|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-12-03 - 1:30 p.m.
Terlebih dahulu, perlu saya nyatakan di sini bahawa 'Ca Bau Kan' membawa maksud 'seorang gadis' dalam dialek Hokkien. Tetapi pengertian sebenarnya lebih kepada seorang wanita penghibur atau pelacur. Kepada ramai peminat-peminat filem Indonesia, mereka lebih mengenali 'Ca Bau Kan' ini sebagai sebuah filem yang telah diadaptasi dari novel laris Remy Silado yang telah berjaya menambat hati ramai penonton. Filem ini telah dikeluarkan sejak tahun 2001, tapi hanya kini dapat saya tonton, walaupun banyak kali diperkatakan oleh mereka yang telah menontonnya. Filem ini membawa penontonnya ke Kota Batavia pada sekitar tahun 1932-1951. Yang menarik tentang filem ini, ia melibatkan cerita masyarakat Cina di Batavia yang bertembung dengan kehidupan masyarakat peribumi. 'Ca Bau Kan' telah diarahkan oleh pengarah wanita, Nia Di Nata yang sebelum ini banyak membuat kerja-kerja mengarahkan iklan di Indonesia (Nia adalah seorang graduan Komunikasi Massa di Boston dan belajar tentang pembuatan filem di Tisch School of Art di Kota New York) . Filem yang diterbitkannya yang berjudul 'Biola Tak Berdawai' sealiran dengan 'Ca Bau Kan' yang telah dibikin dengan nada serius. Filem terbarunya, 'Arisan' merupakan sebuah filem satira komedi yang terkandung watak gay yang dikatakan sebuah filem Indonesia yang berani "mendobrak tabu". Filem 'Ca Bau Kan' menceritakan tentang seorang wanita peribumi bernama Siti Nurhayati binti Uking, ataupun Tinung (Lola Amaria) yang telah dipaksa kahwin sejak berumur 14 tahun dengan seorang lelaki Batavia yang telah berumur. Suaminya meninggal dunia dan beliau dituduh sebagai penyebab kematian suaminya sendiri. Dalam keadaan pasrah, Tinung melarikan diri dan menjadi seorang pelacur yang menjual diri kepada lelaki-lelaki Cina di Kali Jodo - lantas beliau dikenali sebagai seorang 'ca bau kan'. Bagi saya, filem 'Ca Bau Kan' ini sebenarnya bukan tentang kehidupan Tinung, tetapi lebih kepada kehidupan seorang lelaki Cina yang akhirnya telah mengambilnya menjadi isteri yang bernama Tan Peng Liang (Ferry Salim), seorang pedagang dari Semarang. Pada bahagian permulaan filem ini, kita akan mengenali Giok Lan, seorang wanita Indonesia yang menetap di Belanda. Beliau telah pergi ke Indonesia untuk mencari semula ibu dan bapanya. Dan filem ini adalah cerita tentang pencariannya mengenali Tinung dan Tan Peng Liang. Dalam pencarian Giok Lan, beliau mendapati bahawa kehidupan yang terpaksa dilalui oleh ibunya sememangnya sukar. Dalam masa yang sama, beliau juga mempelajari bahawa bapanya juga bukan satu tokoh yang pipih. Bapanya pernah didapati bersalah mencetak wang palsu, tetapi diberikan alasan, inilah caranya melawan pihak Belanda, iaitu dengan memberi kesan kepada ekonomi Belanda. Bapanya tidak begitu disukai oleh beberapa pedagang-pedagang Cina di Betawi, lantas ada di antara mereka yang akan melakukan apa sahaja asalkan dapat melihat hidupnya musnah. Saya perhatikan, dalam banyak hal, filem ini lebih memberatkan kepada kehidupan Tan Peng Lian dari Tinung. Watak Tinung tidak banyak bersuara, tetapi mungkin itulah kenyataannya pada waktu itu, bahawa wanita memang tidak mempunyai suara untuk menyuarakan pendapat mahupun mampu membuat sesuatu untuk menentukan jalan hidup mereka sendiri. Kehidupan dan budaya masyarakat Cina Peranakan Indonesia lebih diberatkan dalam filem ini. Filem mengenai masyarakat Cina Peranakan ini jarang-jarang dapat kita lihat sebelum ini, kerana pada masa rejim Suharto, ia tidak dibenarkan sama sekali. Jadi aspek budaya kaum Cina di Indonesia diterapkan ke dalam filem ini, lantas warna-warni kehidupan yang jarang-jarang kita dapat perhatikan, dapat kita lihat dan terokai. Aspek sekualiti dalam filem ada dipaparkan, walaupun saya rasa dibuat dengan begitu teliti agar dapat ditayangkan di Indonesia. Jika dibandingkan dengan filem 'Jan Dara' dari Thailand, filem ini boleh dikatakan lebih sopan untuk ditonton. Tetapi filem ini tetap dibuat dengan jujur sehingga boleh saya katakan ada nilai-nilai 'unsentimentality' serta 'detachment' terhadap watak Tinung. Kita tahu bahawa Tinung seorang pelacur dan akan mengikut sahaja mana-mana lelaki yang akan menjaganya. Tetapi dalam masa yang sama, sukar untuk kita mengeji kehidupan yang telah dipilihnya ini. Mungkin kerana watak Tinung dibuat begitu 'manusia' sekali dan kita sudah sedia maklum bahawa manusia bukan makhluk yang sempurna. Dari aspek sinematografi, filem ini sememangnya nampak indah, walaupun kadangkala nampak sedikit superfisial (seperti sebuah iklan ala Petronas atau Solvil et Titus yang panjang). Apa yang saya kagumi mengenai filem ini adalah ketelitiannya kepada arahan seni serta kostum yang digunakan. Skor muzik latar untuk filem ini juga baik. Saya cukup puas menonton filem ini, terutamanya pada adegan Tinung menari tarian Cokek yang kelihatan begitu mempesonakan... Rating: 3.75/5 Oleh Nizam Zakaria
|