zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-09-03 - 2:32 p.m.

Bang Rajan

Setelah merdeka selama 46 tahun, saya masih kehairanan, mengapa di Malaysia, masih di tanya dengan persoalan 'Erti Kemerdekaan'. Mengapa persoalan ini masih menghantui rakyat Malaysia, sedangkan jika di congak, anak-anak yang dilahirkan pada tanggal 31 Ogos 1957 kini usianya sudah hampir setengah abad. Mungkin persoalan ini timbul kerana, walaupun kita telah lama merdeka, fikiran kita masih belum merdeka. Ramai di antara kita yang masih mahu terperuk di dalam tempurung dan dengan sendirinya memilih untuk tidak mahu bebas (persoalan kematangan minda rakyat Malaysia secara kolektif ada dibincangkan dalam artikel Azmi Sharom dalam ruang Talking Edge, Optionsē September 2003, The Edge).

Kita sebenarnya perlu tanya, mengapa persoalan 'erti kemerdekaan' jarang atau tidak ditanya sama sekali oleh rakyat Singapura ataupun Thailand (sila gunakan enjin pencarian Google untuk menyiasat perkara ini jika tidak percaya). Mungkin kita perlu tanya sekali lagi kepada diri kita sendiri, adakah hari ini kita sudah betul-betul merdeka?

Baru-baru ini saya telah berkesempatan untuk menonton filem 'Bang Rajan' di panggung GSC MidValley. Pada hemat saya, jika ada di antara kita yang masih terkial-kial mencari erti sebenar kemerdekaan, seharusnya pergi menonton filem ini.

Bang Rajan merupakan satu cerita tentang keberanian dan semangat patriotisme yang diketahui oleh semua kanak-kanak sekolah di Thailand, sama seperti anak-anak kita tahu akan cerita tukang ampu diraja bernama Hang Tuah yang sanggup mengkhianati kawannya sendiri yang mahu melawan seorang raja yang zalim (dan produk mitos mengarut seperti ini, kita juga).

Bang Rajan bukan satu cerita yang melibatkan kerabat-kerabat di raja dan pembesar istana, sebuah cerita tetapi tentang rakyat jelata yang daif hidupnya.

Pada pertengahan abad ke-18, terdapat beberapa jajahan di Burma yang memberontak melawan pemerintahan kerajaan Burma. Jajahan-jajahan ini telah mendapat bantuan dari Siam. Apabila Burma digantikan dengan seorang raja yang baru, perkara pertama yang dilakukan oleh beliau adalah untuk menghukum Siam kerana telah menyokong pemberontakan ini. Pada tahun 1765, beliau telah menghantar dua ketumbukan tentera ke Siam untuk menyerang Ayudhaya, ibu negeri Siam pada ketika itu. Walau bagaimanapun, hanya sebuah ketumbukan tentera sahaja yang akhirnya tiba ke Ayudhaya. Sebuah ketumbukan lagi terpaksa berhadapan dengan tentangan hebat dari penduduk-penduduk dari kampung Bang Rajan. Nama kampung Bang Rajan dan penentangan dari penduduknya masih disebut-sebut dan diingati sehingga ke hari ini.

Menurut filem 'Bang Rajan' yang telah saya tonton, seorang ketua bernama Taen telah dipilih untuk melawan kemaraan tentera dari Burma. Penduduk-penduduk kampung Bang Rajan juga telah memilih seorang orang luar bernama Chan, (Jaran Ngamdee) yang bermisai tebal, bertubuh tegap dan mempunyai kekuatan dan kebolehan luar biasa untuk melawan musuhnya. Dalam pada itu, Chan membawa beberapa orang pemuda bersamanya untuk melatih orang-orang kampung untuk melawan menggunakan senjata (macam filem Kurosawa 'The Seven Samurai' lagaknya).

Dalam masa yang sama, orang-orang kampung juga telah meminta tolong dari Ayudhaya untuk melawan pihak musuh dalam bentuk pemberian meriam, tetapi Ayudhaya tidak dapat membantu. Walaupun begitu, mereka tetap tidak berputus asa, lebih-lebih lagi setelah pihak Ayudhaya memberi mereka 'blueprint' untuk membina meriam mereka sendiri.

Dengan pertolongan Chan dan rakan-rakannya serta meriam yang terpaksa mereka bina sendiri, dapatkan penduduk-penduduk kampung Bang Rajan melawan bala tentera dari Burma yang cukup terlatih dan dilengkapi senjata ini?

Bang RajanFilem Bang Rajan menampilkan beberapa watak yang menarik seperti Inn (Winai Kraibutr, yang sebelum ini dapat kita perhatikan lakonannya dalam filem Nang Nak) dan Meuang (Atthakorn Suwannaraj) dua orang pemuda kampung yang cukup gagah perwatakannya, tetapi tetap ditonjolkan jiwa mereka yang lembut. Inn, sebagai contoh, cukup sayang kepada isterinya Taeng-on (Soontree Maila-or). Watak ala badut pula, diangkat oleh watak Tong-Menn, (Bin Banluerit) seorang pemabuk yang mempunyai kebolehan menggunakan kapak untuk melawan musuhnya.

Terdapat banyak watak-watak yang ada dalam filem ini. Jika tidak diamati dengan betul, mungkin penonton akan menghadapi kekeliruan. Walau bagaimanapun, saya perhatikan hatta sekecil-kecil watak sekalipun tetap akan ditampilkan dengan baik dan berkesan.

Saya benar-benar suka menonton filem ini. Filem ini kadangkala mengingatkan saya kepada filem 'Braveheart', tetapi bagi saya, mungkin filem 'Bang Rajan' ini lebih menarik lagi. Dari segi sinematografi, filem ini mungkin tidak sehebat filem Kurosawa seperti 'Ran' dan 'The Seven Samurai' yang juga memberatkan aspek arahan seni, pakaian dan set yang digunakan. Sutradara filem 'Bang Rajan', Thanit Jitnukul saya pasti cukup sedar bahawa beliau memikul tugas yang berat untuk membuat sebuah filem yang berlatar belakangkan sejarah. Tetapi beliau tetap dapat berjaya menghidupkan suasana tradisi penduduk kampung di pendalaman Siam melalui pelakon-pelakonnya.

Lakonan para pelakon sememangnya baik dan menyakinkan.

Pengarah fotografi, Vichean Rungvichayakul pula berjaya mencantikkan lagi filem 'Bang Rajan' ini. Bahagian pertarungan di antara penduduk Bang Rajan dengan tentera Burma nampak 'raw'. Para pelakon tambahan yang begitu ramai digunakan sehingga berjaya menghidupkan lagi suasana perang. Sememangnya, adegan peperangan yang ada dalam filem ini agak ganas sehingga saya sebagai penonton rasa bersyukur kerana tidak perlu terlibat dengan pertelingkahan di antara penduduk Bang Rajan dan tentera Burma yang lengkap bersenjata.

Filem ini juga indah dengan suasana kampung di Siam yang berjaya diambil dengan baik. Penataan cahaya sememangnya cemerlang. Begitu juga dengan muzik latar oleh Chartchai Pongrapapan yang cukup bertenaga dan berjaya menghidupkan lagi suasana perang yang ditampilkan dalam filem ini.

Seperti filem 'Braveheart' dan sedikit sebanyak filem 'Bukit Kepong', filem ini berakhir dengan tragedi. Tetapi tragedi inilah yang memperkuatkan lagi mesej yang datangnya dari cerita 'Bang Rajan' ini.

Menonton filem 'Bang Rajan' membuatkan saya berfikir kembali tentang sejarah Thailand dan mengapa negara itu tidak pernah dijajah. Setelah saya selidiki betul-betul, saya dapati orang-orang Thailand, sejak dahulu lagi akan melakukan apa sahaja asalkan mereka dapat hidup bebas tanpa dibelenggu oleh mana-mana kuasa asing. Kebebasan bagi mereka adalah satu perkara yang amat penting dan mereka juga sedar untuk mendapatkan kebebasan ini, perlu ada pengorbanan.

Rating: 3.75/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!