zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-09-25 - 7:39 a.m.

Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 4

Image Hosted by ImageShack.us

Helle, pelakon drama TV yang kini mahu menumpukan perhatiannya kepada teater

Mata Husna terus kepada buku A Million Little Pieces oleh James Frey yang baru dibelinya di toko buku Times ketika dia sedang duduk bersantai di Austin Chase Coffee. Angin tengah hari dengan manja menyapanya. Sesekali dia akan mendongakkan kepalanya untuk memerhatikan ibunya membelikan secawan kopi panas yang dipesannya.

"Mana mak Nana?" tanya Helle yang masih memakai cermin mata hitamnya itu kepada Husna.

Husna menjuihkan mulutnya ke arah kaunter bayaran. Helle meletakkan tas tangan Guccinya di atas kerusi lalu berjalan ke arah Dilla. Dia meminta Dilla memesan expresso double. Dia memerlukan hidangan kopi yang akan keras. Matanya mengantuk. Dia ada persembahan teater untuk tayangan matinee petang ini di Actors Studio.

"Mak tak boleh lama ni." Ujar Helle kepada Dilla. Dia cepat-cepat mengoyakkan paket gula untuk dimasukkan ke dalam minuman kopi yang dipesannya.

"Ye lah... Aku tahu kau sibuk." Balas Dilla. Menjeling.

"Jadi kenapa kau nak jumpa aku ni?" tanya Helle. Dia memerhatikan jam tangannya.

"Ni ha... Kau tahu kan fasal aku dituduh mencemar budaya segala-"

"Tahu. Pagi-pagi buta tadi aku dah baca."

"Jadi... Aku nak mintak tolong kau lah."

"Mintak tolong apa ni, nyah?"

"Berlakon dalam drama bersiri aku."

"Kau ni Dilla... Sabar jelah. Kau tahu sekarang aku nak tumpukan perhatian aku kepada teater saja."

"Tolong aku lah Helle. Kali ini sahaja."

"Kau kan tahu... Aku tak suka berlakon dalam drama terbitan kau sebab kau tu kawan aku. Aku tak nak kita bergaduh nanti sebab kerja."

"Eleh... Alasan!"

"Alasan apa ni Dilla?"

"Alah, aku tahu kau tak nak berlakon telemovie aku sebab kau rasa apa yang aku buat ni takde kualiti. Bukan begitu?"

"Okay... Terus terang aku cakap, jawapannya adalah - ya." Jawab Helle akhirnya tanpa selindung. Dia menghirup air expressonya sebelum dia menambah lagi: "Ikhlas aku nak cakap sekarang, aku tak akan berlakon dalam mana-mana drama TV yang skripnya ntah apa-apa."

"Jadi kau akan berlakon dalam filem aku kalau kau dapat skrip yang bagus?"

"Insyaallah. Tapi kenalah skrip pilihan aku. Aku tak mahu skrip yang bukan-bukan dari kau."

"Itulah sebab aku nak jumpa kau. Aku nak tanya kalau kau kenal mana-mana penulis skrip yang boleh tulis skrip yang bagus."

"Kenal tu kenal... Tapi kenapa ni, nyah? Tiba-tiba jer kan?"

"Ye lah... Baik aku tanya terus penulis skrip pilihan kau. Nanti aku ambik jer penulis skrip tu untuk tulis skrip untuk aku... Kau berlakon sekali."

"Eh ye ke?" kata Helle mula menunjukkan minat.

"Ye lah. Dah tu? Kau ingat aku main-main?" kata Dilla bersungguh-sungguh. Matanya sempat melihat kasut baru yang dipakai Helle. "Aku serius ni Helle."

Helle mengeluarkan sesuatu dari tas tangan Gucci kepunyaannya. Empat keping tiket. "Kau sibuk tak, malam ni?"

"Kenapa dengan malam ni? Ada apa?"

"Aku ada show kat Actors Studio."

"Ye ker?"

"Eh, buat-buat tak tahu pulekkk!"

"Serius aku tak tahu!"

Helle menyerahkan tiket-tiket tersebut kepada Dilla. Husna mengambil sekeping tiket dari tangan ibunya.

"Cerita ni yang ditulis oleh Fahrin Fauzi tu ke?" sampuk Husna tiba-tiba.

"Ya. Nana kenal dengan dia ke?"

"Orangnya Nana tak kenal. Tapi Nana pernah baca sajak-sajak dia."

"Sajak-sajak dia yang ada dalam antologi puisi Balaks KL?"

"Ya. Nana beli kat Silverfish tiga bulan lepas."

"Oh ye ke?"

"Nana suka baca sajak-sajak yang dia tulis."

"Skrip dia lagi bagus tau!"

"Nana ada baca, seorang pengulas dari Kakiseni yang kata karya teater Fahrin Fauzi menyerupai karya-karya awal Heiner Müller ketika dia berkarya di Jerman Timur dulu."

Helle menjeling ke arah Dilla yang ternyata keliru dengan kalimah-kalimah yang disebutkan anaknya itu.

"Aunty bangga dapat ikut serta untuk menjadi pelakon utama dalam karya teater tulisannya ni. Jadi aunty harap Nana dapat lihat aunty perform malam ni."

"Kita pergi, kan mak?"

"Budak Fahrin ni bagus sangat ke, Helle?" tanya Dilla ingin tahu.

"Macam ni lah nok... Kalau kau nak mak berlakon dalam drama kau, mak hanya akan berlakon kalau kau ambik skrip dia. Boleh?"

"Macam tu pulak?"

"Mak serius ni... Kau nak sangat mak berlakon kan? Jadi mak kenakan syarat mak lah ni, katanya." Helle berdiri dari keadaan duduknya. Dia terpaksa pergi.

"Cepatnya kau nak pergi." Kata Dilla apabila Helle memegang bahunya untuk berlaga-laga pipi dengannya.

"Mak kira dah lambat ni nyah. Kalau selalu lambat-lambat orang ingat mak ni berangan diva pulekkk!"

"Hemmm... Sabar jelah."

"Yang diva kau sorang je nyah." Kata Helle kepada Dilla sambil tersenyum kepada Husna yang sedang mencium tangannya tatkala bersalam.

Husna memerhatikan lenggok jalan Helle masuk ke dalam Bangsar Shopping Center untuk menuju ke Actors Studio. Kemudian dia memandang ke arah ibunya sambil berkata.

"Kita pergi aunty berlakon, ya malam ni?"

Dilla mengangguk. "Nanti mak jemput Miss M dan abang Irwan sekali yer?"

"Abang Irwan nak ke pergi tengok benda-benda macam ni?" tanya Husna, kerana setahunya pelakon muda berusia 24 tahun itu tidak berminat dengan benda-benda yang memerlukannya banyak berfikir. Tapi dia juga tahu, bahawa ibunya cukup menyenangi Irwan dan kalau boleh dia mahu Erwan mengikutnya ke mana-mana dia pergi.

"Iya... Yang Nana tak suka sangat dengan dia tu apesal?"

"Dia tu himbo lah mak!"

"Himbo tu apa?"

"Male bimbo." Jawab Husna dengan pantas. Dia membiarkan kata-katanya terapung di situ sahaja dengan dirinya kembali membaca bab pengenalan buku yang baru dibelinya tadi.



Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!