|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-12-14 - 4:44 p.m. Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 14
Wan Usu si kaki cilok Wan Usu adalah seorang pelakon veteran yang disegani. Dia mula berlakon pada lewat 60-an dahulu di dalam filem-filem yang telah diterbitkan oleh Studio Merdeka. Kemudian, dia mula menjinakkan diri di dunia lakonan televisyen apabila dia diambil berlakon di dalam rancangan Drama Minggu ini. Apabila RTM mula menerima produksi drama swasta, dia juga di antara pelakon-pelakon pertama yang telah diambil untuk menjayakan drama-drama terbitan syarikat-syarikat produksi yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan pada waktu itu. Wan Usu kini berusia 60 tahun. Sudah beratus-ratus drama TV yang telah dilakonkannya. Sejak sepuluh tahun yang lalu, dia telah dianggap sebagai seorang 'pelakon veteran' - satu gelaran yang cukup-cukup dibencinya kerana dia masih merasakan dirinya masih muda. Di dalam satu frasa di dalam kariernya sebagai pelakon veteran, dia pernah memakai pakaian-pakaian seksi (termasuklah memakai skirt ketika mengambil anugerah Pelakon Komedi Terbaik di dalam Anugerah Seri Angkasa beberapa tahun yang lalu), semata-mata untuk membuktikan bahawa dia bukanlah seorang tua gayut yang menyerupai watak-watak orang-orang tua yang sentiasa dilakonkannya. "Kenapa drama Melayu kalau ada watak orang tua sahaja mesti orang tua tu kerepot, sakit, lemah... Tak faham lah Kak Wan!" tanya Wan Usu kepada Dilla di Lemon Garden Cafe yang terletak di hotel Shangri-La. "Entah lah kak... Sebab itulah saya nak bawak berbincang dengan kakak fasal projek baru saya ni." "Jenny dah beritahu kakak semalam... Dia kata skripnya bagus." "Jadi kakak bersetuju untuk berlakon di dalam drama bersiri ni?" "Nak tak nak kakak kena setuju jugak, Dilla. Nak cari makan..." "Baguslah macam tu, kak." Ujar Dilla. Dia tersenyum. Dia memandang ke arah kain tudung yang dipakai Wan Usu. Cantik. Tapi kalau tak salahnya, dia sedang memandang ke arah kain dari jenama Hermes dengan rekaan yang sama yang telah dibelinya di Paris empat tahun yang lepas. Dia tidak ingat jika dia telah kehilangan kain yang telah digunakannya sebagai skarf itu. Apa yang pasti, kain itu mahal dan tidak mungkin boleh didapati di sini. Apa yang pasti juga, Wan Usu terkenal sebagai seorang yang kuat mencuri. Masalahnya, Wan Usu mudah lupa, jadi dia sering memakai apa sahaja yang dicurinya di hadapan tuan punya barang yang dicuri. Acap kali, kerana status Wan Usu sebagai seorang pelakon veteran yang disegani, tuan punya barang yang dicuri selalu mendiamkan diri mereka sahaja. "Kakak perlu mengambil watak Ibu Khartini... Seorang wanita yang cekal dan berwibawa, juga ibu kepada Zainol, si pemain trompet yang menjadi hero dalam drama bersiri ni." "Oh ye ke?" "Kakak dah baca skrip yang Jenny bagi kat Kakak semalam?" "Maaflah... Kakak tak sempat, Dilla." "Okay... Nanti kakak bacalah ya?" "Jenny ada beritahu, drama bersiri ini lain dari yang lain. Langsung tak ada adegan keluarga bergaduh dan rebut harta seperti drama-drama yang pernah kakak lakonkan selama ini." "Hemmm... Ye ke?" "Kau tak baca skripnya lagi ke, Dilla?" "Ada, sekali lalu sahaja." Bohong Dilla, walaupun sebenarnya dia belum membaca skrip yang hendak diterbitkannya ini. Dia hanya sempat membaca sinopsis. Dilla mulai risau. Masakan nanti cerita ini tak ada adegan konflik keluarga Melayu bergaduh. Bertengkar. Berebut harta ataupun kasih. Bagaimana nanti drama bersiri ini akan berjaya jika semua elemen-elemen ini tak ada? "Kak... Ermmm... Saya nak balik dulu lah." "Eh, cepatnya!" "Saya cuma nak pastikan kakak bersetuju untuk berlakon dalam drama bersiri ni nanti. Ye lah, penulis skripnya kata, kakak pelakon paling sesuai untuk ambil watak ni." "Oh ye ke? Kirim salam kepada penulisnya nanti." Dilla mengangguk. Dia memanggil pelanggan lalu meminta bil. Sementara menunggu bil tiba, dia menghantar SMS kepada Fahrin. Dia ingin berjumpa dengan Fahrin - kalau boleh secepat mungkin. II Fahrin masuk ke pejabat Dilla. Dia memandang ke kanan dan ke kiri. Jenny memperkenalkan dirinya kepada Fahrin. "I'm already a fan." Kata Jenny perlahan. Dia meminta Fahrin duduk di ruang tamu pejabat. Fahrin menguap. Dia kebosanan. Dilla menjemputnya duduk menghadapnya. "I nak bincangkan dengan you fasal skrip yang you dah siapkan ni." "Ya... Kenapa Puan Dilla? Ada apa-apa masalah?" "Just call me Dilla saja." Fahrin mengangguk perlahan. Dia tidak faham mengapa dia harus memendekkan masa cutinya di Kuala Pilah lalu berjumpa dengan Dilla. Dia tidak tahu apa yang begitu penting sehingga dia terpaksa ke pejabat Dilla pagi ini. "I nak you cantikkan lagi skrip you tulis ni." Ujar Dilla dengan bersungguh-sungguh. Sesekali dia akan memandang ke luar. Dia dapat melihat melalui cermin pejabatnya, Jenny akan sesekali menjeling ke arahnya. "Cantikkan macam mana Dilla?" "I telah diberitahu oleh Jenny, you tak letak scene konflik kekeluargaan." "Siapa kata tak ada adegan tu? Konflik akan muncul apabila Norlela terpaksa menurut kehendak bapanya, untuk mengahwini doktor Rashdan." "Bukan itu maksud I... Tapi you know, suami isteri bergaduh. Suami cuba tempeleng isteri. Anak tak puas hati dengan mak bapak diorang yang mengongkong. Adik-beradik yang bergaduh merebut harta keluarga-" "Dilla... Saya hanya menulis apa yang saya faham. Konflik-konflik macam ni saya tak faham sebab saya jarang tengok mak bapak saya bergaduh depan saya. Ya, ada kalanya saya pasti mereka ada perselisihan faham, tapi takderlah sampai nak bertampar." "Alah, buat sajalah. Cerita Melayu mesti ada elemen macam ni, kalau tak, tak sah, Fahrin!" "Siapa yang tentukan ini semua?" "Penonton yang tentukan-" "Are you sure about this?" tanya Fahrin dengan penuh rasa ragu. "Tugas I sebagai seorang penerbit adalah untuk berikan apa yang penonton mahu." "Penonton mahu melihat sebahagian dari kisah kehidupan mereka dipaparkan di layar TV?" "Ya." "Dilla nak tahu kenapa rancangan TV yang datangnya dari Amerika Syarikat jarang ada cerita-cerita tentang perbalahan keluarga dan merebut harta tu semua?" "Siapa kata tak ada... Dallas dan Dynasty tu apa?" "While you are at it, why don't you include semua cerita-cerita soap opera yang ada..." Sindir Fahrin dengan pantas. "Cerita ni semua dah lapuk lah. We should benchmark ourself with Gilmore Girls, Ed, Six Feet Under, cerita-cerita yang ditayangkan di Hallmark Channel tu-" "Budaya kita lain..." "Apa, budaya kita ni jenis budaya yang suka bercakaran ke? Adakah itu kita sebagai satu kelompok bangsa?" "Melayu memang suka bergaduh... Nak buat macam mana." "I just can't accept that." Dilla terdiam. Dia tidak pernah berhadapan dengan seorang penulis sedegil Fahrin yang keras kepala. "Jenny, please bring the contract and the cheque." Perintah Dilla kepada Jenny. Tak sampai seminit kemudian, Jenny masuk dengan sekeping fail. "Ini cek you. And please sign the contract." Fahrin memerhatikan kontrak yang berjela-jela itu. Dia cukup malas membaca apa yang dilihatnya pada waktu itu. Yang lebih menarik perhatiannya adalah cek yang bakal diterimanya. "Ermmm... Kenapa cepat sangat dapat cek ni?" "You tak suka ke?" "Suka tapi-" "You can take your time to read the contract..." "Takperlah... Ada pen tak?" Jenny menyerahkan sebatang pen kepada Fahrin. Dia terus menandatangani kontrak yang diserahkan kepadanya. "Fasal adegan pergaduhan tadi..." ujar Fahrin kepada Dilla. "Mungkin benar kata Dilla. Mungkin apa yang kita sering lihat di kaca TV adalah cermin kepada kehidupan sebenar masyarakat kita, khasnya masyarakat Melayu. Tapi tak semestinya kita ikut buat cerita macam ni." "I'm running a business Fahrin. Tanggungjawab I adalah kepada perniagaan I. I tak boleh buat cerita yang orang tak mahu lihat." "Fahrin... Apabila Yasmin Ahmad buat filem seperti Sepet dan Gubra yang menunjukkan keadaan keluarga yang bahagia ada scene suami isteri mandi bersama segala... Ramai orang merungut kata itu bukan budaya kita, malah mencemar budaya Melayu. Tapi bila I buat cerita suami isteri bercakaran, tak ada sikit pun orang yang bising. Kenapa? Go home and think about that, ya? Bila you tahu jawapannya, mungkin masa itu you akan kenal siapa kita yang bernama Melayu ini sebenarnya." Fahrin mengangguk perlahan. Dia mencapai cek yang diserahkan oleh Jenny kepadanya. Kata-kata Dilla tadi mengganggu fikirannya... Oleh Nizam Zakaria
|