zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-12-14 - 4:43 p.m.

Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 13

Image Hosted by ImageShack.us

Fahrin pulang ke kampung setelah dia berjaya menyelesaikan skripnya

Pagi itu aku balik ke Kuala Pilah. Aku nak jumpa mak bapak aku. Aku dah lama tak balik ke sana. Aku nak beritahu mak bapak aku, dah dekat sebulan aku diberhentikan kerja. Sekarang aku dah jadi penulis skrip. Bayaran aku terima, kalau mahu diikutkan, boleh tampung perbelanjaan aku selama setengah tahun, itu pun jika aku berjimat. Dan aku perlu berjimat, jika tidak, kalau aku tak dapat apa-apa kerja lagi selepas itu, aku tak tahu nak makan apa.

Bapak aku terkejut, tetapi seperti biasa dia tak banyak cakap. Aku rasa dia dah boleh terima hakikat anaknya ini dah besar. Dah pandai jaga diri.

"In' dah beritahu mak In' fasal benda ni?" tanya bapak aku sambil membaca surat khabar. Dia tak pandang muka aku.

"Belum."

"Jangan beritahu kepada dia yang In' kena buang kerja."

"Baik, yah."

"Dia tak sihat... Kau tahu kan dia tak sihat."

"Tahu, yah."

"Idris mana?" tanya bapak aku tiba-tiba. Dia letakkan surat khabarnya ke tepi.

"Saya dengan Idris tak berkawan lagi." Aku menjawab seringkas yang aku mampu. Bapak aku memang sukakan ex aku. Dia suka berbual dengan ex aku tentang perkara-perkara yang aku sendiri tak pernah bualkan dengannya.

"Ye ke? Dia ada telefon mak dengan Ayah dua minggu lepas."

Berderu darah aku bila aku dengar bapak aku cakap macam ni kat aku. "Apa yang dia cakap kat ayah?"

"Tak ada apa-apa... Dia telefon bertanya khabar."

"Oh..." kata ku perlahan. Bapak aku sambung membaca surat khabar. Kali ini dia baca bahagian hiburan. Ada gambar pelakon Ida Suraya, pada muka surat hadapan yang digandingkan dengan Mawi. Mahu saja aku beritahu kepadanya, Ida akan berlakon dalam drama bersiri yang aku tulis. Tapi aku diam saja.

Aku berjalan ke belakang, ke arah bilik tidur mak bapak aku. Aku mahu cari mak aku di situ.

Mak aku sedang tidur. Lama aku perhatikan dia tidur. Dia nampak tenteram. Aku mula berfikir jika aku pun kelihatan tenteram macam dia bila aku tidur.

Aku kejutkan Mak. Dia membuka matanya dengan perlahan. Dia tersenyum. Aku cium tangan dia. Dia kata dia mahu duduk di kerusi rodanya. Aku tolong dia duduk di atas kerusi rodanya.

Mak aku telah diserang penyakit angin ahmar dua bulan yang lepas. Separuh dari bahagian tubuhnya lumpuh. Mukanya yang satu ketika dahulu cantik, kini lumpuh sebelah. Dia cukup sukar untuk bercakap. Dia perlu menyebut kalimah yang ingin disampaikannya satu persatu. Ada kalanya aku terpaksa mendekatkan diri aku kepadanya agar aku dapat memahami kata-katanya.

Kau tak dapat bayangnya bagaimana remuknya hati aku bila kali pertama aku melihat keadaannya macam ni ketika aku pergi melawatnya di hospital Kuala Pilah. Pada waktu itu aku rasa sedih melihat keadaannya yang sihat, tiba-tiba berubah begini dek penyakit yang menghinggapi dirinya.

Mak aku bersuara. Dia kata Rambutnya kusut. Dia minta aku sikat rambutnya. Aku sikat rambutnya yang panjang itu tanpa banyak soal.

"Idris kata dia dah balik belajar." Ujar mak tiba-tiba.

"Ya mak... Dia dah balik dari Oxford."

"Dia tak tinggal dengan In' lagi?"

"Tak... Kami tak berkawan macam dulu."

"Kenapa In'?"

"Tak ada apa-apa lah mak."

Aku cuba mengukir senyuman, walaupun hati ku masa tu berkecamuk. Aku tak mahu fikirkan sangat tentang ex aku tu. Tapi buat sepantas kilat, aku teringatkan kembali masa-masa aku bawak dia balik kampung. Waktu itu aku rasa bahagia sangat, lebih-lebih lagi apabila aku dapat melihat ex aku berbual sakan dengan mak bapak aku.

Jadi masa tu, untuk lupakan dia sama sekali, cepat-cepat aku cuba ingatkan kembali apa yang telah dia lakukan kepada aku selama ini sehingga aku kecewa begini.

Fikiran aku melayang memikirkan benda lain - entah mengapa aku terus memikirkan tentang kecantikan mak zaman dia muda-muda dulu.

"In' ada simpan lagi gambar mak masa muda-muda dulu... Masa tu mak pakai skirt pendek. Muka mak cantik gila. Fasal tu lah ayah suka kat mak, kan?" kata ku sambil memastikan rambut mak aku tersusun rapi.

Kalau tak salah aku, ketika gambar yang aku sebutkan itu diambil, mak baru sahaja keluar dari Maktab Perguruan Sultan Idris. Beberapa bulan selepas itu, dia telah ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Tunku Kurshiah di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Bapak aku pula masa tu seorang inspektor polis muda yang bertugas di Kuala Pilah. Kalau tak salah aku, mak aku sebenarnya berminat dengan kawan bapak aku. Mereka telah berkenalan di stesen kereta api Seremban. Kawan bapak aku tu memang hensem gila. Sampai sekarang mak aku ada simpan gambar dia. Dipendekkan cerita, mak aku masa tu berani gila. Apa tidaknya, masa berkenalan, mak aku punya berani, dia mintak alamat kawan bapak aku tu. Mereka siap berutus surat lagi, tapi kawan bapak aku tu dah bertunang, jadi setelah dua tiga kali berutus surat, dia akhirnya kenalkan mak aku kepada bapak aku yang masih single. Bapak aku tak hensem, tapi mak aku tetap sudi untuk berkawan dengannya. Aku rasa sebab bapak aku pandai jaga dan ambil hati mak aku.

Akhirnya mereka berkahwin. Bila aku tanya kenapa mak aku mahu berkawan dengan bapak aku, mak aku kata, dia telah berjumpa dengan seorang lelaki yang akan menyayanginya sampai mati. Bapak aku itulah kasih abadinya.

"Idris menangis bila dia telefon mak." Kata mak kepada ku tanpa teragak-agak.

"Kenapa mak?"

"Dia mintak maaf sebab tak dapat lawat mak bila mak masuk hospital dulu."

Mak menudingkan jarinya ke arah meja soleknya. Mak ingin mengenakan gincu ke bibirnya. Dia cuba untuk memakai gincunya, tetapi dia sukar untuk melakukannya. Jadi aku ambil gincu itu dari tangannya. Aku pakaikan gincu itu ke bibirnya.

Masa tu aku menangis depan mak aku. Aku sedih melihat keadaan mak aku macam ni. Kalau boleh aku tak mahu mengingatkan keadaannya begini. Sebab itulah dah dua bulan aku tak balik untuk melawatnya. Kalau boleh aku mahu mengingatinya sebagai ibu yang cantik yang pernah aku ada satu ketika dahulu.

"Kenapa In' menangis ni?" tanya mak kehairanan. Dia mengelap air mata ku yang turun mengalir membasahi pipi ku. "Sejak In' kecik, mak jarang tengok In' menangis..."

"Tak ada satu benda pun dalam hidup In' yang jadi seperti In' rancang mak!"

"Yang sudah tu sudah In'..." ujar mak dengan suara yang perlahan. Kata-katanya membuat aku terdiam. Aku tak faham maksud kata-katanya. Kemudian dia berkata setelah lama dia mendiamkan dirinya. "Mak tahu In' sayangkan Idris."

"Apa mak?" tanyaku. Aku takut aku salah dengar.

Mak tak jawab soalan aku tadi. Dia mendiamkan dirinya. Dia memang begitu. Sejak kecil lagi kalau dia mengatakan sesuatu kepada ku, dia tak suka ulang-ulang. "Mak bukan berita di radio yang boleh ulang-ulang berita yang sama setiap jam." Kata mak aku dulu.

"In' dah berhenti kerja."

"Bila?"

"Sejak sebulan yang lepas."

"Kenapa, In'?"

"Sebab In' telah diambil untuk jadi penulis skrip, mak."

"Ini yang In' mahukan selama ini... Jadi In' buatlah dengan bersungguh-sungguh."

Aku keluarkan kesemua skrip yang telah aku siapkan lalu aku tunjukkan kepada mak aku. Aku beritahu kepadanya, aku dapat siapkan skrip-skrip ini lebih awal dari yang aku jangkakan. Aku kata, aku mahu bacakan skrip ini untuknya dari awal sampai ke akhir sebab aku telah tujukan hasil karya aku ini kepadanya.

"Cerita apa pulak yang kau tulis kali ini, In'?" tanya mak dengan penuh minat.

Aku tolak kerusi rodanya lalu kami berjalan ke veranda. Aku beritahu kepadanya serba sedikit tentang sinopsis Agenda.Ajinda.Cinta. Mak nampak senang hati bila dia dapat melihat aku penuh bersemangat untuk bercerita kepadanya. Dia memberitahu kepada ku kemudian, dia tak pernah melihat aku teruja sebegini rupa sejak aku dapat berita untuk dihantar belajar ke UK satu ketika dahulu...


Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!