|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-12-14 - 4:45 p.m. Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 16
Pentas 2, KLPAC "Mak, cepat lah! Kita dah lambat ni!" rungut Husna di dalam kereta. Dilla sedang membawa keretanya secepat yang dia mampu. Mereka sedang berada di daerah Sentul menuju ke arah Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). Penggambaran beberapa buah adegan akan diadakan buat beberapa hari di sini. "Alah, sabar lah kalau ya pun, Nana. Kalau mak tak sampai, mereka tak akan mulakan penggambaran." Kata Dilla dengan selamba. "Lagipun kita bukannya lambat sangat. Call in time pukul 8. Sekarang baru pukul 8.10 minit." "Mak ni! Kalau tak datang awal sikit tak boleh ke?" "Sabar je lah budak ni. Kenapa Nana excited semacam pulak ni?" "Nana nak tengok bagaimana telemovie ni diarahkan kalau boleh dari awal sampai akhir." "Semangatnya anak mak ni." "Alah... Nana nak belajar dari yang terbaik, ma-" "Siapa?" "Abang Fahrin... Abang Zainal Zain yang akan mengarah dan abang Raja Shamsir sebagai DOP. Mereka semua berbakat dalam bidang masing-masing." "Ermmm... Kenapa Nana tiba-tiba minat sangat ni nak belajar?" "Adalah." "Nana nak jadi pelakon, ya?" "Eh, takderlah!" "Nana cantik tau! Ada screen presense kata orang putih. Kalau Nana nak, mak boleh suruh Miss M buat total makeover kat Nana. Tak payah lah pakai baju serba hitam macam sekarang ni. Rimas lah mak tengok. Alergi tau!" kata Dilla. Dia membawa keretanya membelok ke arah Sentul West untuk ke KLPAC. "Nana tak nak jadi pelakon lah. Dah berapa kali Nana nak beritahu." Dahi Husna terkerut seribu. Dilla mengeluh. Dia tak tahu mengapa anaknya itu tidak mahu menjadi pelakon sedangkan peluang untuk menjadi pelakon terbentang luas di hadapannya. Ketika Dilla seusia dengan Husna sekarang, itulah sahaja cita-cita yang tersulam di dalam hatinya. Dia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata agar dia akhirnya diterima jadi pelakon, termasuklah beberapa perkara yang dia sendiri mahu lupakan dan kalau boleh, dia tak mahu mengingatinya lagi. "Nanti Nana fikirkan lah baik-baik ya? Mama tak paksa pun Nana untuk jadi pelakon." "Apa pulak mak tak paksa?" "Mak hanya mahu yang terbaik untuk Nana." Husna mencebik. Dia terus menoleh ke arah kehijauan Sentul West sambil berpeluk tubuh. Setibanya di tempat meletak kereta KLPAC, Dilla dapat melihat van ketering serta peralatan penggambaran diletakkan di situ. Dilla terus disambut oleh Jenny di tempat meletak kereta. Kata Jenny: "Semua pelakon dan crew dah sampai. Kami akan memulakan shooting sekejap lagi." "Baguslah macam tu." "Mereka di Pentas 2. Kita akan mengadakan penggambaran di situ." "Helle dan Ida macam mana? Have you made the arrangements?" "Yes, I have." "They cannot be seen together. Nanti ada jugak yang tarik-tarik rambut ni." "Don't worry. I dah arrange in such a way, shooting diorang lain-lain hari. If they have a scene together, we have a stand in for them." "Well, there's always the magic of editing, kan?" Jenny mengangguk sambil tersenyum. "Kak Jenny, Abang Fahrin kat mana?" "He's inside... With Sofiah. The last time I saw them, there were back stage. Miss M tengah make-upkan Sofiah." "Eh, Nana, nak pergi mana tu?" tanya Dilla apabila melihat Nana tergesa-gesa berjalan masuk ke dalam kawasan KLPAC. "Nana nak jumpa abang Fahrin. Nak lepak dengan dia." "Tak nak makan dulu dengan mak ke? Abang Lan ketering bawak nasi lemak kegemaran Nana, tau!" "Takperlah... Nanti bila Nana lapar Nana makan." Ujar Husna dengan pantas. Dia terus berjalan dengan pantas. Husna dapat melihat wajah-wajah yang tidak asing baginya. Kru-kru filem yang sedang sibuk berjalan keluar masuk ke Pentas 2. Ada yang sedang memastikan kedudukan lampu sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh DOP. Ada pula sedang sibuk memastikan props disusun dengan teratur. Mereka semua kenal dengan Husna. Apa tidaknya, sejak Husna kecil lagi Dilla telah membawanya bersama ke tapak lokasi - kerana Dilla lebih suka melihat Husna berada di sampingnya dari dijaga hampir setiap masa oleh pembantu rumahnya. Mata Husna terpana memandang ke arah pentas yang telah disusun setnya agar kelihatan seperti suasana di sebuah rumah lama selepas zaman perang Jepun. Beberapa peralatan muzik yang digunakan sebagai props diletakkan di atas pentas. "You imagined it to be like this?" tanya Fahrin yang tiba-tiba bersuara di belakang Husna. "More or less... Abang pula?" "Tak kot... Sebab pentas ini pentas black box, sedangkan abang bayangkan sebuah pentas proscenium." "Ini sahaja yang terbaik yang mereka dapatkan." "Itulah..." Sambut Fahrin sambil menghela nafasnya. "Abang okay ke Aunty Helle ambil watak Nora tu?" "Abang tak kisah... Sebab dia pelakon berbakat. Tapi hari ini kita panggil dia Nor, ya?" "Ye ke?" Fahrin menjuihkan bibirnya ke arah Helle yang telah didandan serta disolekkan agar kelihatan seperti seorang lelaki. Terlopong mulut Husna dibuatnya. "Aunty Helle dah potong rambut dia macam tu ke? Pendek gila rambut dia." Kata Husna dengan nada kaget. Sememangnya Helle kini kelihatan seperti seorang pemuda dari era awal 50-an. "Ya... Dia suka sangat bila dia dapat tahu dia diberikan watak Nor alias Nora ni." "Memang watak ni mencabar." "Ya... Antara paling mencabar dalam siri drama ini selain dari watak Zainol yang akan diambil Irwan nanti." "Tapi Irwan tu lakonan dia kaku lah bang..." "Abang tahu, Nana..." "So, macam mana nanti?" "Nanti kita tengok lah macam mana..." kata Fahrin. Dia duduk di atas kerusi berdekatan dengan di mana Zainal Zain pengarah yang dikenali sebagai seorang yang panas baran itu sedang duduk dengan matanya tepat ke hadapan. Fahrin meletakkan skripnya di atas pahanya. Dia berpaling ke arah Husna yang sedang duduk di sebelahnya. Mereka tak sabar-sabar untuk menunggu penggambaran pertama untuk telemovie ini dimulakan tak lama lagi. Oleh Nizam Zakaria
|