|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-09-25 - 7:36 a.m. Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 2
Artikel mengejutkan yang mengatakan bahawa diva kita mencemar budaya melalui drama-drama TV yang diterbitkannya Katanya. Bila Dilla buat telemovie, mesti meletup. Tak pernah yang tak meletup. Kalau Julie Dahlan selalu buat filem dengan pelakon mandi tepi kolam renang, dia pun nak buat telemovie dengan cara yang sama. Jalan cerita telemovie yang dibikinnya juga mengitar semula plot-plot telemovie Melayu yang tak pernah berubah menggunakan formula yang sama: 1. Plot anak sulung baru balik luar negeri ambil alih syarikat bapak dia, XXX Holdings. Sebab cerita-cerita Dilla ni ringkas dan penuh dengan kehidupan glamor. Makcik-makcik, kakak-kakak, mak-mak dan bapak seronok tengok orang Melayu naik kereta BMW atau Mercedes, duduk dalam rumah banglo dua tiga tingkat dengan perabot jati dan langsir ropol-ropol, pakai three-piece suit walaupun terpaksa berlakon dalam cuaca tengah hari buta berlatarbelakangkan panorama Putrajaya yang diambil di tepi tasik. Pendek kata, cerita terbitan Dilla memang diminati ramai. Semakin lama-semakin maju production house yang diasaskannya itu. Semakin banyak permintaan dari syarikat-syarikat siaran TV yang meminta Dilla menerbitkan rancangan-rancangan yang suka ditonton oleh penonton-penonton Melayu sasaran mereka. Tapi hari ini Dilla baru sedar bahawa tak semua orang yang suka menonton telemovienya. Pagi ini, dia membaca satu artikel di sebuah akhbar harian terkemuka bahawa telemovie yang diterbitkannya 'mencemar budaya'. Si penulis mengutuknya tanpa selindung. Dilla rasa dia tak boleh bernafas sebaik sahaja dia selesai membaca rencana ini. Difikirkannya, selama ini telemovie yang diterbitkannya baik-baik belaka, tapi apa yang dibacanya mengatakan sebaliknya. "Husna... Betul ke telemovie yang mak terbitkan selama ini mencemar budaya?" tanya Dilla dengan wajah sedih di meja makan. Husna merenung ke dalam mata ibunya yang terus menyapu mentega ke atas roti bakarnya tanpa henti sejak tadi. Husna dah baca artikel yang dimaksudkan ibunya sejak awal pagi tadi. Husna, anak Dilla yang berusia 15 tahun itu mengeluh. Dia tak tahu bagaimana untuk menenangkan fikiran ibunya yang kusut itu. "Mak... Takkan lah selama ni mak ingat semua orang suka dengan drama-drama yang mak buat tu." Kata Husna tanpa memandang lagi ke arah ibunya. "Mestilah ada orang yang tak suka." "Tapi makcik Rokiah kat Muar tu kata, kawan-kawan dia semua suka tengok drama terbitan mak." "Itu makcik Rokiah... Tapi orang-orang macam Kamal Dollah dan Rizal Baghdadi ada pendapat mereka sendiri." "Ish, Rizal Baghdadi mana pulak ni, Nana?" "Erm... Dia ada kritik pasal mak kat blog dia. Dia kata drama TV mak semuanya sesat lagi menyesatkan." "Mak tak suka lah orang kritik mak macam ni!" Dilla menoleh ke arah telefon bimbitnya yang berbunyi lagi buat sekian kali pada pagi itu. Pasti dia menerima lagi SMS dari orang-orang yang dikenalinya yang telah pun membaca artikel yang telah membuatkan perasaannya gundah-gulana ini. "Ikut suka hati diorang untuk cari fasal. Tahu mengkritik saja." "Memang tugas mereka untuk mengkritik lah mak." Kata Husna, lalu menambah lagi dengan nada lebih berhati-hati: "Sebenarnya mak..." "Sebenarnya apa?" "Sebenarnya ada juga penonton yang tak suka tengok telemovie mak." "Eh, betul ke?" "Betul mak... Ada kat forum-forum tertentu kat Internet yang dok mengutuk telemovie yang mak buat." "Tapi rating telemovie mak antara paling tinggi-" "Mak... Itu tak bermakna semua orang akan anggap drama mak tu bagus." "Mak betul-betul tak puas hati." "Alah... Kalau macam tu, mak buktikan kat diorang mak boleh buat drama TV yang berkualiti sikit." Dilla termenung seketika memikirkan kata-kata Husna. Si Husna pula mengemas meja makan. Sesekali dia akan berpaling ke arah ibunya. Dia jarang sekali melihat ibunya termenung jauh begitu. "Jadi Nana rasa apa yang patut mak buat untuk pastikan kualiti telemovie mak nanti bagus?" "Skrip." Jawab Husna pendek tapi dengan nada yang pasti. Dia pasti sebab dia dah baca bermacam-macam-macam buku tentang perfileman dan dia tahu bahawa sebuah filem yang baik bermula dengan sebuah skrip yang ditulis dengan baik. "Skrip?" "Ye. Skrip lah mak." "Tapi mak kan ada panel skrip Diva Production." Kata Dilla tanpa matanya sedikit pun berkelip. Panel skrip Diva Production dianggotai oleh tiga orang penulis yang terkenal sebagai novelis popular (kulit hadapan novel-novel mereka dihiasi gambar wanita termenung dengan tajuk-tajuk seperti: 'Seindah Cintamu', 'Dengan Nama Cinta'. 'Bila Cinta Membara' dan 'Lafazkan Cintamu'.) Aisyaa Aneesa, Anis Sofea dan Aida Amelda (atau nama sebenar, Noraisyah binti Zamani, Saleha binti Jantan dan Hamidah Binti Nordin) selama ini diberikan tugas untuk menulis skrip cerita cinta telemovie terbitan Dilla. Novel-novel tulisan mereka sarat dengan dunia glamor penuh dengan watak-watak Tan Sri, Datin Sri, anak Datuk dan Datin dengan nama seperti Daniel dan Fidelya yang belajar ke luar negeri yang bawak balik awek atau balak yang kurang ajar lalu diketemukan dengan seorang gadis bertudung atau hero alim lalu mereka semua bertaubat dan berkahwin. Walaupun Aisyaa Aneesa, Anis Sofea dan Aida Amelda sendiri tak pernah belajar ke luar negeri, berasal dari kampung dan tak pernah mengalami sendiri kehidupan orang-orang kaya dan kenamaan, itu tidak pernah menghindari ibu-ibu bertudung dengan anak-anak yang masih bersekolah ini dari terus menulis dunia yang mereka tak pernah selami. Apa yang penting, mereka dapat membuat pembaca mereka berkhayal di dalam dunia yang tak mungkin wujud di dunia nyata tapi terus wujud di dalam fikiran pembaca-pembaca mereka. "Mak... Diorang tu selama ni buat cerita entah apa-apa lah mak. Balik-balik cerita tu jer diorang tulis. Kekadang saya malu tau." "Malu?" "Ye lah... Macam tak ada cerita lain. Balik-balik cerita tu jugak mak buat. Cerita orang kaya berebut harta, cerita laki bini bergaduh sampai kena sepak terajang-" "Tapi mak kan buat bisnes ni, Nana... Kalau cerita macam tu yang orang nak tengok, cerita tu lah yang mak buat." "Itulah mak... Mak ada kuasa untuk buat drama TV yang baik, tapi mak tak nak buat. Tak semestinya cerita yang luar biasa jalan ceritanya tu membosankan. Tengok je lah Desperate Housewife ke, Gilmore Girls ker. Kan best tengok cerita-cerita macam tu. Orang tengok pun tak bosan!" "Jadi Nana nak suruh mak buat telemovie macam Desperate Housewife lah ni?" "Kalau boleh... Apa salahnya?" "Mak sebenarnya ada diberikan slot drama TV, 13 episod..." "Kalau macam tu, mak buat lah drama bersiri yang bagus. Cari penulis skrip yang betul-betul boleh menulis." Dilla mengangguk. Dia memikirkan saranan anak perempuannya itu dalam-dalam. Di dalam masa yang sama, Dilla akur bahawa dia mempunyai seorang anak perempuan yang cerdik. Mungkin terlalu cerdik untuk seorang gadis seusianya. Dalam usia empat tahun, Husna sudah boleh membaca. Ketika berusia sepuluh tahun, Husna telah meminta Dilla supaya membeli sebuah rak buku untuknya agar dia mempunyai tempat untuk menyimpan buku-buku yang dikumpulkannya. Tahun lepas pula, setelah dia selesai membaca setiap buku yang pernah ditulis oleh Kafka lalu berkabung selama sebulan dalam keadaan murung. Dilla mengambil telefon bimbitnya. Dia menekan beberapa biji butang untuk menghubungi Helle (Atau nama sebenar, Halimah Binti Osman. Anak kepada pelakon teater terkenal Osman Nawawi dan Faridah Khan), melalui pesanan SMS. Helle merupakan seorang pelakon yang sama-sama naik semasa zaman kegemilangan Dilla sebagai pelakon dahulu. Fikir Dilla, dia perlu mendapatkan pendapat kawan baiknya ini dalam hal-hal seperti ini. "Mak nak jumpa aunty Helle kat Bangsar Shopping Center tengah hari ni. Nana nak ikut tak?" kata Dilla menoleh ke arah Husna yang sedang menyapu meja makan dengan kain buruk. "Nana nak duduk rumah baca buku lah mak." "Asyik-asyik baca buku!" rungut Dilla. "Temankan mak lah. Nanti mak belikan Nana buku kat Times, ya." Husna mengangguk sambil tersenyum. Kemudian katanya: "Kalau mak nak buat cerita yang lain dari cerita-cerita mak buat sebelum ni, ambik aunty Helle tu berlakon." "Tapi dia tu cerewet lah. Memilih skrip sangat!" "Tu lah sebab mak kena carik skrip yang bagus." Kata-kata Husna terus melekat di dalam kotak fikiran Dilla. Kini, tugasnya adalah untuk mencari seorang penulis skrip yang berbakat untuk menulis skrip untuk drama bersiri yang bakal diterbitkannya. Oleh Nizam Zakaria
|