|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-09-25 - 7:36 a.m. Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 1
Kisah seorang diva yang menjadi seorang Datin yang akhirnya kehilangan pangkat Datinnya dan kembali menjadi seorang diva Alkisahnya. Dilla atau nama sebenarnya, Norfadillah binti Sameon (cucu Wak Masroh dari Kampung Parit Bakar, Pagoh, Muar, Johor) sejak kecil mahu menjadi seorang pelakon terkenal. Bapanya, Encik Sameon bin Masroh adalah seorang bekas askar yang membantu isterinya, Puan Suriati binti Sani, seorang bekas penyanyi ghazal menjual nasi lemak di pekan Pagoh. Dilla telah berhijrah ke Kuala Lumpur sejurus selepas dia selesai mengambil peperiksaan STPMnya dengan tujuan menjadi seorang pelakon terkenal. Mungkin kerana sudah tersurat untuk dia menjadi pelakon, ketika dia sedang bekerja sebagai seorang jurujual jenama Lancôme di Isetan Lot 10, dia telah bertemu dengan Manendra Kumar, seniornya di sekolah menengah yang juga pengerusi persatuan Bulan Sabit Merah yang pernah dianggotainya dahulu - yang kini mahu dikenali dengan nama Mallika Mylandra La-Shonna @ The Divine Miss M (atau Miss M sahaja kalau malas nak sebut panjang-panjang). Miss M adalah seorang jurusolek yang kebetulan pada hari itu telah diberikan tugas untuk menyolekkan wajah para pelakon untuk sebuah drama swasta yang sedang difilemkan di kawasan itu. Miss M dek terlalu ghairah bertemu dengan rakan sekampungnya itu, terus menjemput Dilla ke lokasi penggambaran. Dan mungkin dah menjadi rezeki Dilla, pengarah drama swasta tersebut berkenan melihat wajah Dilla yang cantik lalu meminta Dilla mengambil watak tambahan yang sepatutnya diambil oleh seorang pelakon lain yang lambat datang kerana kesesakan lalu lintas di situ. Si pengarah berpuas hati dengan lakonan Dilla yang berkesan, lalu terus Dilla diambilnya berlakon di dalam beberapa lagi drama swasta yang diarahnya. Dalam sekejap masa sahaja, Dilla, seorang bekas jurujual bahan solekan di Isetan dinobatkan sebagai ratu drama swasta merangkap artis majalah yang wajahnya sentiasa ditampilkan di muka hadapan majalah URTV dan Media Hiburan. Empat tahun selepas Dilla bergelumang di dalam dunia glamor sebagai seorang pelakon, Dilla akhirnya diketemukan dengan seorang lelaki yang benar-benar berjaya mencuri hatinya. Ketika itu, Dilla yang telah ditemani Miss M sedang membeli belah di butik Salvatore Ferragamo yang terletak di Orchard Road, Singapura. Dilla terserempak dengan Datuk Sazali, seorang ahli perniagaan yang baru sahaja kematian isterinya yang telah meninggal dunia akibat dilanggar teksi ketika sedang membeli-belah di London. Dilla terus jatuh cinta dengan Datuk Sazali, apabila Datuk Sazali tanpa berfikir panjang terus membayar harga beberapa pasang kasut Salvatore Ferragamo yang diidamkan Dilla. Dipendekkan cerita, setahun selepas pertemuan mereka di Singapura, Dilla terus mengumumkan tarikh pertunangannya dengan Datuk Sazali. Tiga bulan kemudian, mereka pun berkahwin. Perkahwinan mereka pada waktu itu telah dianggap sebagai 'Wedding of the Year' oleh dua buah akhbar tempatan dan sebuah stesen TV swasta. Pada majlis perkahwinan gilang-gemilang itulah Dilla mengumumkan kepada semua bahawa dia mahu berhenti dari terus menjadi seorang pelakon. Sebenarnya keputusan ini telah diambil bukan kerana kehendaknya, tetapi di atas permintaan Datul Sazali sendiri. Dilla seorang gadis Pagoh anak seorang bekas askar dan bekas penyanyi ghazal yang sama-sama menjual nasi lemak itu sanggup mengambil keputusan yang mendadak itu kerana dia mahu dikenali dengan panggilan Datin Dilla. Setahun selepas Dilla berkahwin, dia dikurniakan oleh seorang puteri bernama Hasnah. Sepuluh tahun kemudian, Datuk Sazali mahu berkahwin lagi, kali ini dengan Siti Sherliza, seorang penyanyi yang terkenal yang mahu Datuk Sazali menceraikan Dilla - kerana dia mahu dirinya dikenali dengan nama Datin Siti Sherliza. Datuk Sazali yang sedang mengalami 'mid-life crisis'nya pada waktu itu, menurut sahaja kehendak penyanyi No. 3 negara itu lantas menceraikan Dilla dengan talak tiga. Dalam sekelip mata sahaja, Dilla yang sudah terbiasa dengan panggilan 'Datin Dilla' oleh orang-orang di sekelilingnya, terpaksa menerima hakikat bahawa sekarang, dia hanya boleh dipanggil dengan nama 'Dilla' sahaja. Dilla menuntut sejumlah wang sebagai mutaah dari Datuk Sazali yang akhirnya dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dengan wang pampasan yang diterimanya, dan di atas nasihat Miss M, Dilla telah memulakan sebuah perniagaan dengan membuka sebuah production house yang diberikan sebuah nama yang dirasakan bersesuaian dengan dirinya, Diva Production and Entertainment Sdn Bhd. Oleh Nizam Zakaria
|