zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-09-19 - 3:06 p.m.

Bakri Musa Satu ketika yang agak lama dahulu, saya pernah ber'chat' dengan beberapa orang rakyat Malaysia bukan Melayu tatkala saya bergelar seorang pelajar di AS. Saya memperkenalkan diri saya sebagai seorang Melayu, maka terus menerus saya dianggap seorang pelajar Malaysia yang telah ditaja kerajaan. Bukan itu sahaja, saya sering diajak bertekak dengan mempersoalkan kedudukan saya sebagai seorang 'pelajar Melayu' yang telah ditaja. Mereka seringkali mempersoalkan kualiti pelajar-pelajar Melayu yang telah dihantar ke luar negeri...

Tatkala itu, sukar juga untuk saya memberitahu bahawa walaupun saya seorang anak Melayu, saya seorang rakyat Singapura. Lebih sukar lagi agaknya untuk saya memberitahu, sebagai seorang Melayu Singapura, saya terpaksa bekerja lebih keras untuk membuktikan bahawa saya mampu berdaya saing. Pendek kata, saya telah belajar ke AS di atas sebab merit dan tidak lebih dari itu. Di Singapura, sebagai seorang Melayu, tidak ada 'Institutionalised crutches' (saya pinjam istilah Amir Muhammad) yang telah diwujudkan untuk orang-orang Melayu seperti saya untuk membantu saya 'berjalan'.

Saya mula sedar bahawa anak-anak Melayu dari Malaysia sering dituduh secara semborono bahawa mereka maju hanya setelah mereka diberikan segala bantuan dan kelebihan oleh kerajaan, walaupun ada di antara mereka yang telah berjaya berkat usaha dan kerajinan mereka sendiri. Rizal Kahar, seorang graduan dari Oxford (kini seorang peguam) pernah mengalami pengalaman yang sama tatkala bergelar pelajar dahulu. Menurut seorang kenalannya dari Singapura: "Oh you Malays with your special privilages, it's unfair, you should renegotiate your social contract..."

Rizal agak beruntung kerana rakannnya (bukan Melayu) dari Malaysia telah membelanya dengan memberitahu bahawa: "Look, that may be true for a lot of Malays, but the fact is Rizal is a good Malay, deserves to be here. Oxford doesn't have a quota system." (ms. 34, Options2 September 2003).

Bakri Musa adalah seorang anak Melayu yang kini telah menetap di AS dan kini bertugas sebagai seorang pakar bedah di California. Beliau telah berhijrah ke AS, walaupun bukan menjadi satu kebiasaan bagi anak-anak Melayu untuk berhijrah ke luar negara. Mungkin beliau telah berhijrah ke sana untuk memberitahu kepada dunia bahawa anak Melayu sepertinya mampu hidup tanpa perlu dipapah dengan segala bantuan yang diberikan kepada golongan Bumiputera. Menurut Amir Muhammad: "The Malaysian surgeon Bakri Musa has settled in California but continues to write extensively on Malaysian policy and politics. Bakri's case is a unique one because he uses the fact that he's made it in another country as a badge of honour, to prove that he can survive without institutional crutches."

Banyak dari tulisan-tulisan saudara Bakri mempunyai tema yang hampir sama. Beliau banyak memberi nasihat serta saranan-saranan bagaimana rakyat Malaysia, khususnya anak Melayu dapat berdaya saing terutamanya dalam era globalisasi ini. Selain dari itu, beliau juga aktif menulis dengan memberi pendapatnya tentang polisi serta politik di Malaysia.

Tulisan-tulisan saudara Bakri pernah diterbitkan di New Straits Times, International Herald Tribune, Far Eastern Economic Review, Businessweek, Education Quarterly dan di Malaysiakini.com (Seing it My Way). Di antara buku-bukunya yang pernah diterbitkan adalah: The Malay Dilemma Revisted: Race Dynamics in Modern Malaysia dan Malaysia in the Era of Globalization.

Berikut adalah wawancara e-mel saya bersama saudara Bakri. Saya harap, wawancara berikut akan dapat membuat kita mengenalinya dengan lebih rapat lagi dan mungkin, mahu membuatkan kita mahu menelaah tulisan-tulisan yang pernah dihasilkannya:

NZ: Boleh saudara ceritakan sedikit kepada pembaca kita tentang latar belakang diri saudara, persekolahan dan tempat asal saudara sebagai contoh.

MBM: Saya adalah, dalam bahasa kampung, "orang nogori." Bermaana berasal dari Sri Menanti, Negri Sembilan, dan pernah menuntut di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, dan kemudian di Maktab Melayu Kuala Kangsar untuk Tingkatan Enam. Selepas itu ke Canada untuk melanjuti pelajaran di universiti. Mendapati ijazah BSc dan kemudian MD, dan terus mengambil latihan untuk menjadi pakar bedah. Dalam masa itu juga sempat mengambil ijazah lanjutan dalam "Experimental Surgery" dalam tajuk "Transplant Immmunology."

NZ: Sudah berapa lama saudara bertugas sebagai seorang pakar bedah di Amerika Syarikat?

MBM: Sebagai pakar bedah sejak tahun 1974. Datang ke Amerika Syarikat pada tahun 1979. Sebelum itu saya pernah berkerja sebagi pakar bedah di Canada dan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan Johor Baru.

NZ: Mengapa saudara berpindah ke sana? Adakah saudara berfikir bahawa bangsa Malaysia, khususnya orang-orang Melayu perlu bersedia untuk menjadi 'global workers'.

MBM: Dalam pendek kata, peluang untuk saya di AS lebih cerah daripada di Malaysia. Sungguhpun saya anak Malaysia, terlebih lagi seorang Bumiputra, dan di Amerika saya seorang pendatang, tetapi kelulusan dan kebolehan saya lebih di hagai di Amerika daripada di Malaysia. Sebenarnya, Malaysia lebih memuliakan pakar bedah dari Bengladesh daripada pakar anak negeri sendiri! Ini pelik pada pandangan saya. Tetapi itulah realitinya. Penghijrahan saya ka Amerika tidak ada kena mengena dengan globalisasi! Sebabnya lebih biasa lagi!

Masalahnya bukan sama ada patut atau tidak orang Melayu menjadi "global workers. Apa yang kita mesti utamakan ialah supaya pekerja-pekerja Malaysia terutamanya Melayu mestilah bertaraf antarabangsa atau global. Maknanya, pakar bedah Malaysia patut layak membedah pesakit di Malaysia dan juga di Amerika. Sekarang kita tidak boleh berpuas hati dengan taraf tempatan sahaja. "Good enough for Malaysia isn't." Makna nya, bagus untuk Malaysia sahaja tidak bagus dan tidak mencukupi. Wira dan jaguh kampung sahaja sudah tidak memuaskan lagi. Kalau kita tidak memberi rakyat kita layanan taraf antarabangsa, rakyat kita akan keluar negeri untuk mencari layanan yang lebih memuaskan. Hari-hari, beribu budak sekolah Malaysia pergi ka Singapura sebab mereka anggap taraf sekolah di Malaysia tidak memuaskan. Bahkan isteri TPM pergi ka Amerika Syarikat untuk rawatan barah buah dadanya. Beliau tidak mengira sama ada pakar pakar Amerika itu jantan atau betina, Islam atau kafir. Beliau hanya mengutamakan taraf atau "quality." Itu sahaja.

NZ: Adakah saudara merasakan bahawa sedikit sebanyak saranan saudara mengenai sistem pendidikan Malaysia yang pernah saudara sarankan di dalam hasil-hasil tulisan saudara diambil endah oleh kerajaan?

MBM: Saya tidak tahu sama ada saranan saya di terima atau tidak oleh kerajaan. Saya selalu menghantar salinan makalah-makalah saya kepada pegawai-pegawai di Malaysia, termasuk menteri-menteri, vice-chancellors, dan cerdik pandai kita. Cadangan-cadangan serta saranan-saranan saya semua nya masuk akal dan munasabah. Lama kelamaan kerajaan terpaksa juga mengambil cadangan saya. Sama ada mereka membuat demikian akibat daripada makalah saya atau mereka terpaksa membuat demikian oleh sebab keadaan yang sudah menjadi teruk dan buruk di Malaysia dengan dasar-dasar mereka yang bankrap, itu Tuhan saja yang tahu.

NZ: Boleh saudara sebutkan beberapa saranan penting yang pernah saudara senaraikan dahulu?

MBM: Antaranya, pertama memberatkan pengajian Bahasa Inggeris (BI). Makalah saya pada tahun 1995 telah meminta kerajaan supaya mengajar sains dan matematik dalam BI, untuk permulaan di sekolah-sekolah berasrama. Selepas itu, apabila beberapa masalah sudah dikaji dan dibaiki, sebarkan kepada semua sekolah lain.

Kerajaan sekarang terus menerus dengan mengelojoh mengajar dua mata pelajaran itu dalam BI kepada semua sekolah di seluruh negara, tetapi buku-buku, guru-guru, teknik, cara, dan pelbagai masalah lain belum lagi dikaji atau diselesaikan.

Kedua, membukakan sekolah berasrama kepada penuntut bukan Bumiputra. Ini ialah untuk menambah lagi semangat berlumba-lumba di antara murid-murid.

Ketiga, memodenkan sekolah agama supaya penuntut yang lulus daripadanya boleh melanjutkan pelajaran mereka dalam berbagai bidang selain daripada Pengajian Islam. Sekolah agama kita mestilah seperti sekolah Katholik di Amerika. Bermakna, mereka mestilah melatih bakal saintis dan jurutera negara dan bukan mengeluarkan ulama sahaja.

Saranan saya yang lebih lanjut dan mendalam terdapat di dalam buku saya, An Education System Worthy of Malaysia.

NZ: Sebagai seorang pakar bedah dan pastinya mempunyai latar belakang dalam bidang biologi, apakah pendapat saudara mengenai penilaian Mahathir (dalam bukunya, 'Dilemma Melayu') mengenai latar belakang genetik bangsa Melayu yang dikatakan menjadi penyebab mengapa bangsa Melayu ini 'lemah'? Adakah ini betul ataupun sekadar satu pseudo-sains?

Bakri MusaMBM: Teori genetics yang di fahamkan oleh Dr. Mahathir dan tertulis dalam buku nya The Malay Dilemma itu adalah "bunk!" (bodoh!) Pendapatnya tidak diakui oleh sains moden. Saya berasa amat terkilan sebab sebagai seorang doktor saya tidak membidas teori biologi Dr. Mahathir lebih-lebih awal lagi, sebelum fikiran dan pendapatannya membisakan jiwa dan minda masyarakat Melayu, terutama penuntut dan belia kita.

Mereka seperti Dr. Mahathir yang memberatkan peranan biologi atau genetik terjerat dalam fikiran "takdir biologi" (biological determinism). Fikiran ini tidak ada bezanya dengan fikiran ahli-ahli ulama yang kuno di mana semuanya adalah Tadkir Allah, tidak payah manusia berusaha sendiri untuk mengubah keadaan mereka.

Kritikus saya yang lebih mendalam dan teliti terdapat dalam buku saya The Malay Dilemma Revisited: Race Dynamics in Modern Malaysia, diterbitkan pada tahun 1999.

NZ: Apakah menurut pendapat saudara, kelemahan sebenar bangsa Melayu, jika ada?

MBM: Petualang yang paling besar ialah budaya (culture). Iaitu budaya kita yang menghormati "the takers rather than makers of our economy." Siapa dalam masyarakat kita yang di hormati? Sultan-sultan, raja-raja, dan pembesar-pembesar yang menenggek sahaja dan yang ditanggung oleh rakyat. Tetapi "the makers of the economy" seperti saintis, peniaga dan usahawan jarang dihormati. Lihat siapa yang dapat kehormatan seperti Datuk dan Tan Seri? Kaum yang heboh dengan "hu ha" sahaja seperti ahli politikus dan kakitangan kerajaan. Maknanya, orang yang makan atau menerima gaji, dan bukan orang yang membayar atau mengeluarkan gaji.

Petualang besar kedua ialah Agama. Ini bukan bermakna Islam itu Agama mengbangsatkan masyarakat, tetapi tafsiran Islam yang terdapat di kalangan kaum Melayu membangsatkan kita dan membuat masyarakat kita tidak progressif. Islam bukan menghalang kemajuan. Jauh daripada itu! Cuba kita kaji keindahan Islam dalam abad ke-11. Tetapi tafsiran Islam secara conservative atau ke-Araban yang mengbangsatkan dan mengundurkan bangsa kita. Sungguhpun orang Arab sama agama dengan kita dan mereka sebangsa dengan Nabi SAW, tetapi bangsa mereka sekarang bangsat dan mundur. Tidak patut kita tauladani mereka. Kalau kita hendak mengtauladani bangsa lain, lebih baik kita pilih bangsa yang lebih maju daripada kita. Dari beberapa segi, Bangsa Arab lebih kebelakangan daripada Bangsa Melayu. Patutnya mereka yang semestinya meniru kita, bukan kita pada mereka.

Berkaitan dengan kedua dua perkara tersebut ialah nilai mutu tenaga manusia Melayu ("human capital") yang rendah. Ini disebabkan oleh rendahnya pencapaian pelajaran. Tidak ada bangsa yang maju jika pencapaian pelajaran mereka rendah. Masalah ini juga disebabkan oleh beberapa perkara. Pada masa British dulu kita enggan belajar si sekolah Inggeris sebab kita samakan belajar BI dengan belajar cara kafir. Selepas merdeka, orang Melayu terlaluan bersemangat kebangsaan (nationalistic) di mana kita anggapkan mereka yang belajar dalam aliran Inggeris sebagai petualang bangsa. Jadi beribu penuntut Melayu berhenti sekolah Inggeris dan masuk sekolah Melayu. Malangnya, sekolah dan bahasa Melayu belum kemas dan cukup lagi. Ini mengakibatkan beribu penuntut penuntut kita terkorban sebab ijazah dan sijil-sijil mereka tidak laku dan tidak berguna.

Bakri MusaSekarang masalah agama pula yang timbul. Semua anak muda Melayu ingin menjadi ulama sahaja dan tidak minat menjadi saintis dan jurutera. Di universiti-universiti tempatan jarang nampak muka muda Melayu. Yang ada muka Melayu hanya pemudi-pemudi sahaja. Lelaki Melayu sibuk hendak menolong Osama bin Ladin dan Taliban.

Masalah ini dan banyak yang lain saya kaji dan bincangkan dengan lebih mendalami lagi dalam buku saya Malaysia in the Era of Globalization.

NZ: Dalam salah satu artikel saudara, ('Ku Li for Abdullah's deputy' di Malaysiakini.com), boleh saudara ceritakan mengapa Ku Li saudara anggap sesuai menjadi timbalan Pak Lah?

MBM: Ku Li luas pengalaman dalam ekonomi dan finance, dua bidang di mana Pak Lah tidak pantas. Tetapi bila memilih Ku Li sebagai TPM, saya mencadangkan supaya dia tidak menjadi TPM biasa atau tradisional, tetapi seumpama Co-Prime Minister atau Associate Prime Minister (Perdana Menteri Madya). Ku Li, sebab umur nya lebih tua daripada Pak Lah, tidak akan mengharap menggantikan Pak Lah sebagai PM. Pendek kata, satu pasangan seperti Bush II dengan Cheney di AS.

Ku Li sudah berapa tahun keluar daripada kerajaan. Maknanya, beliau tidak terlibat dengan kronisme dan korupsi pemerintahan Mahathir. Juga, pengalaman Ku Li dalam bidang swasta boleh menambah pengalaman Pak Lah. Pak Lah sudah lama jadi orang kerajaan sahaja.

Saya membuat keputusan mencadangkan Ku Li sebab pada pendapatan saya, tiada siapa pun daripada lapisan pertama UMNO (ini termasuk Najib Razak, Muhyddin dan Muhammad Taib) yang layak menjadi PM atau TPM. Najib dan Muhyddin tidak mempunyai pengalaman dalam sektor swasta.

NZ: Saya dapati, penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak muda kita semakin lemah jika dibandingkan dengan generasi saudara. Adakah tindakan yang mahu diambil oleh PM untuk memperkenalkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik satu tindakan yang wajar? Mengapa tidak digubal sahaja mata pelajaran Bahasa Inggeris atau ditambah masa belajarnya?

MBM: Betul! Taraf Bahasa Inggeris lembab dan bertambah merosot. Ini akibat dasar pelajaran yang tidak progresif. Mengajar sains dan ilmu hisab dalam BI ialah langkah yang wajar. Tetapi itu hanya langkah pertama sahaja. Banyak lagi langkah-langkah yang patut diambil. Sekali lagi saya mengarahkan pembaca kepada buku saya An Education System Worthy of Malaysia untuk perbincangan yang lanjut. Umpamanya, kita memberatkan BI, tetapi berapa universiti tempatan ada Jabatan BI? Apa sebab kita tidak melatih lebih banyak lagi guru BI? Berapa maktab perguruan yang mengunakan BI sebagai bahasa penghantar? Tiada satu pun! Bagaimana kita hendak melatih guru BI? BI patut di ajar pada tiap-tiap hari di sekolah dan dimestikan pada tahun pertama di universiti. Kita patut tambah masa untuk belajar BI dan kurangkan masa untuk pelajaran agama dan civik. Lebih baik lagi, kita patut mengajar pelajaran agama dalam Bahasa Inggeris. Di masjid saya di sini (California), khutbah di beri dalam BI! Apa salahnya kalau kita mengajar Islam dalam BI? Mungkin ini akan membuat bangsa bukan Melayu berminat untuk mengikuti Pengajian Islam.

NZ: Adakah Malaysia perlahan-lahan akan berubah menjadi sebuah negara yang kurang berdaya saing dengan segala polisi-polisinya yang ada sekarang ataupun ia sebuah negara yang mampu bersaing dalam era globalisasi?

MBM: Kalau kita tidak mengubah dengan cara radikal polisi sosial, politik dan ekonomi kita, Malaysia akan ketinggalan atau diketepikan oleh aliran globalisasi. Negeri kita akan menjadi seperti Cuba, Korea Utara atau Burma. Hak istimewa Bumiputra tidak bermakna apa pun dalam era globalisasi. Pengaruh kerajaan akan berkurangan. Cuba tengok sekarang, berapa orang bukan Bumiputra yang minat bekerja dengan kerajaan? Kalau mereka - Bumiputra dan bukan Bumiputra - mempunyai kelusan yang tinggi, semua negara akan merebut untuk mendapat tenaga mereka. Kalau orang Melayu mencapai pelajaran yang tinggi, tidak kira ada atau tidak hak istimewa, bangsa kita akan maju walaupun negara kita dijajah oleh bangsa lain. Disebaliknya, kalau bangsa Melayu tidak berpelajaran tinggi, kita akan bertambah meleset dan merosot walaupun teraju negara di dalam tangan orang Melayu. Mereka senang sahaja diperlewakan dan ditipu oleh orang lain sebab mereka bodoh dan tidak bijak.

NZ: Negara seperti Singapura cukup bersedia untuk mengubah beberapa polisi dalamannya seperti ban terhadap gula getah sehinggalah kepada pemberhentian diskriminasi seksualiti semata-mata agar ia dapat dilihat sebagai sebuah negara yang matang, maka mampu berdaya saing di persada antarabangsa. Manakala, secara peribadi, saya melihat Malaysia seolah mahu berundur ke belakang dengan sikap xenophobic dan bertungkus lumus memomokkan 'penjajah baru' yang entah wujud entah tidak. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah kita sudah cukup sedia untuk bersaing dengan pucuk kepimpinan yang kita ada sekarang, ataupun satu anjakan paradigma perlu ada di antara pemimpin-pemimpin kita ini?

MBM: Bangsa bukan Melayu di Malaysia, sebab mereka sudah lama tidak bergantung kepada kerajaan, cepat maju lebih-lebih lagi dalam era globalisasi. Tetapi orang Melayu di Malaysia, dan orang Cina di Negeri China, dan orang India di India, sebab mereka sudah lama bergantung dan mengharapkan kepada kerajaan sahaja, akan mengalami kesusahan dalam era globalisasi. Ini tidak ada mengena dengan bangsa atau genetik.

Sebenarnya, pemimpin kita selain daripada Dr. Mahathir kurang bijak. Pengalaman mereka tidak luas. Jarang pemimpin kita yang lulus dari universiti termasyhur. Mereka tidak banyak pengalaman swasta atau luar negeri. Jadi pandangan mereka tidak luas. Pendek kata, mereka masih berperagai kampung dan sibuk menjadi wira dan jaguh kampung sahaja. Mereka tidak ingin masuk gelanggang antarabangsa sebab mereka tahu mereka akan kalah. Jadi mereka bandingkan diri mereka dan negara kita dengan negara-negara seperti Indonesia, dan Papua New Guinea dan bukan dengan negara yang lebih maju daripada kita. Itu sebabnya saya cadangkan Pak Lah melompat dan meninggalkan (bypass) pemimpin UMNO yang ada sekarang. Pak Lah dan Ku Li boleh mencari tunas-tunas baru dan bawa mereka masuk UMNO dan kerajaan seperti bagaimana Tun Razak dulu buat.

Pemimpin yang kita ada sekarang tidak boleh membuat fikiran cara baru atau menukar fikiran mereka. Otak dan cara fikiran mereka sudah menjadi beku. Dan keras. Tidak boleh dapat ditukar atau diajar lagi. Lebih baik lepaskan lah mereka balik ke kampung. Bagi sahajalah pencen mereka.

Menukar fikiran bukannya senang, terutama pula bila kita beransur tua. Oleh sebab itu pemimpin kita tidak boleh menyelesaikan masalah negara dan sosial kita. Mereka menghebohkan diri dengan melaung-laungkan nasionalisme dan menentang bahaya bayangan seperti neo-kolonilaisme, dan sebagainya.

NZ: Apakah itu 'nasionalisme' pada pendapat saudara. Dan jelaskan pula makna sebenar 'patriotisme'?

MBM: Semua "isme-isme" itu tidak bermakna kepada saya. Jika seseorang itu dapat memberi menfaat kepada manusia melalui pelajaran, kebolehan dan pengalaman mereka, tidak kira apa "isme"nya, itu semuanya ialah kebajikan. Guru-guru saya sejak dari sekolah rendah hingga ka menjadi pakar bedah semuanya bukan Melayu. Tidak saya fikir mereka enggan menolong atau menggajar saya sebab saya berlainanan bangsa, agama atau negara. Atau berlainan "isme"!

Perbincangan tentang "isme-isme" ini membuang masa sahaja. Tidak ada makna. Cari pengetahuan dan pengalaman tidak kira "isme" nya. Selesaikan masalah negara kita tidak kira "isme" nya. Sebagai kata Pengerusi Deng dari negeri Cina Komunis, tidak kira jika kucing itu berwarna putih atau hitam asalkan ia pandai menangkap tikus. Itu yang kita patut utamakan, bukan "isme" atau warna bulu kucing.

NZ: Mengapa setelah begitu lama kita merdeka, Malaysia masih mencari-cari apa itu erti kemerdekaan?

MBM: Pemimpin kita sibuk mencari makna kemerdekaan sebab mereka tidak mempunyai kebolehan atau pengalaman untuk menyelesaikan masalah negara. Umpama kucing yang tidak cekap menangkap tikus, mereka sibuk mengutamakan warna bulu mereka dan apa maknanya seseorang yang bergelar kucing!

Kemerdekaan dalam era globalisasi tidak bermakna. Apa guna merdeka jika seperti Indonesia dan Bangladesh kalau negeri bangsat. Berapa ribu rakyat mereka melarikan diri daripada tanah air yang mereka dilahirkan dan datang ke Malaysia, England dan sebagainya.

NZ: Boleh saudara ceritakan tentang kerja-kerja saudara menulis buku baru saudara yang bertajuk 'Golden Malaysia: Reflections on Fifty Years of Independence'?

MBM: Saya jangka buku ini akan mengambil masa lebih kurang 3-4 tahun. Insha' Allah buku itu akan diterbitkan pada tahun 2007, iaitu hari ulang tahun kemerdekaan kita ke 50 -"Golden Jubilee." Buku itu ialah pemandangan saya dan bukan memoir. Saya akan mengkritik dan menganalisa perkembangan dan dasar-dasar seperti pelajaran, ekonomi, politik dan sosial.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!