahnya.

Jaoa kelihatan begitu takut berhadapan denganku. Ditunjukkan kepadaku rantai salib yang dipakainya. Diharapkan rantai tersebut akan dapat menakutkanku, tetapi aku bergerak semakin hampir kepadanya. Aku mencantas rantai salibnya yang tidak membawa apa-apa makna buatku lalu kucampak ke laut. Aku mentertawakannya.

Jaoa dapati apa sahaja yang dicubanya, tidak mampu untuk membuatkanku pergi. Dia menyembah ke bumi, meminta agar aku membiarkannya kembali ke kapal.

Dalam kegilaan malam itu, aku tidak mahu mendengar sedu sedannya meminta agar dirinya tidak kubunuh. Wajahku bertukar bengis seperti wajah menakutkan Cassius yang telah kulihat tadi. Aku mahu membalas dendam terhadap segala pengkhianatan yang dilakukan oleh Jaoa yang telah menjadi konco Duarte. Aku terus menerkam kepala Jaoa, kemudian aku merobek leher Jaoa sehingga hanya tinggal separuh sahaja lehernya yang masih bersambung ke tubuhnya. Darah memercik keluar dengan deras dari lehernya yang telah kurobek itu. Lantas kujilat darah Jaoa yang kini banyak terpercik ke baju dan wajahku. Bajuku kini basah lenjun dengan darah-darah mangsaku. Aku puas.

Di atas kapal, anak-anak kapal dapat melihat sesuatu pandangan yang berbeza. Mereka dapat melihat bagaimana pegawai-pegawai Sepanyol diserang oleh penduduk-penduduk tempatan. Mereka beramai-ramai ketakutan dan mereka sedar bahawa kini mereka tidak mempunyai sebarang pegawai yang berpengalaman untuk mengetuai pelayaran Sepanyol ke Maluku.

Dalam keadaan sedar tak sedar, mereka semua mengorak langkah untuk bergegas meninggalkan Cebu. Dalam fikiran mereka yang dipukau Cassius, dapat dilihat kapal Concepcion yang ditinggalkan itu dibakar penduduk-penduduk Cebu. Dalam keadaan tergesa-gesa mereka terus berlayar, lebih-lebih lagi dengan adanya beberapa buah sampan dipenuhi pahlawan-pahlawan Cebu bergerak ke arah kapal-kapal mereka untuk menyerang dan merampas apa yang ada. Juan Sebastian del Cano dengan pantas mengambil alih tugas Duarte sebagai nakhoda pelayaran ini.

"Mereka nampaknya telah pergi tanpa kita." Kataku sambil memerhatikan wajah Cassius yang kembali seperti sedia kala, tidak lagi berwajah ganas.

"Biarkan mereka pergi." Ujar Cassius sambil mengelap kesan darah pada wajahnya. Dia tersenyum sendiri. "Kita masih ada Concepcion."

"Jadi apa yang boleh kita lakukan dengan Concepcion?"

"Kita boleh isi dengan beberapa orang penduduk tempatan dan orang-orang Sepanyol yang tidak sempat kita kerjakan. Kita perlu pulang ke Eropah."

Aku termenung jauh. Aku diam sahaja. Mataku melihat keadaan pantai yang senyap sunyi. Beberapa mayat bangsa Sepanyol bergelimpangan di hadapanku.

"Apa, kau mahu pulang ke Melaka?" tanya Cassius meminta kepastian.

"Tak ada apa lagi yang boleh aku cari di Melaka." Kataku berterus terang dengan suara perlahan.

"Concepcion sarat dengan emas dan rempah ratus... Kita akan berlayar sehingga ke Venice. Aku ada kenal pedagang dari sana yang akan memberikan harga yang baik untuk barangan yang akan kita bawa pulang." Suara Cassius tajam dengan harapan yang menyala.

"Mengapa kau lakukan ini semua?" Tanyaku tiba-tiba. Aku bercangkung di atas pantai. Aku langsung tidak mahu memerhatikan keadaan penduduk tempatan yang seperti dirasuk di kawasan pekan di belakangku. Ada di antara mereka yang sedang sibuk membakar kayu salib yang telah ditanam di tengah-tengah pekan.

"Setelah begitu lama kau hidup, kau akan mula sedar kau akan sanggup membuat apa sahaja untuk memastikan agar tidak membuat hidup kau bosan." Jelas Cassius dengan matanya meleret memandangku. "Aku suka berperang, sebab itulah aku mahu diri aku ditangkap Fernao dahulu dan membuat perjanjian untuk berjuang bersama tentera Portugis. Dan seperti kau, aku juga berminat untuk berlayar dan melihat dunia."

"Kau sanggup melakukan ini semua semata-mata kerana ingin menghilangkan rasa bosan?"

"Ya... Aku dan beberapa lagi vampiro sepertiku ketika Portugis menyerang Melaka dahulu. Sebab itulah Melaka senang ditawan Portugis."

Cassius tersenyum. Mungkin jelas baginya sekarang aku seorang yang suka bertanya.

"Apa maksud kau, 'vampiro sepertiku? Siapa yang kau maksudkan?" aku menagih jawapan.

"Yang wujud seperti kita. Pasti kau tidak terfikir hanya kita berdua sahaja yang begini?"

"Kau tidak perlu takut. Kau tak akan pernah kesunyian lagi." Ucap Cassius menenangkan perasaan aku yang gusar pada waktu itu.

Maka pada malam itu, diceritakan Cassius kepadaku dengan panjang lebar alkisah bagaimana dia mula-mula mengenali Fernao dahulu - satu kisah yang pernah diceritakan oleh Fernao kepadaku dengan ringkas. Cassius telah bercerita kepadaku ceritanya ini dengan harapan aku akan dapat mengenali dengan lebih dekat, atau mungkin dia mahu mendapatkan kepercayaan dariku...

Menurut Cassius, pada awal abad ke-16, Fernao telah diarahkan untuk bertugas di bawah naungan Francesco de Almeida, wizurai Portugis pertama di India. Kerajaan Mesir kurang senang dengan penguasaan Portugis di India, lantas dengan bantuan Venice, Sultan Mesir cuba menyerang jajahan Portugis di India sehingga menyebabkan anak lelaki Almeida terkorban. Walau bagaimanapun, Mesir akhirnya berjaya ditumpaskan Portugis, apabila Mesir menyerang sekali lagi pada tahun 1509 - dan pada waktu itulah Cassius telah berjaya ditangkap Fernao di India apabila dia berjuang di bawah panji-panji tentera Venice untuk membantu Mesir melawan Portugis...

Sejak peristiwa penangkapan itulah, Fernao mula mengenali Cassius, seorang tentera upahan yang pernah bekerja untuk Duke of Milan, Ludovico Sforza. Setelah Ludovico Sforza dihalau dari Milan oleh raja Perancis, Louis XII, Cassius berhijrah pula ke Venice untuk tujuan berlayar melihat dunia dan seterusnya terjebak dengan pertelingkahan Mesir dan Portugal di India...

*

Aku memikirkan kembali apa yang telah dilakukan oleh pelaut-pelaut Sepanyol sejak mereka berlayar meninggalkan Seville. Mereka merogol, membunuh dan menculik penduduk-penduduk tempatan untuk dijadikan hamba. Tidak ada yang baik tentang mereka. Hatiku pasti akan meluap-luap marah setiap kali aku memikirkan tentang perkara ini. Lebih-lebih lagi kerana aku tidak dapat membuat penafian tentang penglibatanku di dengan mereka. Dan sekarang, aku terpaksa melakukan perkara yang sama agar aku dan Cassius dapat kembali ke benua Eropah. Kapal Concepcion yang kami gunakan dipenuhi dengan pedagang-pedagang asing dan orang-orang tempatan yang telah diculik kami dan dipaksa bekerja mengendalikan kapal ini di dalam keadaan terpukau sepanjang masa.

Pelayaran Sepanyol akhirnya hanya tinggal Juan Sebastián del Cano, nakhoda kapal Victoria yang meneruskan perjalanan pulang ke Seville. Walaupun Fernao tidak dapat meneruskan perjalanannya, setelah beberapa lama namanya dibayangi nama Juan Sebastian del Cano, kesudahannya pada hari ini, dia terus akan diingati sejarah sebagai Ferdinand Magellan, manusia pertama yang telah mengelilingi dunia, melalui perjalanannya yang terdahulu.

Namaku pula terus ditelan masa... Mungkin perkara ini ada juga hikmahnya.

Sememangnya aku sendiri tidak mahu namaku disebut-sebut. Aku tidak mahu diriku diingati. Aku malu menjadi sebahagian dari mereka yang akhirnya telah menyebabkan Filipina dijajah Sepanyol buat beratus-ratus tahun. Lagipun, banyak dari kisahku telah dilupuskan, juga kisah Cassius makhluk penghisap darah yang dilaknati itu dari lembaran sejarah.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!