|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-09-25 - 7:37 a.m. Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 3
Mengapa Fahmi tak akan main futsal lagi pada setiap malam Khamis Semalam aku kena buang kerja. Sial jer lah. Boss aku dapat tahu aku pergi faks beberapa muka surat perubahan kepada skrip teater aku. Dia kata aku dah langgar peraturan pejabat walaupun telah diberi amaran beberapa kali. Aku beritahu kepada dia, aku dah penat jadi medical underwriter semata-mata untuk cari makan dan bayar bil. Aku ambil course Biomedical Engineering kat Kings College dulu pun sebab aku nak puaskan hati mak bapak aku. Aku sebenarnya nak jadi penulis, bukan bekerja dari pukul 9-5 di sebuah syarikat insurans buat segala kerja yang tak membawa apa-apa makna ke dalam hidup aku. Tak ada orang yang faham mengapa aku nak jadi penulis. Kalau difikirkan, menyesal aku study kat London belajar fasal benda-benda yang aku tak minat tapi sebenarnya dalam diam-diam aku nak buat benda lain. Tapi tak apa lah. Selama lima tahun aku berada di negeri orang, macam-macam yang aku belajar untuk mendewasakan aku. Kononnya. Fadzil kawan baik satu ofis aku tolong aku pack barang-barang aku. Dia sedih aku kena buang, sebab aku sajalah sorang kawan yang dia ada yang selalu temankan dia isap rokok. Dia tanya aku kalau aku akan main futsal dengan kawan-kawan satu ofis kami tiap-tiap malam Khamis. Aku cakap mungkin tak. Aku nak tumpukan perhatian aku kepada penulisan aku. "Jom, aku belanja kau makan." Aku beritahu kepada Fadzil bila dia masukkan barang-barang aku dalam but kereta aku. "Selama ni kau banyak tolong aku kat ofis ni." Fadzil okay jer. Jadi aku bawak dia ke Kompleks Pertama. Kat situ ada gerai Nasi Ayam yang dia suka. Masa makan dia tanya apa aku nak buat lepas ni. Aku kata aku nak jadi penulis sepenuh masa. Dia tanya aku nak tulis apa. Aku kata aku nak tulis drama untuk teater dan kalau boleh untuk filem. Itulah cita-cita aku selama ini. Aku tahu tak ramai orang ada cita-cita macam ni, tapi tak apa lah. Aku tahu siapa aku ni dan apa aku nak dalam hidup aku. Lepas tu, aku dengan dia jalan-jalan kat Kompleks Pertama tu. Aku sempat beli buku-buku yang aku tak tahu bila nak baca kat sebuah kedai buku di situ. "Aku nak isap rokok..." ujar Fadzil kepadaku. For old time sake, aku mengangguk setuju. Kitaorang bukak satu pintu ni lalu kitaorang berdiri atas tangga. Pintu tertutup rapat. Bau kat sini hancing, aku sendiri tak tahu kenapa. Agaknya ada kucing kencing kat sini. Aku tanya Fadzil fasal benda ni. Dia kata mungkin penagih dadah yang kencing merata-rata. Suaranya berdengung. "Kau ada lighter tak, Mie?" tanya Fadzil kepadaku. "Dalam poket seluar aku hah." Katanya selamba. Masa tu aku dah lama bakar putung rokok aku. Tangan kanan aku pegang rokok. Tangan kiri aku pulak pegang beg plastik aku yang terkandung buku-buku aku baru beli. Fadzil seluk poket aku. Tiba-tiba masa tu, seorang Pak Guard sergah aku dari tangga bawah. "Hoi!" katanya sambil menudingkan jarinya kepada kami macam dia baru nampak budak-budak baru umur cuba mencuri kat kedai runcit. "Kenapa ni?" tanya Fadzil. Dia menghidupkan puntung rokoknya. Si Pak Guard yang usianya dalam lingkungan lewat 20-an tu tak menjawab. Dia mengatakan sesuatu ke walkie-talkienya. "Salah ke isap rokok kat sini?" tanya Fadzil kemudian. "Kau bukan nak isap rokok, kan? Kau nak isap benda lain!" kata Pak Guard tu marah-marah. "Eh dah apahal dengan kau ni?" tanya Fadzil. Aku diam jer masa tu. Nak tergelak pun ada. Fadzil bukan dalam lingkungan orang-orang yang aku taste. Orangnya rendah jer. Kulit putih. Muka macam Cina. Sejak dia kahwin tiga tahun lepas, dia dah berperut macam perempuan bunting empat bulan. Dia tak hensem. Masa tu, sorang lagi guard datang. Dia minta kami supaya mengikutnya ke pejabat keselamatan. Fadzil mahu membantah, tapi aku suruh dia ikut sahaja, agar benda ni tak meleret-leret lagi. Di dalam bilik pejabat keselamatan, kami diberikan ceramah agama oleh ketua guard kat sana. Dia beri ceramah macam dia dah biasa ulang-ulang benda yang sama dua atau tiga kali seminggu. Aku rasa, dia dah biasa dengan benda-benda macam ni berlaku kat sini. "Saya boleh kenakan tindakan undang-undang ke atas awak tau!" jerkahnya cuba menakutkan kami. "Tindankan undang-undang apa ni. Di atas kesalahan apa?" tanya Fadzil. Dia ni dulu ambik Law kat UIA. "Kamu berdua didapati bersalah kerana kamu didapati berduaan-" "Eh, aku dengan dia lelaki lah wei. Sama-sama muhrim. Kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni?" "Anak buah saya ni kata dia nampak awak berdua melakukan perbuatan sumbang di tempat sunyi di atas anak tangga tingkat 3-" "Kalau betul kami melakukan perkara yang sumbang, pergilah buat laporan. Pergi! Aku cabar kau." Selama perkara ini berlaku, aku diamkan diri aku saja. Memang aku akan berdiam diri kerana aku lebih suka memerhatikan perkara-perkara seperti ini dari masuk campur. Sebagai seorang penulis, banyak benda yang boleh aku pelajari dari menjadi seorang pemerhati. Sebagai contoh, dari mimik muka si ketua guard ni, aku tahu sedar bahawa dia bukan berhadapan dengan mat-mat rempit yang selalu berkeliaran di Pertama Kompleks ini tetapi seorang lelaki yang terpelajar yang mempunyai pekerjaan yang baik yang dalam masa-masa santai akan membeli-belah di Ikea dan minum kopi di Dome. Dia berhadapan dengan orang yang bukan sembarangan. Dia berhadapan dengan Fadzil. Selepas ketua guard ni bercakap di dalam telefon dengan entah siapa, dia lepaskan kami. Tapi dengan muka dia mencemik, dia berkata: "Lepas ni aku tak mahu nampak muka kau di sini lagi!" Masa tu lah aku bukak mulut untuk ucapkan terima kasih kepada ketua guard tu sambil tersenyum kepada Fadzil. Aku cakap kat Fadzil dengan suara manja: "Sayang, lepas ni jangan gaduh-gaduh macam ni lagi. Lagipun, kita tak salah." Aku dekatkan diri aku kat dia, aku kucup mulut dia. Fadzil berdiri kaku agaknya sebab dia terlalu terkejut. Setelah selesai aku mengecupnya, kami sama-sama toleh kat guard-guard yang ada dalam bilik tu. Diorang terkejut tengok kami macam tu. Lepas tu selamba derk aku pegang tangan Fadzil aku tarik dia keluar bilik ni. Semasa berjalan keluar, Fadzil ketawa dalam keadaan mukanya yang masih merah. Dia kata aku pandai cium. Bini dia pun tak pandai cium dia macam aku cium dia. "Khamis ni jangan lupa ikut main futsal macam biasa ya?" katanya kepadaku ketika aku sedang memandunya pulang ke pejabat. Aku sekadar mengangguk, walaupun aku tahu, aku tak akan mahu menemuinya lagi sebagaimana aku tak mahu menemui lelaki-lelaki yang aku kecupi buat kali terakhir seperti tadi. -- Sebahagian dari cerita dari bab ini telah dicedok dari tulisan seorang yang memberi komen di dalam satu artikel yang telah diterbitkan di kakiseni.com Oleh Nizam Zakaria
|