zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-11-19 - 1:38 p.m.

Tjoet Nya DhienSeorang rakan pembaca yang berasal dari Indonesia telah menghantar VCD 'Tjoet Nja' Dhien' (disebut Cut Nya Dhien) Kepada saya. Sebelum ini, sememangnya saya mahu menonton filem ini yang pernah memenangi anugerah Filem Terbaik Festival Filem Indonesia 1988 (pemenang 8 Piala Citra; Sutradara, Skenario, Pemeran Utama Wanita, Cerita, Musik, Fotografi, Artistik dan 1 Piala Khusus). Pada tahun 1989, filem yang diarahkan oleh Eros Djarot (adik kepada sutradara Slamet Rahardjo) ini disertakan dalam Section parallèle di Festival Filem Cannes (filem Indonesia pertama yang di bawa ke Cannes).

Sutradara Eros Djarot yang berpendidikan di Jerman ini, (dan kemudiannya belajar untuk membikin filem di London) bagi saya adalah seorang sutradara yang berbakat besar. Tatkala menonton filem ini, kita boleh merasakan bahawa Eros seboleh-bolehnya mahu mempersembahkan sebuah karya yang ikhlas. Lagipun, bukan senang rasanya untuk membikin sebuah filem sejarah tentang seorang pejuang revolusioner wanita yang bernama Tjoet Nja' Dhien (disebut Cut Nya Dhien) tanpa dituduh melakukan percubaan histrionik dalam arahannya. Apabila di teliti filem ini, kita akan mendapati, terdapat unsur-unsur 'emotional detachment' dalam watak Tjoet Nja' Dhien yang telah dilakonkan oleh Christine Hakim (juga dalam watak Teuku Umar lakonan Slamet Rahardjo). Eros tidak mahu menganggungkan watak Tjoet Nja' Dhien sehingga beliau nampak terlalu 'perfect' (kesilapan ini sering dilakukan oleh mereka yang mahu membuat filem-filem patriotik - semak semula filem Leftenan Adnan oleh Aziz M. Osman, yang telah membuat watak Leftenen Adnan satu watak yang begitu superfisial sekali). Watak Tjoet Nja' Dhien dapat dilihat segala kekuatan dan kelemahannya yang ada, maka wataknya itu dimanusiakan. Dan sebagai manusia biasa yang mungkin terjebak dalam satu landasan peristiwa dan sejarah, (yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja) watak Tjoet Nja' Dhien dapat difahami penonton dengan lebih dekat lagi.

Tjoet Nja' Dhien menceritakan tentang perjuangan masyarakat Aceh yang telah memberontak ke atas penjajahan Belanda. Pemberontakan ini pada mulanya telah diketuai oleh Tueku Omar. Walau bagaimanapun, dari maklumat yang diberikan oleh seorang tali barut Belanja, beliau akhirnya mati dibunuh dan perjuangannya diteruskan oleh isterinya, Tjoet Nja' Dhien. Dalam filem ini, kita dapat melihat bagaimana Tjoet Nja' Dhien menjadi panglima perang Aceh untuk melawan Belanda. Tetapi perjuangannya bukan satu perjuangan yang senang. Srikandi Aceh ini terpaksa menghadapi pengkhianatan dari pihaknya sendiri dan beliau sendiri akhirnya menjadi uzur dan buta.

Filem ini sepatutnya ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha di NTV7 pada tahun 2001, tetapi telah dibatalkan penayangannya. Menurut Zakiah Koya, wartawan malaysiakini.com: "Mungkin kah mesej filem ini terlalu 'terang' dan mempunyai persamaan yang begitu ketara dengan pergolakan politik tanah air? Apakah mungkin penonton Malaysia dapat melihat beberapa persamaan dengan seorang suri rumah Malaysia yang terpaksa terjun ke medan politik kerana suaminya?"

Sememangnya, sebelum menjadi seorang pejuang melawan penjajah, Tjoet Nja' Dhien adalah seorang suri rumah biasa. Beliau mengambil tempat suaminya kerana dirasakan itulah yang patut dilakukannya dan beliau juga mahu menegakkan keadilan. Jika kita perhatikan, ramai pemimpin-pemimpin wanita akan ada mentor lelaki (bapa ataupun suami) di belakang mereka yang mengalami nasib seperti suami Tjoet Nja' Dhien. Ambil sahaja contoh Corazon Aquino, Benazir Bhutto, Megawati Sukarnoputri dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Filem Tjoet Nja' Dhien ini sendiri, agak perlahan pergerakannya. Mungkin filem ini akan membosankan sesetengah penonton. Tetapi jika kita bersabar, kita akan dapat memahami mengapa filem ini dijulang.

Watak-watak yang ada dalam filem ini tidak pipih. Watak-watak penjajah Belanda tidak kesemuanya jahat, begitu juga orang-orang Aceh sendiri; tidak semua diperlihatkan baik semata-mata. Yang menarik di antara watak-watak sampingan yang ada adalah watak 'penyair'. Di sini, saya dapat melihat simbolik bagaimana pentingnya fungsi penyair (baca: seni dan seniman) dalam budaya Indonesia. Seni dapat mencetuskan revolusi. Justeru, Indonesia sehingga kini, para revolusionernya terdiri daripada penyair-penyair seperti Rendra dan Emha.

Para pelakon yang menjayakan filem ini juga telah berlakon dengan cemerlang. Sinematografinya, walaupun tidak seindah filem-filem Garin Nugroho tetap nampak menarik. Muzik dalam filem ini juga telah disusun dengan begitu menarik untuk menghidupkan lagi naratif visual yang dipaparkan.

Rating: 4/5

(Terima kasih ingin saya ucapkan kepada Jordan kerana telah menghantarkan filem ini kepada saya untuk ditonton - NZ)

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!